Temu Bual – Syira Yukie

Kiriman pembaca daripada Syira Yukie

Jam di dinding kelas menunjukkan pukul 12.10 tengahari. Suasana kelas 5B1 yang riuh rendah dengan suara para pelajar langsung tidak dihiraukan oleh Zoey yang sememangnya sedang runsing pada ketika ini. Berkerut dahinya memikirkan hal yang terjadi 40 minit yang lalu di bilik tuan pengetua sekolah. Sesekali, kelihatan Zoey melepaskan satu keluhan yang berat.

11.30AM – Di bilik tuan pengetua sekolah

“Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi dari kamu Zoey. Kalau kamu masih tak dapat cari cerita untuk disiarkan dalam majalah khas sekolah bulan ni,saya anggap kamu tak serius dalam tugasan ni. Lagipun bukan kamu seorang kan yang buat semua kerja-kerja ni dulu kan? Kamu berdua dengan Hana. Boleh saling memberi idea dan pendapat. Soal bahan cerita,saya tak mahu ambil peduli. Kamu dan Hana fikirkanlah apa yang sepatutnya kalian buat.”

Selepas tamat waktu persekolahan, Zoey dan Hana tidak terus pulang kerana mahu berbincang tentang bagaimana mahu mencari bahan cerita untuk majalah khas sekolah yang diterbitkan setiap bulan itu. Oleh kerana mereka berdua ditempatkan di kelas yang sama, jadi mereka agak akrab dan mudah bagi mereka untuk membincangkan apa yang sepatutnya.

“Padanlah pengetua cakap macam tu, dah 3 bulan kita tak siarkan cerita seram kat majalah bulanan sekolah tu. Pembaca pun dah ada yang complain.” kata Hana setelah mendengar apa yang diceritakan oleh Zoey tentang kejadian di bilik tuan pengetua tadi. “Habis, kau ingat senang nak cari idea, cari bahan? Senang nak tulis cerita seram? Kita dengan homework lagi, sukan lagi, banyak lagi benda nak kena buat tau.” seloroh Zoey. Tiba-tiba Hana teringatkan sesuatu,

“Aku rasa aku tau apa patut kita buat.” Zoey hanya memandang Hana yang nampak terlebih bersemangat itu.

Walaupun kurang bersetuju dengan cadangan berani mati Hana siang tadi, Zoey sedar yang dia kini tiada pilihan. Mereka hanya ada masa seminggu dari sekarang untuk dapatkan bahan cerita tersebut. Tindakan pergi ke rumah banglo di pinggir hutan yang dikatakan berhantu untuk menemubual gadis misteri yang tinggal di banglo tersebut merupakan tindakan yang kurang bijak baginya kerana ia seakan mengundang padah.

……………………………………………………………………

Hari yang ditunggu telah pun tiba. Zoey dan Hana saling berpandangan apabila melihat sebuah banglo yang tersergam megah dihadapan mereka. Ya, sekali pandang pun rasa macam nak patah balik bagi Zoey yang sudah berasa seram sejuk. Walaupun baru pukul 1 tengahari, suasana di situ kelihatan suram kerana di pinggir jalannya dipenuhi hutan belukar.

Setelah 10 minit berdiri tercegat di hadapan pintu pagar, mereka memutuskan untuk masuk. Oleh kerana loceng pagar tidak lagi berfungsi, mereka memutuskan untuk mengetuk pintu rumah sahaja. Baru beberapa langkah mereka berjalan di halaman rumah, mereka tersentak apabila ternampak kelibat seorang gadis cantik yang berambut panjang dan bergaun putih sedang duduk di atas kerusi buaian sambil membelai seekor kucing hitam. Gadis itu melemparkan sebuah senyuman bagi menyambut kedatangan tetamunya itu. Senyuman yang penuh dengan seribu erti. Gadis itu tanpa membuang masa, lalu menjemput mereka berdua masuk ke dalam rumah.

Mereka duduk berbincang di ruang tamu. Gadis itu menghidangkan dua cawan teh dan sepiring biskut buat tetamunya itu.

“Saya Zoey, dan ini Hana. Kami adalah pelajarsekolah menengah yang menghubungi cik dua hari yang lepas untukmenemubual.” kata Zoey memulakan bicara.

Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Yuri.

“Sebelum kalian mula menemubual saya, saya ingin memberikan satu syarat.” kata Yuri. Zoey dan Hana berpandangan.

“Apa yang akan saya ceritakan ini, apa yang terjadi pada hari ini, kalian tidak boleh siarkan dalam majalah sekolah kalian. Pastikan ia hanya di antara kita bertiga.” pinta Yuri.

Zoey dan Hana tersentak. Lain yang dirancang lain yang jadi. Jika tidak disiarkan di dalam majalah sekolah, jadi apa yang sedang mereka lakukan sekarang? Temubual hanya untuk suka-suka? Hana kelihatan sedikit bengang. Tapi dengan tiba-tiba, Zoey dengan yakin bersuara,

“Baiklah,saya akan pastikan temubual ini hanya di antara kita bertiga. Tidak ada orang lain yang akan tahu.”

“Kisah yang saya nak ceritakan ini merupakan sebuah kisah benar yang berlaku di sebuah sekolah menengah.” kata Yuri memulakan cerita. Zoey memegang alat perakam, manakala Hana sedang asyik dengan kameranya. Yuri membelai kucing hitamnya lembut, dan menyambung kembali cerita.

“Dahulu di sebuah sekolah menengah,ada seorang gadis yang sangat cantik. Dia menjadi kegilaan ramai pelajar lelaki, termasuk beberapa guru lelaki di situ. Namun dari kalangan mereka, hanya seorang jejaka bertuah yang telah berjaya menambat hati gadis tersebut. Dia bercinta dengan pelajar kelasnya sendiri. Namun, kebahagiaan yang mereka kecapi tak berpanjangan. Seorang pelajar lelaki yang begitu obses dengannya tidak menyenangi perhubungan mereka itu. Lalu dia mengambil keputusan untuk membunuh gadis itu.”

Suasana tiba-tiba menjadi seram. Entah kenapa peluh dingin mula keluar mencurah-curah di dahi Zoey. Hana pula memeluk tubuh dan memandang sekeliling. Yuri meneruskan ceritanya lagi, “Sewaktu gadis itu pulang dari kelas tambahan, pelajar lelaki tersebut bertindak menekup mulut gadis itu dengan kain,dan menyebabkan gadis itu pengsan. Suasana sekolah yang lengang pada ketika itu memudahkan lagi kerja si penjahat ini. Tidak sedar berapa lama dirinya pengsan, gadis itu terjaga dan mendapati dia kini diikat di sebuah kerusi di dalam gudang belakang sekolah. Dia menangis meminta simpati namun tidak dihiraukan lelaki yang seperti sakit mental itu. Hendak menjerit tidak mampu, kerana mulutnya juga diikat dengan kain.”

Berdebar-debar Zoey dan Hana menunggu sambungan cerita dari Yuri.

“Gadis malang itu dipukul tanpa rasa belas, ditumbuk, ditendang sehingga puas. Lelaki tersebut kemudian membunuh gadis itu dengan memotong badan mangsa kepada dua bahagian. Dia menggunakan cangkul yang terdapat di dalam gudang tersebut. Dengan itu, maka berakhirlah hidup si gadis malang. Keesokkan harinya gempar sekolah tersebut apabila beberapa orang pelajar menemukan mayat tanpa kaki didalam tandas pelajar perempuan. Mayat yang hanya separas pinggang itu kelihatan begitu mengerikan bagi sesiapa yang melihatnya. Pihak polis tidak dapat mengesan di mana sebahagian lagi mayat mangsa telah disorokkan. Sehingga kini dikatakan gadis tersebut masih mencari bahagian kakinya yang hilang.”

Yuri mengakhiri ceritanya.

Zoey dan Hana menelan air liur yang dirasakan pahit. Yuri hanya merenung telatah mereka berdua yang nampak seperti kurang selesa. Mereka mula berasa tidak sedap hati lalu meminta diri untuk pulang. Sebelum pulang, Hana sempat merakamkan serba sedikit keadaan persekitaran ruang tamu banglo misteri itu. Memang besar dan luas persekitarannya. Ada gambar gadis itu bersama kucingnya. Hana juga sempat mengambil beberapa keping gambar Yuri sebagai kenangan. Mereka mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada gadis itu sebelum bergerak pulang.

……………………………………………………………………

Malam itu, Hana sempat melihat balik sedikit video yang dirakamnya siang tadi di ruang tamu rumah Yuri. Apa yang menghairankan adalah terdapat beberapa sudut terlihat seperti ada bayang-bayang hitam di dalam rakaman tersebut. Seingat Hana, sewaktu dia merakam tempat tersebut tidak perasan pula bayang-bayang tersebut. Dia mahu menceritakan hal ini kepada Zoey keesokan harinya.

Hana tiba awal ke sekolah pada pagi itu. Dia menunggu Zoey di dalam kelas. Setelah Zoey tiba, dia lantas menceritakan tentang apa yang dilihatnya pada malam semalam. Zoey berasa teruja kerana bukan senang mahu mengambil gambar atau merakam benda-benda yang pelik dan misteri ni.

“Weh,Hana. Aku ingat nak siarkan jugalah cerita yang gadis tu kongsi kelmarin dalam majalah khas sekolah bulan ni. Mesti gempak habis punya, ditambah pula dengan gambar-gambar yang kau ambik tu.” Hana tersentak.

Dia membantah keras apa yang mahu dilakukan Zoey. Dia tidak mahu sekiranya perkara buruk terjadi jika mereka mengingkari janji mereka pada gadis itu. Namun Zoey langsung tidak ambil peduli kerana terlalu obses dengan bahan yang menarik itu atas hasil usaha keras mereka kelmarin. Dia bertekad mahu menyiarkan cerita tersebut.

Malamitu, Zoey tidak dapat tidur lena. Zoey tidak dapat membayangkan reaksi para pembaca nanti. Kisah benar, ditambah dengan gambar hantu lagi. Pasti kebaboom jadinya. Zoey tersenyum lebar. Penantian kalian selama tiga bulan tak kan sia-sia. Fikir Zoey dalam hati.

Beberapa hari selepas cerita tersebut disiarkan di majalah khas sekolah, apa yang disangkakan Zoey menjadi kenyataan. Mereka mendapat pujian daripada para pembaca kerana slot ‘kisah seram’ mereka kali ini terasa seperti lain dari yang lain. Ditambah pula dengan gambar rumah yangmenyeramkan, kelibat bayang-bayang misteri. Paling membuatkan Zoey berasa puashati, dia juga mendapat pujian daripada tuan pengetua sekolah sendiri. Berbeza dengan Hana, dia merasa sedikit resah kerana Zoey telah mengingkari janji mereka pada Yuri dengan menyiarkan kisah tersebut. Dia benar-benar rasa tidak sedap hati sekarang ini.

……………………………………………………………………

Zoey mengerling jam di tangan yang sudah pun menunjukkan pukul 6 petang. Hari ini dia terpaksa pulang lewat dari sekolah kerana terlibat dalam latihan badminton dengan cikgu Andy Liew. Hanya beberapa orang pelajar terpilih sahaja termasuk dirinya yang sedang sibuk bertungkus lumus berlatih untuk kejohanan badminton peringkat daerah yang akan diadakan 2 minggu akan datang. Tengah asyik mengemas bersiap sedia untuk pulang, perutnya pula memulas. Zoey tiada pilihan,kecuali terpaksa bergegas ke tandas.

Dengan keadaan sekolah yang mulai sunyi saat itu, dia mula berasa tidak sedap hati. Ditandas, dia cepat-cepat melepaskan hajatnya untuk segera pulang. Sewaktu dia sedang mencuci tangan dan muka di sinki, dia terdengar bunyi sesuatu yang aneh dari dalam salah sebuah tandas di situ. Dia mula memeriksa tandas-tandas yang berada di situ, namun tidak ada apa-apa yang ganjil. Sewaktu dia mahu keluar dari situ, dengan tidak semena-mena, bulu romanya meremang.

Mana tidaknya kedengaran bunyi seperti sesuatu sedang diseret dari arah belakangnya. Zoey yang teragak-agak berpusing perlahan-lahan untuk melihat apa yang berlaku. Berderau darahnya apabila melihat ada sesuatu benda sedang mengesot perlahan-lahan ke arahnya. Benda itu bergerak dengan menggunakan kedua-dua tangannya sahaja kerana bahagian badannya hanya separas pinggang. Dengan wajah yang dipenuhi darah, dia menyeringai memandang Zoey yang ketakutan dan kaku itu.

“Kan saya dah cakap,jangan siarkan cerita tu..”. Dari kejauhan kedengaran suara teriakan Zoey yang nyaring.

Hana berasa resah, kerana tidak dapat menghubungi Zoey sejak dari petang tadi. Telefon tak berjawab, mesej pun tak berbalas. Dia mula berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba Hana tergerak hati untuk melihat kembali video yang dirakamnya tempoh hari bersama beberapa keping gambar yang sempat diambilnya. Dia berasa pelik dan terkejut apabila melihat gambar Yuri yang diambilnya hanya ada bayang-bayang sahaja, manakala orangnya tiada.

Kucing hitamnya juga tiada. Tiada satu pun gambar gadis itu. Situasi ini sama seperti video yang dirakamnya dibeberapa sudut yang terdapat bayang-bayang aneh. Telefon bimbit Hana berdering. Rakan sekelasnya Anne di talian,

“Hello Hana, aku ada benda nak bagitau kau ni. Tapi kau jangan gelabah pulak.” Hana sudah berasa cuak,
“Ada apa? Bagitau je lah.”

Dengan tergopoh-gapah, Hana mula mencari info tentang kes bunuh di sebuah sekolah menengah kira-kira 20 tahun yang lepas di google. Ya,cerita yang mereka siarkan di majalah khas sekolah baru-baru ini, kes bunuh tersebut memang benar-benar berlaku. Ianya berlaku di sekolah Hana sendiri. Hana terkejut,tidak sangka perkara seumpama itu pernah berlaku di sekolahnya. Sedang leka dia membaca butiran kes tersebut, dia terpandang beberapa keping foto mangsa.

Gadis tersebut memakai uniform sekolah menengah dan berambut panjang paras pinggang. Walaupun tidak berapa jelas tetapi dia seakan dapat mengagak siapa yang sedang dilihatnya di skrin komputer saat ini.

“Gadis itu..,tak mungkin sama”.

Apabila Hana mulai baca butiran diri mangsa, dia terkejut apabila nama mangsa tersebut ialah Yuri! Hampir gugur jantungnya saat itu. Dia dengan terketar-ketar membaca alamat rumah mangsa. Ya, alamatnya juga sama seperti banglo di pinggir hutan yang mereka kunjungi baru-baru ini.

“Ini semua gila!. Tak mungkin kami menemu bual orang yang sudah mati!.” bentak Hana.

Dia sudah seperti orang hilang akal. Dengan tidak semena-mena, cahaya di skrin komputernya padam. Bekalan elektrik terputus. Dan ketika ini, dia dapat menangkap sesuatu bunyi seperti benda sedang mengesot di dalam biliknya. Dan paling tepat, ia seakan menuju ke arahnya!..

Ditulis oleh: Syira Yukie

Share It!
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply