Lelaki Jurujual dan Hantu Alice

Kisah seram malam ini mengisahkan tentang seorang jurujual atau dalam bahasa mudahnya salesman, yang mengalami tekanan mental dan emosi. Tekanan ini membuatkan dia dimasukkan ke hospital psikitari untuk pemulihan, sehinggalah dia terlepas daripada hospital. Memburukkan lagi keadaan apabila dia telah kembali menggalas tanggungjawabnya sebagai jurujual namun dengan cara yang berbeza. Orang mental jadi jurujual, apa yang jadi ya? Untuk pembaca-pembaca kami yang berprofesion sebagai jurujual, diharap jangan ambil serius tentang apa yang kami tulis, ini hanyalah sebuah cerita rekaan sahaja. Dan untuk peringatan terakhir, anda dilarang sama sekali meniru aksi-aksi yang dipaparkan dalam cerita ini. Kami tidak bertanggungjawab ke atasnya.

Rasa sejuk begitu mencengkam diri. Eka cepat-cepat menyarungkan baju panas yang dipegangnya tadi ke tubuh. Dia melajukan langkah. Lorong belakang kedai yang sunyi dan berkabus membuatkan hatinya gelisah. Kelihatan dua tiga ekor tikus berlari-lari di tepi sudut dinding berdekatan longkang kecil. Hanya itu sahaja satu-satunya jalan untuk dia menuju ke hentian bas. Eka mula terfikirkan akan cerita-cerita seram yang diceritakan rakan-rakan sepejabatnya siang tadi. Eka bukanlah tidak takut akan cerita-cerita sebegitu, cuma dia malas hendak mengambil serius. Bimbang akan mempengaruhi fikirannya.

Eka sudah hampir sampai ke penghujung lorong, cahaya dari lampu jalan di hadapan membuatkan hatinya sedikit lega. Jam baru menunjukkan pukul 8.45 malam, jadi dia masih sempat lagi untuk menaiki bas yang terakhir. Namun, kelibat satu susuk tubuh di hadapannya ketika itu telah membuatkan jantung Eka berdegup kencang. Seorang lelaki yang berpakaian separa kemas sedang berdiri bersandar di dinding bersebelahan peti janakuasa elektrik. Eka perhatikan sahaja lelaki tersebut. Dia memakai kemeja putih beserta tali leher hitam. Lengan bajunya digulung, manakala tali lehernya di pakai longgar. Rambutnya serabut bagai tidak disikat. Kelihatan juga sebuah beg hitam petak besar di sisinya.

Eka malas hendak memandang lama-lama, bimbang diapa-apakannya. Eka cuba mempercepatkan langkah. Eka seperti dapat mengagak yang lelaki ini mesti akan menegurnya, paling tidak pun ‘hai’. Ataupun ‘hai, nak balik kerja ke?”.

“Hai, nak balik kerja ke?” Lelaki itu menegur. Sangkaan Eka tepat. Rangkap ayat teguran kepada dia juga tepat seperti apa yang Eka fikirkan.

“Haah.” Eka membalas pendek. Dia malas hendak melayan. Lagipun dia bukan jenis perempuan yang suka melayan. Prinsip Eka satu, dia tahu jika dia melayan lebih-lebih, lelaki akan mula naik tocang. Bila naik tocang, mulalah hal-hal yang lain berlaku.

“Ada masa sekejap tak. Saya ni jurujual barang, kebetulan dah malam ni, jadi saya anggap awak ni pelanggan terakhir saya lah untuk malam ni.” Lelaki itu cuba menarik perhatian Eka. Eka terus membuat muka tak puas hati.

“Awak jual apa? i’m not interested, sorry.” Eka cuba mengelakkan diri.

“Oh, it’s okay. it will take only a minute.” Lelaki jurujual mengeluarkan sekeping kad di saku kemejanya.

“Why not you try this? Kalau nasib awak bertuah malam ni, awak akan dapat hadiah.” Lelaki jurujual menghulurkan sekeping kad gores dan menang kepada Eka. Eka memandang dengan muka penuh bosan. Dia tahu dalam banyak-banyak benda mengarut di dalam dunia ni salah satunya adalah kad gores dan menang.

“Will you? please. Cuba je, kalau tak menang tak apa. At least you try. Got four box at here, one of four will offer you a prize. So, awak kena gores salah satunya. Kalau nasib awak baik, awak akan dapat hadiah yang ada dalam salah satu 4 ruangan kotak ini” Lelaki jurujual cuba mempengaruhi Eka lagi. Eka yang pada mulanya malas hendak melayan benda-benda mengarut itu terus mencuba nasib dengan menggores. Niatnya hanya mahu balik cepat.

Eka gores kotak sebelah kanan sekali. Gambar gerudi elektrik terpapar. Terangkat kening Eka.

“Oh, i’m so sorry miss. Unfortunately, malam ni bukan tuah awak. Hadiah sebenarnya bukanlah gerudi ini. Thanks for trying, have a good night miss.” Lelaki jurujual terus mengambil kad gores dari tangan Eka lalu menyimpannya semula ke dalam saku baju.

“Okay, thank you for wasting my time as well.” Eka terus berlalu pergi. Menyesal pula dia melayan benda-benda bodoh sebegitu. Kakinya terus melangkah menyelusuri kaki lima bahagian hadapan kedai. Pekan di situ biasanya ‘mati’ awal. Kedai-kedai akan berhenti beroperasi menginjak jam 8 malam. Eka terus berjalan membelah kabus malam untuk menuju ke hentian bas. Sedang dia berjalan, kelihatan seperti ada satu bayang-bayang lain di hadapan. Bayang-bayang tersebut wujud seperti bagai ada orang lain di belakangnya. Eka menoleh ke belakang. Dia tersentak. Lelaki jurujual sebentar tadi kini ada betul-betul di belakangnya. Mukanya agak bengis berbanding seperti yang dia lihat sebentar tadi. Eka terperangkap dan tersandar ke dinding. Lelaki tersebut memegang dan menghalakan gerudi elektrik yang sedang berputar laju ke muka Eka.

“Hi, miss. Ini hadiah awak.” Lelaki jurujual tersenyum sambil menghunuskan mata gerudi yang sedang berputar laju ke MATA Eka! Eka menjerit saat mata gerudi mencecah anak mata kanannya. Dia cuba meronta-ronta untuk menolak, namun kederat lelaki jurujual lebih kuat daripadanya. Darah terpercik dan memancut-mancut keluar dari lubang mata yang semakin hancur dan lopong. Mata gerudi dibenamkan lebih dalam lagi. Cebisan-cebisan bebola mata dan isi rongga mata bersepah keluar. Eka terbaring menggeletik dengan wajah berlumuran darah. Darah membuak-buak keluar dari lubang mata kanan yang sudah rompong.

Lelaki jurujual tersenyum sambil mengelap mata gerudi menggunakan hujung tali lehernya. Gadis tidak berdosa dibiarkan mati terseksa di kaki lima.

……………………..……….

Keesokkan harinya seluruh bandar kecoh dan heboh dengan penemuan mayat gadis di kaki lima. Keadaan mayat gadis yang ngeri dengan mata sebelah hilang seperti bagai dirodok membuatkan semua warga ketakutan. Masing-masing membuat andaian sendiri walaupun pihak polis dan forensik masih belum selesai menjalankan siasatan. Penduduk-penduduk berkumpul di luar kawasan garisan polis untuk mengetahui lebih lanjut. Ada andaian yang mengatakan gadis ini dibunuh oleh hantu Alice. Hantu yang terkenal sehingga menjadi mitos lagenda penduduk setempat.

16 tahun dahulu Alice, seorang warganegara Britain telah berpindah dan bekerja di bandar ini. Malang tidak berbau apabila pada suatu malam sewaktu berjalan pulang dari tempat kerja, Alice dibunuh oleh seorang pengamal ilmu hitam yang mengamalkan ajaran sesat. Sebelah mata Alice telah dikorek keluar untuk dipuja. Sejak daripada hari itu, dikatakan roh Alice kerap berterbangan menganggu penduduk bandar bagi membalas dendam. Seorang lelaki tersenyum mendengar cerita yang dikatakan oleh penduduk setempat. Lelaki yang berambut serabai ini berdiri tidak jauh dari mereka semua. Hanya berdiri diam mendengar satu persatu cerita bohong mereka. Mengapa lelaki ini mengatakan cerita mereka adalah cerita bohong? Kerana lelaki ini ialah lelaki jurujual malam tadi. Dia tersenyum dan berlalu pergi dari situ.

……………………..……….

Malam ini merupakan malam penentuan. Perlawanan bola sepak Final siaran langsung akan ditayangkan lagi setengah jam. Rizal sudah menyiapkan minuman dan makanan ringan di hadapan televisyen sementara menunggu rakan-rakannya sampai. Bagi membunuh masa, Rizal duduk sebentar di sofa sambil bermain telefon. Laman sosial instagram dibelek-beleknya. Tiba-tiba kedengaran loceng pintu rumahnya berbunyi. “Ding..Dong..”. Mesti itu rakan-rakannya, kata Rizal dalam hati. Tapi pada masa yang sama dia berasa pelik, kerana rakan-rakannya yang sudah biasa datang ke rumahnya jarang akan membunyikan loceng.

Rizal melihat dari lubang pintu. Muka Rizal berkerut. Dalam hatinya berkata, lelaki mana pula yang datang malam-malam membawa beg, memakai kemeja putih dan bertali leher hitam? Rizal malas hendak berfikir panjang. Tanpa rasa curiga, Rizal pun membuka pintu rumahnya.

“Hai, encik selamat malam. Maaf kerana menganggu. Saya jurujual barangan. Boleh saya pinjam masa encik sekejap untuk saya perkenalkan barang-barang saya ini?” Lelaki jurujual cuba memperkenalkan diri.

“Sorry? Malam-malam pun salesman kerja ke?” Rizal berasa pelik.

“Saya memang suka bekerja pada waktu malam sebab masa macam ni orang semua sedang berehat. Jadi mudahlah untuk kita approach. But if you rasa tak ada banyak masa dengan i, why not you cuba kad gores dan menang ni. It will took for a while sahaja.” Lelaki jurujual berambut serabai cuba memancing Rizal.

“Haha, seriously? i ingat benda-benda macam ni dah tak ada lagi zaman sekarang. Look, honestly i memang tak percaya dengan gores-gores dan menang ni and you memang dah menganggu masa rehat i. But it’s okay, oleh sebab tak nak kecewakan you i’ll try. After this i hope you will get your ass out of here!” Kata Rizal sedikit marah.

Dengan muka yang agak bengang lelaki jurujual terus menghulurkan kad gores dan menang ke tangan Rizal. Di antara 4 petak di kad, Rizal memilih untuk menggores petak yang tengah. Lelaki jurujual tidak sabar menanti keputusan goresan. Dia tidak sabar lagi mahu ‘menghukum’ lelaki sombong ini. Dan gambar di bawah goresan semakin terpapar. Semakin digores semakin jelas gambar yang tersembunyi di situ.

“What, kapak? Ini ke hadiah yang saya dapat? Haha, you gotta be kidding me. See, kan i cakap i tak percaya benda-benda bodoh ni.” Kata Rizal. Lelaki jurujual menundukkan muka sambil tersenyum. Dia mencapai beg besarnya lalu membukanya.

“Ok you betul-betul dah membuang masa i. You can go now Mr. Salesman!” Kata Rizal sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

“Wait.. nanti dulu. Ini hadiah awak..” Lelaki Jurujual menghayunkan sebuah kapak yang digenggamnya ke kepala Rizal. Dihayun dengan kuat! Mata kapak yang tajam betul-betul tepat mengenai bahagian tengah muka Rizal. Kedengaran bunyi benda pecah. “Prakk!” Mungkin tengkorak Rizal yang pecah. Wajahnya hampir terbelah dua. Dalam keadaan begitu Rizal masih lagi mampu menjerit. Lelaki jurujual terus menetak muka Rizal berkali-kali dengan kapak sehingga terkopak, terbelah lunyai dan hancur. Darah terpercik di merata-rata tempat. Lantai tile putih bertukar warna merah.

Lelaki jurujual tersenyum sambil mengelap mata kapak menggunakan hujung tali lehernya. Dia berasa amat seronok dan puas dapat bermain ‘permainan’ sebegini. Membunuh orang dengan peralatan yang mereka pilih sendiri. Lelaki sombong dibiarkan mati terseksa di hadapan pintu rumah.

……………………..……….

Pagi esok, seluruh warga bandar kembali kecoh dan heboh lagi. Pihak polis pening kepala apabila kejadian yang hampir sama terjadi lagi. Mereka menyimpulkan bahawa ini kes pembunuhan bersiri berdasarkan penyiasatan dan juga beberapa maklumat yang didapati daripada jabatan forensik. Besar kemungkinan kejadian mayat lelaki yang pecah mukanya ini dan penemuan mayat gadis hilang sebelah mata dibunuh oleh pembunuh yang sama. Namun begitu masih ada juga andaian-andaian mengarut yang dibuat oleh penduduk bandar. Mereka kuat mengatakan dua orang ini dibunuh oleh hantu Alice.

“Tapi hantu Alice kan hanya ambil mata sahaja. Kenapa mayat ini dia tak ambil mata, tapi dihancurkan mukanya?” Kata seorang anak muda kepada seorang mak cik yang dari tadi kecoh membuat andaian mengarut.

“Err.. mungkin hantu Alice tengah marah sangat agaknya! Tu yang dipecahkan muka lelaki ni.” Tambah mengarut lagi kenyataan mak cik itu.

Pihak polis menegah masyarakat supaya membuat kenyataan atau andaian sendiri, kes masih lagi dalam siasatan. Bimbang benda jadi viral, dan warga bandar jadi takut. Selepas dua peristiwa yang mengerikan itu, berlaku lagi kejadian-kejadian yang serupa dengan lebih kerap. Ada yang terjumpa mayat dijerut dan digantung dengan tali pinggang, mayat suri rumah yang tangannya hancur dikisar dengan mesin blender, mayat lelaki kepala pecah dihentak dengan tukul besi, mayat leher hampir putus dikelar dengan pisau pencukur, mayat dengan kesan digerudi di seluruh badan, mayat putus kaki ditetak kapak dan bermacam-macam lagi. Semua kejadian itu membuatkan seluruh warga bandar menjadi trauma dan takut hendak keluar rumah terutama pada waktu malam. Pihak polis terus giat menjalankan siasatan. Kawalan demi kawalan dijalankan di seluruh pelusuk bandar.

Ramai juga yang masih percaya kejadian-kejadian pembunuhan ini dilakukan oleh hantu Alice. Penyebaran palsu dari mulut ke mulut ini menambahkan lagi kekusutan dan kekeliuruan antara warga penduduk. Rata-ratanya percaya ia dilakukan oleh hantu Alice. Hal ini kerana, lelaki jurujual psycho tersebut telah membuat satu video pendek berkenaan hantu Alice dan menyebarkannya di laman sosial. Video berdurasi 2 minit yang memaparkan hantu Alice sedang terbang di sebuah bangunan lama ini telah direka oleh lelaki jurujual dengan menggunakan teknik hologram. Tujuannya hanya untuk mengelirukan dan memperdaya mereka. Bijak rupanya lelaki jurujual ini. Akibatnya semua percaya buta-buta pada video pendek itu. Lelaki jurujual tahu yang hantu Alice memang tidak pernah wujud, semua itu hanya khabar angin sahaja.

Puas rasanya apabila melihat seluruh bandar menjadi haru-biru dan riuh-rendah ekoran video pendek yang direkanya. Dulu mereka semua mengkeji dan mencaci lelaki jurujual ini dengan tohmahan-tohmahan yang buruk. Dia dihina kerana menjual produk dan barangan tidak berkualiti. Dia juga pernah ditahan dan dipenjara kerana menipu duit orang ramai. Tekanan hidup dan masalah kewangan membuatkan lelaki jurujual sanggup berbuat demikian iaitu dengan menipu masyarakat. Rentetan hidup di penjara menjadikan lelaki jurujual mengalami tekanan emosi dan mental yang hebat. Dia selepas itu dipindahkan pula ke pusat psikitari. Hanya bertahan selama beberapa bulan kerana lelaki jurujual ini berjaya meloloskan diri tanpa dikesan orang ramai. Mungkin kerana penampilannya kini sudah berubah, dahulu dia berimej sangat kemas dengan rambut pendek, tetapi tidak sekarang.

……………………..……….

Malam itu, lelaki jurujual kelihatan sudah bersiap sedia dengan aktiviti hariannya. Dia semakin seronok membunuh manusia. Variasi peralatan di dalam begnya menjadikan aktiviti tersebut semakin menarik. Dia berdiri bersandar di sudut lorong, menanti saat orang lalu lalang. Beberapa minit menanti, akhirnya matanya terpanggil pada seorang perempuan yang sedang berjalan seorang diri tidak jauh daripadanya. Lelaki jurujual tersenyum melihat wajah manis perempuan tersebut. Tinggi lampai, berkaca mata hitam, rambutnya panjang berwarna coklat, disarungkan pula dengan baju gaun putih. Lelaki jurujual sudah fikir lain.

Si gadis semakin menghampiri lelaki jurujual. Menonong dia jalan tanpa pandang kiri dan kanan. Barangkali hendak cepat.

“Hello miss, hai. Do you have a time?” Lelaki jurujual mencuba nasib.

Si gadis cantik hanya memandang sahaja muka lelaki jurujual tanpa memberi respon apa-apa. Baunya sangat wangi. Dia memandang tepat wajah lelaki jurujual. Lelaki jurujual jadi berdebar dan serba salah. Mana mungkin dia akan membunuh gadis secantik ini. Tetapi gadis ini memandangnya dengan muka yang agak marah. Tidak dapat dipastikan sebab apa.

“Err.. erm.. hai, miss. Don’t get me wrong, err.. saya ni cuma jurujual sahaja. Do you have a time for me to introduce my product?” Entah kenapa lelaki jurujual jadi kalut dan gagap ketika berhadapan dengan gadis cantik ini.

“I know you’re salesman. And i know what you have done to the people in this town.” Gadis cantik membalas. Lelaki jurujual tergamam. Mukanya berpeluh. Dalam hatinya bertanya siapakah gadis ini?

“Do you have a time for me too?” Tanya gadis cantik sambil meletakkan tangannya di kedua-dua bahu lelaki jurujual. Lelaki jurujual semakin berdebar dengan aksi daripada gadis cantik di hadapannya.

“Err… err.. ” Makin gagap lelaki jurujual.

“Aku tanya, KAU ADA MASA TAK UNTUK AKU ?!!” Gadis cantik semakin marah. Rupanya itu hanya perangkap. Si gadis menanggalkan cermin mata hitamnya. Maka ternampaklah akan sebelah mata yang sudah rompong, berlubang tiada isi. Tangan gadis itu tiba-tiba mengeluarkan kuku yang panjang, leher lelaki jurujual dicengkam agak kuat. Lelaki jurujual menjerit dan meronta-ronta meminta tolong apabila melihat wajah gadis cantik itu sudah bertukar rupa. Mata sebelahnya meruncing tajam, mukanya pucat manakala mulutnya melebar menampakkan gigi taring. Rambutnya menggerbang panjang. Tubuhnya seakan terapung-apung, gaun putih turut sama terbang beralun.

Jari-jemari si gadis membelai wajah lelaki jurujual. Kedua ibu jarinya terhenti di atas mata lelaki itu. Tanpa sempat lelaki jurujual berbuat apa-apa, kedua-dua belah matanya dikorek keluar dengan menggunakan jari berkuku panjang si gadis hantu. Memancut-mancut darah keluar bersama isi mata. Kedua-dua bebola mata si lelaki terjuntai keluar, bergantungan di atas pipi. Darah mencurah-curah keluar dari lubang mata yang sudah rompong.

“Lupa nak perkenalkan diri. Nama aku Alice.” Kata si gadis cantik sambil memandang lelaki jurujual yang sudah terbaring kaku di atas jalan. Gadis itu terbang ke atas sebelum hilang ditelan langit malam.

#kisahseram #seram #penselstudio
penselstudio2016©allrightsreserved

Share It!
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply