Masakan Istimewa Buat Alif

Sudah hampir dua minggu Alif berkerja di stesen minyak setelah dia tamat peperiksaan SPM. Dia agak bosan namun lebih baik bekerja dari duduk di rumah.

Alif bekerja pada shif pagi dan tamat pada pukul 5 petang. Nak dijadikan cerita, apabila shifnya tamat, dia harus berjalan kaki pergi ke pondok bas untuk mengambil bas pulang ke rumah. Perjalanannya ke pondok bas tidak jauh dan harus melalui kawasan perumahan.

Ketika dia berjalan, tiba-tiba di depannya terdapat seorang nenek melambai tangan kepadanya. Muka nenek itu kelihatan sedih. Alif terus mendekati nenek itu.

“Adik. Boleh tolong nenek tak, tolong belikan roti canai dua keping. Nenek tak larat nak berjalan, pinggang nenek sakit.”

Alif tanpa rasa ragu terus mengambil duit yang dihulur oleh nenek itu.

“Nenek tunggu di rumah No 22 ni ya adik. Nanti dah sampai adik masuk je. Nenek tinggal seorang, cucu nenek balik kerja malam nanti.”

Alif terus berpatah balik untuk pergi ke kedai mamak yang berdekatan dengan tempat kerjanya. Tidak sampai hatinya untuk tidak membantu nenek itu. Bukankah besar pahala menolong orang tua?

Dipendekkan cerita lagi, setiap kali Alif pulang bekerja, pasti terserempak dengan nenek itu dan membeli roti canai untuknya. Kerana dah terbiasa, sebelum pulang, Alif akan beli dahulu roti canai kerana malas nak berpatah balik.

Perkara ini sering berlaku hampir sebulan sehinggalah Alif ditugaskan untuk kerja pada shift malam. Sejak dari itu Alif tidak dapat membantu nenek itu lagi kerana Aliff masuk kerja dari 10pm ke 7am.

Sejak dari itu juga nenek terpaksa pergi beli sendiri roti canai dengan keadaan sakit pinggang kerana tiada insan yang sudi menolongnya seperti Alif.

Sehinggalah pada satu hari, apabila Alif pulang dari shif malamnya, dia terserempak dengan nenek itu ketika melalui di rumahnya. Alif dijemput bersarapan kerana nenek itu sangat merindui Alif. 

Alif sangat gembira menerima layanan nenek dan memuji masakan nenek yang sangat sedap. Mereka berdua sering berborak sehinggalah Alif terlelap kerana keletihan bekerja.

Selepas beberapa jam, rumah nenek dimasuki beberapa orang termasuk cucu nenek itu. Mereka kelihatan terkejut melihat kelibat Alif yang sedang tidur di ruang tamu mereka. 

Alif dikejutkan oleh cucu nenek itu dan dimarahi kerana dituduh memecah masuk rumah mereka. Alif terkedu dan menerangkan yang dia dijemput oleh nenek.

Namun apa yang berlaku ialah cucu nenek itu baru balik dari pengebumian neneknya yang baru meninggal petang semalam akibat diragut ketika dia pulang dari membeli roti canai.

Alif sangat terkejut dan tidak mempercayainya namun ketika dia cuba mencari kelibat nenek itu, ternyata tidak dijumpai. 

Yang tinggal hanyalah sedikit masakan nenek yang masih terhidang di atas meja makan itu. Airmata Alif tidak henti mengalir dan dia menghabis baki ‘masakan’ nenek itu buat kali terakhir.

Masakan yang istimewa buat Alif sebagai tanda membalas budinya yang membantu nenek ketika kelaparan selama ini.

Penulis: Syahir

Share It!
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply