Perampas

Aku berkerja sebagai penghantar makanan untuk sebuah aplikasi Ambil Food (bukan nama sebenar) dan sering menjalankan tugas di sekitar ibukota.

Pada suatu petang aku mengambil tugas menghantar makanan yang ditempah oleh seorang pekerja di sebuah pejabat ibukota. Ketika sampai di lokasi, aku terus memasuki bangunan yang agak usang dan mengambil lif untuk naik ke tingkat 5. Bangunan itu mempunyai ketinggian sehingga 7 tingkat.

Ketika di dalam lif, tiba-tiba pintu lif terbuka di tingkat 4. Tiada sesiapa di luar yang ingin masuk dan aku menekan semula butang tutup. Namun setelah ditekan beberapa kali, pintu tidak ditutup. Lif tidak berfungsi.

Kecewa dengan keadaan itu, aku terus keluar untuk mencari tangga. Ketika berjalan melalui koridor, aku mendapati banyak lot-lot pejabat yang kosong. Apakah bangunan ini sudah tidak laku? Fikiran aku dalam hati.

Sambil berjalan menuju ke tangga aku mendapati banyak vandalism dan contengan berlaku di sekitar koridor itu. Malah terdapat banyak kertas-kertas azimat berbahasa cina ditampal dan berselerak di situ.  

‘YB ** MENINDAS KAMI!’ INI ADALAH SATU KEZALIMAN!’

‘KAMI MAHUKAN PENGADILAN!’

‘DARAH DIBAYAR DENGAN DARAH!’

Itu adalah sebahagian contengan sepanjang dinding koridor. Adakah pernah berlaku satu bantahan atau rusuhan di bangunan ini? Kenapa pula kertas-kertas azimat ini ditampal sepanjang koridor ini?

Aku terus menaiki tangga dan menuju ke pejabat pelangganku. Butang loceng di tekan dan terdapat seorang gadis berbangsa cina menyambutku.

“Haiya kenapa lambat sangat? Bukan you sudah lama sampai ka?” kata gadis cina itu sambil mengambil makanan yang ditempahnya.

“Sorry amoi, saya terkandas tadi. Itu lif tiba-tiba rosak kat tingkat 4 dan saya kena naik tangga pula.” 

“Hah tingkat 4 ka? Aiyo situ tempat banyak suey lah. Nasib baik you selamat sampai atas ni.”

“Hah apa sudah jadi itu tempat? Macam baru lepas kena ambush ja?”

Riak wajah gadis cina itu terus berubah bila aku bertanya soalan itu.

“Kalau you nak tahu, tempat tu pernah orang buat rusuhan. Sebab ada seorang gadis bunuh diri kat tingkat 4 tu. Tapi kata orang gadis itu bunuh diri sebab di ugut oleh seorang bos company di tingkat 4 tu.” Kata gadis cina itu.

“Hah dia di ugut pasal apa? Tanyaku.

“Dia di ugut jangan kantoikan relationship dia dengan bos itu. Gadis tu perempuan simpanannya dan dia telah mengandungkan anak bos itu. Bos itu baru je kahwin dengan perempuan lain seminggu sebelum kejadian bunuh diri tu.”

“Alah macam drama melayu sangat.”

“Tapi diorang ni cina lor..”

“Owh yeke. Ingat benda ni berlaku dalam bangsa Melayu je. Haha.”

“Haha so family gadis itu buat rusuhan sebab mahukan keadilan. Tapi mereka kalah bila kes ni di bawa kat court.”

“Owh begitu. Tapi kenapa tingkat 4 tu kosong langsung?”

“Sudah berhantu maaa. Orang asyik kena kacau je kat tingkat 4 tu. So ramai pejabat yang pindah tempat lain. Dulu company kami pun tinggal kat tingkat 4 tu. Tahun lepas baru pindah atas ni.”

Aku mula teruja mendengar kisah daripada gadis cina itu. “Apa yang selalu korang kena kacau tu?” tanyaku.

“Biasalah selalu dengar bunyi perempuan menangis. Malam-malam ternampak kelibat gadis itu. Ada pekerja yang kena histeria.”

“Owh begitu. Kamu tak takutkah kerja di bangunan ni lagi?”

“Tokey bangunan ni dah ‘pagar’ tingkat 4 tu. So okeylah lagipun sewa sudah murah maa… haha.”

“Haha patutlah. Mula-mula saya ingat ada kes hutang dengan along sebab ada tulisan bahasa cina yang diconteng kat dinding tu. Tulisan tu macam baru lagi sebab tak kering lagi catnya.”

Tiba-tiba gadis cina itu terkejut.

“Hah tulisan cina? Apa dia tulis?”

“Manalah saya tau. Saya Melayu maa.. Jawi pun terkial-kial baca apatah lagi tulisan cina.”

“Mana-mana? Tunjuk sama saya!”

Lantas gadis itu keluar dan menyuruh aku membawanya ke tampat lukisan itu. Mengapa dia begitu terkejut pun aku tak tahu.

Setelah sampai ke tingkat 4 dan menunjukan contengan tulisan cina itu, reaksi gadis cina itu mula berubah dan dia menjadi agresif. Dia menjerit kemarahan dalam bahasa cina yang aku tidak faham langsung. Aku cuba bertanya maksud tulisan itu namun dia tidak mengendahkan langsung. 

Tiba-tiba gadis cina itu mengambil serpihan batu di lantai dan mengores-gores tulisan cina itu. Melihat keadaan itu aku terus beredar kerana dia sudah hilang kawalan dan aku tidak mampu berbuat apa lagi.

Malam mula melewati dirinya.

Aku terus merebahkan badanku di katil sambil melayan mesej dengan kekasihku. Tiba-tiba ada orang mengetuk pintu rumah flatku. Lantas aku bangun dan pergi ke ruang tamu.

Setelah pintu dibuka, aku mendapati terdapat dua pengawai polis dan seorang detektif berdiri di situ. Mereka mengajak aku pergi ke suatu tempat kerana mahu menyoal siasat aku tentang satu kejadian maut yang baru berlaku maghrib tadi. Mereka kata makanan yang dihantar oleh aku mengandungi racun.

Setelah sampai di lokasi kejadian, aku dibawa ke bangunan yang mempunyai tingkat 4 yang ‘berhantu’ itu. Mereka terus membawa aku ke tingkat 4 dan menunjukkan mangsa yang maut itu.

Alangkah terkejutnya aku mangsa yang maut itu adalah gadis cina yang aku jumpanya petang tadi. Polis terus menyiasat aku dan aku berjaya menyakinkan mereka aku tidak terlibat dalam jenayah ini dan tiada motif aku untuk membunuhnya.

Bagaimanapun aku memberitahu kepada detektif itu tentang kejadian aneh yang berlaku kepada gadis dan tulisan cina di dinding itu. Detektif itu dapat membaca tulisan itu dan berkata ia bermotifkan dendam.

Dia juga berkata gadis cina ini dimusuhi oleh keluarga mangsa bunuh diri yang pernah berlaku di tingkat 4 ini. Dipercayai gadis cina ini telah berkahwin dengan seorang pemilik syarikat di tingkat 4 ini dan menyebabkan kekasih lama pemilik syarikat itu kecewa dan membunuh diri.

Keluarga mangsa itu menyalahkan gadis cina itu kerana dialah penyebab anak mereka membunuh diri.

Aku mula syak makanan yang aku hantar itu telah diracuni oleh ahli keluarga mangsa bunuh diri itu. Pihak polis masih belum boleh buat pengesahan dan memerlukan aku untuk menyiasat siapa dalang dalam meletakkan racun.

Namun, detektif itu memberitahu kepadaku bahawa gadis cina ini tidak menyentuh langsung makanan yang beracun itu. Terus aku berasa aneh dan bertanya apakah punca kematiannya?

Detektif itu hanya mengeleng kepala seperti tidak tahu puncanya. Cuma dia memberitahu aku apakah maksud sebenarnya tulisan cina itu.

Dia berkata “Aku akan jumpa kamu di neraka sekarang!”

Aku dan detektif berpandang sesama sendiri seakan kami faham apa yang sedang berlaku.

Tamat

Penulis: Syahir

Share It!
  • 527
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply