Panggilan Kecemasan

“Hello, ini talian polis ke?”
“Selamat malam cik. Ya ini talian balai polis Subang Jaya. Boleh saya bantu?”
“Saya perlukan bantuan. Terdapat seorang lelaki aneh di luar rumah saya.”
“Siapa nama cik? Di mana cik berada sekarang?
“Nama saya Diana. Saya berada di ruang tamu.”
“Di mana rumah cik Diana berada?”
“Rumah saya di Jalan 19/36 Petaling Jaya.”
“Okay, cik boleh beritahu apa yang telah berlaku?’

“Terdapat seorang lelaki berada di luar pagar rumah saya. Dia sudah bunuh kucing saya!”
“Ok cik bawa bertenang. Kami akan menghantar pegawai kami untuk melakukan rondaan di alamat cik.”
“Terima kasih. Tolong cepat sikit!”
“Adakah cik berseorang di rumah?”
“Ya saya berseorangan.”

“Cik masih boleh nampak lelaki itu?”
“Ya, saya boleh lihat lelaki itu melalui lubang kunci pintu rumah. Dia hanya berdiri sambil memadang ke arah pintu rumah saya.”
“Cik kenal lelaki itu?”
“Tidak. Saya tidak pernah nampak dia.”
“Boleh cik terangkan rupa luaran dia?”

“Dia tinggi, kurus, rambut panjang… Mukanya selalu senyum sahaja.”
“Pakaian apa yang dipakainya?”
“Dia pakai baju pejabat, berkemeja dan bertali leher.
“Apa yang dia masih lakukan sekarang?”
“Dia masih lagi berdiri di luar pagar rumah saya dan… Ya Allah!”
“Mengapa cik? Apa yang telah berlaku?”

“Dia mula mengerat leher kucing saya! Dia kerat menggunakan pisau!”
“Cik jangan lakukan apa-apa dan jangan matikan talian ini.”
“Oh tidak! Dia melambai tangan ke arah saya sambil memegang kepala kucing saya… Tolong encik datang ke rumah saya cepat!”
“Pegawai kami masih dalam perjalanan. Mereka akan sampai dalam beberapa minit lagi. Cik perlu bawa bertenang.”

“Ah! Dia mula ketuk pintu rumah saya!”
“Cik perlu jauhi pintu itu. Adakah semua pintu dan tingkap sudah berkunci?”
“Ya saya dah kunci semuanya… Eh tapi saya tidak boleh nampak dia lagi!”
“Apa? Dia telah pergi ke mana?”
“Saya rasa dia telah tutup lubang kunci ini dengan sesuatu. Sekarang saya tidak tahu dia berada di mana.”
“Ok cik, jangan matikan talian ini lagi dan tunggu pegawai kami sampai.”

“Dia mungkin ada di mana-mana..”
“Cik bawa bertenang.”
“Dia akan bunuh saya nanti!”
“Jangan lakukan apa-apa. Cik perlu bertenang.”
“Saya dapat dengar bunyi siren di luar rumah saya.”
“Itu mungkin kereta pegawai kami yang baru sampai, cik tunggu sebentar sementara saya buat pengesahan. Cik jangan matikan talian ya.”
“Baik encik sila cepat sikit..”

“Hello cik Diana. Saya telah menghubungi pegawai kami dan mereka sudah berada di luar pintu rumah cik. Cik boleh buka pintu sekarang.”
“…………..”
“Hello cik Diana. Awak masih disana?”
“………”
“HELLO! CIK DIANA?”

“Hello. Siapa ini?”
“Hello. Ini panggilan dari balai polis, Siapa ini?”
“Saya pegawai Rusdi ID838 dari Subang Jaya. Siapa pegawai yang bertugas ini?”
“Hei Rusdi, ini aku Rasdan. Kau dah boleh masuk ke? Apa yang berlaku disana? Tadi aku bercakap dengan pembuat panggilan bernama Diana. Dia di mana sekarang?”
“Kami tidak berjumpa dengan sesiapa lagi di dalam rumah ini.”
“Hah habis siapa yang buka pintu semasa kamu masuk?”
“Pintu ini tidak berkunci. Bila waktu terakhir kamu bercakap dengannya?”
“Dalam 5 min yang lalu. Mustahil dia tiada di sana.”
“Baiklah serahkan tugas pencarian mangsa bernama Diana ini kepada kami.”
“Baiklah Rusdi semoga tugas kalian berjalan dengan lancar.

Beberapa jam kemudian di Balai Polis Subang Jaya.

“Hello, Balai Polis Subang Jaya, boleh saya bantu?”
“Knock knock…”
“Hello siapa di sana?”
“Knock knock…”
“Jika ini panggilan palsu, anda boleh dikenakan tindakan dan kami boleh jejak panggilan ini. Jadi sila beritahu siapa anda dan sebab panggilan ini dibuat.”
“Knock knock….”
“Saya ulangi lagi sekali, jika ini panggilan palsu, anda boleh..”
“Knock knock..”
“Em… baiklah anda mahu bermain ya… Who’s there?”
“Diana….”
“Diana who…? Eh ini Diana yang membuat panggilan kecemasan itu ke?”
“Ya…”
“Diana di mana awak? Apa yang telah berlaku? Pegawai kami sedang mencari awak sekarang ini.”
“Saya tidak tahu.”
“Diana bagaimana dengan keadaan awak? (Rasdan cuba mengesan panggilan dari Diana)”
“Saya tidak tahu.”
“Apa yang berada di sekeliling awak?”
“Tv. Tv yang banyak.”
“Hah Tv? Adakah Diana berseorangan?”
“Tidak. Ada seorang lelaki berada di hadapan saya.”
“Siapa lelaki itu?”
“Saya tidak kenal.”
“Bagaimana rupa dia?”
“Kulit gelap, rambut pendek dan beruniform polis.”
“Hah? Apa anggota polis itu sedang buat?”
“Sedang bercakap dengan saya.”

Rasdan terus terkejut dan toleh kebelakang. Tiada siapa di di dalam bilik gerakan itu selain Rusdi. Bulu roma Rasdan mula meremang. Dia melihat sekeliling bilik gerakan yang penuh dengan CCTV dan apabila dia cuba memeriksa skrin monitornya, dia mendapati panggilan telefon tadi dibuat berdekatan dengan bilik gerakan itu. Panggilan itu masih belum dimatikan lagi.

“Hello.. Hello.. Hello Diana.”
“Hello Rasdan…”

Tangan Rasdan mula mengigil.

“Bagaimana awak tahu nama saya? Adakah ini satu gurauan.”
“Adakah awak rasa panggilan saya ini satu gurauan?”
“Err. Tidak. Diana berada di mana sekarang?”
“Berdekatan dengan awak.”
“Jangan main-main!”
“Awak pergi ke bilik stor sekarang.”

Panggilan telefon itu terus terputus. Rasdan terkedu seketika. Adakah Diana berada di bilik stor itu? Dia cuba untuk memahami kejadian ini. Selepas beberapa ketika dia terus memberanikan diri untuk memeriksa bilik stor balai polis ini.

Pintu bilik stor dibuka dan kelihatan Diana sedang berdiri di satu sudut yang agak gelap hingga wajahnya ditutupi dengan bayang. Rasdan tidak dapat mengecam wajahnya dan dia cuba melaraskan pistolnya.

“Diana ke itu?”
“Ya Rasdan.”
“Bagaimana awak boleh masuk ke sini?”
“Saya boleh berada di mana-mana sahaja.”
“Adakah pegawai Rusdi bawa awak ke sini?”
“Tidak.”
“Apa yang telah terjadi ini? Bukankah awak di dalam bahaya tadi. Bagaimana dengan lelaki aneh yang awak katakan dulu?”

Tiba-tiba Diana melemparkan satu dokumen ke arah Rasdan. Dokumen itu mengandungi butir-butir seorang penjenayah yang telah dihukum mati setelah melakukan jenayah pembunuhan.

“Itulah lelaki yang telah bunuh saya.”

Rasdan terdiam apabila mendengar kata Diana itu. Dia mendapati mangsa yang dibunuh lelaki itu adalah seorang gadis remaja bernama Diana dan dia dibunuh pada lima tahun yang lalu. Gambar Diana juga terselit di dokumen itu.

“Setelah dia bunuh kucing saya, dia terus masuk ke dalam rumah saya. Dia merogol saya dan tanpa belas kasihan, dia menikam-nikam perut saya. Sebelum itu saya telah membuat panggilan kecemasan, namun ajal saya lagi cepat sampai dari pegawai Rusdi itu.”

Rasdan hanya diam membisu. Perasaan dia sangat keliru bercampur takut. Diana mula menghampirinya dan dia telah memperlihat satu wajah yang mereput di hadapan Rasdan. Ketika itu Diana sedang memangku seekor kucing yang sedang mereput.

“Jadi apa tujuan kamu memunculkan diri, Diana?”
“Cuba kamu lihat tarikh kematian saya.”

Rasdan memeriksa kembali dokumen itu dan mendapati tarikh kematian Diana adalah sama dengan tarikh hari ini.

“Jadi adakah kamu mahu menyambut hari ulangtahun kematian kamu.”
“Tidak”
“Habis itu?”
“Lelaki itu masih mahu membunuh.”
“Hah apa?”
“Tengok di belakang kamu.”

Rasdan menoleh kebelakang dan mendapati sorang lelaki tinggi berambut panjang sedang senyum ke arahnya sambil memegang pisau.

Setelah seminggu berlalu, kelibat Rasdan tidak ditemui lagi. Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan mencari Rasdan dan cuba mendapatkan panggilan terakhir yang diterima olehnya. Namun gagal.

Kring kring…

“Hello balai polis Subang Jaya, Boleh saya bantu.”
“Hello polis, saya perlukan bantuan. Saya menjumpai satu mayat di rumah saya.”
“Bawa bertenang cik. Boleh saya dapatkan maklumat cik. Nama cik siapa?”
“Diana..”
“Baik cik Diana, boleh cik terangkan butir tentang mayat itu kepada kami.”
“Dia berkulit gelap, rambut pendek dan beruniform polis.”
“…. Adakah di uniform itu mempunyai nametag?”
“Ya..”
“Apakah nama yang tertulis di nametag tersebut?”
“Rasdan.”
“Adakah mayat itu dijumpai di Jalan 19/36 Petaling Jaya?”
“Ya.”
“Diana….”
“Ya…. Rusdi”
“Tolonglah hentikan semua ini..”
“Kenapa?”
“Sampai bila kamu mahu membalas dendam lagi.”
“Haha balas dendam? I call it a lesson.”
“Enough is enough!”
“See you next year.”
“Diana! Diana!”

Panggilan dimatikan.

Tamat.
Penulis: Syahir

Share It!
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply