Lamunan

Punat kunci kawalan jauh kereta Kancilnya ditekan. Azmi buka pintu kereta ruang pemandu dan masuk. Setelah pintu ditutup, dia melepaskan lelah. Penat menguasai diri. Dia melihat jam tangannya, menunjukkan pukul 11.30 malam. Nasi goreng kampung dan milo ais yang baru sahaja ditelannya membuatkan matanya mulai berat. Dia mengeluh. Dia tahu perjalanan masih jauh namun dia harus teruskan walaupun sudah tidak sanggup lagi rasanya. Kalau bukan kerana mesyuarat itu akan bermula awal pagi esok, sudah pasti dia akan ubah haluan perjalanan, ke mana-mana hotel yang berhampiran dengan tujuan, bantal dan tilam.

“Dapat pula hot shower dan air cond…bestnya!” getus hatinya, melayan angan-angan.

Dia memandang ke arah kanan, kedai makan yang menjadi tempat menjamu seleranya sebentar tadi. Yang tinggal hanya beberapa orang pelanggan, jadi cahaya lampu berwarnanya menerangi Azmi di dalam kereta. Azmi sandarkan kepala. Fikirnya mahu melelapkan mata seketika, sekadar mengumpul tenaga sebelum meneruskan perjalanan. Belum pun sempat dia terlena, dia terkejut apabila cermin sisi kereta diketuk.

Azmi terpinga-pinga. Pak cik yang berjanggut putih dan berkopiah melambai padanya. Azmi turunkan cermin kereta, cuba memberi senyuman.

“Anak jangan tidur di sini, sekejap lagi mereka nak tutup kedai. Tempat ini kalau sudah gelap, bahaya,” pesan pak cik itu.

“Oh, baiklah pak cik. Saya penat sangat, ingat nak rehat sekejap. Terima kasih pak cik,” balas Azmi.

Pak cik itu hanya mengangguk sebelum berlalu pergi. Azmi mengeluh. Terasa mahu tercabut jantungnya sewaktu pak cik itu mengejutkannya tadi. “Sudahlah tak bagi salam’” rungut Azmi.

Azmi menghidupkan enjin keretanya. Kunci kereta ditekan, seat belt dipasang dan lampu dinyalakan. Sebelum memulakan perjalanan, Azmi memasang smart phonenya pada cermin depan kereta. Destinasinya masih sejauh 100km. Dengan berat hati, Azmi menolak tombol gear dan menekan pedal minyak, menggerakkan Kancil itu meninggalkan kawasan kedai.

*****

Sudah hampir 30 minit berlalu sejak dia meninggalkan kedai makan tersebut. Dia memandang sekali lagi ke smart phonenya itu.

“Mana jalan la ko bawa aku nie Waze oi,” bebel Azmi. Manakan tidak, kawasan yang dilaluinya kelihatan sungguh terpencil; dengan pokok-pokok yang kelihatan tebal di kiri kanan jalan tetapi tiada sebarang tanda ada kediaman di situ. Kedai makanan tadi adalah bangunan berpenghuni yang terakhir dilihatnya, selepas itu, sepi.

Lampu neon jalan yang berbalam-balam membantu menerangi jalan Azmi. Baru Azmi sedar, suasana semakin berkabus, mungkin kerana malam semakin larut. Semakin lama, semakin tebal kabusnya sehingga Azmi hanya dapat mengekalkan kelajuannya sekitar 60km/jam sahaja, walaupun tiada kenderaan lain, bimbangkan risiko kemalangan kerana penglihatan yang terhad. Sorotan lampu hadapannya juga tidak pergi jauh; kabus tebal itu seolah menjadi seperti dinding di hadapannya.

Tiba-tiba Azmi merasa pelik. Melalui balam-balam lampu neon jalan, dia ternampak kesan tapak tangan kecil di bahagian tepi cermin hadapannya. Saiznya seperti tapak tangan kanak-kanak. Suasana terang yang berkabus itu membuatkan kesan itu nampak lebih jelas. Mulanya, hanya satu. Tetapi, semakin diperhatikan, bilangannya semakin bertambah…kepada dua, tiga, empat…

Setiap cahaya yang mendatang, kesan tapak tangan itu semakin bertambah. Azmi mula pelik. Perlahan-lahan, kesan tapak tangan itu mula memenuhi hingga ke tengah cermin hadapannya, mengarahkan perhatiannya ke tengah jalan. Di hadapannya, hanya kosong yang berkabus tebal, terang tetapi tiada penghujung. Selain kesan tapak tangan itu, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Kesan hitam di atas jalan, seperti tompokan tumpahan minyak.

Azmi menjadi semakin berhati-hati. Bimbang ianya perbuatan tidak bertanggungjawab orang yang ingin mengaut keuntungan segera. Azmi terus memerhatikan tompokan itu, yang semakin lama semakin banyak. Dan semakin lama, semakin membentuk kesan tapak kaki.

Kesan tapak kaki manusia itu sangat jelas kelihatan. Dari anggaran saiz tapak kaki itu, orangnya mestilah sangat besar, dan dari segi aturannya, ia seperti sedang melangkah menuju ke arah yang sama seperti Azmi. Perasaan pelik yang dirasakannya tadi mula bertukar seram. Dia memandangkan ke hadapan, memincingkan matanya supaya dia dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi apa yang dilihatnya, masih lagi kosong yang berkabus.

Tiba-tiba, jalan raya bertukar gelap. Laluannya kini sudah tiada lampu neon jalanan. Azmi menjadi semakin gusar. Dengan keadaan berkabus dan gelap, dia hanya mampu mengharapkan lampu keretanya sahaja. Matanya dipincingkan lagi. Kali ini, dia mula nampak satu neon merah yang berkelip tinggi. Biasanya itu tanda menara pemancar di atas bukit. Tetapi, apa yang peliknya adalah, daripada satu, ianya menjadi dua, dan semakin membesar saiznya.

Walaupun dengan kelajuan kereta Azmi yang sederhana, kelipan merah itu menjadi semakin besar, seolah-olah seperti Azmi semakin menghampirinya dengan pantas. Atau mungkin, ia yang menghampiri Azmi dengan pantas…

Jantung Azmi seolah terhenti apabila kelipan merah itu muncul di depannya, secara tiba-tiba dalam bentuk tubuh berkelubung putih, mendepakan lengannya, seolah mahu menerkam Azmi. Brek kereta ditekan sekuat hati dan stereng kereta dipulas, untuk mengelak lembaga itu. Ianya menyebabkan kereta Azmi hilang kawalan, lalu melanggar pembahagi jalan sisi, berpusing dan terbalik beberapa kali.

***

Perlahan-lahan Azmi membuka matanya, cuba memproses pemandangan pertama yang dilihatnya. Segalanya masih gelap berkabus, hanya jalanraya yang diterangi lampu hadapan keretanya. Tetapi pelik, jalanraya itu di atas kepalanya. Dia cuba menggerakkan badannya tetapi tidak mampu. Seluruh badannya terasa sungguh sakit. Baru dia sedar, dia masih terikat di kerusi dengan seat belt, dalam keadaan kereta yang terbalik. Azmi mengangkat tangan, menyentuh bumbung kereta untuk menahan tubuh dan cuba menggerakkan kakinya. Kali ini lebih sakit sehingga dia mengerang. Azmi meraba kakinya, apabila sampai hingga ke bawah lutut, dia dapat merasakan basah yang pekat. Tahulah dia, situasinya semakin buruk kerana kini, kakinya tersepit.

Azmi memandang sekeliling, cuba mencari smart phonenya untuk mendapatkan bantuan. Darah dari kakinya sudah mulai menitik. Dia risau memikirkan yang dia bersendirian dan cedera di tempat yang tidak berpenghuni. Tiba-tiba…

“Pap!”Bunyi tepukan dari cermin hadapannya.

“Pap! Pap!

Azmi memandang jitu cermin hadapannya.

“Pap! Pap! Pap! Pap! Pap! Pap! Pap!”

Tepukan bertubi-tubi di cermin hadapannya, oleh 7 makhluk bersaiz budak kecil. Rupa mereka hampir sama dengan orang kenit di dalam cerita Snow White. Tetapi apa yang berbeza adalah, mata mereka yang merah menyala tanpa biji mata, dan seringai mereka yang menayangkan barisan gigi yang tajam dengan lidah panjang yang terjelir. Di belakang mereka, berdiri satu makhluk tinggi berkelubung putih, tanpa wajah dengan biji mata yang menyala merah, memandang tepat ke arah Azmi.

Menggeletar tubuh Azmi dan dia menjadi kaku. Makhluk-makhluk itu terus menepuk cermin hadapan kereta Kancil itu, seolah-olah bersorak. Azmi mengharapkan cermin itu mampu bertahan, untuk melindunginya dari makhluk-makhluk itu kerana dia kini seolah-olah terikat disitu.

Pipi Azmi direntap kasar oleh satu tangan kecil berkuku tajam, dipaksa menoleh ke kirinya. Azmi terkejut kerana bukan satu, tetapi 3 makhluk kenit yang sama sedang berada di sebelahnya. Kesemuanya sedang tersenyum lebar, membuka luas mulut mereka…

Azmi tersedar dengan ketukan dari cermin sisi keretanya. Dia berpeluh-peluh, bernafas laju. Dia memandang sekeliling. Rupanya, dia masih lagi di hadapan kedai makan itu. Dia menurunkan tingkap keretanya, terpinga-pinga.

Pak cik yang berjanggut putih dan berkopiah menegur Azmi,

“Anak jangan tidur di sini, sekejap lagi mereka nak tutup kedai. Tempat ini kalau sudah gelap, bahaya,” pesan pak cik itu.

Azmi yang keliru hanya mengangguk. Dia cuba memproses, apa yang baru terjadi sebentar tadi. Ia terasa seakan benar sekali. Dia mengesat peluh yang mengalir di pipi, namun rasanya pelik sekali. Dia melihat telapak tangannya, berdarah. Dia memeriksa tubuh badannya, dan sekitar keretanya untuk melihat apa mungkin menjadi punca darah itu, tiada. Dia mengangkat kakinya namun rasa sakit tiba-tiba datang, seolah dia telah terlanggar sesuatu dengan kuat tetapi tetap tiada darah. Azmi semakin keliru, cuba memikirkan sebarang logik yang mungkin.

Azmi melihat jam tangannya, menunjukkan pukul 11.30 malam.

Azmi terkedu.Kalau anda adalah Azmi, adakah anda akan meneruskan perjalanan anda???

Penulis: Rosa Oscuro

Share It!
  • 144
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply