Padamkan

Kisah ini mengenai empat remaja perempuan yang berasal dari Kuala Lumpur dan mereka berkawan rapat sejak di bangku sekolah lagi. Nana, Ying, Spicy dan Sis suka berkongsi kisah seram dan mereka pernah mendengar tentang khabar angin mengenai tandas sekolah mereka yang berhantu.

Berdasarkan khabar angin itu, terdapat seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang dan dijumpai mati di dalam tandas perempuan yang berkunci di sekolah mereka itu. Jadi empat sekawan ini bercadang untuk curi masuk ke dalam tandas tersebut selepas habis waktu persekolahan untuk menguji keberanian mereka.

“Agaknya apa yang akan muncul nanti ya?” Kata Spicy.
“Mesti kita jumpa mayat pelajar perempuan itu.” Balas Nana

Selepas habis kelas pada waktu petang, mereka berempat berkumpul di luar tandas yang dikatakan berhantu itu. Mereka menunggu di sana sehingga tiada sesiapa di tingkat tiga blok sekolah itu. Sis menggunakan pin baju untuk mengumpil lubang kunci pintu yang berkunci itu sehingga dia berjaya membukanya.

Keadaan dalam tandas itu kelihatan bersih namun agak kosong. Ketika mereka berempat masuk ke dalam tandas itu, mereka menjumpai sebuah kamera di lantai tandas tersebut. Apa yang anehnya, kamera itu masih boleh berfungsi dan baterinya masih penuh lagi.

Sis mengambil kamera itu dan mula memeriksa gambar di dalamnya. Dia melihat beberapa keping gambar yang menunjukkan imej keadaan dalam tandas itu namun tiada gambar orang yang dirakam.

“Mesti ada orang lain juga pernah curi masuk dalam tandas ini dan cuba ambil gambar hantu.” Kata Sis.
“Ya betul tu. Ni mesti mereka tercicir kamera mereka di sini.” Kata Nana.
“Jom kita ambil gambar wefie sebelum kita pergi dari sini. Macam tiada apa-apa dalam tandas ni.” Kata Ying.

Mereka berempat pun mengambil gambar bersama-sama menggunakan kamera yang mereka jumpai sebelum mereka pulang. Sis membawa pulang kamera tersebut dan ketika dia dalam perjalanan pulang, dia menerima panggilan telefon dari nombor peribadi.

“Padamkan.. Padamkan..”

Kemudian panggilan itu terputus sebaik sahaja suara dari seorang gadis itu habis berkata. Sis agak terkejut mendengarnya dan menganggap ia adalah panggilan dari nombor yang salah.

Pada waktu malam, dia memeriksa semula gambar dari kamera itu melalui komputer riba dan dia mendapati ada satu gambar yang aneh menarik perhatiannya.

 

Sis mendapati rambut Nana (kanan) agak ganjil.

Sis cuba menelefon Nana tapi panggilan tidak dijawab. Beberapa minit kemudian, dia melihat semula gambar tadi dan terkejut apabila melihat Nana sudah hilang dari gambar itu.

Sis mula ketakutan dan apabila dia melihat dengan lebih dekat, dia mendapati rambut Spicy (kiri) kelihatan menjadi lebih panjang, seolah-olah dia memakai rambut palsu.

Sis mula bimbang dan cuba menelefon Spicy.

“Hello Sis, kenapa call saya malam-malam ni?” Balas Spicy
“Hi awak, ingat tak masa kita ambil gambar di tandas sekolah tadi?” kata Sis
“Ingat, kenapa awak dah tengok ke gambar tu?”
“Dah tapi Nana tiada dalam gambar!”
“Hah apa maksud awak Sis?”
“Dalam gambar ni hanya ada awak dan Ying sahaja. Dan dalam gambar ni rambut awak jadi panjang.”

Tiba-tiba panggilan telefon mereka terputus. Sis cuba menelefon Spicy semula namun panggilan itu gagal dijawab. Ketika dia melihat semula gambar itu, dia menjadi lebih takut. Spicy telah hilang dari gambar itu dan hanya tinggal Ying sahaja.

Apa yang lebih menakutkan Sis ialah terdapat seseorang berdiri di belakang Ying. Ia kelihatan seorang gadis yang berambut panjang dengan wajah yang pucat.

Dalam keadaan ketakutan, tiba-tiba telefon Sis berdering. Apabila dia menjawab panggilan itu, dia mendengar suara yang agak dikenali. Suaranya agak redup namun ianya seperti suara Ying.

“Padamkan gambar itu..” Kata Ying.
“Ying! Apa yang berlaku?” balas Sis.
“Padamkan gambar itu.” Kata Ying berulang-ulang kali.
“Ying! Awak dimana? Bagitahu saya.”

Panggilan itu terputus dan tiba-tiba Sis mendengar bunyi ketukan dari pintu rumah pangsapurinya. Bunyi ketukan itu sangat kuat sehingga menaikkan bulu roma Sis.

“Siapa itu?” Tanya Sis dalam keadaan mengigil namun tiada jawapan.

Dengan keadaan berhati-hati, Sis berjalan ke depan pintu dan cuba mengintai dari lubang pintu itu.

Ketika itu dia begitu terkejut apabila melihat sesorang mengintainya dari luar pintu melalui lubang itu juga. Pintu itu diketuk semakin kuat.

Sis mula menjerit ketakutan dan berlari semula ke biliknya. Dia pergi ke komputer ribanya dan memadam semua gambar dari kamera itu. Selepas itu bunyi ketukan itu berhenti dan keadaan menjadi sunyi sepi. Sis mula menangis dan menyelubungi dirinya dengan selimut.

Tiba-tiba kamera yang diletak diatas meja itu menangkap gambar Sis dengan sendiri. Sis yang berada dihadapan kamera itu cuba mengambil kamera itu untuk memeriksa gambar yang diambil tadi. Apabila dia melihat gambar tersebut, dia menjerit sekuat hati kerana ketakutan.

Pada keesokan harinya, rakan serumah Sis pulang ke rumah pangsapuri tersebut. Dia cuba mencari Sis tetapi dia tidak menjumpainya di dalam bilik Sis. Namun dia mendapati komputer riba sis masih terbuka dan ketika dia cuba melihat isi kandungan komputer tersebut, dia menjumpai gambar Sis dalam keadaan yang aneh sekali.

Sejak dari itu, rakan serumah Sis membuat laporan polis mengenai kehilangan Sis dan juga tiga rakannya itu yang turut hilang. Kes kehilangan itu masih belum selesai dan kehilangan mereka berempat masih menjadi misteri.

 

 

Share It!
  • 476
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply