Kasih Inspektor Hariz

Inspektor Hariz masih meneliti fail kes di atas mejanya. Sudah 3 bulan dia dan pasukannya cuba menjejaki Osman dan Rizal, penjenayah duo yang sangat kejam. Modus operandi mereka mensasarkan ibu tunggal dengan anak yang kecil, menyamar sebagai jurujual bergerak yang datang sebelum menyerang mangsa.

Kesemua mangsa akan dirogol dan diliwat sebelum dirompak. Untuk menutup perbuatan keji mereka, mangsa kemudiannya akan dijerut, mayat mereka akan dikerat dan disumbat ke dalam beg pakaian sebelum dibiarkan mereput. Setakat ini sudah 6 kes yang dilaporkan. Lebih memilukan kesemua mangsa hanya ditemui beberapa hari selepas kejadian, jadi untuk ahli keluarga mangsa, ianya sangat tragis.

Inspektor Hariz mengeluh. Laporan makmal, hasil bedah siasat dan gambar tempat kejadian bersatu di dalam mindanya, seolah menceritakan trauma yang dilalui mangsa. Bukti dari tempat kejadian juga telah mengenal pasti Osman sebagai perogol yang sadis manakala Rizal pula adalah seorang paedofilia. Kalau diikutkan hati Hariz, penjenayah ini selayaknya ditembak mati kerana hukuman penjara seolah ihsan buat mereka.

“Hariz, dah pukul 7 nie. Kau tak nak balik lagi ke?” tegur Azhar, yang menjenguk dari balik pintu pejabat Hariz.

“Ya Allah, aku tak sedar langsung masa berjalan! Thanx sebab ingatkan aku,” balas Hariz sambil bingkas bangun. Fail yang berselerak disusun ala kadar sebelum mencapai telefon bimbit dan kunci kereta. Dia mendapatkan Azhar yang menanti di muka pintu lalu mereka berjalan beriringan ke tempat letak kereta.

“Mestilah aku ingatkan. Kalau tidak, melepaslah aku nak makan sedap malam nie,” usik Azhar sambil tersengih.

“Itulah kau, aku dah suruh kahwin, kau yang tak nak,” perli Hariz.

Azhar hanya memekakkan telinga. Sejak menjadi rakan sejawat 5 tahun yang lalu, Azhar kerap dijemput Hariz ke rumahnya untuk makan malam bersama apabila ada kelapangan. Isteri Hariz, Rina, seorang suri rumah sepenuh masa pernah bekerja sebagai chef restoran sebelum berhenti selepas melahirkan Irfan, anak lelaki Hariz berusia 5 tahun. Tidak hairanlah apabila hidangan makan malam keluarga Hariz yang setaraf hotel 5 bintang itu umpama rezeki terpijak untuk Azhar yang masih bujang.

Azhar juga mengambil peluang ini untuk bermain dengan Irfan yang dianggapnya seperti anak angkat kerana dia sama-sama menemani Hariz sewaktu menantikan kelahiran Irfan. Hariz juga senang dengan sikap Azhar sejak mula mereka bertugas bersama. Hariz yang membesar sebagai anak tunggal dan Azhar yang merupakan anak yatim menjadikan keakraban mereka seperti adik beradik.

*****

Osman hanya memerhati dari jauh, di sebalik perdu pokok angsana. Air mata lelakinya tidak berhenti mengalir. Penumbuknya dikepal sekuat hati hingga kukunya mencengkam isi; darah yang mengalir tidak diendahkan. Hatinya terlampau sakit. Sepatutnya dia yang mengusung keranda itu ke tanah perkuburan, sepatutnya dia yang menyambut jenazah itu ke dalam lahad, kerana itu adalah ibu kandungnya, tetapi tidak.

Parah akibatnya kalau dia menunjukkan muka sekarang, walaupun dia ingin sekali menatap wajah ibunya buat kali terakhir. Semuanya gara-gara Inspektor Hariz. Kalau Inspektor Hariz tidak muncul di rumah ibunya tempoh hari, pasti ibunya masih hidup lagi, pasti perbuatan kotornya tidak akan diketahui orang kampung.

“Man, jom kita blah Man. Aku risau kalau orang kampung kau nampak kita,” ujar Rizal. Matanya asyik meliar ke sana ke mari, bimbang kehadiran mereka disedari. Dia resah.

Osman mengetap kejap giginya. Amarahnya memuncak. Syaitan bersorak. Inspektor Hariz akan bayar semua ini, itu tekadnya!

*****

“Ya, baik. Terima kasih,” balas Hariz lalu menamatkan panggilan itu. Hariz mengeluh berat. Terbayang wajah perempuan tua yang ditemuinya beberapa hari lepas. Jelas di ingatannya reaksi perempuan tua itu apabila diberitahu anaknya adalah suspek utama kes pembunuhan bersiri yang sedang dalam siasatan.

Siapa sangka, anak yang dikasihi, lengkap didikan agama, yang menjaga ibunya, sebenarnya adalah syaitan bertopengkan manusia. Ia ujian yang sungguh berat untuk dihadapi oleh seorang perempuan tua. Mungkin tidak tertanggung beban perasaan itu, hingga terhenti jantung perempuan berusia 60 tahun itu. Untuk seketika, terdetik rasa bersalah di hati Hariz tetapi jikalau telah tercatat itulah ajalnya, tiada apa yang dapat mengubah atau melambatkan janji Allah itu.

“Al-Fatihah,” bisik Hariz lalu menghabiskan surah itu sebagai sedekah untuk perempuan tua itu.

*****

Hampir sebulan telah berlalu. Tiada kes terbaru yang dilaporkan, tetapi dalam masa yang sama, tiada sebarang tangkapan yang dapat dibuat. Osman dan Rizal seolah hilang begitu sahaja. Mereka ada segala bukti, cukup lengkap untuk membuat dakwaan tetapi pesalah lakunya tidak dapat dikesan. Hati Hariz masih tidak tenang selagi mereka berdua tidak ditangkap.

“Abah, Irfan dah siap,” sambil terlompat-lompat kegirangan, mematikan lamunan Hariz. Isterinya Rina muncul dari belakang sambil tersenyum melihat kaletah Irfan.

“Ye la, jom kita jalan,” balas Hariz lalu mendukung anaknya ke kereta.

Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Hariz mendukung Irfan yang sudah terlena sambil memimpin tangan Rina menuju ke kereta. Mereka saling berpandangan, sambil tersenyum. Lagaknya tidak ubah seperti pasangan yang asyik bercinta. Puas rasa hati Hariz dapat menghabiskan sepenuhnya hari ini bersama insan yang tersayang. Walaupun penat tetapi sangat berbaloi. Sampai ke kereta, Rina masuk ke tempat duduk belakang sebelum Hariz meletakan Irfan ke ribaan Rina lalu menutup pintu. Hariz membuka pintu bahagian pemandu apabila menyedari kehadiran seseorang dibelakangnya. Sebaik dia menoleh, satu hentakan kuat singgah dikepalanya. Gelap.

Rasa sakit yang berdenyut-denyut di bahagian kepala memaksa Hariz untuk membuka matanya, namun cecair melekit yang memenuhi wajahnya menyukarkan. Dia memejam celik beberapa kali, namun pandangannya masih belum jelas. Dalam balam-balam cahaya yang ada, dia nampak Rina dan Irfan, masing-masing sedang diikat pada tiang dihadapan Hariz.

Wajah mereka jelas menunjukkan rasa takut yang amat sangat. Suara tangisan mereka masih kedengaran di sebalik mulut mereka yang disumbat. Hariz mahu segera bangun untuk mendapatkan mereka, tetapi gagal. Kerana dia sendiri sedang terikat di kerusi, tali itu kejap melilit pergelangan tangan, dada dan pergelangan kakinya. Hariz meronta sekuat hati, cuba untuk lepas tetapi tidak berhasil. Dia menjerit sekuat hati.

“Syhhhhh, jangan bising sangat, nanti orang dengar,” suara garau itu membuatkan Hariz memandang sekeliling.

Naluri seorang pegawai polis mula mengambil alih. Mereka sepertinya berada di dalam sebuah pondok kayu dengan dua buah pintu yang bertutup. Berdasarkan kedudukan tingkap, dia yakin sebuah pintu adalah pintu masuk ke pondok itu manakala sebuah pintu lagi adalah pintu masuk untuk ke ruangan seterusnya. Kesemua pintu dan tingkap itu bertutup rapat.

Perabot yang ada hanyalah sebuah meja dengan 2 buah beg besar di atasnya. Sebuah lampu meja yang diletakkan di penjuru pondok itu adalah satu-satunya sumber cahaya yang ada. Dia cuba merancana jalan keluar apabila tiba-tiba sesusuk tubuh berjalan dari sisi Hariz lalu duduk mencangkung di hadapannya.

“Inspektor Hariz,” membulat mata Hariz memandang pemilik suara itu.

“Kau!”

Osman hanya tersenyum puas. Dia menepuk-nepuk pipi Hariz.
“Bagus kalau kau kenal aku,”

Hariz mengetap giginya. Marahnya meluap-luap. Penjenayah yang diburu kini di depan matanya, tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Lebih teruk, keluarganya turut dijadikan tahanan. Osman menghampiri Rina.

“Cantik juga perempuan kau nie,” ujar Osman sambil mengelus rambut Rina. Rina berpaling.

“Jangan kau berani sentuh keluarga aku!” bentak Hariz. Dia meronta dengan lebih kuat hingga kerusi yang didudukinya jatuh. Osman menghampiri Hariz. Satu tendangan padu singgah ke perut Hariz. Senak perut Hariz, membuatkan dia termuntah. Osman mencengkam rambut Hariz, menariknya tegak kembali. Hariz mengerang.

“Aku akan pastikan seluruh keluarga kau mati. Dan engkau Inspektor Hariz, tidak akan mampu untuk kebumikan mereka seperti mana aku tak dapat kebumikan Mak aku,” marah Osman.

“Kematian Mak kau tak ada kena mengena dengan aku. Dia mati sebab sakit jantung!” balas Hariz.

“Tapi kalau kau tak menyibuk hal aku, Mak aku tak akan tahu tentang perbuatan aku! Pasti dia masih hidup lagi sekarang!” tengking Osman. Satu tumbukan padu hinggap ke perut Hariz. Sekali lagi dia termuntah. Osman melihat jam tangannya.

“Pukul 12.15minit tengah malam, 15 September. Kalau Mak aku masih hidup, pasti aku akan dapat meraikan hari lahir dia,” keluh Osman. Tiba-tiba dia senyum sendirian.

“Tapi tak apa. Sebagai balasan, aku akan ambil nyawa kau dan keluarga engkau sebagai hadiah sempena hari lahir Mak aku,” ujar Osman sambil tersenyum.

“Kau memang syaitan Osman!” jerit Hariz.
Osman terus tersenyum.

“Rizal, ambilkan barang aku,” arah Osman.

Rizal yang sedari tadi berada di belakang Osman menghampiri salah sebuah beg di atas meja itu, mengeluarkan sesuatu. Diserahkan barang itu kepada Osman. Hariz terbeliak. Rontaannya semakin kuat. Dia seolah dapat meneka kesudahannya.

“Rina, Irfan, tutup mata! Walau apapun yang jadi, jangan buka mata!” jerit Hariz.

Irfan yang keliru dan takut memandang wajah kedua ibu bapanya. Hariz memandang sayu wajah insan kesayangannya. Akhir sekali Irfan memandang wajah Rina. Walaupun dia sendiri takut, Rina cuba menenangkan anaknya. Dia mengangguk perlahan, cuba membuat ekspresi lembut supaya anaknya tenang. Anaknya patuh. Matanya dipejam rapat. Rina memandang Hariz. Hariz juga mengangguk perlahan kepada Rina. Air mata Rina semakin deras mengalir.

“Ingat selalu, Abang sayang Rina dan Irfan,” ucap Hariz perlahan. Rina akur. Dipejamkan matanya lalu menunduk. Air matanya tidak mampu berhenti.

“Sungguh menyentuh hati,” ejek Osman. Lalu dia menghidupkan gergaji bulat mudah alih yang dipegangnya. Bilah-bilah kecil yang berputar itu mengeluarkan bunyi desingan halus.

“Oh, sebelum terlupa,” Osman mengeluarkan sehelai gumpalan kain dan menyerahkannya kepada Rizal. Rizal mencengkam pipi Hariz, memaksa Hariz membuka mulutnya lalu disumbatkan gumpalan kain itu. Hariz tahu sudah tiada jalan keluar. Dia sedar ajalnya sudah semakin hampir. Dia memejamkan matanya dan dengan kudrat yang ada, cuba mengucap dua kalimah syahadah dengan mulut yang tersumbat. Rizal hanya memerhatikan Osman yang ketawa berdekah-dekah, menjamah setiap sendi utama Hariz dengan gergaji kecil itu. Bau hanyir darah mula memenuhi ruangan pondok itu.

Rina tidak putus-putus berdoa, mengharapkan semua ini hanyalah sekadar mimpi ngeri yang akan berlalu pergi. Mendengar jeritan Hariz yang semakin lama semakin perlahan, mengesahkan ketakutannya. Akhirnya bunyi desingan itu berhenti. Jeritan Hariz juga sudah tiada lagi. Rina tetap memejamkan matanya. Untuk seketika, segalanya sunyi.

“Man, aku ambil budak ini,” Rizal bersuara. Serentak itu, Rina membuka mata, memandang ke arah Irfan. Rizal melepaskan ikatan Irfan dari tiang lalu mencempung Irfan. Irfan meronta-ronta, tetapi apalah sangat tenaga seorang kanak-kanak dibandingkan dengan tenaga seorang lelaki dewasa. Rizal membawa Irfan disebalik pintu. Rina turut meronta, cuba membantah apabila wajahnya direntap kasar.

“Dan engkau, untuk aku,” ujar Osman sambil tersenyum lebar. Rina membeliakkan matanya. Bukan kerana melihat Osman yang berlumuran darah, tetapi kerana melihat apa yg ada di belakangnya.
Jasad yang sebentar tadi adalah milik suaminya, Inspektor Hariz, sudah bercerai berai. Kedua belah tangannya, dari paras bahu telah terpisah dari badan dan bergelimpangan di lantai. Kedua belah kakinya, dari paras peha terkulai jatuh. Manakala kepala Hariz, diletakkan elok di pangkuannya sendiri, seolah untuk dipamerkan. Osman memandang sekilas.

“Owh, maaf. Tapi jangan risau, kau akan ikut suami kau sekejap lagi. Tapi sebelum itu, kita berseronok dulu,” usik Osman.

Fikiran Rina jadi kosong. Dia terlalu trauma dengan apa yang dilihatnya. Dia hanya diam menggeletar apabila Osman cuba menanggalkan pakaiannya.

Rizal masih cuba memujuk Irfan, yang duduk memencilkan diri di satu sudut bilik itu. Irfan terus terusan menggelengkan kepala mendengar pujukan Rizal. Tangannya masih berikat dan mulutnya masih bersumbat kain. Dia ketakutan yang amat sangat. Hati kecilnya tidak berhenti memanggil ibu dan abahnya.

“Mari sini sayang. Kalau adik jadi budak baik, pakcik akan bagi gula-gula ini,” pujuk Rizal lagi sambil menyuakan sebatang lolipop kepada Irfan.

Irfan tetap menggeleng. Kesabaran Rizal tercabar. Dia menampar Irfan sekuat hati. Irfan pengsan. Dia lalu mencapai kaki Irfan. Mahu diheretnya budak itu apabila satu tangan merentap kuat lengannya. Dia terperanjat.

Lengan tanpa tubuh itu kejap menggenggam lengan Rizal. Rizal melibaskan tangannya, cuba meleraikan genggaman itu apabila satu lagi lengan tanpa tubuh memanjat belakang badannya dan mencengkik lehernya. Rizal sesak nafas. Dia cuba meleraikan cekikan itu tetapi gagal. Rizal mula mencungap. Lengan yang tadi menggenggam tangan Rizal beralih. Merayap, menghampiri wajah Rizal. Jari jemari itu mula merobek, sedikit demi sedikit mulut Rizal. Semakin lama semakin dalam hingga akhirnya hilang seluruh lengan itu di dalam tekak Rizal. Rizal kaku.

Osman yang sedang asyik dengan Rina terkejut apabila kepala Hariz tiba-tiba bergolek ke sisinya. Mata Hariz tajam memandangnya. Dia pantas memandang ke arah tubuh Hariz. Tubuh itu masih tetap terikat di kerusi, tetapi kaki yang telah terkulai itu mula bangun. Kedua belah kaki tanpa tubuh itu melangkah perlahan merapati Osman. Osman terpana. Ketakutan yang amat sangat melambatkan reaksinya. Dia cuba bangun namun tergelincir, jatuh tersemban kerana darah Hariz yang memenuhi lantai pondok itu.

Apabila dia mendongak, sebelah kaki itu sedang tegak berdiri di hadapan wajahnya. Manakala sebelah lagi kaki, memijak kepalanya. Osman meronta, cuba untuk lepas, tetapi pijakan itu semakin kuat. Bunyi derapan tulang mula kedengaran. Kedua biji mata Osman tersembul keluar. Osman hanya berhenti meronta apabila telinga kanannya bertemu telinga kirinya.

Azhar terjaga apabila telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan dari Hariz itu segera dijawab.

“Hello,”

“Az…har…” suara Hariz kedengaran samar-samar.

“Hello? Hariz?”

“To…long…”

“Hariz?”

Diam. Talian terputus. Dia cuba mendail semula. Bunyi deringan berterusan tanpa jawapan. Azhar bingkas bangun lalu duduk di birai katil. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Dia cuba mendail sekali lagi, juga tiada jawapan. Dia lalu menghubungi ibu pejabat, meminta lokasi terakhir talian Hariz.

3 buah kereta polis tiba ke pondok yang terpencil itu. Kereta Hariz yang diparkir di depan pondok diperiksa. Kunci kereta masih berada di pemacunya. Azhar yang mengetuai pasukan itu perlahan merapati pintu masuk pondok itu. Bau hanyir darah semakin kuat menerjah. Apabila mereka merempuh masuk, mereka disambut dengan pemandangan yang amat mengerikan.

Osman ditemui terbaring dengan kepala yang sudah leper dibawah sebelah kaki yang putus manakala di sebelahnya adalah Rina yang separuh bogel dan tidak sedarkan diri. Di dalam bilik, Irfan terbaring di penjuru bilik di sebelah Rizal yang terlentang dengan sebelah tangan yang putus di dalam mulutnya yang luas terbuka. Tubuh dan kepala Hariz masih tegak terikat di atas kerusi. Sebelah kakinya putus terkulai di sisi manakala sebelah tangannya terdampar di lantai, erat menggenggam telefon bimbit.

Penulis: Rosa Oscuro

Share It!
  • 241
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply