Qarin

Riuh kantin itu dengan sorakkan pelajar tingkatan 3 Mawar. Di tengah-tengah kekecohan itu, Jiha duduk sambil menggenggam tangan menahan marah, basah di siram dengan air oren yang baru dibelinya tadi. Afif tersenyum bangga, lalu mencampak gelas plastik yang telah dia kosongkan itu.

“Inilah selayaknya untuk anak pungut,” keji Afif lagi. Jiha masih diam, namun marah hatinya galak membakar.

“Apa masalah kau kalau pun aku ni anak pungut?” soal Jiha. Dia cuba berlagak tenang walaupun suaranya bergetar menahan marah.

“Sebab orang macam kau ni tak layak hidup! Kotoran yang menyakitkan mata!” tengking Afif, di sambut sorakkan rakan disekeliling, menjulang rasa bangga Afif. Tanpa sebarang kata, Afif berlalu pergi, diikuti rakan-rakan lain, meninggalkan Jiha berseorangan. Tiada seorang pun antara mereka yang datang menghulurkan simpati kepada Jiha.

“Tak mengapa,” Jiha memujuk hati, lalu tersenyum sinis. Sudah terlalu lama dia membiarkan Afif berbuat sesuka hati. Jiha tidak pernah tahu mengapa dalam ramai-ramai, Afif seorang yang paling membencinya. Afif akan selalu muncul di pertengahan jalan ketika Jiha mahu pulang dari sekolah dan dia akan menolak Jiha jatuh atau menarik rambut Jiha. Itu belum dikira gangguan Afif terhadap Jiha ketika di sekolah; makanan yang dibeli akan ditumpahkan atau barang sekolahnya akan disorokkan. Jiha sedar siapa dirinya, dia juga sudah biasa dipulaukan tetapi Afif sahaja yang selalu mencari peluang menyakiti Jiha secara terus.

Status Afif sebagai anak Pak Leman, penghulu kampung tersebut seolah memberi lesen untuk perbuatan Afif tanpa sebarang larangan. Tidak cukup dengan itu, keluarga Afif yang paling lantang menghina Jiha dan keluarganya tidak kira di mana pun. Kejadian hari ini benar-benar membakar kesabaran Jiha selama bertahun. Kali ini, dia perlu diajar!

Sebaik sampai di rumah, Mek Jah terkejut melihat baju sekolah Jiha bertukar warna jingga. Bila ditanya, Jiha hanya menjawab…

“Tak ada apa Mek. Jiha tertumpahkan air sikit,” ujar Jiha sambil tersenyum. Jiha kemudian terus berlalu ke biliknya, mandi dan menukar pakaian sebelum makan. Sepanjang masa, Jiha akan terus berlagak tenang, seolah tiada apa yang berlaku. Namun, Mek Jah sudah lebih dulu makan garam dari Jiha. Sedangkan dia yang sudah lanjut usia masih menangis setiap kali mendengar tohmahan orang kampung, ini kan pula hati muda gadis kecil itu. Dia tahu, Jiha cuba sorokkan segalanya. Jiha tidak mahu Mek Jah tahu yang dia sering dibuli di sekolah sedangkan acap kali Mek Jah perhatikan, Jiha akan pulang dalam keadaan yang amat comot sedangkan Jiha bukanlah jenis perempuan yang lasak. Namun, apalah daya seorang wanita tua untuk melindungi satu-satunya cucu kesayangan daripada pandangan serong orang sekeliling.

Sebenarnya, Jiha bukanlah cucu kandung Mek Jah. Mek Jah pernah mempunyai seorang anak perempuan, Ros namanya. Ros seorang anak yang baik, mereka hanya tinggal berdua sejak kematian suami Mek Jah, ayah Ros. Mereka menyara hidup dengan mengerjakan sawah sekangkang kera peninggalan suaminya. Suatu hari, sewaktu mereka sampai ke pondok rehat di tengah sawah, mereka disambut dengan tangisan nyaring seorang bayi. Bayi itu ditinggalkan sehelai sepinggang, hanya kain batik membaluti tubuh monggelnya. Ros jatuh hati pandang pertama dengan bayi itu lalu mereka memutuskan untuk menjaganya. Maka membesarlah Jiha dalam keluarga kecil Mek Jah walau tidak semua yang memahami.

