Langsuir

Bunyi motosikal Norton menderu laju di jalan kecil di pinggir kampung. Suasana sunyi dan aman di malam hari membuatkan jiwa Badrul berasa tenang seketika. Badrul, 23 tahun seorang lelaki yang masih bujang, bekerja sebagai operator di sebuah kilang membuat peralatan elektronik milik syarikat Jepun. Dia dalam perjalanan pulang dari kilang. Rakan-rakannya yang lain masih menunggu bas Aik Leong untuk datang menjemput. Mujur ada motor pusaka tinggalan arwah ayahnya. Jadi tidak lah dia perlu bersusah payah menunggu bas. Di tahun 1972 seperti ini sesiapa yang mempunyai motosikal atau motokar digelar sebagai orang berada.

Badrul baru hendak riak sedikit, tidak semena-mena hujan renyai mula turun. Sudahlah rumahnya jauh lagi, hujan pula. Dia memperlahankan motornya untuk berteduh sebentar di pondok bas dengan jarak 10 meter di hadapan. Jika kawan-kawan sekilangnya lalu nanti mesti mereka semua akan mentertawakan Badrul. Lagi-lagi si Ah Hock, Zain, Ganesh dan Jefri. Lantaklah. Bisik hati kecilnya.

Dilihat jam di tangannya. Sudah masuk pukul 11.30 malam. Hujan yang renyai tadi bertukar menjadi lebat. Tak banyak motokar yang lalu lalang pada waktu-waktu begini. Bas kilang juga tak melalui jalan ini malam ini. Badrul berasa pelik, barangkali bas tersebut melalui jalan depan sekolah sana, lebih dekat. Maka tinggallah Badrul seorang diri duduk di atas motosikal di bawah pondok bas. Sambil menanti hujan yang entah bila akan berhenti.

Guruh dan kilat terus sabung menyabung. Seram pula bunyinya. Di kiri dan kanan jalan pula terbentang luas kebun kelapa sawit dan hutan. Hutan yang di mana zaman kanak-kanak Badrul dihabiskan masanya untuk melastik burung dan mencuri buah ciku. Sunguh indah sekali waktu itu. Tetapi ia tidak seindah malam ini. Mahu saja Badrul menghidupkan enjin motor dan meredah hujan lebat. Dalam kesunyian malam, Badrul menongkat dagunya pada tangki motosikal. Bilalah hujan nak berhenti. Badrul mengomel sendirian.

“Abang…”

Badrul terkejut kerana tiba-tiba ada seorang perempuan muda menyapanya dari arah belakang. Dia hairan dari mana datangnya dan sejak bila dia datang ke arahnya. Perempuan ini wajahnya sangat cantik, berbaju kurung putih. Rambutnya pula hitam ikal di tutupi kain batik yang dijadikan selendang. Badrul jadi resah dan gelisah. Dari kepala hingga ke kaki Badrul ulang kali pandang. Badrul sekali lagi berasa hairan kerana perempuan ini langsung tidak basah, walhal hujan amat lebat di luar sana.

“Err.. er.. ya saya. Cik Adik ni siapa dan.. datang dari mana?”

Badrul memberanikan diri untuk menegur perempuan muda di hadapannya ini. Perempuan itu hanya merenung dan memandang mata Badrul. Pandangannya betul-betul menikam sehingga membuatkan Badrul resah.

“Panggil Ana sahaja. Ana datang dari sini-sini jugak, kampung ni.”

“Ye ke. Tak pernah pulak saya nampak awak dekat sini. Cik adik ni baru pindah sini ke?”

Kedua-duanya pun berbual sambil berkenal-kenalan. Daripada tadi Badrul asyik memandang mata Ana. Sungguh cantik. Sesekali dia sisipkan rambutnya panjangnya ke telinga. Tingkah lakunya memang menggetarkan jiwa mana-mana lelaki pun. Jika ada sesuatu yang lucu Ana mesti akan ketawa panjang. Bila didengari terasa menakutkan pula ketawanya ini. Perempuan yang baru dikenalinya ini memberitahu bahawa rumahnya terletak di belakang bukit sana. Badrul tahu di sana ada beberapa rumah banglo lama. Tapi rasanya rumah-rumah tersebut sudah lama ditinggalkan kosong.

Hujan sudah mulai reda, rasanya ini masa yang sesuai untuknya bergerak pulang. Badrul memakai topi keledar dan terus menghidupkan enjin motosikalnya. Badrul toleh ke belakang, dia lihat Ana sedang berdiri menghadap kebun kelapa sawit. Entah apa yang ditenungnya tidak pula Badrul tahu. Lama juga. Dia cuba mempelawa Ana untuk mengajak pulang bersama.

“Awak nak tumpang….?”

Saat dia toleh ke belakang semula, perempuan yang bernama Ana ini tiba-tiba hilang daripada pandangan. Seiring dengan kehilangannya itu, bau bunga cempaka, tajam menusuk ke rongga hidung. Berderau darah Badrul. Entah kenapa bulu roma Badrul terus meremang.

……………………..………………..

Keesokkan harinya Badrul termenung panjang mengingatkan kejadian malam tadi. Dia mula terbayang-bayangkan wajah ayu putih mulus perempuan yang bernama Ana yang dia temui di pondok bas semalam.

“Badrul, kenapa ditenungnya saja kuih keria tu. Makanlah nak.. penat-penat mak buat pagi tadi.”

Badrul terjaga daripada lamunan. Emaknya berasa hairan melihat tingkah laku anak tunggalnya yang seperti orang baru lepas putus cinta. Entah apalah yang dia sedang fikirkan itu agaknya.

“Mak. Mak kenal tak perempuan yang bernama Ana tinggal di kampung ni?”

Emak Badrul yang sedang mengemas pinggan mangkuk di rak tiba-tiba berhenti seketika. Dia terus memandang wajah Badrul.

“Ana? Ana mana ni Badrul. Dekat kampung kita ni memang ramai yang bernama macam tu. Ada Suhana, Ziana, Maulana, Sofiyana, Santana. ”

Badrul membalas padangan emaknya dengan pandangan yang kosong. Dia tahu emaknya sedang cuba berjenaka. Lagipun memang betul, Badrul hanya mengenali perempuan itu dengan nama Ana sahaja. Nama penuh dan binti siapa tidak pula dia ketahui. Tak mengapalah, mungkin emaknya memang tak mengenali perempuan tersebut.

Namun bagai ada satu desakan yang memanggil-manggil Badrul untuk mengenali perempuan misteri ini dengan lebih mendalam lagi. Baginya ada sesuatu yang ada pada perempuan ini untuk dirungkai. Kehadirannya yang cuma seketika malam tadi memang benar-benar mengetarkan jiwa Badrul.

“Sudahlah tu Badrul. Emak memang tak kenal pula perempuan yang kamu sebutkan tu tadi. Tapi mengapa dengan dia nak?”

“Tak ada apa-apa lah mak.”

Kuih keria buatan emaknya ini memang sentiasa sedap seperti selalu.

……………………..………………

Lain pula ceritanya yang Badrul dengari daripada rakan-rakan sekilangnya. Dua tiga hari lepas, si pemandu bas kilang iaitu Aik Leong telah berhadapan dengan pengalaman yang menyeramkan sepanjang dia bekerja menjadi pemandu bas. Cerita ini Aik Leong sendiri ceritakan pada mereka dan dengan cepat tersebar meluas. Menurut Aik Leong, pada malam waktu kejadian, dia sedang memandu selepas dari menghantar seorang pekerja yang terakhir. Sewaktu dalam perjalanan pulang, dia perhatikan di cermin padang belakang bas ada seorang lagi penumpang yang sedang duduk di kerusi kiri paling belakang sekali.

Aik Leong pun berasa hairan, kerana dia rasa semua pekerja kilang sudah dihantar ke rumah masing-masing. Tetapi mengapa pula ada lagi seorang yang tertinggal? Dia tak pernah pula melihat perempuan tersebut sebelum ini. Mungkin pekerja baru? Oleh kerana ingin kepastian, Aik Leong pun bertanya kepada perempuan tersebut rumahnya di mana. Perempuan itu walaupun duduk di paling belakang sekali, tapi suaranya kedengaran jelas ke hadapan. Dia mengatakan rumahnya terletak berdekatan pondok bas Jalan Seroja.

Sesekali Aik Leong menjeling ke belakang. Dilihatnya perempuan itu duduk berdiam diri sambil tunduk ke bawah. Rambutnya yang ikal panjang menutupi sebahagian wajahnya.

Bas pun membelok dari simpang tiga menuju terus ke Jalan Seroja seperti yang dikatakan. Sampai sahaja di pondok bas, Aik Leong menoleh ke belakang untuk memberitahu perempuan tersebut bahawa dia sudah sampai. Namun ada sesuatu yang agak menyeramkan telah berlaku. Aik Leong lihat perempuan tersebut sedang berdiri tegak di tengah-tengah bas, barulah Aik Leong sedar yang dia rupanya memakai jubah putih panjang sehingga ke lantai. Lebih menakutkan apabila dia menghilai panjang kemudian terbang menghilang melalui tingkap. Aik Leong terus demam tiga hari.

Lain pula kisahnya yang terjadi pada Rohaya, kawan sekolah lama Badrul. Menurut Rohaya dia sunguh-sungguh menceritakan kepada orang kampung bahawa dia ternampak seorang perempuan muda yang mencurigakan mundar-mandir di belakang rumahnya. Kejadian aneh berlaku pada pukul 7 petang ketika dia sedang mengambil kain baju di ampaian. Di belakang rumahnya terdapat sebatang jalan tar kecil yang menghubung terus ke sekolah rendah agama. Di situlah dia ternampak perempuan muda cantik sedang berjalan mundar-mandir seperti mencari sesuatu. Sebenarnya agak mustahil untuk melihat seseorang berada di jalan itu di waktu senja sebegitu. Keadaan jalannya gelap ditutupi pokok hutan.

Rasanya tak siapa yang sanggup dan berani berjalan kaki seorang diri di situ. Rohaya risau jika perempuan yang dia nampak itu bukan manusia. Rohaya secara tidak sengaja telah memandang dan bertentangan mata dengannya. Melihat raut wajahnya yang pucat membuat Rohaya terus kecut perut. Dia terus cepat-cepat mengambil kain di ampaian dan masuk ke dalam rumah. Rohaya tidak tahu apa yang telah terjadi kepada perempuan tersebut selepas itu. Tetapi, ibunya ada mengatakan dia ada terdengar bunyi perempuan menghilai panjang dari belakang rumah pada malam hari waktu yang sama. Menurut ibu Rohaya, hilaiannya persis Langsuir.

Badrul terus teringatkan perempuan bernama Ana yang dia jumpai di pondok bas yang sama beberapa hari yang lepas. Adakah perempuan misteri itu ‘perempuan’ sama? Hati Badrul terus kuat mengatakan ada yang tidak kena pada perempuan tersebut. Kawan-kawan rapat Badrul menasihati supaya jangan cari pasal untuk pandai-pandai selidik. Namun ada beberapa perkara yang mendesak Badrul untuk ‘mengenali’ latar belakang perempuan tersebut. Pertama, pada malam tadi sewaktu dia sedang enak tidur tiba-tiba dia berasa ada suara berbisik di telinganya. Suara perempuan yang mendayu-dayu menyebut nama Badrul.

Kedua, rumah belakang bukit seperti yang perempuan itu sebutkan nampak terang benderang sewaktu dia melalui kawasan di situ senja kelmarin. Seakan-akan memanggil-manggil Badrul untuk singgah. Jadi kebolehpercayaan yang mengatakan Ana ialah ‘perempuan’ misteri seperti yang Aik Leong jumpa, nampaknya macam tidak tepat. Barangkali Ana itu bukan hantu, tetapi manusia biasa yang penuh dengan misteri? Fikiran Badrul berpusing-pusing macam gasing.

Badrul menghidupkan enjin motosikalnya. Hatinya kering. Dia tetap ingin mengetahui siapakah Ana sebenarnya. Bisikan di malam hari datang menghasutnya supaya berbuat demikian. Berderu motosikalnya meninggalkan asap tebal setebal rasa ingin tahu Badrul. Ditunggangnya motosikal menuju ke pondok bas tempat pertama kali dia bertemu dengan perempuan misteri bernama Ana.

Hening senja menyambuti kedatangan Badrul dengan penuh kesuraman. Dia duduk sebentar di bawah pondok bas sambil mengelamun panjang. Jika benarlah Ana itu bukan manusia, sudah tentu dia mesti ‘perempuan misteri’ seperti yang dihebohkan oleh orang-orang kampung. Ini bermakna Badrul sedang menempah bahaya. Angin sepoi-sepoi terus membelai wajah Badrul. Tapi aneh. Angin hanya berada di sekitar kawasan pondok bas ini sahaja tetapi tidak di tempat lain. Mungkinkah ini petanda ‘dia’ sudah hampir dan berada di kawasan berdekatan?

Telinga Badrul menangkap satu bunyi di sebalik bunyi angin yang menderu. Suara halus seorang perempuan kedengaran sambil diiringi deruan bunyi angin.

“Ayuh ke belakang bukit sana……”

“Kau sebenarnya mahu melihat wajah cantik aku lagi bukan….?”

“Mari. Jumpa di belakang bukit. Aku ada di sana…..”

“Mari…..”

“Aku menanti kedatangan kau……”

“Mari ke sana……”

Badrul tersentak. Tubuhnya menggigil. Bulu romanya berdiri tegak. Akhirnya Ana benar-benar datang! Tetapi dia langsung tidak mempernampakkan rupa, hanya suaranya yang menyeramkan kedengaran. Badrul semakin rasa terpanggil ke sana bagi menjawab segala rasa ingin tahu yang menebal di hati. Biarlah mahu jadi apa, Badrul tahu yang memanggilnya ini ialah Ana. Dia kenal suaranya. Badrul tidak sedar bahawa dirinya kini sudah dibawah pengaruh halusinasi yang membahayakan diri.

Suara ghaib terus memanggil. Badrul rasa terpukau dan dipukau. Dia tidak sedar yang dia sekarang sedang menunggang motosikalnya menuju ke arah belakang bukit yang terletak di pinggir kampung sana. Sampai sahaja dia di sana, dia melihat ada sebuah rumah banglo besar yang jika dilihat pada kondisinya seperti sudah lama ditinggalkan. Bumbungnya pecah-pecah, catnya sudah pudar, dindingnya kotor ditumbuhi tumbuhan yang meliar menjalar. Ada sebatang pokok besar yang rimbun tumbuh di hadapan rumah. Akar-akar besar merosakkan laluan kecil ke rumah.

Tapi, apa yang Badrul rasa dan nampak adalah sebuah banglo lama yang cantik dan indah. Ini semua disebabkan pemikirannya sudah dihalusinasikan. Suara ‘Ana’ semakin dekat kedengaran. Mendayu-mendayu memanggil Badrul supaya masuk ke dalam. Badrul sudah terbayangkan wajah Ana yang putih mulus. Tak sabar rasanya dia malu melihat raut wajahnya yang jelita.

“Abang… marilah ke dalam….”

Begitu meruntun jiwa sang lelaki yang nipis imannya ini tatkala mendengar rayuan lunak daripada si jelita. Badrul sudah tidak fikirkan apa. Dia melangkah kakinya laju masuk ke dalam rumah. Pada penglihatan yang sebenar, keadaan di dalam rumah ini sangat kotor dan tidak teratur. Daun-daun kering bersepah-sepah menutupi segenap inci lantai. Ada dahan kayu yang tumbuh sehingga masuk melalui tingkap. Badrul mencari-cari dari mana suara Ana datang. Jiwanya ternyata sudah keliru dan berjaya termakan pujukan ‘si jelita’.

“Ana! kamu di mana? Ana..! Ana..!”

Badrul berlegar-legar satu rumah, otaknya juga berlegar-legar di dalam kekeliruan. Suara Ana jelas kedengaran tetapi kewujudannya langsung tak dapat dikesan. Sesekali Badrul terganggu kerana merasakan ada seseorang seakan sedang meniup telinganya. Ia bagai angin, angin yang bertiup lembut. Hari semakin gelap, Badrul keseorangan di dalam banglo lama ini. Dia masih mencari-cari di mana Ana.

“Zupppppppppp!”

Masa bagai terhenti seketika. Ada satu benda putih terbang laju melintas di hadapan Badrul. Dia terbang pula di belakang Badrul, menuju ke siling dan terus terawang-awangan terbang laju ke tangga tingkat atas. Badrul terpaku terdiam membisu. Matanya tertancap pada seorang perempuan yang sedang duduk di tangga batu.

“Ana!”

Badrul terperanjat saat melihat Ana yang dicarinya tiba-tiba muncul di hadapan. Sedang duduk di atas tangga. Raut wajahnya cantik seperti kali pertama Badrul berjumpa dengannya. Masing-masing bertentang mata. Rambutnya disanggul rapi. Cantik sekali dia pada malam itu dengan baju kurungnya. Ana memberikan senyuman manis.

“Akhirnya kau datang juga..”

“Ya.. ya aku pasti datang. Aku mahu bertemu kau lagi. ”

“Kau seorang lelaki yang berani. Sehingga sanggup datang ke sini, tempat yang biasa semua orang akan elakkan untuk datang.”

Badrul tergamam. Mengapa pula orang lain elakkan diri untuk datang ke sini. Bukankah kawasan sekitar di bukit ini indah? Badrul terus bertanya soalan lain.

“Jadi inilah rumah kau Ana? Sungguh besar dan cantik sekali.”

Ana tiba-tiba tertawa panjang mendengar kata-kata dari mulut Badrul. Ketawanya memang sangat menakutkan untuk sesiapa yang mendengarnya. Badrul sudah resah gelisah.

“Kamu tinggal di sini seorang diri Ana? Mana keluargamu?”

“Ya. Aku sudah lama tinggal di sini seorang diri. Sejak kejadian pahit itu, suami membuat keputusan untuk meninggalkan aku. Aku tersiksa dan terperangkap di dalam rumah ini.”

“Jadi, kamu berdua sudah bercerai?” Tanya Badrul yang masih keliru

“Lebih daripada itu. Aku sebenarnya….”

Ana terhenti di situ. Bagai ada suatu hal mustahak yang dia ingin beritahu. Badrul sudah siap sedia mendengar jawapannya.

” Aku sebenarnya sudah lama mati wahai anak muda. Lantai yang kamu berdiri itu.. Disitulah tempat suami aku menanam mayat aku setelah aku dibunuh olehnya..”

Badrul terkejut. Terkejut yang maha terkejut! Ana terus ketawa menghilai, pada waktu itu jugalah seluruh keadaan di dalam rumah bertukar daripada indah dan mewah kepada buruk kotor dan busuk. Lantai tempat Badrul berdiri bertempal-tempal dengan simen. Badrul pandang ke arah Ana. Hal yang lebih menakutkan telah terjadi.

Wajah Ana yang cantik tadi bertukar hodoh dan pucat, rambut hitam panjangnya terlepas le bawah, baju kurung tadi bertukar kepada jubah putih yang lusuh, kotor dan buruk! Ana kini bukan lagi Ana. Ana kini sudah bertukar menjadi makhluk yang sangat menyeramkan ataupun lebih dikenali oleh orang-orang kampung sebagai LANGSUIR.

Badrul terketar-ketar berdiri bagai orang hilang pertimbangan dan arah. Sepatutnya dia harus lari tapi entah kenapa kakinya bagai terpaku di atas lantai. Mungkin si Langsuir sengaja berbuat demikian untuk membolehkan Badrul melihatnya ‘beraksi’. Langsuir ini terbang di hadapannya lalu hinggap bertenggek di tepi tingkap. Matanya yang merah merenung tajam. Badrul cuba sedaya upaya menggerakkan kakinya dan berjaya melarikan diri. Badrul lari melalui pintu hadapan. Lebih menakutkan apabila langsuir ini memandang ke arah Badrul sehingga kepalanya berpusing ke belakang.

Dalam keadaan kepalanya yang berpusing ke belakang, langsuir ini berdiri terapung dan terbang laju menerpa Badrul. Bayangkan betapa menyeramkan keadaan langsuir tersebut. Berdiri terbang dengan kepala berpusing ke belakang. Badrul memang betul-betul seperti orang hilang akal, dia menjerit meminta tolong. Suaranya bergema disebabkan terpantul oleh bukit-bukit yang berada di sekitar. Jadi tiada siapa yang dapat mendengarnya.

Menurut orang-orang kampung, Badrul di jumpai tidak sedarkan diri di dalam semak berdekatan dengan banglo besar tersebut. Si langsuir benar-benar menyakatnya cukup-cukup malam itu.

……………………..……………………..…………..

Sekitar tahun 1965

“Sampai hati kau buat aku macam ni Rohana. Apa tak cukup lagi ke selama ini yang aku berikan!? Sanggup kau melayani lelaki lain!”

“Abang, jangan begini. Mengapa abang lebih percayakan mulut orang lain daripada mulut Rohana sendiri? Rohana difitnah abang!”

“Ahhh, sudahh! Aku langsung tak percaya setiap apa yang keluar dari mulut kau Rohana! Semuanya berbau dusta! Aku menuduh bukan sebarangan tapi aku ada bukti!”

“Abangg.. percayalah cakap Rohana. Rohana difitnah dan diperangkap!”

“Sudah Rohana. Naik muak aku mendengarnya. Jangan sesekali sentuh aku. Engkau ini perempuan jijik! Terimalah ini sebagai balasan….”

“Abanggg… tolong abangg.. jangan buat Rohana begini. Abanggg, sakittttt.. arghhhhhhhh!!!”

#kisahseram #seram #penselstudio
penselstudio©allrightsreserved

 

Share It!
  • 4
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply