Nombor Telefon Berhantu

NOMBOR TELEFON BERHANTU (Berdasarkan Kisah Sebenar)

Sudah jadi kebiasaan, malam minggu adalah waktu wajib untuk aku menghabiskan masa dengan rakan-rakan. Lokasi wajib sudah tentulah restoran mamak 24 jam. Ini ada kaitan dengan tabiat kami yang pukul 3-4 pagi baru nak balik rumah. Jadi pada malam minggu lepas, aku dan seorang rakan baik duduklah menghabiskan masa di sudut dinding kedai mamak, sambil ditemani gelas berasap dan bau tembakau. Pelbagai isu dikupas, dari seberat-berat isu Presiden Trump sampailah ke isu raya tahun ni nak bisnes apa.

Ok, cerita lain. Itu bukan intipati penting. Apa yang penting sekarang ialah SATU isu yang kami ceritakan pada malam tersebut. Kawan aku ni biasalah, agak-agak jam dah menginjak tengah malam, mulalah dia bukak surah seram dan hantunya. Konon-konon nak bagi aku takut nak balik ke rumah nanti. Tapi aku tak adalah tutup telinga tak mahu dengar. Aku alu-alukan dia membuka cerita sebab, bolehlah jadi content untuk page PS ni nanti. Kadang-kadang lambat update =’(Tambahan pula, menurut kawan aku ni cerita yang akan dia ceritakan ni cerita benar dan sahih.

“Fiq, kau tahu tak dalam dunia ni wujud satu nombor telefon misteri..”

Lebih kurang begitulah mukadimahnya. Aku nyalakan sebatang rokok tanda teruja nak mendengar. Terus aku duduk tegak memberi perhatian kepada cerita dia. Si kawan aku ni menambah lagi.

“Aku boleh bagi nombor ni dekat kau, dan kau boleh cuba call. Tapi aku tak bertanggungjawab atas apa yang jadi kat kau lepas tu. Nombor telefon ni memang berhantu!”

Aku jadi inzal nak tahu lebih lanjut. Apa yang misteri sangat pasal nombor telefon tu? Memang seram. Beberapa kali jugaklah bulu roma dan tengkuk aku meremang ketika dia bercerita. Menurut beliau cerita ini benar-benar terjadi kepada dirinya, membuatkan dia sampai sekarang taubat tak nak call lagi nombor telefon misteri tersebut. Dah kenapa dengan nombor tu dan milik siapa? Ok begini ceritanya.

(Kisah seram ini admin dah translatekan daripada bentuk perbualan jadi ke bentuk penulisan. ‘Aku’ dalam cerita ini merupakan kawan admin)

………………………………………

Cerita ni berlaku pada tahun 1992, masa tu aku baru berumur 12 tahun. Aku ni gemar sangat berkawan dengan budak-budak besar. Selalu sangat aku join abang-abang aku dan kawan-kawannya pergi berjalan-jalan. Walaupun jarak umur aku dan abang-abang aku jauh, tapi itu bukan penghalang. Dah memang aku suka berkawan dengan budak-budak besar. Kalau mereka tengah melepak selepas meronda-ronda naik motor, aku akan turut sama join. Kadang-kadang aku tak faham sangat apa yang mereka bualkan. Tapi itu tak jadi hal. Berkawan dengan mereka semua best.

Seperti biasa pada waktu petang aku akan datang port mereka melepak dan duduk menyibuk-nyibuk di situ. Tekun aku mendengar mereka berborak sambil mencangkung menguis-guis tanah dengan ranting kayu. Aku cuba lukis gambar ayam tapi yang jadinya zirafah. Sampai lah aku terdengar mereka semua berbual tentang nombor telefon. Ranting tadi aku terus letak. Cerita ni macam menarik untuk diambil tahu. Muka mereka masing-masing serius. Salah seorang kawan abang aku telah bercerita tentang nombor telefon misteri. Yang ‘menariknya’ nombor telefon misteri ini wujud, berfungsi serta boleh dihubungi. Cumanya, sedia atau tak kita nak mendengar suara ‘si dia’ menjawab panggilan di hujung talian?

