Kekasih Gelap

Ira terus memerhatikan kenderaan yang lalu lalang di depannya. Sesekali matanya memandang ke penghujung jalan, mengharapkan bayangan bas tambang yang akan membawanya ke destinasi. Ekspresi wajahnya kosong, sekosong hatinya. Tingkah pemuda selekeh yang merokok di sebelah kanannya atau perbuatan wanita tua yang mengira duit syiling di sebelah kirinya langsung tidak dihiraukan. Beberapa minit kemudian, bas yang dinantikan tiba dan Ira memanjat naik.

Itulah rutin harian Ira, gadis sunti berusia 23 tahun yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya. Sudah hampir setahun dia menetap di ibu kota, demi mencari rezeki buat keluarganya, ibu dan adik lelakinya. Selama itu juga, dia hidup sendirian di sebuah hostel pekerja. Dia akan bangun seawal jam 7 pagi, bersiap sebelum keluar dari hostel untuk memulakan tugasnya pada jam 9 pagi, sehinggalah jam 9 malam bila mana dia akan menunggu bas untuk pulang ke hostel dan masuk tidur jam 11 malam. Aktiviti sehariannya seolah pusingan pita video rakaman, tetap dan tidak berubah. Dunia masih berputar, cuaca masih berubah, tetapi bukanlah rutin Ira. Dia umpama objek pegun di tengah hiruk pikuk kesibukkan kota.

Ira tidak punya sahabat rapat. Ira juga tidak punya kekasih. Bukan dia tidak mahu, tapi dia tiada masa. Dia tiada masa untuk berlibur bersama rakan2, dia tidak ada masa untuk bersolek menarik perhatian. Namun hati seorang perempuan, sentiasa mengharapkan ada insan istimewa. Sebelum matanya dipejamkan untuk lena setiap malam, dia akan membayangkan lelaki idamannya, untuk mengisi angan-angannya.

Hati Ira benar-benar terasa lapang. Duduk berteleku dalam gaun ringkas berwarna di tengah tanah lapang, dikelililingi pelbagai jenis bunga yang berkembang mekar semerbak mewangi dan panas matahari senyaman angin sepoi bahasa. Suasana yang hanya terungkap dalam lukisan indah kini nyata di depan mata. Ira berbaring, memejamkan mata sambil menghayati bunyi desiran air dari sungai berdekatan. Ada masa, Ira akan bermain di situ, mengusik ikan-ikan yang berenang bebas kerana airnya yang amat jernih.

Ada masa, dia akan berayun perlahan pada buaian indah berlilit bunga kecil dibawah sebatang pohon beringin yang besar. Kawanan burung yang berterbangan di langit biru atau pasangan arnab yang bermain di celahan rumput hijau, adalah temannya. Ini adalah dunia mimpi Ira setiap malam, yang menjadi satu-satunya tempat pelarian Ira dari realiti hidupnya. Dia sudah biasa sendiri, jadi dalam dunia mimpi ini, dia tidak mengharapkan apa-apa. Ketenangan dunia mimpi ini, sudah cukup mengisi kekosongan hatinya.

Tetapi, kali ini ada sesuatu yang berbeza. Sedang dia asyik bermain buaian, pandangan matanya jatuh ke tengah lapangan bunga itu. Kelibat satu makhluk berselubung hitam tegak berdiri, seolah memandang tepat padanya. Sangat kontra warna hitam dan warna-warni bunga-bungaan itu. Perlahan-lahan, makhluk itu bergerak menghampiri Ira. Setiap kuntum bunga-bungaan yang mekar segar, menjadi layu, mereput dan hancur apabila bersentuh dengan makhluk itu, meninggalkan jejak laluan yang berasap nipis dan busuk.

Mata Ira tidak lepas memandang, sambil dadanya berdegup kencang. Akhirnya makhluk itu berdiri tegak di depan Ira. Ira diam, menanti. Bila makhluk itu membuka selubung kepalanya, Ira terpaku. Lelaki itu, kurus, tegap dan tinggi disebalik kelubung hitamnya. Berkulit putih pucat dengan rambut lurus hitam pekat separas bahu. Matanya galak, dengan anak mata berwarna biru jernih, dibawah kening yang terbentuk cantik. Hidungnya mancung dan bibirnya nipis. Apabila lelaki itu mengukirkan senyuman, debar dada Ira menjadi tidak menentu, wajahnya meremang merah. Lelaki itu menghulurkan tangannya, yang disambut baik Ira. Genggaman tangan lelaki itu sejuk amat, membuatkan Ira terkejut.

Jam loceng yang berbunyi bingit segera dimatikan. Ira bangun, duduk termenung dibibir katil. Ira memandang tangan kanannya, yang masih terasa sejuk dari sentuhan lelaki itu. Bayangan wajah lelaki itu muncul semula. Lelaki itu ada segalanya yang Ira impikan. Hati perempuannya terusik. Siapakah lelaki itu? Ira mengeluh, sebelum bangun, mencapai tuala untuk memulakan rutin hariannya. Sebaik dia keluar dan menutup pintu biliknya untuk ke bilik mandi, bayang hitam yang sedari tadi ada di kaki katil Ira, perlahan-lahan hilang.

Malam itu, sebaik sampai ke bilik, Ira terus bersiap untuk tidur. Kebiasaannya, dia akan melayari laman sosial di telefon pintar sebelum tidur tetapi malam itu tidak. Dia mahu masuk tidur lebih awal dengan harapan dia akan berjumpa lagi dengan lelaki itu. Lampu dipadamkan, tubuhnya direbahkan dan selimut ditarik. Ira memejamkan matanya dan membiarkan fikirannya menerawang, mencari pintu gerbang ke dunia mimpinya.

Angin sepoi bahasa membawa bersama haruman bunga di bawah perarakkan awan mendung. Kali ini, pandangannya dilontarkan bukan untuk menjamah keindahan itu, tetapi untuk mencari lelaki itu. Di bawah pokok beringin, di sisi buaian itu, lelaki itu berdiri, seolah menanti. Mulanya Ira teragak-agak, namun walaupun jarak mereka jauh, pandangan mata lelaki itu seolah-olah memanggilnya untuk menghampiri. Ira cuba melangkah seperlahan mungkin sedangkan hatinya melonjak kegembiraan.

Sebaik tiba, pandangan mata mereka bertemu. Lelaki itu tersenyum dan Ira membalas. Lelaki itu dengan sopan, membuat isyarat tangan mempersilakan Ira untuk duduk pada buaian itu. Ira duduk, dan lelaki itu mula menolak perlahan buaian itu. Hati Ira tidak henti berdebar. Tidak pernah seumur hidupnya, berdua dengan seorang lelaki apatah lagi dilayan baik seperti itu. Tiada kata yang diucapkan antara mereka, namun kesunyian itu diisi dengan debaran dada Ira, hingga Ira tidak sedar tiada lagi bunyi kicauan burung, tiada lagi bunyi air mengalir, tiada lagi bunyi deruan angin.

Alam indah itu seolah mati tetapi Ira langsung tidak sedar. Dia terlalu asyik dengan perasan hatinya yang diusik lelaki misteri itu.
Sejak itu, alam mimpi Ira ditemani lelaki itu. Waktu tidur malamnya adalah yang paling ditunggu-tunggu. Dia akan segera pulang ke bilik, mandi, menukar persalinan kemudian bersiap untuk tidur. Kini alam mimpinya seolah realiti Ira. Dia akan bercakap apa sahaja dan lelaki itu akan tekun mendengar. Lelaki itu, tidak pernah bersuara walau sepatah pun.

Dia hanya sekadar merenung Ira, namun memek mukanya menunjukkan dia mendengar setiap apa yg Ira katakan. Ira ceritakan segalanya tentang dirinya; tentang keluarganya, tentang zaman remajanya, tentang kerjanya, segalanya. Suatu hari…

“Saya dah ceritakan macam-macam pada awak, tapi saya tak tahu apapun tentang awak,” soal Ira, sambil memandang lelaki itu. Lelaki itu menundukkan pandangannya, diam.

“Takpelah, suatu hari nanti, bila awak dah bersedia, awak boleh bagitau saya ye,” ujar Ira cuba mengelakkan suasana yang kekok itu. Lelaki itu kembali mengangkat pandangannya dan tersenyum.

“Tapikan, awak ni datang dari mana ye?” soal Ira. Lelaki itu bangun, tersenyum lebar. Tiba-tiba, tubuh Ira seolah ditarik kebelakang dengan pantas, hingga dia jatuh terduduk. Sebaik dia membuka mata, pandangannya berubah.

Dia bukan lagi di tempat biasa. Tempat ini asing sekali, sepertinya di alam yang lain. Sekelilingnya kelam dan gelap, cahaya hanya datang dari bulan yang berwarna merah. Ira dikelilingi oleh banyak struktur bercorak pelik dan tidak teratur. Bila disentuh, dindingnya dilapisi cecair hitam yang pekat. Ada lubang-lubang tidak simetri pada dinding-dinding itu, dan ada di antaranya yang dilitupi jalinan besi atau tali (Ira tidak pasti).

Tiba-tiba, ada bunyi deruan dari atas. Bila Ira mendongak, ribuan makhluk berkepak sedang terbang mengelilingi tempat dia berdiri. Serentak dengan itu, dia mendengar bunyi suara bisikkan yang bertingkah dari sekelilingnya, bahasanya asing buat Ira. Dari lubang-lubang di dinding itu, mula muncul kelipan cahaya yang berpasangan. Ada yang merah, ada yang kuning, ada yang hijau, dalam pelbagai bentuk. Ira tahu itu adalah mata-mata, yang sedang memerhatikan dia.

Jika itu bentuk matanya, Ira tidak mahu tahu bagaimana rupa pemiliknya. Ira bangun lalu mula melangkah, gaunnya kotor berpalit cecair hitam pekat itu. Langkah Ira menjadi pantas, bertukar menjadi larian apabila dalam kelam, dia dapat melihat bayangan gelap makhluk-makhluk yang mula merangkak keluar dari lubang-lubang itu, menuju ke arahnya.

Kini, Ira hanya memandang ke hadapan sambil berlari, masuk ke setiap celahan yang ada. Dia ketakutan yang amat sangat, dia hanya mahu pergi dari situ. Bunyi cakaran kuku, derapan kaki dan seretan tubuh mula kedengaran di belakangnya. Ira terus berlari, langkahnya mula jadi tidak menentu. Ira terpaksa berhenti bila dia tiba di sebuah jurang yang amat dalam. Dari jurang itu kedengaran bunyi lolongan dan jeritan, bunyi koyakan dan hentakan. Ira tidak tahu juga tidak mahu tahu apa yang ada di bawah. Jalan Ira mati. Dia menoleh kebelakang. Semakin banyak mata-mata bercahaya yang semakin menghampiri. Ira sudah mati akal. Dia mula membayangkan pelbagai jenis pengakhiran hayatnya. Ira memejamkan mata, menanti.

Tiba-tiba, terasa tubuhnya dipeluk dan dirinya diselubungi. Bila dia membuka mata, lelaki itu yang berada dibelakangnya, memeluk dan menyelubungi Ira. Namun pandangan lelaki itu sangat tajam, wajahnya kaku tanpa ekspresi, bukan pada dirinya tetapi pada makhluk-makhluk itu. Suasana jadi senyap sunyi. Tiada lagi suara-suara menakutkan itu, tiada lagi bunyi-bunyi pergerakkan itu.

Perlahan-lahan, mata-mata yang bercahaya itu dan bayangan gelap makhluk-makhluk itu hilang, satu per satu. Ira terus memeluk lelaki itu dan mula menangis sepuasnya. Apabila akhirnya Ira berhenti menangis dan membuka matanya, dia telah pun berada di katilnya, dengan jam loceng yang sedang menjerit sekuat hati. Ira bangun dan tersedar, yang kaki dan tangannya penuh dengan kesan cecair hitam yang melekit. Ira termenung. Itu mimpi ngeri, detik hati Ira. Ke ‘manakah’ dia telah dibawa malam tadi? Mungkinkah itu tempat lelaki itu…

Tengahari itu, Ira menerima panggilan telefon dari kampung. Polis memaklumkan yang ibunya mati dibunuh oleh adik lelakinya dan adik lelakinya telah mati ditembak polis. Ira memang sedia maklum yang adik lelakinya mempunyai masalah ketagihan dadah tetapi tidak pernah menyangka tragedi seburuk ini akan terjadi. Ira segera pulang ke kampung. Hancur luluh hatinya memikirkan yang hidupnya kini sebatang kara. Terasa dikhianati bila ibu kesayangan hilang nyawa di tangan adik kandungnya. Rasa marah, menyesal dan sedih sudah tidak berguna kerana mereka semua telah tiada.

Jiran-jiran kampung yang baik hati telah membantunya menguruskan hal pengkebumian, masing-masing bersimpati dengan nasib Ira namun tiada seorang pun yang faham perasaan sebenar Ira. Pada Ira, mereka hanyalah orang asing. Selama seminggu Ira berada di kampung, setiap hari dia berendam air mata menangisi nasib diri. Setelah selesai segala urusan, Ira kembali ke ibu kota.

Dia sedar, hidup perlu diteruskan tetapi semangat Ira telah hilang. Selama ini, dia bekerja dengan niat untuk membantu ibunya di kampung. Kini, setelah tinggal sendirian, terasa hidup sudah tiada makna lagi. Jadi mengapa dia pulang juga ke ibu kota? Kerana selama seminggu dia berada di kampung, tidur malamnya kosong. Tiada lagi mimpi indah yang biasa, tiada lagi jelmaan lelaki yang mencuri hatinya. Jadi dia mahu kembali ke alam mimpi itu, menemui lelaki itu.

Dia tiba di bilik sewanya lebih kurang jam 8 malam dan terus bersiap untuk tidur. Seperti yang dijangka, dia kembali ke alam mimpinya bersama lelaki itu yang setia menanti. Ira terus berlari, memeluk lelaki itu. Dia menangis semahunya, meluahkan segala perasaan sedih dan pilu. Sentuhan lelaki itu yang sedingin ais tidak dipedulikan. Ketiadaan bunyi degupan jantung lelaki itu tidak dihiraukan. Hatinya hancur, sehancur realitinya.

“Saya rasa dah takde maknanya saya hidup lagi awak. Saya dah takde sapa-sapa lagi. Saya rasa macam nak gila! Saya rasa macam nak bunuh diri!” luah Ira. Dia terlalu emosi kini, rasionalnya entah ke mana. Dia mengangkat wajahnya yang basah dengan air mata, memandang tepat mata lelaki itu.

“Bawa saya pergi, awak… Saya akan ikut ke mana saja awak nak bawa saya…” esakkan Ira bertukar rayuan. Ira yang terlalu emosi, sudah lupa perbezaan antara mimpi dan realiti. Bagi dirinya kini, hanya lelaki itu yang dia ada. Lelaki itu tersenyum lebar.

“Betul ni?” soal lelaki itu. Untuk pertama kali, lelaki itu bersuara, garau dan dalam. Ira hanya mengangguk laju, penuh yakin. Dia hanya mahu menghilangkan kesakitan emosi yang dirasakan terlalu hebat itu. Lelaki itu kembali memeluk Ira, seraya ketawa berdekah-dekah. Dunia mimpi indah Ira perlahan-lahan bertukar. Cahaya matahari perlahan menjadi kelam dan malap. Kuntuman bunga yang mekar menjadi layu, mereput dan hancur. Aliran air sungai menjadi cecair hitam yang semakin memekat dan busuk. Burung yang berterbangan, ikan yang berenang dan arnab yang melompat, mati satu persatu.

Pohon beringin yang besar meluruhkan dedaunnya, menjadi kering dan kecut. Bunyi tiupan angin perlahan-lahan menjadi bunyi lolongan yang menyeramkan. Segalanya menjadi gelap dan busuk. Dunia mimpi indah Ira telah hancur; mereka kini di dalam dunia mimpi ngeri Ira. Akhir sekali, Ira yang masih berada dalam dakapan lelaki itu, hanya memandang kosong. Cahaya kehidupan yang ada pada matanya, malap dan terus hilang.

Bayang hitam itu mendekati jasad Ira yang sedang lena di buai mimpi di atas katil itu. Matanya yang merah menyala, merenung tajam. Bayang itu menyeringai, menjelirkan lidahnya yang panjang. Sepasang tangan berjari runcing, menikam jasad Ira disebalik selimut itu. Darah memercik ke merata tempat. Setiap tikaman mengambil setiap cebisan daging dan organ dari jasad Ira.

Bayangan itu masih lagi menyeringai setiap kali ia melahap cebisan-cebisan berdarah itu. Ira masih diam, tiada reaksi langsung. Setelah puas hingga tiada apa lagi yang tinggal,bayang itu merenung dekat wajah Ira yang masih diam. Lidahnya yang panjang, menjalari wajah Ira, lalu menikam kelopak mata Ira. Lidah yang berlendir itu, membalut kemas bebola mata Ira sebelum menelannya. Suara garau dan dalam yang sedang tertawa puas mengiringi bayang hitam itu yang perlahan-lahan menghilang.

*****

KUALA LUMPUR – Polis yang menyiasat aduan bau busuk dari sebuah bilik di hostel pekerja telah menemui cebisan mayat yang mulai mereput di atas katil bilik itu. Sepasang kaki dan tangan tanpa tubuh dan kepala tanpa bebola mata dipercayai milik seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an. Siasatan masih diteruskan untuk mencari punca kematian.

“People with dark souls have nothing but dark dreams. People with very dark souls do nothing but dream” – Haruki Murakami

Penulis : Rosa Oscuro

Share It!
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply