Pelaris.

Setelah membeli barang-barang untuk memasak ayam masak kicap, Jamal atau dikenali oleh rakan-rakan serumahnya sebagai Bulat pulang berjalan kaki dari pasaraya menuju ke rumah sewanya. Sebentar lagi dia mahu memasak lauk kegemarannya itu sebagai makan malam. Memang begitulah rutin harian Jamal dalam kehidupannya yang sedang melanjutkan pengajian di universiti tempatan.

Jamal menyewa di sebuah rumah pangsapuri bersama tiga rakannya yang juga melanjutkan pengajian di fakulti yang sama, cuma mereka berempat berlainan kelas. Di antara mereka berempat, Jamal merupakan seorang yang suka menyendiri dan tidak suka bergaul. Jamal jarang keluar makan bersama-sama dengan rakan serumahnya apabila dipelawa kerana baginya dia lagi suka memasak sendiri dan jarang berkongsi makanan yang dimasaknya itu.

Ketika Jamal sudah sampai ke rumah sewanya, kelihatan tiga rakan serumahnya sedang bersiap-siap mahu keluar.

“Hei Bulat, kami nak keluar makan, kau nak ikut tak?” Kata Hafiz kepada Jamal.

“Tak mengapalah, malam ni aku nak masak.” Jawab Jamal.

“Nak masak ayam masak kicaplah tu.” Kata Muaz.

“Kau ni Bulat, asyik masak lauk yang sama je hari-hari. Tak muak ke? Patut badan kau makin bulat.” Perli si Haikal.

“Eh suka hati aku lah nak masak apa. Bukan pakai duit kamu semua.” Kata Jamal dengan nada yang tinggi.

Jamal terus masuk ke dapur untuk menyediakan bahan-bahan masakan yang dibelinya tadi. Hafiz, Muaz dan Haikal sudah masak dengan perangai Jamal yang agak menjengkelkan, namun oleh kerana dia merupakan penyewa terbesar di rumah sewa ini, mereka hanya layankan sahaja perangainya asalkan mereka dapat menyewa di rumah ini dengan kadar yang lebih murah dari Jamal.

Di rumah sewa ini terdapat dua bilik dan Jamal menyewa di bilik utama yang lebih besar dari bilik kedua yang di sewa oleh Muaz dan Haikal. Hafiz hanya menumpang di ruang tamu dan hanya bertilamkan sofa ketika mahu tidur.

Jamal membuka peti ais miliknya untuk mengambil ayam beku. Kebanyakan barang di dalam peti ais itu adalah milik Jamal kerana hanya dia seorang sahaja yang memasak di dalam rumah itu. Jamal pantang jika ada rakan serumah mengambil barangnya di dalam peti ais itu tanpa izinnya. Oleh itu, rakan serumah Jamal jarang mengunakan peti aisnya kerana jengkel dengan sifat kedekut Jamal

Ketika rakan serumah Jamal mahu keluar pergi makan, tiba-tiba Jamal menjerit.

“Woi siapa yang ambil ayam yang aku beli ni!”

Rakan-rakan Jamal terkejut mendengar jeritan Jamal yang seperti budak kecil kehilangan alat mainan.

“Siapa pula nak ambil ayam kau Bulat. Ingat kitorang ni reti masak ke?” Jawab Haikal.

“Habis tu siapa pula yang ambil. Kan aku dah kata kalau nak ambil apa-apa dalam peti ais aku ni, bagitahu lah dulu!” jerit Jamal.

“Eh kami pun tak ingin nak ambil apa-apa dari peti ais kau tu Bulat. Kau tu kedekut mengalahkan Haji Bakhil. Haha.” Ketawa Muaz.

“Kalau bukan kamu semua, siapa pula nak ambil ayam aku!”

“Mungkin kau lupa ayam kau dah habis ke. Cuba ingat balik. Kau tu kalau makan, seekor ayam pun tak cukup. Haha.” Perli si Hafiz.

“Eh aku ingat lagi semalam ada lagi dua ketul peha kat tempat beku ni. Kamu semua jangan nak sorok ayam aku.” Tegas Jamal.

“Dahlah Bulat. Kalau nak layan kau ni sampai esok pun tak habis. Jomlah ikut kami makan kat bawah ni,” pelawa Haikal.

“Betul tu, kau tu jarang nak makan dengan kami semua. Malam ni Muaz belanja kau. Haha.” Kata Hafiz.

“Eh aku pula kena. Tapi tak apalah boleh saja. Dah jom Bulat aku belanja kau makan malam ni.” Pelawa Muaz.

Jamal agak berat nak ikut rakan serumahnya namun dia tidak mahu menolak tawaran Muaz. Mereka berempat turun dari pangsapuri dan terus menuju ke kedai makan Mek Manja yang tidak berapa jauh dan sering dikunjungi oleh para pelajar kerana harganya yang berpatutan.

Beberapa ketika kemudian, mereka menjamah makanan yang telah dipesan dan berborak sesama mereka. Jamal sering mengkritik makanan yang dimasak di kedai makan Mek Manja dan tidak berpuas hati dengan apa yang dimakannya. Jamal berasa masakan dia lagi sedap dan bagus dari masakan di kedai itu.

Rakan-rakan Jamal sudah biasa dengan perangai busuk hati si Jamal itu dan hanya melayankan sahaja.
“Kau ni Bulat, orang dah belanja makan pun kau masih banyak songeh. Makan je lah.” Kata Muaz yang agak geram dengan Jamal.

“Dah memang tak sedap, aku kritik sajalah. Takkan tak boleh?” Soal Jamal.

“Nak kritik pun tengoklah tempatnya juga. Sini bukannya five star restaurant yang kau nak kritik macam-macam. Nak sedap makan pergi makan kat hotellah.” Sindir Hafiz.

“Janganlah marah dia Hafiz, si Bulat ni tengah bersedih lagi ayamnya hilang. Haha!” usik Haikal.

Mereka bertiga ketawa kecuali Jamal apabila Haikal mengusiknya. Jamal memang geram apabila memikirkan di manakah ayamnya sudah hilang.

“Tapi memang betul semalam aku ingat lagi ada dua ketul peha ayam ada kat tempat beku tu. Macam mana boleh hilang pula?” soal Jamal.

“Entah-entah hantu tikus yang ambil ayam kau kot Bulat.” Balas Muaz.

Muaz dipandang oleh ketiga-tiga rakannya dengan pandangan yang pelik. Kata-kata Muaz itu menarik perhatian mereka bertiga.

“Hantu tikus apa pula ni Muaz? Tak pernah aku dengar.” Kata Hafiz sambil disetujui oleh Haikal dan Jamal.

“Korang tak pernah dengar ke pasal hantu tikus ni? Pernah popular dulu dekat kawasan ni. Baiklah mari aku bercerita dekat korang.”

Hafiz, Haikal dan Muaz memasang telinga dan bersedia untuk mendengar cerita dari Muaz. Boleh dikatakan mereka semua memang berminat dengan kisah-kisah mistik ini terutama sekali Jamal.

“Korang semua mesti pernah dengar pasal pelaris kedai makan.” Muaz memulakan cerita. Mereka bertiga angguk dan masih memasang telinga.

“Bagi aku setiap kedai makan kat Malaysia ni mesti pemiliknya memakai pelaris. Namun ada pelaris yang elok dan tidak elok. Pelaris yang elok selalunya menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran sambil berdoa kepada Allah. Manakala pelaris yang tidak elok selalunya menggunakan bantuan jin dan syaitan.”

“Ya selalunya pelaris yang tak elok ni, kalau sesiapa yang boleh nampak dia dapat lihat jin tu menjilat-jilat pinggan atau makanan kat kedai itu.” Haikal mencelah cerita Muaz.

“Ya betul. Tapi hantu tikus ni kes yang pelik sikit. Dulu ada sebuah kedai makan Melayu yang baru buka dekat deret hujung jalan itu. Masa itu memang ramai pelanggan datang. Ramai ustaz-ustaz kata kedai makan itu pakai pelaris yang sangat kotor. Ustaz itu kata pemilik itu pakai pelaris hantu tikus.”

“Apa beza pelaris hantu tikus itu dengan pelaris yang lain?” Hafiz mencelah.

“Beza pelaris hantu tikus ini ialah pemilik ‘melariskan’ jualan kedai makannya dengan menggunakan darah tikus untuk dijadikan bahan masakan mereka. Apabila pelanggan datang dan mula makan di situ, selera makan mereka akan menjadi tinggi dan deria rasa mereka akan jadi seperti tikus.”

“Deria rasa mereka jadi macam tikus? Apa maksudnya?” Tanya Jamal. Haikal dan Hafiz juga memberi reaksi pelik di wajah mereka.

“Selalukan tikus mencari makanan dekat kawasan kotor seperti tong sampah. Jadi mangsa yang terkena pelaris hantu tikus ni jika dibagi sampah pun mereka sanggup makan. Pemilik itu akan bagi ‘sampah’nya dalam makanan mereka dan sesiapa yang terkena akan sentiasa datang untuk mengambil ‘sampah’ itu.”

Haikal dan Hafiz terpegun mendengar cerita daripada Muaz itu. Namun reaksi muka Jamal seperti dia masih tidak faham akan cerita Muaz itu.

“Jadi apa kena mengena dengan ayam aku yang hilang itu?” Soal Jamal. Haikal dan Hafiz pun mengangguk ingin mengetahui kaitannya dengan ayam Jamal.

“Aku belum habis cerita lagi. Kedai makan itu tidak dapat bertahan lama apabila kegiatan pemiliknya diketahui oleh orang awam. Namun pemilik itu tidak ditangkap oleh pihak berkuasa kerana kekurangan bukti. Ramai yang tidak berpuas hati dan menyebabkan pemilik itu terpaksa menyembunyikan diri akibat diugut bunuh. Sampai sekarang pemilik itu tidak dijumpai kerana dipercayai dia telah disumpah menjadi tikus yang hidupnya akan memakan sampah di jalanan.”

“Jadi maksud kau, hantu tikus itu adalah pemilik yang disumpah menjadi tikus?” Soal Jamal.

“Ya dan dikatakan hantu tikus itu masih mundar mandir di kawasan ini.” Jawab Muaz.

“So apa kena mengena dengan ayam aku yang hilang tu?”

“Mungkin sebab masakan kau rasa macam sampah, dia ingat ayam kau tu pun sampah juga. HAHAHA!” ejek si Muaz.

Haikal, Hafiz dan Muaz tidak dapat menahan gelak apabila Muaz memerli Jamal dengan agak kasar. Jamal tidak dapat menahan marahnya dan memaki Muaz bertubi-tubi namun Muaz hanya memekakkan telinga sahaja. Bagi mereka bertiga ianya satu kepuasan apabila dapat mengenakan Jamal kerana mereka memang tidak gemar dengan perangai Jamal yang sentiasa menjengkelkan mereka.

Jamal terus mengangkat kaki meninggalkan mereka bertiga di kedai makan itu dengan perasaan yang begitu marah. Mereka bertiga tidak menghiraukan Jamal dan terus melepak di situ.

“Kau tak rasa kurang ajar ke kenakan si Bulat tu?” Tanya Hafiz kepada Muaz.

“Biarlah baru puas hati aku. Dah lama aku simpan dendam dengan dia. Perangai serupa macam khinzir. Dia ingat dia bagus sangat kat rumah tu.” Jawab Muaz.

“Anak orang kaya memang macam tu lah. Aku pun pernah kena dengan dia. Hari itu aku nak pinjam duit sikit sebab check gaji aku tak clear lagi, dia hina aku macam peminta sedekah pula.” Celah Haikal.

“Haha kau tak fikir aku lagi, dulu aku pernah makan lauk dia sikit, dia marah dekat aku sampai berbulan-bulan dia ungkit. Ada juga manusia perangai kedekut macam tu.” Hafiz menambah lagi kutukan terhadap Jamal.

“Eeeuu. Kau makan masakan sampah tu. Kau kena samak usus kau tu. HAHAHA!” Mereka ketawa berjemaah.

Jamal menghempaskan pintu masuk rumahnya dengan sekuat hati. Dia terus masuk ke dalam bilik dan menghempaskan barang-barang di atas meja belajarnya. Dia rasakan perbuatan rakan serumahnya sudah melampaui batas. Selepas itu dia baring ke atas katilnya dan airmatanya mula jatuh berguguran seperti kanak-kanak bersedih akibat dibuli.

Haikal, Hafiz dan Muaz masih melepak di kedai makan kerana mereka malas nak menghadap Jamal yang sedang berada di rumah. Mereka hanya menunggu waktu Jamal sudah masuk tidur.

“Kau rasa si Bulat tu tidur pukul berapa?” Tanya Hafiz.

“Macam biasalah pukul 11pm dia dah tidur. Kita lepak dulu kat sini. Malas aku nak tengok muka dia.” Jawab Muaz.

“Haha betul tu. Tapi kan Muaz, betul ke cerita kau tadi pasal hantu tikus tu?” Tanya Haikal.

“Itu khabar angin je. Mungkin benar dan mungkin tidak. Tapi aku perasan sejak kedai makan itu ditutup, banyak kedai-kedai lain yang ambil alih premis itu tidak akan bertahan lama. Dengarnya banyak kes barang-barang hilang.” Kata Muaz.

“Mungkin premis itu dah jadi tempat tinggal hantu tikus tu. Dia nak balas dendam sebab kedai makan dia ditutup.” Celah Haikal.

Hafiz dan Muaz mengangguk setuju dengan kata Haikal.

Beberapa jam kemudian, Jamal yang dari tadi tidak henti merengek terdengar bunyi sesuatu dari arah dapur. Pada mulanya Jamal fikir mungkin rakan-rakannya sudah balik dari kedai makan, namun dia tidak mendengar apa-apa suara dari mereka. Jamal mengintai dari balik pintu untuk melihat di luar namun tidak bayang sesiapa.

Sekali lagi Jamal terdengar bunyi sesuatu dari dapur. Seperti pintu peti aisnya dibuka oleh seseorang. Jamal mula berasa ada sesuatu tidak kena.

“Woi kamu semua ambil apa dekat peti ais aku!”

Tiada siapa yang menyahut pertanyaan Jamal. Kali ini Jamal terpaksa keluar dari biliknya untuk melihat apa yang terjadi di dapur itu. Hati Jamal agak risau jika terdapat pencuri sedang pecah masuk ke rumahnya. Sebelum Jamal keluar, dia mengambil batang penyapu di biliknya sebagai langkah berjaga-jaga.

Perlahan-lahan Jamal keluar dari bilik dan menuju ke dapur sambil mengangkat batang penyapu. Semakin Jamal mendekati dapur itu, dia terdengar bunyi yang dia pernah dengar sebelum ini.

“Ci ci ci…”

“Eh macam bunyi tikus je.” Kata Jamal dalam hati.

Jamal memegang kuat batang penyapu dan menyorok di balik dinding. Dia tiba-tiba teringat akan kisah pelaris hantu tikus dari Muaz tadi.

“Takkan hantu tikus tu kisah benar?”

Jamal mengintai dari balik dinding itu. Dia melihat pintu peti aisnya terbuka. Namun dia tidak nampak sesiapa berada di dalam dapur itu. Tiba-tiba satu air tin terjatuh dari dalam peti ais itu. Jamal dengar ada bunyi benda bergerak di dalam peti ais. Jamal bergerak perlahan menuju ke peti ais itu dan mengacukan batang penyapunya dan menolak pintu peti ais tersebut.

Ketika pintu itu ditolak, terdapat seekor tikus keluar dari peti ais tersebut.

“Tikus rupanya. Berani kau selongkar peti ais aku!”

Tikus itu duduk di hadapan peti ais itu sambil mengigit sebungkus plastic yang berisi bebola coklat. Jamal marah apabila melihat tikus itu cuba memakan makanannya. Ketika tikus itu asyik memakan bebola coklat itu, Jamal menghayunkan batang penyapu ke arah tikus itu dan menyebabkan tikus itu terpelanting ke arah dinding.

“Bodoh punya tikus! Kau ingat makanan aku tu sampah ke!” marah Jamal sambil teringat akan ejek Muaz kepadanya sebelum ini.

Tikus itu jadi tidak bermaya. Jamal terus menghayunkan lagi pukulan kepada tikus itu dengan batang penyapu untuk membunuhnya. Tikus itu membuat bunyi menjerit seperti dia meraung kesakitan. Ketika dia memukul tikus itu, dia terdengar terdapat bunyi tikus menjerit dari arah yang tidak diketahui. Bunyi itu makin lama makin kuat dan makin banyak.

Dikatakan tikus mampu merasai perasaan kesakitan yang dialami oleh tikus lain dan mereka akan mengeluarkan suara yang nyaring seperti dapat merasakan perasaan kesakitan itu.

“Bunyi apa yang bising tu?” kata Jamal dalam hati.

Lantai dapur itu mula bergegar seperti ada gempa bumi kecil dan Jamal merasakan terdapat ada sesuatu yang datang karat dapurnya itu. Tiba-tiba sekumpulan tikus yang bank datang dari setiap lubang yang ada di dapur itu dan menyerbu Jamal.

“Ish mana datang tikus banyak-banyak ni! Tolong! Tolong!” Jamal menjerit ketakutan.

Namun Jamal seperti tidak mampu berbuat apa kerana tikus-tikus itu mula menyerang Jamal dan mengigit setiap tubuh Jamal. Kesakitan yang dialami Jamal tidak dapat dibayangkan sehingga dia tidak mampu menjerit kerana mulutnya diratah oleh tikus-tikus itu. Sebelum Jamal menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia dapat melihat satu lembaga yang terbentuk dari sekumpulan tikus-tikus itu sedang memerhati dia seperti dia memberi arahan kepada tikus-tikus lain untuk menyerangnya.

Setelah malam menjadi semakin lewat, Hafiz, Haikal dan Muaz pulang ke rumah sewa mereka itu. Mereka mendapati bilik Jamal kosong dan keadaan rumah agak berbau busuk.

“Kenapa ada bau busuk di rumah ini?” Kata Hafiz.
“Ada sampah tak buang ke? Kejab aku pergi check.” Kata Muaz samba peri ke dapur.

Muaz melihat keadaan dapur agak bersepah. Dia memeriksa bakul sampah namun hanyalah ada sampah-sampah yang kering. Mereka bertiga mula ganjil dan cuba mencari dari mana datang bau busuk yang aneh itu. Tiba-tiba Muaz mula mengesan bau itu makin kuat apabila dia mendekati peti ais di dapur itu.

“Bau dia macam datang dari dalam peti ais ni lah.” kata Muaz.
“Bukalah tengok. Jamal tak ada kat rumah ni so tak perlu risau dia nak membebel nanti.” kata Haikal

Apabila mendengar kata Haikal itu, dia perlahan-lahan membuka pintu peti ais itu. Selepas dia membukanya, Muaz menjerit terkejut kerana dia mendapati kepala Jamal berada di dalam peti ais itu dengan wajahnya yang penuh luka dan kulitnya seperti disiat-siat sehingga menampakan tengkoraknya.

Dan tiba-tiba kepala Jamal bergerak dentam sendirinya sehingga terjatuh di lantai. Mereka bertiga begitu terkejut melihat kepala Jamal mais bergerak-gerak lagi.

Akhirnya terdapat seekor tikus kecil keluar dari mulut Jamal sambil membawa cebisan otak yang diratahnya.

Tamat.

Penulis: Syahir

Share It!
  • 273
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply