Kasih Sayang Ibu

Pada suatu malam, terdapat satu pasangan suami isteri sedang dalam perjalanan menaiki kereta dan mereka melalui satu jalan bukit yang agak gelap. Tiba-tiba mereka melihat ada seorang perempuan sedang melambai-lambai ke arah mereka.

Si isteri memberitahu suaminya untuk teruskan memandu sebab agak bahaya namun suaminya memutuskan untuk melihat siapakah perempuanĀ itu. Ketika mereka mendekatinya, mereka mendapati perempuan itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan. Mereka berhenti dan cuba membantu perempuan itu.

Perempuan itu merayu meminta tolong kerana dia baru sahaja mengalami kemalangan kereta di mana mereka telah jatuh dalam gaung. Suami perempuan itu serta seorang anaknya yang berumur 2 tahun masih terperangkap dalam kereta. Perempuan itu mengatakan suaminya sudah meninggal dunia namun anaknya masih hidup.

Pasangan itu terkejut mendengar berita itu lalu si suami itu memutuskan untuk turun ke bawah gaung itu untuk selamatkan anaknya. Si suami itu mengarahkan perempuan itu duduk berehat bersama isterinya di dalam kereta.

Apabila si suami itu sudah turun, dia perasan ada dua penumpang di bahagian tempat duduk depan namun kerana gelap, dia tidak perasan wajah mereka. Dia cepat-cepat selamatkan anak kecil itu dan bawanya naik untuk diserahkan kepada ibunya. Anak kecil itu kelihatan pengsan dan hanya mengalami cedera ringan.

Apabila dia sudah sampai di atas, dia tidak jumpa perempuan itu. Dia bertanya kepada isterinya ke mana perempuan itu pergi. Isterinya berkata perempuan itu baru sahaja turun untuk melihat tempat kejadian.

Si suami itu turun balik ke bawah untuk mencari perempuan itu, namun dia tidak jumpa. Tiba-tiba dia perasan yang dua penumpang di bahagian depan itu adalah perempuan tadi manakala si sebelahnya adalah suaminya. Mereka berdua sudah lama menghembuskan nafas terakhir mereka.

Share It!
  • 260
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply