Surat Kematian

Terdapat seorang gadis sedang berjalan di kaki lima dan ketika itu dia ternampak seorang lelaki bertongkat dan bercermin mata hitam datang ke arahnya. Lelaki itu seperti ada masalah untuk berjalan dan dia hampir jatuh ketika melepasi gadis itu.

Gadis itu sempat menahan lelaki itu dan dia mendapati lelaki itu mempunyai masalah penglihatan. Lelaki itu berterima kasih kepadanya dan dia meminta pertolongan supaya menghantar sepucuk surat di alamat yang tertera kerana dia sukar untuk melihat.

Gadis itu bersetuju untuk menghantar suratnya kerana bersimpati dengan keadaan lelaki itu. Sebaik sahaja gadis itu berjalan beberapa langkah, dia menoleh semula ke belakang dan mendapati lelaki itu berjalan dengan pantas tanpa menggunakan tongkatnya. Selepas itu, dia membuka cermin mata hitam dan membuangnya ke dalam tong sampah.

Gadis itu mula curiga dan membawa surat itu ke balai polis berdekatan. Pihak polis pergi menyiasat ke tempat yang ditunjukkan oleh alamat itu dan mendapati tempat itu adalah sebuah kedai menjual daging yang dimiliki oleh sepasang suami isteri.

Pada mulanya keadaan kelihatan tiada apa yang mencurigakan sehingga pihak polis meminta pasangan itu membuka sebuah peti sejuk yang sangat besar terletak di stor belakang kedai itu. Pasangan itu menolak permintaan itu sehingga memaksa pihak polis mengumpil pintu peti sejuk tersebut.

Apabila pintu itu terbuka, pihak polis terkejut dan menemui beberapa anggota badan manusia yang telah dipotong dan dibekukan di dalam peti sejuk itu. Pasangan itu ditahan atas kesalahan membunuh dan menjual anggota badan manusia sebagai bahan masakan.

Namun pihak polis masih belum menjumpai lelaki yang menyamar sebagai lelaki buta itu. Bahan bukti yang berkaitan dengan lelaki itu hanyalah sepucuk surat yang diserahkan kepada gadis itu. Pihak polis telah menyiasat kandungan surat itu dan mendapati ianya adalah pesanan yang ditujukan kepada pasangan suami isteri tersebut.

Pesanan itu ditulis, “Ini adalah yang terakhir yang saya dapat hantar hari ini.”

Share It!
  • 339
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply