Penanggal

1958.
Dari jauh kelihatan dua beranak ibu dan anak sedang melintasi jambatan kayu di pinggir kampung. Jambatan itu sudah berzaman menjadi alat penghubung buat penduduk-penduduk kampung dengan pekan. Dengan adanya jambatan kayu itu mudahlah urusan orang kampung untuk membeli barang-barang di pekan. Malam itu, Rohayu dan anak sulungnya Jamil terpaksa keluar ke pekan untuk membeli barang dapur yang kehabisan. Esok pagi-pagi, suami tercintanya yang bekerja sebagai tentera pulang, jadi dia mahu masak yang enak-enak untuk suaminya.

Rohayu yang sedang bunting 6 bulan sanggup bersusah payah mengayuh basikal untuk ke pekan sambil ditemani anaknya yang membonceng di belakang. Malam semakin gelap, bulan tidak mengambang seperti selalu. Jamil memeluk erat tubuh ibunya sambil menikmati permandangan malam. Malam itu sungguh dingin sekali.

“Kreekk… Krekkk…”

Pedal basikal memainkan irama saat dikayuh.

Tiba-tiba..

“Ibu, benda bulat apa yang bercahaya di dalam hutan sana bu?”

Jantung Rohayu berdebar-debar, dia menoleh ke kiri untuk seketika. Ekor matanya menangkap cahaya bulat yang sedang terbang terawang-awangan. Rohayu terkejut, dia terus melajukan kayuhannya. Malam yang sunyi dua beranak ini rupanya mempunyai ‘teman’ yang mengekori. Rohayu nampak terketar-ketar memegang pemegang basikal, pada masa yang sama dia cuba menenangkan Jamil.

“Tak ada apalah tu nak. Mungkin itu lampu dari rumah orang. Sudah, peluk ibu kuat-kuat.”

Basikal tuanya dikayuh laju, bergegar jambatan kayu ini saat basikal yang dinaiki Rohayu dan anaknya melintas melaluinya. Peluh dingin sudah membasahi dahi Rohayu. Dia tak mahu anaknya nampak dia dalam keadaan cemas. Harap-harap cahaya bulat tadi tidak mengekorinya. Rohayu terpaksa menipu Jamil tentang cahaya itu.

“Jamil, peluk ibu kuat-kuat nak. Kita lagi sikit dah nak sampai rumah ni.”

“Iya bu. Tapi kenapa cahaya putih itu macam mengekori kita bu?”

Rohayu semakin resah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Jamil. Sudahlah di laluan ini tiada rumah, hanya hutan belantara yang ada. Jika ada bolehlah dia tumpang singgah dahulu.

“Jamil. Ibu nak Jamil peluk ibu kuat-kuat dan tutup mata! Jangan pandang ke belakang walaupun sekali!”

Jamil hanya menuruti arahan ibunya. Dia tahu ibunya resah dan geliah. Aura cemas memang benar-benar dapat dirasai sekarang. Ibunya tidak pernah mengayuh basikal selaju ini. Ini mesti ada kaitan dengan cahaya bulat yang berada di belakang mereka ketika ini. Laluan kecil yang di kiri dan kanannya kebun getah diredah dengan bantuan lampu dinamo di basikal. Lampunya agak terang memandangkan Rohayu mengayuh dengan laju.

Di pertengahan jalan kebun getah.

“Ibuuuu!”

“Selipar Jamil terjatuhhh!”

Rohayu tersentak. Dia jadi serba salah, dilema buatnya. Selipar baru yang dihadiahkan oleh bapa mertuanya kepada cucunya Jamil telah terjatuh di pertengahan kebun getah. Jamil amat suka dan sayang akan selipar tersebut. Walaupun dalam keadaan cemas, Rohayu terpaksa berhenti mengayuh dan turun. Semuanya demi untuk mengambil selipar Jamil yang tercicir.

“Jamil tunggu sini, jangan ke mana-mana! ibu pergi ambil selipar Jamil.”

Jamil teresak-esak menangis. Bukan kerana seliparnya terjatuh, tetapi kerana melihat ibunya sanggup bersusah payah berhenti dan berlari ke tempat selipar Jamil jatuh tadi. Perut Rohayu yang semakin membusung bukanlah jadi penghalang buatnya untuk berlari. Malam semakin larut. Jamil ketakutan melihat di kiri dan kanannya gelap gelita. Pokok getah semuanya tinggi-tinggi.

“Ibuuu! Cepat, Jamil takut!!”

Dia melihat ibunya berlari laju ke arahnya. Tangannya memegang selipar Jamil yang terciri tadi. Termengah-mengah membawa kandungan di dalam perut. Jamil menarik nafas lega. Setelah mendudukkan Jamil di belakang, Rohayu terus mengayuh. Kayuhannya lebih laju daripada tadi. Jamil semakin risau melihat keadaan ibunya yang sangat cemas. Sepanjang perjalanan ibunya diam membisu sehinggalah sampai di rumah.

Pintu kayu ditutup rapat, selak besi dipasang di belakang pintu. Tingkap ruang tamu, tingkap dapur semuanya ditutup dikunci. Rohayu tak sangka yang dia akhirnya dinampakkan juga dengan ‘benda’ tersebut sewaktu dia mengambil selipar Jamil tadi. Dia terlihat kelibat hitam berbentuk kepala yang sedang terapung-apung di atas jambatan kayu yang dia lalui tadi. Wajahnya tak nampak, ditutupi samar malam. Rohayu tahu cahaya putih di dalam hutan tadi adalah penanggal seperti yang dilihatnya tadi.

………………………………..

“Nek Salmah, hari ini kalau nenek tak sibuk datanglah ke rumah saya ya. Rohayu tu, asyik mengadu kakinya lenguh-lenguh.”

“Makin kerap ke jadinya? Tak apalah Mus, itu dah jadi tugas nenek, kamu jangan risau. Nenek akan datang nanti. Kamu tu kenalah jugak tengok-tengokkan bini kamu tu. Jaga kesihatannya, dah tak lama dah tu nak beranak.”

Mustapa lega hati mendengar jawapan oleh Nek Salmah. Antara bidan yang selalu di cari-cari di kampungnya. Nek Salmah sebenarnya baru sahaja pindah ke kampung ini sejak kematiannya suaminya. Dulu Nek Salmah tinggal di kampung seberang sungai sana, oleh sebab dia mempunyai tanah pusaka di sini, jadi dia membuat keputusan berpindah ke sini.

Mujur cuti mustapa lama lagi. Menjadi sebagai anggota tentera memang membuatkan Mustapa sentiasa sibuk dan agak jarang berada di rumah. Dikesempatan cuti lama ini masanya akan dihabiskan di sini bersama anak isteri tecinta.

“Datang tau nek. Saya tunggu. Kesian tengok Rohayu macam sakit macam tu.”

“Pesan pada Rohayu jaga diri tu elok-elok. Ini tidak, semalam nenek nampak dia mengayuh basikal malam-malam dengan anak laki kamu tu.”

Mus berasa pelik. Macam mana Nek Salmah tahu yang Rohayu keluar mengayuh basikal malam tadi. Setahunya rumah Nek Salmah jauh nun di pinggir kampung sana, lagipun sudah lewat malam, mana mungkin Nek Salmah akan keluar rumah.

………………………………….

Malam seperti yang dinanti, Nek Salmah datang ke rumah Mustafa untuk mengurut Rohayu. Wanita megandung ni kenalah diberi perhatian selalu, ujar Nek Salmah. Bermacam-macam petua dia berikan pada Rohayu. Rohayu hanya mengangguk faham. Lega rasanya bila dapat diurut begini, kurang sedikit lemah lenguh sengal di tubuh. Tetapi Rohayu dan Mus berasa sedikit pelik apabila melihat tingkah laku dan reaksi muka Nek Salmah ketika mengurutnya. Nek Salmah sentiasa mengecap bibirnya seperti sedang lapar atau dahagakan sesuatu.

Malam semakin melabuhkan tirainya. Nek Salmah juga nampaknya sudah selesai dengan tugasnya mengurut Rohayu.

“Nek, ni ada sedikit buah tangan daripada kami. Ambillah.” Mus menghulurkan dua biji buah nenas yang sedang elok masak kepada Nek Salmah.

“Eh, tak apa Mus. Tak payah susah-susah. Nenek tak makan buah nenas, nenek ada alahan.” Jawab Nek Salmah yang seperti kelam kabut menguis selipar di anak tangga mahu terus meminta diri.

Mus lantas berasa pelik melihat tingkah laku Nek Salmah. Apa bahaya sangatkah buah ini sampaikan Nek Salmah menolaknya sungguh-sungguh. Lagipun buah nenas ini Mus tanam sendiri di belakang rumah. Mus terus berasa prasangka pada Nek Salmah.

……………………………

Bulan berganti bulan. Kandungan Rohayu semakin lama semakin besar, bulan ini bila-bila masa sahaja dia boleh bersalin. Oleh kerana tugas Mus yang masih belum selesai di kem tentera, Mus meminta adik perempuannya tinggal sementara di rumah bagi menjaga isterinya, Rohayu. Bimbang kalau-kalau jadi apa-apa padanya. Sekurang-kurangnya dengan ketiadaan Mus ini adiknya ada untuk menengkok-nengokkan Rohayu.

Namun dalam pada masa yang sama, kedengaran berita-berita yang tidak enak di halwa telinga penduduk kampung. Berita yang cukup menggemparkan semua penduduk. Antaranya kejadian mayat yang ditinggalkan dimakan oleh hantu, kejadian wanita bersalin meninggal akibat tumpah darah, kejadian bayi yang baru dilahirkan hilang, dan bermacam-macam lagi. Ini belum masuk lagi bab orang-orang kampung ternampak kelibat kepala terbang di malam hari.

Semua kejadian-kejadian ini sangat merisaukan Rohayu yang sedang menanti saat untuk melahirkan anak keduanya. Rohayu langsung tidak keluar rumah demi menjaga kandungannya. Rohayu tahu kejadian-kejadian yang berlaku adalah akibat angkara hantu penanggal yang sedang aktif berlegar-legar dikampungnya. Ia dikatakan gemar memakan mayat dan menghisap darah wanita yang sedang bersalin. Ada masanya ia akan memakan sekali uri atau bayi yang baru lahir.

Minggu lepas, telah berlaku kejadian yang menyayat hati di kampung seberang. Wanita yang sedang bersalin di malam hari meninggal dunia akibat pertumpahan darah yang banyak. Ini semua berlaku disebabkan angkara penanggal yang nampaknya seperti sudah bersiap sedia menanti hari dan waktu untuk ‘menjamu selera’ di rumah mangsa. Bayinya yang baru lahir juga turut dibawa curi. Kejadian lebih menyayat hati apabila orang-orang kampung terjumpa tali pusat dan beberapa bahagian tubuh bayi yang sudah diratah di kebun getah.

Berdasarkan apa yang Rohayu dengar, si penanggal ini menghisap darah wanita yang sedang bersalin yang menitis dari celah lantai di bawah rumah. Dalam sesetengah keadaan, dikatakan ia akan menjulurkan lidahnya yang panjang melalui celah lantai rumah. Ada juga orang-orang yang mengatakan ternampak si penanggal terbang dan datang masuk melalui bumbung rumah. Bagi kes mayat yang dimakan dan dicuri pula, penanggal akan menggantikan mayat tersebut dengan batang pisang. Begitu jahat dan syaitannya si penanggal ini tidak dapat disangkal lagi.

Semua orang kampung mengetahui akan hal ini dan percaya bahawa asal-usul penanggal ini ialah daripada manusia biasa. Manusia biasa yang menuntut ILMU HITAM. Di sebabkan itulah dia boleh menjelma kepada sedemikian rupa. Tidak ada ilmu lainkah yang hendak dituntut selain daripada ilmu ini? ia ibarat membuat perjanjian dengan syaitan. Dia harus tahu bahawa tidak masuk syurga untuk orang-orang yang syirik kepada Allah seperti ini.

………………………………

Rohayu mengerang kesakitan saat sedang berjalan menaiki tangga dapur. Kakinya mengigil-gigil menahan kesakitan. Darah sudah meleleh di betisnya. Dia rasa hari ini ataupun lebih tepat, malam ini dia bakal melahirkan anak keduanya. Ros adik kepada suaminya kelam-kabut membantu Rohayu yang sudah terjeleuk di tangga dapur. Perlahan-lahan dipimpin naik ke ruang tamu rumah. Segala persediaan semuanya sudah disediakan oleh Ros.

Sebenarnya daripada siang tadi Ros sudah pun memanggil bidan untuk datang ke rumah, persediaan awal baginya penting kerana bila-bila masa sahaja saat kelahiran itu bakal tiba. Ros pada awalnya mahu memanggil Nek Salmah, kerana selama ini dia yang menguruskan hal-hal kesihatan Rohayu, tetapi malangnya Nek Salmah tiada di rumah setelah berkali-kali pintu rumahnya diketuk. Entah hilang kemana tak pula diketahui. Mujur ada bidan lain yang dikenali sebagai Nek Yatimah ini sudi datang membantu.

Rohayu sudah berpeluh-peluh menahan perit, Ros menenangkan kakak iparnya ini sementara bidan terjun, Nek Yatimah menguruskan apa yang patut. Jamil awal-awal lagi sudah dihantar ke rumah nenek dan datuknya. Ini kerana Rohayu tak mahu Jamil terlibat dan turut menimpa akibat buruk jika ‘kejadian’ tersebut berlaku malam ini.

Segalanya nampak kelam-kabut, Rohayu sudah mengerang-ngerang tak tahan mahu bersalin. Di dalam suasana yang mencemaskan, Ros terdengar sesuatu yang agak menyeramkan.

“Nek, tu bunyi apa tu nekk….? Bu..bunyi.. macam perempuan menghilai… Bunyinya perlahan dan sayup-sayup!” Ros merenung tajam muka Nek Yatimah.

“Aku dah agak, si syaitan tu mesti akan datang. Tak guna!” Nek Yatimah geram

Ros, terkebil-kebil. Dia tak tahu menahu langsung pasal hal ini. Ros memandang sayu muka kakak iparnya yang sedang bertungkus lumus menahan kesakitan. Hilai ketawa yang dia dengar itu bunyinya agak sayup-sayup dan perlahan. Namun Ros teringat kata-kata orang tua, jika terdengar bunyi hilaian yang kuat bunyinya, ini bermaksud ‘si dia’ berada di kawasan yang jauh, tetapi jika terdengar bunyi hilaian yang bunyinya perlahan dan sayup-sayup maksudnya ‘si dia’ memang berada dikawasan berdekatan.

“Sudah Ros, usah pedulikan bunyi tu. Kita kena selesaikan urusan kita ni segera!” Kata Nek Yatimah dengan wajah cemas.

Ros sebenarnya mahu memberitahu yang dia ternampak cahaya putih terbang di tepi tingkap rumah, tetapi dibatalkan sahaja niat itu demi tidak mahu kak Rohayu merasa bimbang. Bunyi hilai tawa terus kedengaran, Nek Yatimah berusaha bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya untuk menyambut kelahiaran bayi yang dinanti. Moga semuanya selamat.

“Aaaaaaarrghhh, astaghfirullaaaaaahhhhhh!!!”

Ros melompat dan menjerit ketakutan. Dia ternampak bayang-bayang mata di celah lantai rumah! Nek Yatimah juga terkejut tetapi dia tidak mahu hilang fokus untuk menyambut bayi yang semakin nampak kepalanya. Beberapa teranan lagi bayi tersebut bakal keluar. Ros diarahkan suoaya menutup semua pintu dan tingkap yang ada.

Namun tidak semena-mena Ros terdengar bunyi dentuman dari bawah lantai yang juga diiringi bunyi meraung. Ia bagai meraung akibat kesakitan yang amat sangat. Ketika Ros mahu menutup tingkap yang terakhir, Ros ternampak kelibat bayang-bayang kepala sedang terbang laju melintas di hadapannya. Ia terus terbang menuju ke hutan.

Ros serta-merta kembali kepada kak Rohayu. Dan seorang bayi perempuan selamat dilahirkan di pangkuan Nek Yatimah. Wajahnya comel, ada iras Jamil. Kak Rohayu juga selamat dalam kepenatan. Alhamdulillah, mujur semuanya selamat dan tiada apa-apa yang terjadi. Ros bertanyakan kejadian menakutkan yang terjadi sebentar tadi. Nek Yatimah mengatakan benda tadi itu adalah penanggal yang mahu menghisap darah dan memakan bayi yang baru lahir ini. Tetapi entah mengapa, penanggal tadi meraung kesakitan dan pulang kembali.

Esoknya seluruh kampung gempar dengan berita Nek Salmah ditemui mati dengan kesan luka yang banyak di bahagian tubuh dan leher. Perutnya terburai seolah-olah terbakar, lehernya pula ada kesan seperti hendak putus.

………………………………………

4 Bulan sebelum itu

Mus memanggil empat orang sahabat baiknya duduk bermesyuarat di rumahnya.

“Kasim, Meon, Bahar, Hamid. Aku nak kamu semua bantu aku dalam hal ini. Kampung kita sebenarnya ada seseorang yang telah menuntut ilmu hitam dan dia berupaya menjadi menjelma menjadi penanggal. Berdasarkan pemerhatian aku, aku macam dah dapat tahu siapa orangnya. Jika betul lah firasat aku ni, aku nak kamu semua tolong aku. Isteri aku Rohayu, lagi beberapa bulan mahu melahirkan anak. Keselamatan dia betul-betul dalam bahaya sekarang. Kamu semua tahu kan apa yang hantu penanggal ini benar-benar gemarkan?”

“Betul ke ni Mus? Kalau betul kau nak kami semua bantu kau apa?”

“Buat masa ini aku dah tanam pokok nanas dibawah rumah aku ni untuk persediaan awal. Sikit bulan lagi membesar lah tu. Penanggal amat takut pada benda-benda tajam. Dengan harapan isi-isi perutnya akan tersangkut dan terkoyak pada duri tajam di daun nanas jika dia cuba menyusup masuk ke bawah rumah aku nanti.Tapi untuk bahagian kamu semua, aku nak kamu semua berempat tolong aku bila tiba masanya isteri aku melahirkan anak nanti..”

“Apa dia tu Mus?” Keempat-empat mereka menjawab serentak

“Pada hari isteri aku melahirkan anak nanti, aku nak kamu semua pergi ke rumah Nek Salmah dan tabur serpihan kaca di bahagian dalam lehernya yang terputus. Nanti jika dia pulang mahu menyambung kepala dengan badannya, serpihan-serpihan kaca tadi akan merosakkan isi-isi perutnya yang terburai”

#kisahseram #seram #penselstudio

penselstudio2016©allrightsreserved

Share It!
  • 579
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply