Potret Untuk Leya Episod 2: Potret Untuk Leya Episod 1: Potret Untuk Leya TerkiniKISAH SERAM Rambut Dan Gigi Anak Patung Lama Ini Tumbuh Seperti ManusiaSeptember 7, 2019Kisah SeramRAMBUT Okiku atau ‘Anak Patung Berhantu di Hokkaido’ yang terletak di sebuah kuil di Iwamizawa, Jepun didakwa tumbuh seperti rambut manusia. Ia juga dikatakan mempunyai semangat seorang budak perempuan. Terdapat banyak cerita legenda mengenai Okiku, tetapi yang paling popular adalah kisah anak patung Jepun tradisional itu dibeli oleh Eikichi Suzuki, seorang budak lelaki berumur 17 tahun dari Hokkaido, yang membelinya untuk adik perempuannya pada tahun 1918. Budak perempuan itu, Kikuko yang berusia tiga tahun ketika itu, dikatakan sangat menyukai anak patung tersebut, membawanya ke mana sahaja dia pergi dan tidur dengannya setiap malam. Tetapi, selepas Kikuko meninggal dunia ketika dia masih kecil, keadaan berubah menjadi aneh dan menyeramkan. Keluarga Kikuko telah menyimpan anak patung itu di sebuah kuil kecil sebagai tanda mengenangnya. Mereka juga menamakannya sebagai ‘Okiku’ selepas anak perempuan mereka meninggal dunia dan mula berdoa untuknya. Pada satu ketika, mereka melihat sesuatu yang sangat luar biasa! Rambut anak patung ini tumbuh dan menjadi lebih panjang. Mereka menganggap keadaan ini menunjukkan anak patung itu mempunyai semangat Kikuko. Pada tahun 1938, keluarga Kikuko memutuskan untuk berpindah dari Hokkaido dan bersetuju untuk anak patung itu kekal di pulau tersebut. Jadi mereka meletakkan kepercayaan kepada sami-sami di Kuil Mannenji dan berkongsi rahsia menyeramkan itu dengan mereka. Sejak itu Okiku kekal di kuil berkenaan dan orang ramai sering datang ke situ untuk melihat rambut yang dikatakan tumbuh pada patung itu, tetapi mereka tidak dibenarkan mengambil gambar. Kini, Okiku mempunyai rambut panjang sehingga paras lutut. Ia mungkin lebih panjang, tetapi para sami sentiasa memotongnya dari semasa ke semasa. Sebenarnya, bertindak seperti itu sangat membahayakan tetapi Grape melaporkan salah seorang sami mula melakukannya selepas bermimpi Okiku sendiri meminta rambutnya dipotong. Sehingga kini tiada siapa dapat menjelaskan mengapa rambut anak patung itu terus tumbuh. Sesetengah sumber mendakwa, pemeriksaan saintifik terhadap anak patung itu menunjukkan bahawa rambutnya adalah rambut manusia. Malah ada yang mendakwa jika anda berada cukup dekat dengan Okiku dan melihat mulutnya yang separuh ternganga, anda dapat melihat giginya juga tumbuh seperti manusia. Cerita Okiku telah menjadi ilham untuk penulisan novel, filem dan drama tradisional, yang mana unsur-unsur lebih menyeramkan ditambah. Jadi jika anda berada di pulau Hokkaido, Jepun dan ingin melihat anak patung berhantu itu sendiri, pergilah ke Kuil Mannenji untuk bertemu Okiku, anak patung berhantu yang terkenal di Hokkaido. Kisah ini sama seperti yang ada di dalam buku Setapak Dalam Gelap yang mempunyai himpunan kisah-kisah paranormal, horror, thriller anda. Bersedia untuk berasa seram, jijik, sedih dan tersenyum. Ikuti kisahnya…. Miku “Miku, ermm… kau boleh tolong jagakan untuk aku patung ni?” rayu Juwita sambil menghulurkan sebuah patung comel berambut turqoise. Miku mengambilnya sambil tersenyum lebar. “Wah, patung Idora! Mahal benda ni. Tapi kenapa kau minta aku jagakan pulak?” “Minggu depan saudara aku datang menumpang rumah. Kau tahulah budak-budak kecik ni. Aku tak nak patung ni rosak.” Miku menepuk bahu Juwita. Dia mengangguk-angguk. “Aku akan jaga patung ni sebaiknya.” Balik ke rumah, dia tidak sabar lagi untuk bermain dengan patung ini. Ini adalah patung pintar yang mampu bercakap dan membalas soalan yang diberikan oleh tuannya asalkan soalan itu kena dengan apa yang telah diprogramkan. “Mana pulak on button ni?” Miku mencari butang menghidupkan patung Idora yang dipegangnya. Dia tersenyum setelah jumpa lantas dia menekan butang. “Saya Idora. Kamu?” Miku melompat riang atas katil. “Miku! Miku!” “Saya Idora. Kamu?” Miku garu kepala. Aih, tak dengar ke? “Mikuuu…” Miku menjawab lagi. “Saya Idora. Kamu?” “Emm…rosak ke? Fatimah Ariani.” Kali ini Miku menyebut nama betulnya. Miku ialah panggilan yang diberikan oleh rakan-rakannya kerana kegemarannya mendengar lagu-lagu penyanyi vocaloid yang terkenal, Hatsune Miku. “Apa khabar Fatimah?” Miku memuncungkan bibirnya. Nama betul baru nak dengar ye. Tak guna punya patung. “Idora umur berapa?” “Hihihi! Umur Idora 12 tahun. Fatimah pula berapa? Mesti tua.” Wah! Kagum Miku dengan jawapan yang diberikan patung ini. Patutlah dikatakan patung pintar. “Mana ada tualah. Umur tua setahun je.” “Jadi umur Fatimah 13 tahun?” “Haa… ye, ye.” “Fatimah suka duduk dalam bilik bersepah, ye? Fatimah mesti pengotor.” Miku terkejut. Dia tengok sekeliling. Memang agak bersepah. Patung ni dah macam terlebih pintarlah pula. Adakah programmer dia memang program patung ni sebegini sarkastik? Untuk tujuan menghiburkan tuan dia kot? “Mana adalah. Bersepah sikit je.” “Mana ada? Tu sampah kat sana tak dibuang lagi. Pengotor.” Miku meletakkan Idora. Lain macam pula patung ni. Dia bangun dari katil, berjalan menuju ke meja belajar. “Pergi mana?” “Nak pergi telefon kawan jap.” “Saya bukan kawan?” Miku tak layan sebaliknya dia mendail nombor telefon Juwita. Dalam menunggu panggilannya disahut, dia duduk di atas kerusi berhadapan dengan meja belajar. Pandangannya menghala ke dinding. Tangannya sibuk mencungkil kertas yang tertampal pada dinding. “Aku nak cakap pasal apa patung kau ni bijak sangat? Memang macam ni ke?” “Apa yang biar betul?” Terdiam Miku bila mendengar jawapan Juwita. “Hahaha!” Miku tersentak mendengar ketawa daripada Idora, peluh dingin mengalir dari dahi ke pipi. Dia toleh kepala perlahan-lahan. Patung tu hilang! Patung tak ada atas katil. Celaka! Fikir Miku. Dia tak tahu apa nasib akan terjadi pada dirinya kelak. Karya ini ditulis oleh Ocik Baim di dalam Buku Setapak Dalam Gelap. Dapatkannya bukunya disini.... Keranda Mencari Jalan PulangSeptember 4, 2019Urban LegendCHARLES Coghlan dilahirkan di Pulau Prince Edward, di pesisiran pantai timur Kanada pada 1841 dalam keluarga pendatang Ireland yang miskin. Sebaik mencecah usia persekolahan, jiran Coghlan mengutip sumbangan untuk menghantarnya bersekolah di England. Coghlan menunjukkan kecemerlangan ketika di bangku sekolah dan berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah. Dia, bagaimanapun menaikkan kemarahan bapanya apabila menyuarakan hasratnya menjadi pelakon. Bapanya yang menentang keras keinginan itu memberi kata dua kepada Coghlan iaitu lupakan bidang lakonan atau jangan menjejakkan kaki lagi di rumah mereka. Coghlan memilih untuk meneruskan cita-citanya, meninggalkan rumah dan berjanji tidak akan kembali ke Pulau Prince Edward lagi. Coghlan nyata membuat pilihan kerjaya tepat kerana menjadi pelakon berjaya, dengan lakonannya selalu mendapat pujian penonton. Satu hari, Coghlan melawat seorang tukang tilik dan wanita gipsi itu memberitahu sesuatu yang membuatkan Coghlan amat mengingatinya. Dia berkata “Charles, awak akan menjadi amat terkenal tetapi akan mati di kemuncak kemasyhuran. Roh awak tidak akan tenang sehingga awak dikembalikan ke tanah kelahiran awak.” Coghlan amat terganggu dan kagum dengan ramalan itu, dan kerap mengulangi perkara itu kepada rakannya dalam setiap perbualan tetapi mereka menyifatkan ia karut. Petanda awal ramalan tukang tilik itu menjadi kenyataan ialah pada 1898 apabila Coghlan meninggal dunia secara tiba-tiba di atas pentas ketika melakonkan watak Hamlet di Galveston, Texas. Ketika itu, lakonan Coghlan mendapat pujian hebat pengkritik teater dan memang benar, dia meninggal dunia pada kemuncak kemasyhurannya. Minggu berikutnya, Coghlan dikebumikan di tanah perkuburan Galveston. Dua tahun kemudian, taufan dahsyat melanda Galveston dan mengorbankan 6,000 orang serta memusnahkan tanah perkuburan tempat Coghlan disemadikan. Pagi berikutnya, pihak berkuasa mendapati beberapa keranda dihanyutkan oleh taufan itu ke laut dan salah satu keranda itu mengandungi mayat Coghlan. Apabila keluarga Coghlan dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan, mereka menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa saja yang berjaya menemui keranda itu tetapi tiada siapa tampil berbuat demikian. Pada Oktober 1908, kira-kira lapan tahun selepas taufan melanda Galveston, beberapa nelayan di Pulau Prince Edward menemui sebuah keranda besar terapung dipukul ombak ke pantai kepulauan itu. Menurut kepingan perak yang terlekat padanya, ia adalah keranda Charles Coghlan yang hilang sekian lama. Keranda itu melakukan perjalanan beribu-ribu kilometer dari tanah perkuburan Galveston untuk tiba di tanah kelahiran Coghlan, seperti yang diramalkan tukang tilik 10 tahun sebelum itu. Sehingga kini ia kekal sebagai misteri dan menjadi salah satu daripada cerita benar paling pelik dalam sejarah.... #WTF Mumiakan Diri Demi Status.August 23, 2019What The Fact!Pada sekitar tahun 1081 sehingga 1903, terdapat satu amalan di mana sami di utara Jepun telah memumiakan diri mereka sendiri atau lebih dikenali sebagai Sokushinbutsu. Proses Sokushinbutshu ini boleh memakan masa lebih dari tiga tahun. Pada peringkat awal, sami-sami ini akan melakukan diet dan hanya memakan makanan yang berasaskan tumbuhan seperti kulit kayu, kacang dan biji benih. Mereka juga akan melakukan sebarang aktiviti yang akan membuang lemak-lemak di badan mereka. Apabila masa untuk memumiakan diri tiba, mereka akan meminum satu teh yang beracun diperbuat dari getah pokok Urushi. Ia akan mengakibatkan sami itu muntah segala isi perut dan yang paling penting, ia membunuh sebarang cacing dan bakteria yang akan menyebabkan badan mereput selepas mati. Setelah meminum racun itu, sami itu akan masuk dalam satu makam dan mengunci dirinya sendiri. Ruang di dalam makam itu hanya seluas tempat dia duduk bertakafur sahaja dan terdapat sedikit lubang udara untuk dia bernafas. Setiap hari, dia akan membunyikan loceng yang tersedia di dalam makam itu untuk memberitahu yang dia masih hidup lagi. Sehinggalah bila loceng itu tidak berbunyi, ia menandakan sami itu telah meninggal dunia. Tidak semua sami berjaya memumiakan atau mengawetkan mayatnya sendiri. Banyak mayat sami yang mereput apabila makam itu dibuka dan jika ada sami yang berjaya dalam proses Sokushinbutsu ini, dia akan diangkat status sama seperti Buddha dan dipamerkan kepada pengikut mereka. Kerajaan Jepun mengharamkan Sokushunbutsu pada akhir abad ke-19, walaupun amalan itu terus berlanjut ke ke-20.... Diupah Untuk Membunuh Diri SendiriAugust 22, 2019Kisah SeramSaya sangat menikmati pembunuhan, dan ia merupakan sifat yang saya warisi sejak zaman kanak-kanak saya lagi. Saya dibesarkan di kawasan pendalaman dan hidup bersama ayah dan adik saya. Walaupun kami berdua anak perempuannya, ayah membesarkan kami dengan cara yang agak kasar dan sering melatih kami untuk jadi pemburu. Saya ingat lagi ayah membawa saya pergi memburu seawal umur saya tiga tahun. Arnab dan tupai sering menjadi mangsa buruan saya dan saya tidak pernah anggap ia sebagai haiwan yang comel. Ketika umur saya 10 tahun, saya mula memburu rusa dan dari situ saya telah membina otot badan dan stamina yang kuat. Danna, adik saya tidak suka memburu, tapi dia pandai dalam menyembunyikan diri. Ayah agak marah dengan Danna namun dia masih juga mampu memburu haiwan yang kecil di samping pandai memancing. Hasil buruan saya dan ayah cukup untuk menampung hidup kami sekeluarga. Namun, ketika saya berumur 13 tahun, sewaktu kami sekeluarga pergi memburu, ayah saya telah diserang oleh beruang hutan dan ketika itu dia menjerit dan menyuruh saya menembak beruang itu. “Tembak cepat beruang ini bodoh!” jerit ayah saya. Peluru senapang saya hanya tinggal dua butir sahaja dan kerana saya terlalu resah ketika itu, peluru pertama tidak menepati sasaran. Tembakan kedua pula tidak memadai untuk membunuh beruang itu. Danna mencapai tangan saya dan kami berdua berlari menyelamatkan diri apabila beruang itu mula mengambil perhatian terhadap kami berdua. Ayah kami dimakan hidup-hidup oleh beruang itu namun kami tidak begitu terasa kehilangannya, mungkin kerana sudah biasa memburu dan membunuh haiwan demi kelangsungan hidup. Beruang itu juga pasti lakukan begitu demi kelangsungan hidupnya. Selepas kejadian itu, kami dua beradik telah diambil oleh keluarga angkat dan hidup dalam keluarga yang normal. Danna boleh menyesuaikan diri dan dia sangat disayangi oleh keluarga angkat kami. Saya cuba menyesuaikan diri namun sifat memburu saya masih tebal dalam diri. Saya ingin membunuh lagi. Jadi saya sering pergi memburu keseorangan setiap hari di kawasan berdekatan. Pada mulanya keluarga angkat saya mengkagumi kebolehan saya, namun lama kelamaan mereka agak risau dan tidak mengalakkan saya pergi memburu lagi. Walaupun begitu saya tetap pergi memburu dan menjual hasil buruan saya di pasar yang berdekatan. Hasil jualan itu saya kumpul dan gunakannya untuk membiayai persekolahan adik saya. Danna seorang murid yang pintar dan dia lebih memerlukan duit itu dari saya. Saya hanyalah perlukan darah yang segar untuk menghiburkan hati saya. Ketika saya sudah berumur 18 tahun, saya telah mengahwini seorang lelaki yang sangat baik dan bertanggungjawab. Dia memahami jiwa memburu saya dan hasil buruan saya itu sering dijual di kedai runcit yang dijaga oleh suami saya. Kami hidup dengan sangat bahagia sepanjang lima tahun namun malang tidak berbau apabila suami saya telah ditembak mati ketika kedai runcitnya dirompak. Saya hidup dalam keadaan jiwa yang penuh dengan kekecewaan selepas kehilangan suami tercinta. Keinginan untuk membunuh telah pergi ke aras yang lebih tinggi. Ketika itu saya tidak tahu menguruskan kedai runcit yang ditinggalkan oleh suami lalu saya meminta adik ipar menjaganya. Namun adik ipar saya seorang pemabuk dan tidak terurus. Maka lama kelamaan kedai runcit itu ditutup kerana bangkrap. Yang tinggal hanyalah rumah suami yang dia wasiatkan kepada saya. Kebolehan memburu saya masih tidak mampu menangung kehidupan saya, namun sejak saya mengenali serba sedikit pasaran gelap, saya ditawarkan untuk melakukan satu pekerjaan yang memerlukan kebolehan saya, iaitu membunuh. Namun kali ini mangsa saya bukanlah rusa atau beruang, tetapi manusia. Saya melakukan pekerjaan keji itu dan ianya agak mudah dari memburu haiwan kerana berbekalkan wajah yang jelita dan badan yang langsing, mangsa sangat mudah terjerat dengan umpan saya. Nama saya mula dikenali di dalam pasaran gelap dan kebanyakan pelanggan saya dari kalangan ahli-ahli politik dan korporat. Namun pada suatu hari saya menerima satu permintaan dari seorang lelaki yang mahu saya membunuh kakak iparnya kerana terdapat harta abangnya yang telah meninggal dunia di warisi oleh kakak iparnya. Selalunya pelanggan tidak akan mengenali wajah pembunuh yang ingin diupahnya dan saya juga tidak pernah menunjukkan wajah saya di dalam pasaran. Jadi setelah dikaji selidik tentang permintaan lelaki ini, ternyata dia merupakan adik ipar saya yang ingin membunuh kakak iparnya, iaitu SAYA!. Dia tidak mengetahui orang yang di upah itu adalah kakak iparnya sendiri. Saya ambil tugasan itu. Keesokan hari saya menjumpai Danna dan meminta tolong dia menyamar menjadi diri saya. Adik ipar saya tidak tahu saya mempunyai adik kerana saya jarang berkongsi tentang keluarga saya. Oh ya saya lupa beritahu wajah adik saya tidak tumpah seperti wajah saya. Saya meminta dia berlakon menjadi mayat dan saya mengambil gambar untuk dijadikan bukti. Setelah ‘membunuh’ diri saya, satu pertemuan telah di atur antara saya dan ‘pelanggan’ saya itu. Pertemuan ini dilakukan di sebuah bangunan usang dan jauh dari kelibat penduduk. Dia bersetuju setelah melihat ‘gambar mayat saya’ yang telah kami palsukan. Semasa hari pertemuan, adik ipar saya telah menunggu di bangunan itu dan saya pergi menemuinya. Ketika dia melihat saya, dia begitu terkejut dan kaku kerana menyangka saya sudah dibunuh. “D-D-Dora, apa yang awak buat disini? Bukankah awak sudah…” kata adik ipar saya yang tergagap-gagap. “Sudah apa? Sudah mati ke? Tak sangka awak sanggup membunuh saya demi harta suami saya yang awak sendiri yang menyebabkan kematiannya. Kerana sikap awak yang suka berjudi, awak telah banyak berhutang dengan ceti dan mereka telah merompak kedai abang awak sebagai bayarannya.” Adik ipar saya menafikannya namun riak wajahnya mengambarkan kebenaran. Dia cuba menyerang saya namun peluru senapang adik saya lebih pantas menuju ke arah jantungnya. Ketika dia sedang nyawa-nyawa ikan, wajahnya sangat terkejut apabila dia melihat ada dua wajah yang serupa sedang melihatnya. Danna terus menembak kepala adik ipar saya berkali-kali sehingga hancur dan sukar untuk membuat pengecaman nanti. “Tak sangka kemahiran menembak adik masih lagi tajam.” Kataku kepada Danna. “Haha betullah kata akak, memburu manusia lagi mudah dari memburu haiwan. Dia langsung tidak dapat mengesan adik sembunyi dari belakang tadi.” “Dan bayarannya juga lumayan. Adik tak mahu sertai kakak ke?” “Akak tahu adik tidak suka memburu. Ayah dulu sering marah adik suka bersembunyi je.” “Itulah kemahiran yang sangat diperlukan dalam pekerjaan ini. Akak tahu adik masih suka menembak lagi. Marilah, akak ada beberapa koleksi senapang yang adik belum pernah cuba lagi.” Danna hanya tersenyum sahaja. Dia memeluk tangan saya dan kami terus berjalan meninggalkan bangunan ini. Dan ketika itu dia cuba bertanya kepada saya satu soalan. “Masa ayah kena serang dengan beruang itu, tembakan pertama itu sebenarnya akak tujukan pada ayahkan?” Saya hanya tersenyum sinis. Begitu juga adik saya. Tamat.... WTF: Bahana Scam Wang PalsuAugust 21, 2019What The Fact!Chiapas, Mexico: Hanya kerana melakukan jenayah scam duit palsu, pasangan ibu dan anak perempuannya telah ditangkap dan dihukum oleh penduduk tempatan di sebuah pasar San Juan Tapachula. Semasa kejadian, dua pasangan mangsa ini telah dibogelkan dan terdapat seorang wanita sedang mengunting rambut anak perempuan mangsa tersebut. Ibu mangsa cuba menyelamatkan anaknya namun dia juga diperlakukan demikian oleh oleh seorang lelaki yang dikatakan mangsa penipuan mereka. Penduduk tempatan hanya melihat sahaja pasangan itu dihukum dan selepas beberapa minit, pasangan itu beredar dalam keadaan berbogel meninggalkan pasar berkenaan. Boleh dikatakan pasangan itu bernasib baik kerana masih mampu bernyawa di negara yang dikatakan banyak berlaku jenayah kejam sehingga polis tidak mampu menbanteras kekejaman tersebut.... Penunggu Bukit GapisAugust 21, 2019Kiriman PembacaKEJADIAN ini berlaku ketika Ramli masih bersekolah lagi tetapi setiap kali melalui jalan itu, walaupun ketika ini usianya sudah menjangkau 50 tahun, hatinya tetap berdebar-debar dan memecut laju jika memandu berseorangan di jalan menghala ke Kampung Nyalas, Melaka ketika menuruni atau mendaki Bukit Gapis. Laluan itu yang keadaannya hampir sama sejak 50 tahun lalu dengan semak samun di kiri kanan jalan dan tiada rumah orang menjadikannya sunyi sepi, apatah lagi jika melaluinya ketika senja sudah pasti menaikkan bulu roma. Sudah banyak cerita seram didengar Ramli mengenai laluan betul-betul di puncak Bukit Gapis, termasuk ada perempuan tua menunggu di tepi jalan, ada lembaga mengikuti kereta atau motosikal, malah ada cerita pontianak menumpang kereta atau bas yang kosong. Malah, heboh cerita mengenai pemandu bas, Pak Ngah Din (kini Allahyarham) dan Bok Ngam, kedua-duanya pemandu bas Chin Chook diusik lembaga perempuan ketika pulang dari Nyalas menuju ke Bukit Senggeh atau Selandar ketika bas kosong yang dipandu mereka terhenyut-henyut mendaki Bukit Gapis. Heboh satu Jasin mengenai cerita itu, dan ceritanya menjadi semakin menyeramkan apabila ditokok tambah penceritanya. Yang peliknya, ia tidak pernah diceritakan sendiri Pak Ngah Din atau Book Ngam kepada sesiapa, tetapi penemuan hantu itu sudah tersebar luas. Ramli ketika kejadian sudah menetap di sebuah Felda di Pahang bersama keluarganya tetapi mengetahui cerita mengenai ‘kerasnya’ laluan di Bukit Gapis. Setiap dua bulan sekali dia akan balik ke kampungnya di Jalan Lama untuk meninjau ibu bapanya yang sudah tua, selain mengunjungi bapa mentuanya di Air Barok yang selalu sakit. Ramli ketika di kampung tidak seaktif di Felda. Dengan sedikit pengetahuan agama, ditambah dengan kenakalannya ketika muda suka mencari ilmu pendinding daripada gangguan makhluk halus, dia disegani di Felda kerana memiliki kebolehan berubat, sekali gus dilantik menjadi imam di kariahnya. Banyak kes gangguan makhluk halus berjaya ditanganinya, apatah lagi kawasan penempatannya di Felda baru saja dibuka yang satu ketika dulu kawasan yang diduduki mereka hutan tebal yang pastinya menjadi kediaman pelbagai makhluk halus, termasuk hantu, pontianak, polong. Entah apa yang difikirkan Ramli pada hari itu, tiba-tiba saja dia teringatkan kampung di Jalan Lama dan hatinya melonjak-lonjak mahu balik, padahal ketika itu jam sudah menunjukkan 12 tengah hari. “Yusop, ikut aku balik kampung,” desak Ramli ketika sedang minum bersama Yusof, rakan sebloknya di kedai kopi Maah. Yusof bukan sekadar jiran sebelah rumah, malah dia juga berasal dari Melaka, menyebabkan kedua-duanya agak rapat. “Hari dah tengah hari ini, perjalanan kita ambil masa enam jam… bukan dekat dari Jengka nak ke Melaka,” kata Yusof seolah-olah membantah hasrat kawan baiknya itu. Tanpa sebarang jawapan, Ramli bingkas bangun dan menghidupkan enjin motosikalnya sambil berkata: “Aku tunggu kau jam 2 petang, bersiap ajelah.” Mereka bertolak menaiki kereta Ramli selepas solat Zuhur dan berhenti beberapa kali untuk merehatkan otot sambil minum kopi, kononnya supaya mata tidak mengantuk. Perjalanan dari Temerloh merentasi Kemayan, Serting, Bahau sehingga ke Air Kuning benar-benar memenatkan. Sebaik memasuki Nyalas, muka Ramli kelihatan ceria tetapi sentiasa melihat jam tangannya. “Kenapa dengan kau ni, dari tadi aku tengok asyik tengok jam. Ada sesiapa tunggu kau ke di kampung. Setengah jam lagi kita sampailah,” kata Yusof. Ketika itu jam sudah menunjukkan 7.30 petang. Sebaik kereta mereka menghampiri Bukit Gapis dan terhenyut-henjut mendakinya, Ramli sudah merasai sesuatu dan bulu romanya tegak berdiri tetapi dia hanya mendiamkan diri. Sebaik sampai di puncak bukit, enjinnya mati tanpa sebab. Yusof yang mungkin tidak tahu di situlah Bukit Gapis tiba-tiba merungut. “Dah nak sampai mulalah nak buat hal,” katanya yang meminta Ramli menolak kereta itu sambil dia memulas stereng. “Beratnya kereta ni… kau tolak ke tidak,” kata Yusof dengan nada merungut. Ketika menolak kereta itu ke tepi, Ramli sudah nampak kelibat wanita berambut panjang di tempat duduk belakang keretanya, sedangkan mereka berdua saja ketika itu. “Yusof…kita hisap rokok dulu, tunggu enjin sejuk, lepas tu oklah kereta ni,” kata Ramli yang mahu menyembunyikan perkara itu daripada rakannya bagi mengelakkannya takut. Hampir 10 minit mereka berhenti, namun tiada satu pun kenderaan melalui kawasan itu. Ramli mati akal bagaimana mahu mengatasinya. Jika sebelum ini dia hanya mendengar cerita, kini dia mengalami sendiri. Puas dia membaca pelbagai ayat al-Quran yang diketahuinya, namun penumpang tidak diundang itu tetap enggan pergi. Akhirnya dia membuka pintu kiri penumpang belakang kereta dan berbisik perlahan-lahan yang bunyinya seperti memujuk seseorang. Dari jauh, Yusof memerhatikan kelakuan Ramli yang dilihatnya agak aneh tetapi tidak mengganggunya. Kali ini dia melihat Ramli membuka pintu sebelah kanan pula seolah-olah mengajak seseorang turun dari kereta itu. Tiba-tiba Ramli dengan suara tinggi meminta Yusof menghidupkan kereta. “Enjin dah sejuk tu, bolehlah kita jalan,” katanya yang kelihatan seolah-olah mahu Yusof segera pergi dari situ. “Apahal dengan kau ni,” bentaknya sambil segera menghidupkan enjin dan pergi dari situ. “Kalau aku cerita sekarang, gerenti kau tak boleh bawa kereta. Nanti sampai di kampung, aku beritahu,” kata Ramli yang sekejap-sekejap menoleh ke belakang dan mengintai melalui cermin. Malam itu, Yusof tahu cerita sebenar dan menyumpah Ramli kerana tidak memberitahunya di situlah Bukit Gapis. Itulah kali pertama dan terakhir Ramli melihat lembaga di situ kerana sejak itu dia akan memastikan hanya melalui jalan itu sebelum senja dan selepas Maghrib. Penulis: Azhar Abu Samah... Hantu Raya Kesayangan Pak YimAugust 19, 2019Kiriman PembacaKEJADIAN ini berlaku ketika bulan puasa menghampiri dan selain bersiap sedia untuk memulakan ibadat puasa, umat Islam turut mengambil kesempatan mengumpul rezeki dengan berniaga di bazar Ramadan. Tidak ketinggalan Abidin yang berhasrat menjual air soya berhampiran rumahnya. Bagi tujuan itu dia membersihkan tanah terbiar berhampiran rumah di Butterworth untuk dijadikan tempat berniaga. Di sebelah kawasan itu, tinggal seorang warga emas yang sudah kematian isteri. Rumah usang yang diduduki warga emas itu mengundang seram sesiapa yang memandang terutama pada waktu malam kerana sudah diketahui satu kampung dia membela hantu raya. Warga emas yang digelar orang kampung Pak Yim itu juga sudah nyanyuk dan kadang-kadang kelihatan berbogel berjalan mengelilingi rumahnya. Makan minumnya dijaga jiran yang bersimpati dengan Pak Yim. Abidin memang kenal benar dengan Pak Yim kerana dia pernah mengunjungi orang tua itu meminta dia menunjukkan makhluk peliharaannya. Dengan berpura-pura ingin menuntut ilmu sesat itu, dia berjaya memperdayakan Pak Yim memperlihatkan ketujuh-tujuh makhluk berkenaan. “Mulanya, ia datang dalam bentuk kucing yang besar. Lebih kurang sebesar anjing sebanyak tujuh ekor.” Tidak berpuas hati, saya minta dia tunjuk dalam bentuk sebenar makhluk itu. Kemudian, muncul tujuh ekor ular yang besar. “Saya merayu dia menunjukkan rupa sebenar.” Tidak lama selepas itu saya nampak lembaga yang besar dan hitam dengan mata merah menyala. Menyedari niat saya dan rakan hanya mahu melihat makhluk itu, bukan untuk menuntut ilmu, Pak Yim menghalau kami. “Saya pernah bertanya mengapa dia tidak membuang makhluk itu kerana dia sudah tua. Namun katanya dia sayang,” kata Abidin. Abidin tidak berasa risau membersihkan semak samun di sebelah rumah Pak Yim kerana tahu tanah itu bukan kepunyaan orang tua berkenaan. Makhluk peliharaan Pak Yim cuma menjaga harta bendanya saja. Hampir separuh hari berhempas pulas, Abidin tersenyum lega melihat tanah sekangkang kera itu sudah bersih. Kini dia cuma membilang hari memulakan perniagaan air soya. Malam itu, Abidin ke rumah rakannya untuk membincangkan perniagaan mereka. Perbincangan yang disangka cuma sekejap rupanya mengambil masa panjang. Selepas jam 12 tengah malam Abidin akhirnya meminta diri untuk pulang. Dia sedikit pun tidak berasa takut menaiki motosikal untuk balik ke rumah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah rakannya. Dia sudah biasa balik ke rumah pada waktu dinihari. Bagaimanapun, sebaik melintas kawasan baru dibersihkannya petang tadi, motosikalnya tiba-tiba berat dan enjinnya mati. “Kenapa pula motosikal ini tiba-tiba buat hal. Tadi elok saja. Minyak habiskah atau tayar pancit?” Abidin menyoal diri sendiri tanpa mengesyaki sebarang perkara lain. Sedang asyik tertanya sendiri, dia tiba-tiba terpandang cermin sisi dan ketika itu semangat lelakinya sedikit tercabar. Daripada cermin itu, dia ternampak ada makhluk duduk membonceng di belakang dengan siung yang panjangnya kira-kira sejengkal. Ketika itu, Abidin hanya mampu membaca ayat suci al-Quran dan bersungguh-sungguh menghidupkan motosikalnya. Hanya selepas melepasi kawasan itu, barulah motosikalnya kembali bergerak laju. Abidin tidak menoleh ke belakang lagi. Dia terus memecut sehingga sampai di rumah. Abidin tidak terus masuk, sebaliknya untuk beberapa minit dia terus berada di motosikalnya untuk mengumpul semula kekuatan. Berikutan itu, hasratnya untuk berniaga pada bulan puasa dibatalkan. Beliau bukan yang pertama diusik makhluk peliharaan Pak Yim kerana sebelum itu ada beberapa orang pernah diganggu tetapi tidak sampai menunjukkan rupa seperti yang berlaku kepadanya. Seorang rakan abang Abidin pernah dimarah ayahnya kerana disangka ingin berjenaka apabila memberitahu tidak boleh mengangkat kereta sorong berisi tanah yang tidak seberat mana. Mereka sedang membersihkan kawasan berhampiran rumah Pak Yim apabila Haikal memberitahu ayahnya kereta sorong berisi tanah itu amat berat. Ayahnya menyangka dia bergurau. Tiba-tiba Pak Yim datang dan berkata: ‘Jangan kacau mereka’, barulah kereta sorong itu boleh digerakkan. Rupa-rupanya Pak Yim datang memarahi makhluk peliharaan yang duduk di dalam kereta tolak itu,” kata Abidin. ... Kisah Seram: Pertama Kali Melihat Wajah PontianakAugust 5, 2019Kiriman PembacaAZIMAH dan Zaki adalah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun. Mereka menetap di sebuah taman perumahan di Padang Serai di utara tanah air. Memandangkan suaminya bekerja mengikut syif, Azimah dan anak perempuan mereka menumpang di rumah ibu mentuanya yang terletak agak jauh daripada kediaman mereka setiap kali Zaki terpaksa bekerja syif malam. Untuk pulang ke rumah, mereka terpaksa menempuhi perjalanan melalui kebun kelapa sawit yang agak luas. Sudah pasti, keadaan sememangnya menyeramkan terutama pada waktu malam ketika kenderaan amat kurang dan lampu jalan yang cuma samar-samar. Kebiasaan melalui kawasan sebegitu pada waktu malam membuatkan Azimah dan Zaki tidak berasa takut dan belum pernah berdepan sebarang masalah, termasuk gangguan makhluk halus biarpun diingatkan rakan-rakan yang pernah menjadi mangsa gangguan berkenaan. Namun, kekebalan pasangan ini terlerai juga apabila pada satu malam, ketenangan meredah kepekatan malam itu mengundang episod mencemaskan buat mereka sehingga terpaksa mengambil cuti sakit akibat demam. Malam itu, seperti biasa, Zaki menjemput anak dan isterinya selepas tamat syif. Perjalanan biasa menjadi sebaliknya apabila anak mereka yang tidur di tempat duduk belakang, kelihatan agak gelisah. “Kenapa dengan Adila ni? Selalunya tak ada masalah. Hairan juga…,” kata Azimah dalam hati yang agak hairan dengan Adila yang merengek. Belum pun sempat memusing ke belakang, tiba-tiba Zaki berkata, “Awak jangan pandang belakang. Biarkan saja Adila,” kata Zaki. Anehnya, semakin dia ingin menoleh ke belakang, semakin tegas Zaki melarangnya. Lumrah manusia, lagi dilarang lagi ketara rasa ingin tahu, Azimah lantas berpaling ke belakang kerana enggan meneruskan pertengkaran selain memujuk Adila tanpa mempedulikan apakah sebenarnya di sebalik larangan Zaki itu. Hakikatnya, tanpa disedari Azimah, Zaki sebenarnya sudah ternampak kelibat makhluk lain di bonet belakang, menerusi cermin pandang belakang. Disebabkan tidak mahu Azimah ketakutan, Zaki melarang isterinya menoleh. Ibarat skrip filem, sebaik Azimah menoleh, makhluk berkenaan hilang dan menjelma betul-betul di depan Zaki yang berusaha memandu kereta dalam keadaan terketar-ketar. Apalagi, terkumat-kamit mulut Zaki membawa ayat Kursi sambil tangannya terus mengemudi stereng dan kaki memijak pedal minyak sambil cuba bertahan sedaya mampu. Zaki sedar, jika dia panik, ia hanya mengundang nahas buat mereka. Anehnya, kenderaan itu semakin perlahan. Seolah-olah ingin mempermainkan mereka suami isteri, makhluk berkenaan sekali lagi menghilang dan muncul di bonet belakang sebaik Azimah berpaling semula ke depan. Azimah yang tidak tahu hujung pangkal, pula merungut kerana kereta mereka seolah-olah terlalu berat untuk bergerak walaupun jelas Zaki menekan minyak. Pada masa sama, dia berasakan kelainan yang ketara pada malam itu. Kesunyiannya berbeza daripada malam sebelumnya dan sesekali Azimah berasa seram sejuk. Namun perasaan itu dipendamkan kerana tidak ingin mengganggu tumpuan Zaki yang sedang memandu walaupun menyedari tingkah laku suaminya agak berlainan pada malam itu. Sementara itu, bagi menghilangkan rasa takut dan memulihkan semangat, Zaki meminta Azimah mencapai cakera padat bacaan Yaasin yang sememangnya berada di ruang simpanan barangan. Azimah yang semakin hairan dengan sikap Zaki cuba bertanya tetapi akhirnya kembali diam selepas dilihat Zaki langsung tidak mengendahkannya dan sebaliknya semakin kerap melihat cermin pandang belakang. Zaki memberanikan diri membuka sedikit cermin kereta dengan tujuan alunan ayat suci itu dapat berkumandang sehingga ke luar kereta dan menghindari makhluk halus itu daripada terus mengganggu perjalanan mereka sekeluarga. Harapannya tersasar kerana makhluk berkenaan masih melayang-layang terbang mengekori kenderaan mereka. Azimah yang masih tidak menyedari apa yang berlaku, mula cuak apabila merasai sesuatu seperti rambut mengenai mukanya daripada cermin tingkap yang dibuka sedikit. Cuma dia sedikit hairan kerana tahu rambut anak perempuannya tidak sepanjang itu sehingga boleh mengenai mukanya. Dalam Azimah melayan rasa peliknya tiba-tiba Zaki menekan brek mengejut dan jelas pada pengetahuan mereka berdua, Zaki terlanggar sesuatu. Azimah yang panik menggesa Zaki keluar melihat apa yang dilanggarnya tetapi Zaki berkeras enggan berbuat demikian dan mengatakan dia sebenarnya tidak melanggar apa-apa. Pertengkaran mereka terhenti sendiri apabila tiba-tiba satu lembaga mengerikan dengan rambut panjang mengerbang, muncul dari depan kereta dan terus melayang sambil mengilai. Azimah yang terkejut bercampur takut terus menjerit sebaik makhluk berkenaan menunjukkan dirinya yang sebenar sedangkan Zaki berusaha menenangkan diri. Ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi hafalan sejak kecil terus dibaca walaupun ada ketika agak lintang pukang bacaannya. Agak lama makhluk itu mengganggu mereka sebelum terbang menghilangkan diri ke dalam kebun kelapa sawit di tengah kepekatan malam. Menceritakan kisah seram itu, Azimah berkata dia nampak makhluk itu cukup menakutkan sebaliknya Zaki pula memberitahu makhluk itu kelihatan cantik. “Saya pun hairan sebab anehnya, saya nampak pontianak itu dengan wajah yang menakutkan, berambut panjang mengerbang. Tetapi suami sebaliknya nampak wanita cantik,” kata Azimah. Apa yang pasti, sejak kejadian itu, andai Zaki bekerja syif malam, mereka sekeluarga akan tidur di rumah ibunya kerana tidak berani lagi melalui kawasan sama pada waktu malam dan ‘ditemani’ makhluk halus.... Dilari Oleh BunianJuly 11, 2019Kiriman PembacaSeiring dengan kejadian manusia, turut diciptakan Allah ialah akal bagi membezakan mereka dengan makhluk lain. Akal juga sepatutnya menjadi pendinding kepada tindak tanduk yang memudaratkan diri dalam menghadapi segala bentuk dugaan kerana janji Allah setiap ujian itu didatangkan untuk menguji keimanan. Allah juga tidak akan menurunkan dugaan yang melampaui kemampuan manusia tetapi jika namanya makhluk lemah ujian yang sedikit pun dipandang berat. Lebih-lebih lagi jika ujian yang menimpa sukar diterima akal. Mungkin kedengarannya pelik tetapi itulah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada seorang wanita yang sehingga kini terus merindui anak yang dikandung selama sembilan bulan tetapi hilang sejurus dilahirkan. Kisahnya memang tidak logik mengikut hukum alam tetapi apabila yang turut terbabit dalam mencorakkan cerita berkenaan ialah makhluk bunian yang memang wujud dalam dunia ini, kesahihannya tidak boleh dinafikan begitu saja. Wanita digelar Mak Teh yang kini melewati usia senja masih ingat peristiwa itu dengan sejelas-jelasnya. “Mak Teh bersyukur sangat selepas disahkan mengandung. Maklumlah sudah agak lama berkahwin. Kegembiraan Mak Teh dan suami usah dikira. Tidak sabar rasanya menantikan kelahiran anak sulung kami,” katanya ketika mengimbas kembali peristiwa berpuluh tahun lalu yang sehingga kini masih sukar difahami. Tidak sukar menyelami kegembiraan yang dirasakan Mak Teh bakal menimang anak sendiri. Kandungannya dijaga dengan penuh hati-hati, malah temujanji dengan jururawat tidak pernah diabaikan. “Apa saja petua demi memastikan kandungan sihat, asalkan tidak melanggar syarak, Mak Teh ikut. Semuanya bagi memastikan bayi dalam kandungan membesar dengan sempurna,” katanya sambil mengelap air mata yang membasahi pipi tuanya. Penantian Mak Teh tiba di penghujung pada satu petang Khamis. Sakit yang dialami di sekitar pinggang dan perut tidak pernah dialami sebelum ini. Namun kesakitan itu masih tidak dapat menandingi kebahagiaan yang menyelubungi Mak Teh dan suami. Mereka bakal menimang anak sendiri. Biar perit menahan sakit, Mak Teh tidak kisah kerana keinginan memeluk anak sendiri lebih mengujakan. Entah mengapa Mak Teh memilih untuk melahirkan anak di rumah. Jururawat tidak membantah kerana Mak Teh tidak mempunyai masalah sepanjang mengandung. Kesihatan juga baik. Jadi, tiada masalah untuk melahirkan anak di rumah. Persiapan sudah dilakukan. Dari petang membawa ke senja, sakit Mak Teh semakin berat. Mak Teh sudah pun berada dalam bilik yang sudah dikemas untuk tujuan itu. Jururawat turut menemani Mak Teh di dalam bilik itu. Ketika itulah terjadi satu kejadian yang tidak dapat Mak Teh lupakan sehingga kini. “Kejadian yang meruntun emosi dan fikiran Mak Teh sehingga sekarang. Mak Teh tidak pernah letih memikirkan mengapa itu terjadi kepada Mak Teh,” katanya. Mak Teh berkata, menjelang Maghrib malam Jumaat itu, Mak Teh tiba-tiba terbau haruman yang begitu menyegarkan. Haruman yang tidak pernah dihidu sebelum ini. Mak Teh bertanya kepada jururawat yang menemani sama ada dia tercium bauan itu. Soalan Mak Teh tidak berjawab kerana rupa-rupanya dia tertidur. Rasa marah terbit juga kerana dalam keadaan Mak Teh yang semakin sakit hendak melahirkan anak, jururawat tertidur. Dalam keadaan menahan sakit dan marah itulah Mak Teh seolah-olah berada di satu alam lain. Mak Teh dapat rasakan berada dalam keadaan antara sedar dan tidak. Mak Teh masih ingat dengan jelas beberapa wanita separuh umur berpakaian serba putih melangkah masuk ke dalam bilik. Mak Teh ingin bertanya siapa mereka kerana memang Mak Teh tidak mengenali mereka. Tetapi mulut Mak Teh bagaikan terkunci. Langsung tidak boleh bersuara. “Percaya atau tidak, dalam keadaan itu Mak Teh selamat melahirkan bayi lelaki dengan kumpulan wanita asing itu menjadi bidan,” katanya. Mak Teh terus bercerita bagaimana dia melihat sendiri mereka mengerat tali pusat, memandikan dan membalut tubuh bayinya. Kumpulan wanita asing itu turut menunjukkan bayi itu kepadanya. Malah Mak Teh sempat menyusukan bayi lelaki yang dilahirkan dalam keadaan serba tidak masuk akal itu. Saat kumpulan berkenaan membawa bayinya keluar, Mak Teh cuba menghalang. Sayangnya Mak Teh terus kaku tidak dapat berbuat apa-apa. Cuma air mata yang mengalir mengiringi pemergian anak yang amat dirindui selama ini. Sejurus kumpulan wanita berkenaan hilang jururawat tiba-tiba tersedar dan panik apabila melihat Mak Teh sudah selamat melahirkan anak tetapi bayinya tiada. Dia bertanya kepada Mak Teh apa yang berlaku kerana perlu membuat laporan kepada pihak hospital tetapi Mak Teh sendiri kebingungan. Mak Teh masih ingat bagaimana jururawat berkenaan seperti hilang punca. Beberapa kali dia berkata kepada diri sendiri: “Macam mana aku nak buat laporan kepada hospital? Pesakit sudah bersalin tetapi bayi tiada.” Dia juga hairan mengapa dia boleh tertidur. Jururawat berkenaan bertanya Mak Teh apa yang berlaku tetap Mak Teh cuma boleh menceritakan apa yang berlaku ketika dalam keadaan sedar dan tidak. Mak Teh jadi seperti orang hilang akal selepas peristiwa itu. Namun setiap malam Jumaat, anak Mak Teh akan dibawa berjumpa Mak Teh dan menyusukan bayi itu. Cuma pada waktu itulah Mak Teh berkesempatan menemui anak Mak Teh. Itu pun berlaku seolah-olah dalam mimpi tetapi dapat rasakan dia menyusu, katanya. Keadaan itu berlanjutan sehingga anak lelakinya itu berusia 12 tahun dan sehingga sekarang Mak Teh tidak pernah lagi bertemu dengan anaknya yang dibawa orang bunian memasuki alam mereka. Mak Teh juga tidak pernah mengandung lagi dan mengambil beberapa anak angkat sebagai penyeri rumah tangga. Memang cerita Mak Teh sukar dipercayai logik akal. Mungkin ada yang mencebik bibir tetapi kuasa Allah sudah membuktikan tiada apa yang mustahil dalam dunia ini dengan kehendak-Nya. Bagi Mak Teh dan beberapa wanita lain yang berkongsi cerita dan kesedihan sama, cuma kesabaran dan keimanan yang menguatkan mereka untuk terus cekal berdepan ujian perit itu. Penulis: Hazirah Che Sab... Renungan PocongJuly 10, 2019Kiriman PembacaTINGGAL bersendirian di sebuah pangsapuri di Serdang tidak pernah menjadi masalah kepada Balqis yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Walaupun sesekali timbul rasa bimbang kerana blok pangsapurinya dihuni ramai warga asing, Balqis masih boleh bertahan kerana mereka tidak menunjukkan tindak tanduk kurang disenangi. Apatah lagi kemudahan yang disediakan agak memuaskan, selain sewanya berpatutan dan mempunyai kemudahan lebuh raya untuk ke pusat bandar walaupun agak jauh. Bukan tidak pernah cerita seram yang diceritakan rakan yang tinggal di kawasan pangsapuri sama singgah di telinganya tetapi Balqis lebih senang duduk sendiri. Baginya, lebih mudah bersendirian daripada berkongsi rumah dengan orang yang belum dikenali hati budinya. Satu ketika heboh penghuni pangsapuri bercerita mengenai jelmaan pocong yang dilihat berlegar di lif blok bersebelahan blok yang dihuni Balqis. Beberapa penghuni yang balik jauh malam terserempak dengan makhluk itu yang melompat-lompat di sekitar blok. Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan penghuni dan harta benda turut menceritakan kisah sama tetapi bagi Balqis ia sekadar satu cerita yang kesahihannya masih boleh dipertikaikan. Bukan bertujuan bercakap besar tetapi sudah menjadi darah daging Balqis mempercayai apa yang disampaikan selepas mengalaminya sendiri. Entah mengapa satu malam Balqis sukar tidur. Puas dia bergolek di katil memujuk dirinya supaya lena kerana ingin bangun awal keesokannya untuk kerja tetapi matanya tetap berdegil. Bagi melayan mata yang tidak mahu pejam, Balqis membaca buku sementara menanti dia betul-betul mengantuk. Lampu dibiarkan terpasang kerana membaca buku. Akhirnya Balqis terlelap dengan lampu biliknya terpasang dan buku menutup mukanya. Balqis tiba-tiba tersedar kerana berasa seperti diperhatikan orang. Perlahan dia mengangkat buku yang menutup mukanya dan Balqis benar-benar terkejut kerana ada yang memerhatikannya tetapi bukan orang, sebaliknya ia adalah makhluk yang pernah menjadi sumber bualan penghuni di pangsapuri itu. Balqis terkedu di katil melihat makhluk yang berdiri betul-betul di hujung katil. Dalam cahaya lampu yang terang Balqis dapat melihat kain putih yang membaluti tubuh makhluk itu dikotori tanah dan wajah berwarna hijau dengan dahi berkedut dan mata yang terjegil. Wajah makhluk itu juga dikotori tanah. Dia tidak bergerak. Tubuhnya kaku di katil sambil membalas renungan makhluk itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Ayat Quran yang dibaca lintang pukang lantaran terlalu terkejut dan takut. Jika orang lain berdepan keadaan itu mungkin sudah tidak sedarkan diri tetapi berlainan dengan Balqis. Selama hampir tiga jam dia sekadar berbalas pandang dengan pocong yang entah dari mana datangnya. Anehnya Balqis tidak dapat mengalih mata ke arah lain seolah-olah dipaksa untuk melihat makhluk di depannya. Seperti ia hadir, makhluk itu juga hilang secara tiba-tiba apabila azan kedengaran menandakan masuknya waktu Subuh. Sehingga kini pengalaman itu masih belum hilang daripada ingatan. Apabila ada saja rakan yang membuka cerita mengenai makhluk halus, Balqis tidak lupa menceritakan pengalaman ngeri yang dialaminya. Namun kini Balqis agak lega selepas adik perempuannya turut menghuni pangsapuri sama tetapi Balqis berpesan kepada rakan-rakan supaya kisah itu tidak diceritakan kepada adiknya yang lebih penakut. Ketika ditanya sama ada dia tidak takut, Balqis berkata: “Memang takut sangat-sangat tetapi dalam keadaan itu apa yang saya boleh buat. Kaku dan tidak boleh bergerak. Tetapi dalam hati sempat juga saya berkata, ‘Dari manalah engkau datang?’. Harap-harap ia tidak berulang.” Penulis: Hazirah Che Sab...