Narsisistik Penjual Serunding – Nikieta Azwazie

Kiriman pembaca oleh Nikieta Azwazie

“Celaka kau, dasar budak barua !” lelaki berbulu tatkala bulan mengambang menghayun cangkul tepat ketubuh remaja lelaki berusia 19 tahun itu. Bermula dari kepala, kemudian turun ke dada dan akhir ke perut remaja itu. Darah memercik ke wajah setengah abadnya. Kerana hentakan yang kuat di kepala, remaja itu langsung pengsan diikuti rodokan mata cangkul pada usus perutnya dia serta merta mati di tempat kejadian. Lelaki berbulu setengah abad itu sudah hilang pertimbangan kemanusiaan. Dia hanya mengikut sahaja kehendak amarah dan akal sintingnya yang membuatkan iblis tertawa riang.

“Hahahahaha, sudahku bilang wahai Tuhan, aku akan berusaha menghasut dan menyesatkan mereka selagi Bumi ini utuh! ”

Setelah menyedari jasad remaja didepan matanya tidak bernafas lagi, lelak berbulu berbaju corak petak-petak warna putih lusuh dan berseluar slack hitam itu mengheret mayat tersebut dari belakang rumahnya yang berlatarkan sawah padi menuju dapur. Darah jenis kumpulan “O” remaja itu mewarnai bekas seretan di simen sepanjang 5 meter.

Setibanya di dapur itu, dia mencekak pinggang sambil otaknya ligat memikirkan kaedah terbaik untuk “melangsaikan” mayat remaja lelaki tersebut. Tangannya mencapai pisau pemotong daging dan plastik hitam bersaiz XL.

“Kau potong badannya menjadi bahagian-bahagian bersaiz sederhana” Iblis membisikkan idea kepadanya. Tubuh lelaki remaja yang bersaiz M itu di kerat-keratnya kepada 16 bahagian. Kelihatan masih ada denyutan lemah pada jantung mayat itu. Itulah pertama kali dia melihat anatomi keseluruhan tubuh manusia. Selesai mengerat, di masukkan bahagian-bahagian itu ke dalam plastik hitam.

“Haaaa.. kau nampak peti sejuk hujung ruang dapur kiri tu? masukkan tubuh dalam plastik itu kedalamnya” kata Iblis lagi. Lelaki itu berjalan kearah peti sejuk jenis freezer, dibukanya pintu freezer keatas lalu dimasukkan plastik hitam itu.

Kedudukan plastik itu tersorok sedikit dari bahan mentah lain. Plastik berisi ikan, daging dan ayam di susun dengan cermat mengaburi plastik hitam berisi jasad remaja malang yang dibunuhnya. Matanya terlihat rantai kunci bermangga saiz sederhana yang tergantung di tingkap bersebelahan freezer. Diambilnya rantai itu lalu dililit pada freezer yang telah tertutup rapat.

“Tapp” besi kepala mangga diturunkan.


Rini melihat jam di lengannya, sudah pukul 10.30 pagi. “Aduiii, kejap lagi dah nak makan ni” dia mengomel sendirian sambil mundar mandir di pintu pagar utama dewan serbaguna Taman Desa Mentari. Lebih kurang 15 minit kemudian, sebuah kereta Perodua kancil berwarna biru berhenti didepan wanita berbaju kurung pink itu. Pakcik Selamat bergegas keluar dari keretanya lalu membuka pintu bonet belakang.

“Pakcik, dah lewat ni. Janji pukul 9.30 pagi!” Rini membebel pada orang tua itu.

“Kereta rosak, aku dah pesan haritu kalau nak cepat ambil sendiri kat rumah. Jangan nak salahkan orang pula!” baran benar jawapan yang diberi Pakcik Selamat kepada Rini.

Kalau bukan kerana kuah kacang dan serunding daging yang harga berpatutan dan enak itu, tidak ingin Rini berurusan dengannya.

Pakcik Selamat mengangkat tray-tray stainless steel berisi kuah kacang daging itu masuk ke dewan. Sementara Rini mengangkat beberapa tray serunding. Dengan cermat lauk-lauk itu diletakkan diatas meja hidangan buffet bersama 10 lagi juadah lain. Beberapa orang tetamu memerhati gelagat Rini dan Pakcik Selamat.

Lagi 5 minit lauk pauk di atas meja itu akan dijamah oleh hadirin majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri syarikat Konnichiwa Sdn. bhd yang diterajui Datin Hananiah. Selesai tugasan itu, Rini dan Pakcik Selamat keluar dari dewan menuju ke kawasan Pakcik Selamat memarkir kereta.

“Ni bayarannya” Rini menghulurkan beberapa keping not RM 50 kepada Pakcik Selamat. Lelaki itu mengira sekeping demi sekeping duit yang diterimanya lalu tersenyum kambing.

“Nanti tray tu hantar kerumah ya” pesan Pakcik Selamat sebelum berlalu pergi. Sementara didalam dewan itu, kedengaran bacaan doa makan oleh Ustaz Fadli.

Tepat jam 11.45 pagi tetamu bersilih ganti mengambil hidangan yang disediakan. Sambil bersantap, tetamu memuji-muji kuah kacang dan serunding yang dimakan bersama nasi impit serta ketupat daun palas yang dijamu. Secukup rasa, dagingnya lembut, rempah ratus yang digunakan memang menepati citarasa Satu Malaysia.

“Pandai Datin Hananiah pilih caterer. Paling best serunding dan kuah kacang daging tu.” puji Datin Seroja. Datin Hananiah tersenyum hingga ke telinga, hatinya berbunga-bunga sekembang brooch corak bunga matahari ditepi tudungnya.

“Nanti boleh tak datin berikan nombor telefon caterer serunding dan kuah kacang ni? Saya pun akan adakan jamuan sempena menyambut cucu sulung dua bulan lagi” Puan Seri Ita bersuara sambil mencuit lengan Datin Hananiah.

“Boleh ja, nanti saya pesan Rini Whatsapp Ita”.

“Ok, nanti saya kirim kad jemputan. Datin datang tau”. Datin Hananiah mengangguk.

Meja bulat kumpulan datin dan puan-puan seri itu bukan sahaja diisi pinggan yang penuh dengan juadah malah gelak tawa dan perbualan mengenai perniagaan serta hal keluarga masing-masing. Rini sejak tadi sudah 3 kali berulang ke meja buffet menambah lauk paling enak awal tengahari itu.


Pagi itu, Pakcik Selamat menyuruh isterinya Melur ditemani anak lelaki mereka Sufi ke pasar untuk membeli daging dan beberapa bahan lain untuk persiapan tempahan 5 Kilogram serunding. Pakcik Selamat jarang menyuruh isterinya itu ke pasar tanpa ditemaninya kerana cemburu mata lelaki lain melihat kecantikan Melur yang tak pernah luntur dek usia walaupun berumur 49 tahun dan sudah beranak tiga.

“Sufi, kau teman ibu ke pasar. Perhatikan kalau ada jantan kat pasar tu mengorat ibumu, kalau ada kau report pada ayah, biar ayah korek biji mata jantan tu. Kau pun Melur jangan terkemut-kemut sangat bila aku tiada. Nahas kau!” pesan Pakcik Selamat kepada Melur dan anak bongsunya yang berumur 18 tahun itu.

Dua beranak itu menuruti sahaja kata-kata Pakcik Selamat. Di dalam kereta, Sufi memandang wajah ibunya yang lebam ditumbuk akibat menasihati ayahnya supaya berhenti berjudi.

“Ibu, sampai bila nak bertahan dengan sikap ayah yang panas baran itu?” Melur diam seketika sambil meneruskan pemanduannya.

“Tak tau Sufi sampai bila ibu boleh bertahan. Along pun tak sudi balik ke rumah kita lagi akibat sikap buruk ayah. Angah yang baru habis belajar pondok tahfiz tu pun dah tak balik seminggu selepas kejadian bertengkar dengan ayah tempoh hari. Ibu yang melahirkan kamu semua ni sedih dan serba salah bila keluarga kita berpecah begini” air mata kesedihan mengalir dipipi mulus Melur.

Sufi mengelap air mata Melur dengan tapak tangan kasarnya. Sufi anak yang taat, dialah penyejuk hati ibunya. Dia juga membantu perniagaan serunding dan kuah kacang daging keluarga itu.

Kelihatan ramai pengunjung ke pasar borong pagi itu. Melur dan Sufi berjalan kearah penjual daging. Dari jauh Encik Khalid melambai-lambai kearah Melur dan Sufi. Kenal benar Encik Khalid pada mereka kerana keluarga Melur adalah customer tetap merangkap jiran satu kampungnya. Sampai sahaja Melur di hadapan gerainya, mukanya berkerut seribu melihat pipi dan alis mata Melur yang lebam.

“Mat pukul Melur lagi ya?” dia bersuara perlahan bertanya Melur. Kebetulan Sufi berborak dengan bekas rakan sekolahnya di sebelah gerai Encik Khalid. Melur mengangguk serta bermuram durja.

“Kasihan Melur. Tak ubah perangai si Selamat tu sejak dulu..”

“Sekarang dia kaki judi pula, bang. Bila ditegah katanya untuk membantu perniagaan kami. Tapi bukan makin bertambah kewangan kami, makin susut adalah.” Melur memotong bicara Encik Khalid.

“Judi itu dosa. Hasilnya haram dimakan. Ikhlas menegur ni, sebab itulah abang tengok lahiriah perniagaan kamu maju, serunding dan kuah kacang enak tiada tandingan. Tapi hasilnya? tak juga abang tengok kamu tukar Perodua Kancil tu sejak 16 tahun, rumah pun asyik berpindah randahkan? tiada keberkatan rezeki.”

“Saya rasa derita namun memikirkan anak-anak dengan usia lanjut ni, saya sabar dan redha” mata Melur berkaca semula.

“Kalau abang Khalid jadi Melur, dah lama cabut lari. Sabar ya, abang yakin suatu hari kelak kesedihan itu akan digantikan perkara yang membahagiakan”

“In shaa Allah, bang” Melur tersenyum.

Encik Khalid menghulurkan plastik merah berisi daging 7 Kilogram itu. Melur menghulurkan duit kepada Encik Khalid, namun hari itu dia memulangkan kembali duit tersebut kepada Melur. Encik Khalid baik hati untuk bagi free sahaja daging itu mengenangkan nasib Melur dan anak-anaknya. Encik Khalid masak sangat sikap Selamat yang panas baran, kaki pukul isteri dan anak-anak serta sikap Narsisistik yang menyebabkan ramai orang menyampah dan meluat pada lelaki berusia setengah abad itu!

“Abang Khalid ada terjumpa Shahir tak? dah seminggu dia tak balik.” Encik Khalid menggeleng kepala sambil wajahnya beriak sedikit terkejut dengan perkhabaran Melur itu.

“Kalau saya ada terserempak dengan Shahir, saya akan nasihat suruh dia pulang kerumah ya” jawab Encik Khalid.

Setelah selesai berurusan di pasar, dua beranak itu pulang ke rumah. Sampai di perkarangan rumah mereka melihat Pakcik Selamat membasuh cangkul dan beberpa peralatan lain di paip utama luar rumah itu. Kelihatan plastik hitam bersaiz XL itu digumpal dan sedia untuk dibuang kedalam tong sampah. Leka membasuh, Sufi menegur ayahnya.

“Ayah buat apa tu? setahu Sufi ayah tak minat berkebun dan bercucuk tanam.”

“Eh, budak ini, nasib baik aku tak cangkul kepala kau tau tak? Tak reti nak bagi salam main terjah je!”

Sufi diam. Memang salah dia pun sebab menegur orang tua itu ketika khusyuk membasuh.

“Maafkan Sufi, ayah”

“Dah, masuk. Tak payah kau sibuk urusan ayah ni. Kau tolong ibu rebus daging-daging tu. Lusa tempahan nak dihantar.”


Keuntungan jualan serunding kali itu habis dijudikan Pakcik Selamat, tak cukup dengan duit dikebasnya barang kemas Melur.

“Abang, sudah-sudahlah tu. Hanya itu tinggalan arwah mak untuk Melur” dia merayu pada suaminya sambil berusaha merampas gelang dan rantai emas milik warisan turun temurun keluarganya.

“Kau ingat aku kisah?!” Pakcik Selamat menendang perut dan menampar wajah Melur. Namun genggaman Melur pada barang emas itu masih kuat.

“Kau henyak, kau pijak dan kau toreh je muka perempuan tu!” bisik Iblis.

Pakcik Selamat menggunakan kekuatan jantannya menghenyak, memijak isterinya. Melur masih tidak mengalah. Jatuh di henyak, dia bangkit kembali. Melihat keadaan isterinya yang tak putus asa, Pakcik Selamat memecahkan cermin almari perhiasan didepannya. Di capai serpihan cermin itu, lantas Pakcik Selamat menoreh wajah Melur. Terasa kesakitan yang amat sangat pada pipi kiri Melur. Darah mengalir membasahi baju kurungnya. Dia melepaskan genggaman, berjatuhan barang-barang yang dipertahankannya. Melur berundur kebelakang sambil menutup bahagian wajah yang luka. Air matanya mengalir laju.

“Padan muka. Degil, rasakan torehan yang akan menjadi parut seumur hidup kau. Hahahaha!” Pakcik Selamat mengutip rantai dan beberapa utas gelang emas yang bertaburan. Harini adalah hari paling bahagia buat Pakcik Selamat kerana dia akan berjudi sepuas hatinya. Iblis bersorak dan menari keriangan kerana satu lagi rancangan memporak perandakan cucu cicit Adam berjaya dilaksanakan.

“Hahahaha! hahahaha!”

Sufi yang baru balik dari rumah sahabatnya terkejut melihat keadaan Melur. Dia bergegas membawa ibunya ke hospital berhampiran. Dalam perjalanan, Melur muntah darah dan mengadu perutnya sakit. Setiba di hospital, Melur terus dimasukkan ke wad kecemasan memandangkan keadaan dirinya yang lemah. Melur terbaring di katil sambil diperiksa oleh doktor. Melur seakan tidak larat untuk terus bertahan lalu perlahan-lahan matanya tertutup.

“Ibu, ibu” Melur mendengar suara Shahir memanggilnya. Perlahan-lahan dia membuka mata lalu ditatap wajah anak keduanya itu. Shahir yang berwajah pucat tersenyum lemah. Sayu matanya melihat tubuh Melur terbaring.

“Ibu kuatkan semangat ya, ibu kena teruskan hidup” Melur cuba berkata-kata pada Shahir. Ingin sekali dia bertanya kemana Shahir menghilang serta memohon agar anaknya itu kembali kepangkuan keluarga. Namun lidah Melur kelu bibirnya langsung terkunci.

“Shahir dah pergi jauh, ampunkan Shahir kerana tidak dapat melindungi ibu lagi”. Seminit dua, perlahan-lahan Shahir membelakangi ibunya. Melur melopong melihat tubuh Shahir yang hancur di bahagian belakang, serta tidak berkaki dan tangannya kudung. Pergerakannya terawang-awang diudara. Melur meronta-ronta. Walaupun seram melihat keadaan anaknya itu, tapi hati keibuannya ingin sekali mengejar Shahir.

“Puan Melur, Puan Melur” doktor menepuk bahu Melur. Dia masih belum membuka mata. Doktor memberi injection penenang kepada Puan Melur. Rontaannya sedikit demi sedikit berkurangan. Dia terlelap kembali.

“Sufi, sudah berapa lama ibu awak diperlakukan seperti itu oleh ayah?” tanya Doktor Karina pada lelaki remaja berkulit cerah itu.

“Hampir setiap hari, doktor. Ibu menanggung derita yang berpanjangan” Sufi menjawab sambil menahan sebak.

“Saya terus terang ya, jika pihak hospital menerima kes-kes begini kami akan laporkan ke pihak polis”

Sufi memandang tepat anak mata Doktor Karina. Hatinya berbolak balik. Kalau ayah berjaya diberkas, pasti ayah dipenjarakan. Bagaimana untuk dia berhadapan dengan masyarakat setempat? pasti keluarganya dicemuh kerana ayahnya akan digelar penjenayah dan banduan. Jika dibiarkan, ibu akan terus tersiksa dan hidup dalam ketakutan.

Otaknya ligat berfikir. Dia mengambil keputusan untuk menelefon abang sulungnya, Suhail. 2 jam berikutnya Suhail sampai dan disambut hormat oleh Sufi.

“Kenapa dari awal kau tak telefon abang long?” marah Suhail pada Sufi.

“Bukan tak nak beritahu, tapi abangkan sibuk memanjang dan seolah-olah taknak melawat ibu dan adik lagi” Sufi mula menangis teresak-esak.

“Aku tak benci ibu, angah dan kau, tapi aku kecil hati pada ayah. Kalau nasihat, dia sahaja yang betul. Tak pernah nak mengendur.” makin kuat Sufi menangis. Dia benar-benar lelah memikirkan keluarganya tambahan Shahir pula menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Suhail memeluk erat adiknya. Doktor Karina dari jauh memerhati gelagat dua beradik itu.

“Emm, keluarga malang.” keluh Doktor Karina

“Kes apa tu?” Doktor Siti menegur

“Woman, 49, abuse by husband. Muka di toreh, traumatic, patah tulang rusuk kiri. Ada pendarahan. Menurut anak mangsa, ibunya itu hari-hari didera akibat ayahnya kaki judi. Bila di nasihat ayahnya narsisistik dan mengugut akan membunuh ahli keluarga yang menghalang perbuatannya.”

“Huh, cruel. Aku makin takut nak berkahwin. Bukan apa, takut jumpa lelaki Psiko macamtu. Dah lapor polis?”

“Aku dah nasihatkan anak bongsu Puan Melur. Agaknya tengah bincang dengan abang sulungnya.”

Suhail dan Sufi datang bertemu Doktor Karina.

“Kami setuju untuk melaporkan perkara ini kepada pihak polis demi keselamatan ibu dan adik saya” kata Suhail. Doktor Karina dan Doktor Siti membantu dua beradik itu menguruskan beberapa perkara untuk memudahkan urusan mereka.

Sementara ayah mereka…

“Hahahahaha! aku menang besar malamni, yihaaaaa!” dia melompat-lompat kegirangan. Sambil berjalan kaki menuju ke pekan melalui lorong-lorong keciltu dia diekori seseorang.

“Sheeerr,sherrr,sherrr,sheerrr” rimbunan rumput berketinggian 5 kaki itu bergoyang seperti dirempuh sesuatu berselang-seli. Langkah Pakcik Selamat terhenti. Kebetulan bulan mengambang. Sinarannya membantu Pakcik Selamat mengintai-intai dicelahan rimbunan rumput sambil memperkemaskan penggalas beg berwarna merah yang berisi duit haram hasil judinya itu.

“Zapppppp!” perutnya dirodok sesuatu yang tajam. Dia melihat makhluk didepannya. Berbulu lebat dan matanya membuntang.

“Rodok lagi, rodok lagi” Iblis membisikkan perintah kepada makhluk tersebut. Pisau rambo itu di hayun bertubi-tubi ke tubuh Pakcik Selamat. Pakcik Selamat langsung tidak berpeluang mempertahankan dirinya.

“Ni makannya. Ni makannyaaa!!” sambil menamatkan riwayat Selamat, lelaki berbulu lebat dikala bulan mengambang itu membebel sebagai hiburan tengah malamnya haritu. Setelah menikam, dia menghayun cangkul dari kepala, turun ke dada dan merodok perut Pakcik Selamat.

“Yuhuuuu..Hahahahahaha!” Iblis gembira besar malam itu.

“Kau jangan lupa bereskan mayat Si Selamat sehingga tiada siapa pun tahu engkau yang membunuhnya!” pesan iblis kepada lelaki itu.

“Hahahahaha, anak perasan alim agama, bapa kawan baik iblis. Puihh!!” hatinya kini puas sekali. Pembunuh itu bijak sekali menutup jenayahnya. Segala bukti dan kesan seretan dihapuskan. Kali ini dia mempunyai satu idea yang difikirnya bernas.


Sudah beberapa minggu Pakcik Selamat tidak dijumpai, begitu juga Shahir. Puan Melur beransur pulih, namun torehan diwajahnya meninggalkan parut kekal. Suhail berpindah kembali kekampung untuk menjaga ibu dan adiknya. Setelah sembuh sepenuhnya, Puan Melur dan Sufi meneruskan perniagaan mereka. Disuatu petang Rini muncul didepan pintu rumah Melur.

“Assalamualaikum, makcik.”

“Waalaikumusalam, Rini”

“Makcik, saya nak tempah 4 Kilogram serunding daging dan kuah kacang tu untuk 200 orang makan ya. Ni detailnya.” kata gadis berusia 24 tahun itu, merangkap setiausaha Datin Hananiah.

Tempahan berkenaan adalah untuk Puan Seri Ita. Setelah ketiadaan Pakcik Selamat, segala urusan digalas Puan Melur. Suhail bertugas sebagai pensyarah disalah sebuah universiti terkemuka. Setiap hari dia berulang alik dari bandar ke kampungnya. Seperti biasa, Sufi menemani ibunya kepasar untuk membeli barang-barang keperluan tempahan.

“Daging 7 kilo ya” kata Melur pada Encik Khalid. Haritu Encik Khalid tak mesra seperti selalu kerana demam selsema hampir seminggu. Dia hanya senyum memandang Melur.

“Perghhhh! sedapnya serunding dan kuah kacang ni” kata tetamu yang hadir.

Rini dan Datin Hananiah makan bertambah-tambah sehingga tidak sedar sudah 5 buah mangkuk bertaburan diatas meja bulat itu. Akibatnya mereka tersandar di kerusi empuk berwarna merah itu kerana kekenyangan.

“Hihihihihi! manusia rakus!” Iblis menyeringai melihat telatah makhluk Allah yang berasal dari tanah liat itu.

Tamat

Penulis: Nikieta Azwazie

Share It!
  • 184
  •  
  •  
  •  

2 Replies to “Narsisistik Penjual Serunding – Nikieta Azwazie”

  1. With havin so much content and articles do you ever run into any problems of plagorism or copyright violation? My site has a lot of exclusive content I’ve either authored myself or outsourced but it appears a lot of it is popping it up all over the web without my permission. Do you know any methods to help prevent content from being stolen? I’d truly appreciate it.

  2. F*ckin?amazing things here. I抦 very glad to see your post. Thanks a lot and i am looking forward to contact you. Will you kindly drop me a mail?

Leave a Reply