Menurut beliau nombor tersebut kepunyaan seorang wanita yang telah mati dibunuh. Dari mana dia dapat info tidak pula kami ketahui. Tambah beliau lagi, jika panggilan kita tidak berjawab atau tidak diangkat, ‘si pemilik’ nombor telefon akan menghubungi kita semula. Waktu itu kena get ready lah untuk dengar suaranya yang memang sangat ‘tidak selesa’ untuk di dengar. Tahun 90’an rata-ratanya masih menggunakan telefon rumah dan telefon awam. Jadi kita tidak dapat ketahui siapa yang membuat panggilan, lainlah jika di telefon bimbit. Boleh nampak nombor si pemanggil tertera di skrin telefon.

Waktu itu aku terdengar dengan jelas nombor telefon misteri yang kawan abang aku sebutkan. Aku tak bawa pen, jadi aku mengingatnya di dalam kepala. Balik sahaja di rumah, aku terus catit di buku nota kecil.

” 03-8888 8364 ”

Aku tenung semula nombor telefon yang aku tulis. Kenapa aneh sangat nombornya? Di kawasan aku tak ada nombor telefon yang sebegini, bermula dengan pangkal 8. Malas nak fikir lanjut, aku pun simpan buku nota kecil itu dalam simpanan yang selamat. Abang aku pun tak tahu aku catit nombor telefon ini. Pernah juga aku tanya kepada dia sama ada benarkah nombor telefon tersebut berhantu. Abang aku hanya menggeleng, dia pula nampaknya macam tak berminat nak tahu lebih mendalam lagi tentang nombor itu.

“Badri tu bukan betul sangat pun, entah-entah dia saja reka cerita.” Itu jawapan abang aku. Aku terdiam. Dalam hati, aku memang rasa curiga sangat. Perasaan nak tahu tentang misteri nombor telefon tersebut meluap-luap.

So nak dijadikan cerita, beberapa minggu selepas itu aku telah terfikir untuk menelefon nombor tersebut. Aku nekad sebab benda ni dah selalu sangat bermain-main dalam fikiran aku. Aku nak tahu sendiri siapa empunya nombor telefon, dan benarkah seperti dakwaan kawan abang aku nombor itu kepunyaan wanita yang telah mati dibunuh?

Lebih kurang pukul 9 malam, aku membuat panggilan. Buku nota kecil aku keluarkan, dengan menggunakan nombor rumah, aku dial nombor yang tertera. “03-8888 8364”. Panggilan bersambung. Tiba-tiba rasa takut datang, aku takut nak mendengar siapa yang akan menjawab panggilan. Untuk beberapa ketika aku terus meletakkan gagang tanpa sempat ‘si dia’ menjawab.

Malam itu aku tak dapat tidur lena. Dalam fikiran tertanya-tanya adakah ‘dia’ akan menghubungi aku semula. Adakah masa dan waktu ‘di sana’ sama dengan di sini? Aku terus terbuai dalam kerungsingan.

“KRING..! KRINGG..!!”

Huh! Aku terus jenguk jam di dinding. Pukul 3 pagi. Siapa pula yang menelefon pagi-pagi buta ni? Aku tiba-tiba teringat sesuatu.. Sesuatu yang aku dah lakukan 6 jam yang lepas. Ah sudah! Meluru aku berlari keluar bilik dan pergi mendapatkan telefon. Namun, belum sempat aku menjawab panggilan, emak aku dah tercegat di situ sambil tangannya menggenggam gagang telefon. Panggilan telefon di tengah pagi buta, mungkin ada kecemasan, ujarnya. Wajahnya serius. Seperti mendengar dengan teliti apa yang si pemanggil katakan. Aku menggoncang-goncang badan ibu dengan harapan mahu tahu siapa yang memanggil.

Selepas beberapa minit, emak aku meletakkan gagang. Aku terus tanya emak siapa yang memanggil. Emak diam, dia lantas menyuruh aku masuk tidur. Aku terus jadi tak boleh tidur! Memikirkan siapa yang menelefon pagi-pagi buta, dan kenapa emak tak berkata satu patah kata pun sewaktu dia sedang menjawab panggilan tersebut. Dalam fikiran aku cuma satu. Nombor telefon misteri yang aku hubungi pukul 9 malam tadi.

Keeseokan paginya aku terus mendapatkan emak. Emak macam berat nak menceritakan apa yang berlaku malam tadi. Aku desak suruh dia ceritakan.

“Tak tahu. Suaranya sayu. Rasanya suara perempuan. Dia macam bercakap bahasa melayu kuno yang mak tak faham. Tu sebab mak diam saja. Lagi satu, nada suaranya buat mak ‘tak selesa’ nak dengar.”

Aku tahu apa maksud emak tentang ‘tak selesa’ tu. Nah. Dua jawapan sudah aku dapat di situ yang membuktikan kata kawan abang aku tu benar belaka. Pertama, jika panggilan kita tidak berjawab atau tidak diangkat, ‘si pemilik’ nombor telefon akan menghubungi kita semula. Dalam hal malam semalam, aku telah buat ‘miss call’ kepada dia dan dia menghubungi aku semula. Kedua, pemilik nombor itu ialah perempuan. Sama seperti yang kawan abang aku katakan. Perempuan yang mati dibunuh.

Pagi itu aku termenung panjang. Aku nak beritahu abang aku dan kawan-kawannya pasal hal ni, tapi mereka semua dah balik asrama. Tiba-tiba aku terfikir, boleh jadi hal malam tadi tu satu kebetulan. Benarkah perempuan yang menelefon semula tu ada kaitan dengan nombor telefon misteri tersebut, atau entah-entah orang tersalah nombor? hmm. Boleh jadi.

Aku biarkan benda itu berlarutan selama 3 hari. 3 hari itu jugalah hati dan fikiran semakin menolak-nolak, rasa ingin tahu semakin kuat. Aku mahukan jawapan. Jadi, untuk membuktikan sama ada teori aku ni betul atau salah, aku telah menghubungi lagi nombor misteri tersebut. Kali ni aku biarkan lama sedikit sebelum memutuskan talian.

Aku letak gagang dan menunggu dengan penuh debaran. Saat berganti minit, minit berganti jam. Namun tak juga-juga aku menerima panggilan semula. Mungkin telahan aku tidak tepat tentang nombor misteri tersebut. Jadi aku biarkan sahaja. Aku keluar duduk di beranda depan rumah di bawah pokok untuk mengambil angin.

Angin pagi ni membuai lembut. Tiba-tiba.

“KRING..! KRINGG..!!”

Damn! Sayup-sayup kedengaran bunyi telefon dari dalam rumah! Aku terkejut dari lamunan. Berkejar aku menuju ke rumah, tak lama selepas tu bunyi deringan tak didengari lagi. Mesti ada orang yang dah jawab panggilan tersebut! Aku tercegat di pintu rumah dan dalam keadaan mengah aku lihat emak sedang berdiri menjawab telefon.

“Tak ada. Dorang semua tak ada.”

“NI siapa ni?”

“Tak ada. Dorang semua dekat asrama.”

Aku lihat emak terus meletakkan gagang. Aku terpinga-pinga. “Siapa yang telefon, mak?” aku terus bertanya kepada emak yang masih berdiri terdiam.

“Tak tahu lah tah siapa. Perempuan. Dia tanya abang-abang kau. Suaranya macam suara perempuan yang telefon malam tadi. Dia tahu nama abang-abang kau. Mana tah dia dapat nombor rumah kita. Takut lah mak macam ni”

Nah. Sekali lagi. Aku juga dapat rasakan ketakutan tu, dan aku rasa memang benar lah nombor telefon misteri tu ada kaitan dengan perempuan yang dah dua kali telefon rumah aku ni. Ini semua ada kaitan dengan aku juga. Aku lah punca menyebabkan ‘dia’ menelefon rumah aku. Terbaring aku di dalam bilik merenung kipas siling. Macam mana dia boleh tahu tentang dua orang abang aku tu? adakah abang-abang aku ada menghubungi ‘dia’? Tapi mereka berdua dekat asrama. Kalau guna telefon di asrama pun, macam mana pulak ‘dia’ boleh hubungi rumah aku, kenapa tak hubungi nombor asrama saja? Ah, kepala aku makin pening.

Minggu depannya abang-abang aku balik. Emak terus bertanyakan hal tersebut. Tanya emak lagi, adakah mereka berdua ada kenalan-kenalan perempuan di mana-mana. Namun mereka pantas menafikan. Mereka berdua juga kelihatan tertanya-tanya siapakah gerangan yang menghubungi, dan siap tahu nama mereka. Aku tahu abang-abang aku ni tak berminat dengan cerita kawannya Badri, tempoh hari dan sudah tentu mereka tak berminat pun nak mencuba-cuba menelefon nombor misteri tersebut. Aku terdiam membisu. Sebenarnya puncanya adalah daripada aku. Hal ni terus aku rahsiakan daripada mereka berdua. Kejadian ini kekal misteri untuk beberapa minggu. Aku diamkan daripada mereka.

Jangan tenang sangat. Misteri ini tak habis di sini. Selama beberapa minggu aku biarkan. Sikap aku yang degil ditambah dengan rasa ingin tahu yang tinggi membuatkan aku nekad. Aku nekad untuk menelefon semula nombor puaka itu. Kali ni apa nak jadi, jadilah. Demi sebuah jawapan. Kebetulan waktu itu aku di rumah seorang diri. Waktu itu sudah memasuki senja. Emak dan ayah keluar mencari barang di pekan. Nombor telefon didail kemas.

“03-88888364”

Lama aku biarkan ia berdering, moga ‘si pemilik’ telefon menjawab. Tetapi panggilan aku dibiar sepi. Tiada siapa yang menjawab. Aku letak gagang. Kalau betullah telahan aku, mesti dia akan menghubungi aku semula. Jadi aku biarkan sejenak. Demi menghindar rasa takut, aku pasang televisyen.

Lebih kurang 20 minit selepas itu, telah terjadi suatu perkara yang membuatkan aku menoleh ke arah telefon rumah. Peluh jantan mula keluar, jantung mengepam-ngepam darah dengan laju.

Akhirnya ia berdering. Penantian aku berakhir di situ. Cumanya sekarang aku perlu jawab atau tidak panggilan ini? Jantung aku berdebar mengikut ritma deringan telefon. Kalau aku tak jawab, aku tak kan dapat jawapan atas segala persoalan. Kalau aku jawab pula.. aku dapat dengar dengan telinga aku sendiri suara ‘si pemanggil’. Sudah bersedia kah aku? Ah! aku kena beranikan diri walaupun sebenarnya aku penakut.

“Hel.. hello.. si.. siapa sana?”

Sunyi sepi. Tidak kedengaran satu suara hatta satu bunyi pun. Aku tanya lagi.

“Hel.. hello.. jangan main-main. siapa tu?”

Aku sedikit marah sebab pertanyaan aku tak berjawab.

Namun begitu, marah ku sedikit demi sedikit hilang, ditukar ganti dengan rasa takut, meremang dan seram sejuk. Aku telah dengar sendiri dengan telinga ini ‘si dia’ bersuara. Tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi tutur katanya lemah gemalai, lembut, sayu, mendayu-dayu. Ada patah perkataan yang aku tak dapat dengari dengan jelas. Perempuan ini cuba beramah mesra dengan aku, tapi aku tak rasa cair pun. Ketakutan semakin memuncak. Benarlah kata emak, nada suaranya agak aneh dan ‘tak selesa’ untuk didengar. Bukan macam suara manusia biasa.

“Adik.. adik dekat rumah sorang ke tu… Mak Ayah mana….he he..”

Cukup. Ayat itu cukup buat aku rasa nak pengsan!

Oleh kerana ketakutan yang amat sangat, aku terus keluar rumah duduk di padang depan sambil menanti kepulangan orang tua aku. Bila mendengar suara perempuan di telefon tadi, fikiran aku sudah mula terbayang yang bukan-bukan. Kebetulan waktu itu tengah hot filem hantu indonesia seperti Sundel Bolong, Mak Lampir, Malam Satu Suro dan bermacam-macam lagi. Mana lah tahu kan tiba-tiba perempuan tu datang mengintai aku dari bawah katil, balik almari atau dalam bilik air. Mampus.

Waktu sudah agak senja, barulah orang tua aku pulang. Aku terus menerpa mereka yang sememangnya berasa hairan melihat keadaan dan reaksi aku yang gelabah bukan main. Dalam situasi yang kelam kabut dengan perasaan yang bercampur baur, aku bercakap tanpa fikir. Aku menuduh mak cik aku menelefon rumah ketika aku seorang diri dan sengaja main-main kan aku. Sampaikan mak cik aku datang rumah malam tu dan menafikan sekeras-kerasnya hal tersebut. Lucu pun ada. Mungkin kerana aku terlampau takut.

Kejadian seram ini berlalu begitu sahaja. Hilang, lenyap, pudar ditelan waktu. Aku pun sudah tak memandai-mandai lagi menelefon nombor misteri tersebut. Aku ambil ini sebagai pengajaran. Misteri ini akhirnya dilupakan selama beberapa tahun lamanya. Aku tak ingat berapa lama. Namun begitu, nombornya tetap sentiasa aku ingat di dalam kepala. Boleh kata kami semua dah melupakan tentang kejadian ini, dah bukan jadi topik perbualan hangat lagi. Sehinggalah pada satu hari..

Ketika itu usia aku sudah menginjak 20’an. Selepas sahaja tamat pengajian di sebuah universiti utara tanah air, aku terus bekerja di sebuah syarikat pengiklanan yang bertempat di Bangi. Lebih kurang ketika tahun 2005 macam tu. Di sana aku berkawan lah rapat dengan tiga orang rakan sepejabat. Makan, melepak, main snuker semua sama-sama. Nak dipendekkan cerita, pada suatu malam kami duduklah bersantai-santai minum di sebuah kedai makan bawah pokok di area Bangi sana.

Biasalah, bila waktu dah agak lewat sikit, dan bila dah habis isu nak borak, mulalah salah seorang dari kami membuka cerita-cerita hantunya. Memang seronok, benda yang kita takut nak alami tetapi adrenalin ketakutan yang memacu itu sungguh menyeronokkan. Seorang-seorang bergilir bercerita tentang kisah seram masing-masing. Bila sampai giliran aku, aku tak tahu nak cerita apa, jadi aku pun berceritalah tentang cerita hantu yang pernah terjadi dekat aku. Ya, pengalaman seram yang itulah. Cerita nombor telefon berhantu tu.

Aku pun bercerita dari awal sampailah habis. Mereka kelihatan teruja, tapi ada juga seorang ni yang tak percaya dengan cerita aku. Mengarut katanya. Dia tuduh aku yang salah tekan nombor telefon. Berdasarkan apa yang aku cerita, fakta yang aku keluarkan, nampak semuanya sahih dan memang sukar ditelan oleh akal yang waras. Kalau pun di zaman 90’an dahulu dah ada agensi khas yang membuat panggilan hangit berhantu, macam mana ‘perempuan’ tu boleh tahu nama abang-abang aku, dan macam mana pulak dia boleh tahu aku tengah duduk rumah seorang diri ketika itu.

“Mungkin benda tu kebetulan kott…”

Salah sorang kawan aku ni cuba mempertikaikan cerita aku. Aku tak ada lah nak marah, aku siap bagi nombor telefon tu dekat mereka supaya mereka boleh hubungi. Bagi aku hal ni mungkin dah tak relevan lagi kot. Nombor tu pun mungkin dah tak wujud lagi. Iyalah dah berbelas tahun punya cerita. Ada lagi ke hantu tu? Entah. Bisik aku dalam hati.

“Ni nombor dia. 03-8888 8364. Kalau kau berani call lah” Aku mencabar mereka walaupun aku tahu benda ni dah berzaman berlaku.

“Mana tahu ada luck, bolehlah bergayut dengan ‘dia’ malam ni.” Tambah aku lagi dengan niat untuk mengusik mereka.

Kawan aku yang berani sikit, Nasri namanya telah mencatat dan menyimpan nombor ini di telefon Nokia 3310 miliknya. Katanya, dia nak cuba hubungi nanti. Aku percaya dia akan buat sebab dia ni jenis yang berani dan rasa ingin tahunya begitu tinggi.

Jadi esok malamnya kami berkumpul di kedai makan biasa. Semua orang ada kecuali kawan aku Nasri. Dia kata dia tak dapat join lepak sebab kena ambil tunangnya dan hantar di Seri Kembangan. Kalau dapat datang pun mungkin lambat sikit. Kami pun melepaklah macam biasa, borak-borak kosong menikmati malam minggu. Malam-malam begini awek-awek UKM ramai betul. Tu yang best. Sambil itu kami bersembanglah pasal Nasri, kami tertanya-tanya sendiri sama ada Nasri sudah hubungi atau belum nombor berhantu semalam tu. Jenaka-jenaka pasal Nasri kami selang selikan dengan cerita. Barangkali sedang duduk menggigil ketakutan di dalam rumah agaknya. Berdekah kami.

Malam sudah mulai lewat. Air sudah bergelas-gelas bersusun di atas meja. Dari jauh aku perasan kehadiran kereta Nasri. Dia membelok simpang dan masuk ke parking kedai makan. “Eh, tu Nasri. Ingatkan tak datang tadi”. Kata aku sedikit kehairanan. Dengan keadaan yang tergesa-gesa Nasri datang ke meja kami. Diambil kerusi kosong di meja sebelah lalu duduk. Mukanya serius, ketat lagi kelat.

“Korang tengok ni!”

Nasri mengeluarkan telefon bimbitnya. Kami semua terjenguk-jenguk apa yang terpapar di skrin kecil telefon tersebut. Tak kan tunang dia SMS ‘i love you’ pun nak tunjuk kat kami. Tapi bukan itu sebenarnya.. Bila kami lihat betul-betul dan ternyata kami semua terkejut, terutama sekali aku. Apa benar yang tertulis di skrin telefon bimbit milik Nasri ini?

‘ Call Recieved – 03-8888 8364, 9.05 pm ‘

Aku tahu ini bukan dibuat-buat. Bagi yang tak faham. Nasri telah menerima panggilan daripada nombor berhantu tersebut. Dan ini bermakna Nasri telah menghubungi nombor ini terlebih dahulu. Memang benar Nasri mengaku dia ada call nombor itu kemudian meletakkannya. Tidak lama selepas itu, sewaktu dia memandu, dia telah dihubungi oleh seseorang. Tanpa melihat dengan teliti ke arah nombor, dia pun mengangkat. Nasri beritahu kami satu benda malam itu. Benda yang bagi aku mengsahihkan lagi semua kejadian-kejadian misteri yang berlaku sebelum-sebelum ni.

“Perempuan. Suaranya halus lagi menakutkan. Kadang-kadang ketawa mengilai. Lepas tu dia tanya aku…”

Kata-kata Nasri bagai terhenti di situ. Kami memaksanya memberitahu.

“Dia tanya aku..hmm..”

Kami menunggu Nasri menyambung ayatnya..

“Dia tanya aku… TENGAH AMBIL TUNANG KE?”

WTF! Berderau terus darah kami malam tu. Aku termenung lama. Mana mungkin misteri yang sudah terlalu lama berlaku (belasan tahun) masih boleh terjadi lagi selepas itu? Dari tahun 1992 sehinggalah ke 2005. Lama tu! Semangat dan roh ‘perempuan’ ini masih boleh wujud lagi merentasi waktu dan zaman. Perasaan takut bercampur aduk dengan perasaan aneh. Pelbagai persoalan yang kerap menyinggah di benak fikiran. Sejak hari itu aku terus buang segala ingatan aku pada nombor tersebut. Aku tak nak ingat lagi, sebab aku tahu aku yakin ‘ia’ masih wujud lagi sehingga kini.

Biarlah nombor telefon tersebut tertanam bersama misterinya, biarlah ia pupus ditelan waktu dan zaman. Sebenarnya agak menyesal aku berikan pada Nasri, dia jadi paranoid berminggu-minggu. Mengapa ‘perempuan’ tersebut boleh tahu Nasri tengah ambil tunang dia malam tu. Itu persoalan utama.

Salah seorang daripada kami kelihatan terkejut dengan nombor telefon yang aku BERI semalam. Dia tanya aku, betul ke nombor ni. Aku pun jawablah betul. Nombor ini lah yang konon-kononnya dikatakan milik seorang perempuan yang mati dirogol dan dibunuh. Dan nombor ini jugalah yang bila aku call akan ada perempuan misteri yang jawab. Kawan aku tu kelihatan gusar dengan penjelasan aku.

“Kalau ada dua pangkal nombor 8 di hadapan, maknanya ni nombor telefon kawasan Putrajaya. Waktu kau call tu zaman tahun 90 an, waktu tu Putrajaya mana wujud! Putrajaya masa tu masih ladang kelapa sawit lagi!”

……………………………….

Admin juga berasa terkesan dengan cerita ni. Tangan admin dah gatal-gatal nak call nombor tu, tapi takut. Iyalah, mana tau buatnya dia call admin balik, lepas tu dia tanya “hi.. tengah tulis cerita pasal saya ke..?” Ha, mau tak kelam kabut hidup aku. Oh ya buat pengetahuan anda semua, dalam cerita ini, tiga nombor terakhir di nombor telefon tersebut terpaksa admin ubah untuk mengelakkan kemudaratan kepada anda semua. Kalau admin bagi nombor yang sebenar, nanti bimbang admin pula yang dipertanggungjawabkan atas apa-apa musibah yang terjadi. So, biarlah nombor telefon ni tersimpan dalam ingatan admin. Kebetulan atau misteri? Waallahualam, Selamat malam.

ᐱDMNJMBG

penselstudio2017©allrightsreserved

Share It!
  • 326
  •  
  •  
  •  

One Reply to “Nombor Telefon Berhantu”

Leave a Reply