Kata-kata tohmahan mula kedengaran, banyak yang menuduh Ros sebenarnya yang bemukah hingga terlahir anak itu tetapi dia berpakat dengan Mek Jah untuk mengatakan itu anak pungut. Ada juga yang mengatakan ia adalah hasil hubungan si Leman dengan pembantu rumahnya warga indonesia. Apapun, tiada siapa yang tahu ‘hasil’ siapakah anak itu tetapi yang pasti, anak itu yang lahir sesuci kain putih tidak layak dihukum untuk dosa sang penzina.

Mereka dipulaukan dan dihina oleh orang kampung. Yang paling hebat menyelar adalah keluarga si Leman, kerana mereka sakit hati bila pinangan Leman terhadap Ros ditolak mentah-mentah beberapa bulan sebelum itu. Namun mereka tetap bahagia hanya sehingga Jiha berusia 6 tahun bila Ros kembali kepadaNya, akibat kemalangan ketika ke pekan. Tinggallah Jiha dengan Mek Jah berdua.

Sejak itulah, Jiha lebih banyak menyendiri. Dia akan menghabiskan masa bercakap atau bermain sendirian, walaupun bila Mek Jah mendaftarkannya ke sekolah. Status anak pungut membuatkan Jiha diasingkan oleh stigma manusia, tetapi Jiha tidak pernah mengeluh. Anak itu seolah telah memahami fitrah kelahirannya, malah dia kelihatan lebih senang hidup dalam dunianya sendiri.

Malam itu, sebaik menyiapkan kerja sekolahnya, Jiha duduk menghadap cermin meja solek. Dia menyisir rambutnya yang panjang itu perlahan, sambil menatap balikan wajahnya pada cermin itu yang tekun menatapnya kembali, namun diam tanpa reaksi.

“Kesiannya kau Jiha, selalu sangat orang memburuk-burukkan kau. Mesti kau sedih kan Jiha, sebab kau selalu menangis sendirian,” monolog Jiha sayu. Hampir sebak dadanya bila bayangan hinaan demi hinaan yang pernah dihadapi datang melayari ingatan. Tiba-tiba, karekter Jiha berubah.

“Tetapi mereka silap. Aku tidak lagi akan jadi yang paling diam. Sakit hati aku ni perlu dibayar!” Jiha luahkan semuanya sambil menumbuk meja solek itu. Rasa sebak hatinya hilang dalam api amarah yang tiba-tiba marak. Refleksi Jiha masih lagi diam, tekun.

“Kita patut balas segalanya Jiha. Kita balas segalanya hingga mereka tidak mampu lagi berbuat apa!” ujar Jiha menyeringai kepada cermin itu, disambut seringai seram dari refleksinya.

“Dan kau Jiha, kau tahu cara yang terbaik untuk membalas mereka,” nadanya melembut, dengan senyum penuh makna. Jiha bangun lalu menuju ke katil, berbaring tenang. Refleksinya yang sedari tadi diam, juga bangun, lalu mengundur menghilang dalam kegelapan cermin.

Cahaya bulan mengambang menyuluh ke kamar Afif melalui tingkap biliknya yang luas terbuka. Afif yang sedang lena tidur mulai gelisah. Makhluk dihujung katilnya masih menarik-narik kaki Afif. Afif kejap memejamkan matanya, masih di antara mimpi dan realiti. Matanya tiba-tiba terbuka luas, bila merasakan cengkaman kuku tajam yang mencakar kedua betisnya. Baru dia sedar kehadiran makhluk itu. Dalam samar-samar cahaya bulan…

“Jiha?” dia yakin makhluk itu tersenyum mendengar nama itu.

“Woi buangan, apa kau buat di sini?” jerkah Afif. Namun Jiha masih diam tersenyum, senyuman yang menaikkan bulu romanya.

Senyuman Jiha bertukar seringai, menampakkan barisan gigi yang tajam tersusun. Jiha mengangkat tangannya, yang kurus panjang bersama jari jemari yang sungguh runcing. Sekali lagi, kuku tajam itu menjamah kaki Afif, kali ini di peha, menarik kulit dan isi hingga ke bawah. Bunyi carikan terdengar nyaring, merah pekat mula membasahi cadar. Afif melolong kesakitan. Dia cuba mengalihkan kakinya namun kaku. Cakaran demi cakaran terus menjamah kedua kaki Afif, semakin lama semakin dalam. Sakitnya bukan kepalang.

“Mak! Abah! Tolong!” jerit Afif sekuat hati. Jeritan Afif mengejutkan kedua ibu bapanya. Mereka bergegas ke bilik Afif.

“Afif! Afif!” terdengar suara kedua ibu bapanya di luar pintu. Leman, bapa Afif cuba membuka pintu bilik tetapi gagal. Mereka panik. Bapanya sekuat tenaga cuba menghentak pintu itu tetapi masih gagal.

“Mak…Abah…Jiha…sakit…” jeritan Afif semakin perlahan. Bila akhirnya jeritan itu terhenti, pintu itu terbuka dengan sendiri. Ibu bapa Afif menerjah masuk. Jasad Afif hanya tinggal separuh badan. Kakinya telah hancur seperti daging kisar, jelas menampakkan tulang kaki. Darah hanyir memenuhi ruangan bilik Afif. Ibu Afif pengsan, bapa Afif terduduk.

Mek Jah terpisat-pisat bangun dari tidur menjawab bukan ketukkan, tetapi hentakkan pintu rumahnya.

“Sabar! Aku datang,” laung Mek Jah sambil menghampiri pintu. Sebaik kunci pintu dibuka, Leman menerjah masuk. Belum sempat Mak Jah bersuara…

“Mana anak buangan tu?!” jerkah Leman.

“Kau nak apa Man? Datang rumah aku malam-malam buta untuk menghina?” balas Mek Jah.

“Anak aku dah mati! Jiha yang bunuh!” jerit Leman. Belum sempat Mek Jah menjawab, Jiha keluar dari biliknya. Menggosok mata dengan wajah yang layu dan rambut yang kusut. Jelas, dia juga baru bangun dari tidur.

“Kau!” gumam Leman lalu pantas menghampiri Jiha. Dia menarik kuat rambut Jiha. Terlayang tubuh kecil itu.
“Mek!” rintih Jiha sambil memegang rambutnya. Mek Jah lantas menghampiri Leman.

“Pang!” satu tamparan dari Mek Jah hinggap ke muka Leman. Terlepas genggamannya pada rambut Jiha. Jiha terjatuh. Leman yang seperti kesurupan menepis wanita tua itu sebelum membalas dengan satu tumbukan padu. Mek Jah terundur ke belakang, lalu jatuh. Kepalanya kuat menghentam penjuru meja. Darah merah pekat mengalir perlahan. Mek Jah mengeletik beberapa ketika sebelum kaku. Leman terdiam. Jiha segera merangkak mendapatkan Mek Jah.

“Mek! Mek!” tubuh wanita tua itu digoncang berkali-kali namun tiada reaksi. Air matanya mula mengalir. Pelbagai emosi mula datang. Jiha meraung.

“Mati!” satu bisikkan keras menerjah cuping telinga Jiha. Raungan Jiha menyurut menjadi esakkan.

“Bunuh!” satu lagi bisikan keras datang menerjah. Esakkan terhenti lalu perlahan-lahan Jiha bangun.

“Aku tak berniat…” gumam Leman perlahan. Matanya masih memandang tubuh Mek Jah yang kaku. Jiha menghilang diri. Leman benar-benar tergamam. Tanpa dia sedar, Jiha kembali merapatinya dengan sebelah pisau. Jiha mengangkat pisau itu, namun pantas ditahan oleh Leman. Lengan Jiha yang cuba menikam digengam erat Leman yang cuba menjauhkan pisau itu.

Perbezaan tenaga antara mereka mencetuskan pergelutan. Tiba-tiba, muncul satu jelmaan di belakang Jiha. Leman jadi keliru. Dia masih melawan Jiha tetapi matanya merenung ‘kembar’ Jiha yang berdiri di belakangnya. Jelmaan itu sangat serupa dengan Jiha, bezanya ‘Jiha’ itu sedang tersenyum luas dan menampakkan barisan gigi yang tajam dengan mata yang merah menyala.

Perlahan, jelmaan itu menghampiri Jiha dari belakang. Ia seolah memeluk Jiha, mengangkat tangannya, yang kurus panjang dan berjari runcing lalu memegang tangan Jiha. Bagaikan mendapat tenaga baru, dengan mudah Jiha dapat menjatuhkan Leman.

Walaupun masih dilawan, Jiha lembut mengangkat tangannya dan memulakan satu demi satu demi satu tikaman ke tubuh Leman. Lagaknya seperti menikam guni pasir, perlahan dan jitu. Masuk tikaman ke tiga puluh, nafas Leman semakin memendek. Benda terakhir yang dilihatnya sebelum dia memejamkan mata adalah wajah Jiha dan jelmaan ‘kembarnya’ yang tersenyum puas, seolah regu iringan yang sedang berpadu tenaga, menikmati setiap tikaman. Leman telah kaku pada tikaman ke lima puluh lima dan Jiha hanya berhenti pada tikaman ke tujuh puluh. Pelbagai emosi kembali datang, Jiha meraung dan ‘kembarnya’ hanya diam memerhati.

Panas api terasa menyengat di kulit mulus itu, tetapi Jiha tidak berganjak. Dia diam berdiri, dengan pakaian berlumuran darah, hanya memerhati rumah kayu yang memberi pelbagai kenangan perlahan musnah dimamah api. Air matanya kering dek bahang panas, sekering hati Jiha yang penuh dendam. Dia menarik nafas dalam, berpaling lalu memulakan langkah laju, menuju ke destinasi seterusnya.

Mak Afif dikejutkan dari pengsan dengan bunyi yang kuat. Tingkap kayu bilik Afif dihempas berkali-kali sebelum akhirnya ia tertutup rapat. Sekelilingnya jadi gelap gelita. Fikirannya diserang panik, membuatkan dia segera bangun dan keluar. Satu demi satu tingkap kayu rumah itu dihempas kuat dari luar lalu tertutup rapat. Mak Afif segera berlari ke pintu rumah. Bila di buka, Jiha sedang tegak berdiri berlumuran darah. Matanya yang merah menyala merenung mak Afif sambil menyeringai menunjukkan barisan gigi yang tajam. Jiha mengangkat tangannya, lalu mencekik leher mak Afif.

Mak Afif cuba meleraikan cekikan itu tetapi tenaga Jiha terlalu kuat. Kuku jemarinya yang tajam menikam leher gempal itu, mengalirkan darah. Dalam dia terkapai-kapai, tiba-tiba tubuh mak Afif marak disambar api. Senyum Jiha semakin melebar, tangannya terus kejap mencekik. Menggelupur wanita separuh usia itu, dicekik dan dibakar pada masa yang sama. Akhirnya tubuh gempal itu jatuh, bila cekikan Jiha memutuskan lehernya, membuatkan kepalanya bergolek jatuh. Jiha membiarkan api menghabiskan sisa nyawa yang mungkin ada. Bila Jiha berpaling dan melangkah pergi, pintu rumah itu tertutup rapat dengan sendiri dan seluruh rumah itu terus marak dijilat api. Jiha terus mara, diikuti tekun oleh ‘kembar’nya, lalu menghilang dalam kepekatan malam.

*****

Mafhum sabda Rasulullah s.a.w daripada Abdullah bin Mas’ud r.a:

“Setiap kamu ada Qarin dari bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat”. Mereka berkata, “Engkau juga ya Rasulullah”.

Sabdanya “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku hingga Qarin itu dapat ku Islamkan dan menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja”.

Di dalam hadis yang lain daripada Ibnu Umar r.a, mafhum sabda Rasulullah s.a.w:

“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara iaitu pertama, syaitanku kafir, Allah menolong aku sehingga dia Islam, kedua para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu dia membuat kesalah”.
Oleh itu,

Jadilah kita manusia yang berperikemanusiaan,

Bukan manusia yang berperangai syaitan.

Wallahualam.

Penulis: Rosa Oscuro

Share It!
  • 166
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply