Karma – As Syafaa Amran

Kiriman pembaca dari As Syafaa Amran

Ika berjalan terjingkit-jingkit ke arah pintu utama rumahnya yang berhampiran dengan ruang tamu. Perlahan-lahan dia membuka pintu sambil memandang ke sekeliling, selamat! Jam tangannya dikerling, sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Tanpa menghasilkan sebarang bunyi dia meloloskan diri keluar dari rumahnya. Nafas lega dilepaskan,

“Fuh, bayangkan kalau mak ayah aku nampak tadi!” Ika tersenyum leret apabila melihat sebuah kereta tiba di luar pagar rumahnya.

Langit ketika itu kosong tanpa awan dan bintang, cuma dihiasi oleh cahaya bulan yang mengambang. Ika bergegas menuju ke arah kereta tersebut, kelihatan seorang lelaki sedang menunggu di tempat duduk pemandu. Ika memasuki kereta tersebut dan duduk di sebelahnya, kereta itu mula bergerak meninggalkan kawasan rumahnya.

“Nak ke mana malam ni?” Ika memandang lelaki tersebut, tetap kelihatan kacak walaupun hanya memakai sweater tebal dan jeans kelabu.

“Tempat biasa la sayang,” lelaki yang bernama Kamal itu bersuara manis.

Setengah jam perjalanan, akhirnya mereka tiba di ‘tempat biasa’ mereka. Ternyata tempat itu ialah rumah lelaki tersebut. Di situlah tempat mereka melepaskan keinginan nafsu sesama mereka dengan melakukan perbuatan terkutuk yang hanya layak dilakukan oleh pasangan suami isteri, iaitu penzinaan.

Setiap malam, Kamal akan membawa Ika ke rumahnya dan menghantarnya semula sebelum subuh, memandangkan ibu bapa gadis tersebut hanya bangun setelah azan subuh berkumandang. Perbuatan mereka tidak pernah ditangkap atau disyaki sesiapa pun kerana telah merahsiakan hubungan mereka.

Kamal membawa Ika masuk ke biliknya dan menyuruhnya tunggu sebentar sementara dia ingin ke tandas yang bersambung dengan biliknya. Di dalam tandas ternyata sudah diletakkan sebilah pisau yang berkilat, ‘Khas untuk Ika,’ Kamal tersenyum sinis.

Dia mencapai pisau tersebut dengan tangan kirinya dan menyoroknya di belakang badan. Ketika keluar dari tandas Kamal melemparkan senyuman mesra kepada Ika yang sedang duduk di atas katil, Ika membalas senyumannya tanpa sebarang syak wasangka. Kamal menghampiri Ika lalu merangkul pinggang gadis cantik tersebut dengan tangan kanannya.

Sentuhan lembutnya berubah menjadi kasar apabila tangan kanannya mula mencekik leher Ika dan menolaknya hingga terbaring di atas katil. Mata Ika terbuntang kerana terkejut, dia cuba melepaskan cekikan Kamal namun ternyata kudratnya tidak setanding teman lelakinya itu.

“Bodoh punya betina! Dah dapat yang sayangkan kau, menggatal pulak dengan jantan lain! Nah rasakan, hahaha!”

Kamal mula menikam perut Ika, tikamannya dilakukan bertubi-tubi sehingga darah Ika membuak keluar dengan banyaknya.

Kamal tersenyum puas. Dia teringat kembali peristiwa semalam yang telah menyebabkan perasaan sayangnya terhadap Ika berubah menjadi benci dengan mudah. Ika kelihatan bermesra dengan teman sekuliahnya sambil berpegangan tangan dan tampar-menampar bahu. Baginya Ika sedang mencari lelaki yang lebih kaya darinya.

Kamal mendukung Ika keluar dari rumahnya, dia meletakkannya di atas timbunan sampah turut disertakan daun dan kayu kering yang sudah dikumpul sejak semalam di bahagian belakang rumahnya. Api mula dinyala pada timbunan sampah tersebut. Tinggal sendirian tanpa berjiran memudahkan urusannya untuk menghapuskan mangsanya. Mayat Ika diperhati hingga hangus dan menjadi debu. Kamal tersenyum berpuas hati.

 

Dua tahun berlalu…

Kamal merenung tajam isterinya, suasana di meja makan ketika itu dirasakan tegang.

“Apa masalah awak ni? Saya penat-penat balik kerja dan awak cuma hidangkan semangkuk maggi je? Apa gunanya barang dapur yang bersepah dalam peti sejuk tu?!” Kamal melenting.

“Saya letih la! Faham la sama!” Isterinya turut melenting.

“Kurang ajar!” penampar singgah di pipi isterinya. Wanita itu mula menangis dan berlari memasuki biliknya. Kamal merengus marah, mangkuk yang berisi maggi itu dilemparnya hingga jatuh ke lantai.

Malam pun tiba, Kamal memasuki biliknya setelah pulang dari kedai makan, kelihatan isterinya sedang berbaring di atas katil, tidur agaknya. Kamal menghampirinya dan menunduk, perlahan-lahan dia membelai ubun-ubun isterinya yang sedang tidur.

“Maafkan abang, abang letih sangat kerja sampai berkasar dengan Ina. Maafkan abang, Ina,” ujar Kamal.

“Em Ina?” Kamal mula berasa pelik. Dia melihat darah membuak keluar dari perut isterinya.

“Ina!” Kamal menjauhinya. Mata Ina mula terbuka. Dia merenung Kamal tanpa sebarang riak.

“Abang, kenapa abang bunuh Ika? Kenapa abang bakar Ika? Keluarga Ika cari Ika…” Isterinya bersuara perlahan.

“Ika? Macam mana Ina kenal Ika? Macam mana Ina boleh jadi macam ni?” Suara Kamal bergetar.

“Ni bukan Ina…” Isterinya mula bangun, duduk bertentangan Kamal. Dia bangun dan menghampiri suaminya. Ternyata tangan kirinya sedang memegang sebilah pisau.

“Ni Ika… Ika nak bawa abang balik dengan Ika, Ika rindu abang…” Ina mula mengangkat tangan kirinya.

“Ina! Jangan jadi gila, Ika dah lama mati!” Kamal menjerit, mata pisau telah menembusi perutnya.

“Ika tunggu abang datang jumpa Ika kat sana ya?” Ina menarik pisau tersebut dan menikamnya lagi sekali.

Setelah itu dia mula menarik Kamal ke ruang tamu rumahnya.

“Ika tak pandai bakar orang macam abang, tapi Ika reti potong. Ika potong abang ya…” Ina mencabut pisau yang terdapat pada perut Kamal.

Erangan Kamal tidak dihiraunya. Dia mula memotong tangan Kamal, seterusnya leher dan kaki. Darah mula memenuhi lantai di ruang tamu. Ina tersenyum puas. Rupa-rupanya Ina telah dihasut hantu Ika, mungkin Ika datang untuk membalas dendam atas kematiannya yang kejam dan tidak terbela.

Seminggu berlalu barulah kematian Kamal disedari kerana kedudukan rumahnya yang terasing dari orang lain, itupun setelah teman sekerjanya datang melawat untuk bertanyakan alasan tidak hadir bekerja. Keadaan mayatnya yang mengerikan ditemui bersama sebilah pisau. Isterinya entah sudah menghilang ke mana dan dijadikan suspek. Siasatan polis untuk mengenal pasti punca pembunuhan diteruskan.

 

Ditulis oleh: As Syafaa Amran

Share It!
  • 127
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply