Jangan Kelipkan Mata!

Pagi itu hujan renyai seperti biasa, dingin pagi yang menyucuk segala tulang membuatkan diri terlalu berat untuk bangkit dari katil. Bagaikan ada magnet, aku masih terbungkam kaku di atas katil. Sesekali aku mengiring ke kiri, mengiring ke kanan. Mata aku terkelip-kelip merenung siling dan bumbung yang ditimpa renyai hujan di luar sana. Bunyi hujan memang menenangkan.

“TIT! TITTT! TITTT!!”

Penggera jam pada telefon berbunyi buat ke lapan belas ratus kali. Agaknya sebanyak itu lah aku tekan snooze tadi sewaktu bergolek-golek di atas katil. Bingitnya menendang-nendang gegendang telinga. Arghhh malasnya nak pergi kerja! Aku masih terkelip-kelip merenung tingkap luar yang berkabus, tubuh pula masih berat hendak bangun.

Ini lah masalahnya bila mata terpejam lama sangat, kelopak mata bagaikan ada batu ladung yang menyangkut di kiri dan kanan. Kan bagus kalau tidur tu tak perlu nak tutup mata, tak ada lah berat nak buka mata esok harinya. Begitulah rutin harian aku pada waktu pagi. Teramat malas dan berat hendak pergi ke tempat kerja. Tambahan pula hobi aku jika tidak ada buat apa-apa ialah tidur. Tidur, tidur dan tidur. Lebih memudaratkan, kadang-kadang aku tertidur sewaktu bekerja.

Sebelum pergi lebih jauh, nama aku Boy, berumur 27 tahun bertubuh sedikit sasa, rupa paras boleh tahan, berambut pendek tetapi agak kerinting, berkulit sawo matang, handsome lagi tampan. Aku bekerja sebagai pembantu pengurus operasi di sebuah syarikat swasta.

“Titt..! tit…!!!”

Telefon aku berbunyi lagi. Kali ini bunyinya bernada dering lain. Aku lihat skrin. Alamak!

“Ya, ya, bos ni tengah dekat traffic light ni bos. Traffic light dekat depan sekolah ni pulak rosak. Tu yang jalan jam sikit.”

Alasan ini sudah aku gunakan minggu lepas, namun masih relevan untuk diguna pakai oleh kerana aku sememangnya sudah sediakan pelbagai alasan yang berbeza-beza jika terperangkap dalam waktu ‘kecemasan’ sebegini.

Setelah selesai mandi dan bersiap, aku terus capai kunci kereta dan menuju ke luar rumah. Cuaca agak sejuk betul dua tiga hari ni. Bestnya lah kalau dapat sambung tidur lagi. Aku terus memandu perlahan ke kawasan pekan. Jam melewati pukul 9.25 pagi, sudah hampir satu jam nampaknya aku lewat masuk pejabat. Namun aku tetap steady dan tenang memandu, hidup ini tak perlu tergopoh-gapah dan kelam kabut. Kerja sampai bila-bila pun tak kan pernah habis, jadi keep calm and chill. Nikmati hidup. Moto hidup aku ni sememangnya terlalu bahaya untuk diikuti.

Oleh kerana mata masih lagi mamai dan mengantuk, aku singgah sebentar di kedai runcit serbaneka untuk membeli kopi panas. Memang selalunya aku akan beli di kedai ini.

“Hey, Boy. Apa khabar! Selamat berhari Isnin. Hehehe.”

Seorang lelaki penjaga kaunter menegur aku. Dani namanya. Memang aku dah biasa dengan dia ni disebabkan kerap datang ke sini. Kami kenal pun di sini. Ada kalanya aku mengajak dia bermain snuker jika ada masa lapang.

“Kau jangan menyengih macam tu sangat Dani, aku tengah rabak ni. Ni ha cuba kau tengok mata aku”

“Hahaha, bukan memang tiap pagi ke kau barai macam ni.”

“Itulah tu. Kau pun tahu kan aku bukannya morning person. Ish susahlah.”

“Salah kau jugak, malam minggu je berhibur sampai ke pagi buta. Lepas tu bangun pun lambat. Cuba lah displin kan diri kau tu sikit. Dah tahu nak bangun kerja pagi janganlah pukul 4,5 pagi baru nak balik rumah.”

Pedas betul aku diceramahi oleh Dani. Memang tiap pagi pun dia akan membebel begitu kalau aku singgah membeli kopi di sini.

“Dah la weh, aku penat lah dengar kau membebel tiap kali aku datang sini. Bak mari Dunhill merah tu sekotak. Aku dah lambat ni.”

“Hahaha. Boy, Boy.. aku cuma nasihat je, nak dengar tak nak dengar tu kau pun hal. Nah, semua sekali dua puluh ringgit lima puluh sen.”

Aku segera meletakkan sekeping not rm20 dan syiling 50sen di atas tapak tangan Dani lalu berlalu pergi. Segar semula pandangan aku setelah menghirup kopi enak. Langit pada pagi ini sungguh indah, cuaca pula nampaknya sangat baik walaupun sedikit sejuk dan berangin. Aku meneruskan perjalanan ke kereta yang aku parkir di tepi jalan.

“DUBB!”

Langkah aku sedikit terencat apabila terlanggar sesuatu di atas lantai. Hampir-hampir terlepas kopi yang sungguh enak ini daripada pegangan. Kalau terlepas memang rugi kerana isinya banyak lagi. Dalam keadaan terkejut aku toleh ke belakang untuk memastikan apakah bendanya yang buat aku tersadung tadi.

Rasa terkejut sebentar tadi serta merta berubah saat aku toleh ke belakang. Aku lihat ada seorang lelaki tua sedang duduk bersandar di dinding sebuah kedai dengan kedua-dua kakinya terlunjur ke hadapan. Rupa-rupanya aku tersadung kaki lelaki tua ni. Itulah, aku asyik sangat berjalan sambil khayal memandang langit dan awan tadi. Yang pak cik ni pun kenapa duduk tengah jalan macam tu?

“Err, Pak Cik. Pak cik tak apa-apa ke? Maaf saya tak perasan pak cik duduk di sini tadi” Tanya aku sambil mendekati lelaki tua tersebut.

Dari segi gayanya macam pengemis dengan keadaan diri serta pakaiannya yang tidak terurus. Rambutnya sudah banyak yang putih, jambangnya pula agak berserabai.

“Pak cik. Pak cik okay tak ni?”

Tanya aku lagi. Aku hairan melihat lelaki tua ini yang langsung tidak memberi sebarang respon. Dia tetap duduk bersandar di situ kaku sambil matanya terbeliak luas. Dia macam sedang melihat sesuatu di hadapan sana. Agak menakutkan.

“Hey pak cik, saya tanya ni jawablah. Pak cik tahu tak tindakan pak cik yang duduk dekat tengah-tengah kaki lima macam ni boleh membahayakan orang-orang macam saya. Buatnya saya tersadung jatuh ke lantai simen tadi ni macam mana?”

Aku meninggikan suara, namun lelaki tua ini tetap bisu mendiamkan diri. Matanya daripada tadi terbeliak luas tidak berkelip-kelip. Tidak lama lepas itu dia menudingkan jarinya ke hadapan. Semakin lebih menghairankan. Aku cuba melihat ke arah hadapan seperti yang lelaki tua ini tunjukkan. Namun bila diperhati, tiada apa-apa di hadapan sana. Apa yang ada hanyalah sebuah bangunan kedai pajak gadai, manakala betul-betul di sebelah kedai itu pula ada sebiji tong sampah besar.

“Ada apa dekat sana pak cik? Saya tak nampak sesiapa pun?”

Sekali lagi pertanyaan aku dipandang sepi oleh lelaki tua ini. Dia tetap tidak memberikan respon kecuali memandang ke hadapan tidak berkelip-kelip sambil menunding-nuding jarinya ke sana. Ah, aku syak pak cik ni ada masalah mental.

“Dah lah malas saya nak layan pak cik, ada banyak lagi benda saya nak buat. Ingat duduk tu elok-elok sikit, nanti orang terlanggar.”

Aku terus menuju ke kereta dan berlalu pergi dari situ. Wajah bos aku yang garang ternyata lebih penting pada ketika ini.

…………………………………………..

3.35 PM, Pejabat

Penat betul rasanya hari ni di pejabat. Kerja pula bertimpa-timpa dari pagi. Mata aku melilau ke kiri dan kanan, memeriksa kot-kot ada malaun yang nampak aku ke sini, ke bilik stor simpanan barang. Bilik stor ini ibarat syurga kedua bagi aku. Di sinilah aku akan melelapkan mata sebentar dalam 10 ke 15 minit. Di celah-celah locker, di balik-balik kotak yang menimbun tinggi akan ku baring sebentar bersandar. Ah, sungguh menenangkan..

Bilik stor yang agak jauh sedikit daripada ruang pejabat utama menjadikan lokasinya lebih strategik lagi. Lagipun tidak ramai yang akan ke sini kecuali jika benar-benar perlu. Setelah dipastikan semuanya clear dan tiada gangguan, aku matikan suis lampu bilik stor. Aku memilih locker yang paling hujung untuk bersandar menyorokkan diri. Di kiri dan kanannya penuh ditimbuni kotak-kotak barang, memang sukar bagi sesiapa untuk mengesan aku. Lalu sepasang mata yang sememangnya sudah mulai berat ini terus terpejam dan lena.

Suasana sunyi sepi berlalu selama tiga minit.

Ketika itu aku sudah mula memasuki fasa alpha, separuh sedar separuh tidur. Tiba-tiba kedengaran satu bunyi di sebelah. Bunyinya seakan-akan bunyi kotak yang ditolak tarik. Pada mulanya aku buat tak tahu, barangkali bunyi dari luar. Namun bunyi tersebut semakin lama semakin galak sekali. Aku rasa tidak selesa, dalam mamai aku cuba intai ke sebalik locker.

“Oh mak kau!! Bodoh, musibat haramjadah!!”

Hampir-hampir sahaja aku mati terkena serangan sakit jantung di situ. Bila masa si keding ni ada dekat sini. Kelihatan Helmi sedang tersipu-sipu dalam mamai. Dia juga terkejut melihat kehadiran aku di situ. Rupa-rupanya aku tidak keseorangan. Rupa-rupanya Helmi Keding juga sudah tahu rahsia lokasi syurga kedua aku ni.

“Hadoohh, kau ni Helmi macam mana kau pun boleh ada dekat port baik aku ni jugak? Sibuklah.”

Helmi Keding, 25 tahun. Rakan sekerja aku yang baru setahun kerja di sini. Tubuhnya yang kurus kering menyebabkan dia mendapat panggilan sebegitu. Jawatan kerjanya ialah dalam bahagian operasi. Daripada awal waktu aku masuk tadi memang aku langsung tak perasan mamat ni. Rupanya tengah sedap tidur di celah kotak dan locker.

“Kau ni kacau lah Helmi. Sebelum ni aku lepak sini sorang je tak ada siapa pun yang tahu. Kau buat apa dekat sini?”

“Sebelum kau masuk lagi aku dah ada kat sini Boy.. rilekslah. Aku pun ngantuk jugak macam kau..”

“Tapi ni port aku. Kalau orang lain tahu macam mana? Tak ke kantoi namanya?”

“Ala, kita senyap-senyap dah lah. Kita dua je yang tahu jangan risau.”

“Hishhh, dah tak best lah macam ni orang lain tahu port aku. Kau ni kacau lah!”

Aku terus marah-marah tak puas hati kepada Helmi Keding. Tidur aku yang sedang sedap-sedap lena tadi dikacau oleh kehadirannya. Helmi Keding ada bertanya mengapa aku curi tulang di sini. Aku terus mengadu kepadanya yang aku ini ada masalah mengantuk yang terlalu ekstrim.

“Kau pacaklah batang lidi dekat dua-dua mata kau tu Boy, biar tak tertutup mata tu sampai bila-bila. Hahaha. Sampai bila-bila!”

Aku mendengus. Langsung tak kelakar betul jenaka si Helmi ni. Aku memang pantang orang buat lawak tapi tak kelakar. Tak pasti apa yang Helmi cakapkan ni satu solusi atau satu lawak bodoh.

“Kecik besar kecik besar je aku tengok kau ni, sekali aku sumbat kau dalam locker ni baru kau tau.”

Helmi ketawa mengekek melihat aku yang tiba-tiba baran. Dia ingat badan dia yang keding ni tak mampu muat agaknya dalam locker.

“Janganlah Boy.. kalau aku mati dalam locker ni nanti macam mana. Korang tak takut ke office ni bakal berhantu nanti. Hahaha.”

“Siapa je yang nak takut dengan hantu keding macam kau Helmi?”

Kami berdua sakan bergelak ketawa dalam bilik stor sebelum terdengar bunyi tapak kaki di luar. Bunyinya seperti menuju ke sini. Cepat-cepat aku petik suis lampu dan buat-buat mencari barang di dalam dalam kotak. Helmi juga begitu, konon-konon tengah susun fail dalam locker. Mantap betul lakonan kami.

…………………………………………….

8.30 malam, di pekan.

Aku memandu pulang dalam keadaan tenang. Sedang asyik menikmati permandangan malam tiba-tiba aku teringat akan jenaka Helmi Keding petang tadi. “Kau pacaklah batang lidi dekat dua-dua mata kau tu Boy, biar tak tertutup mata tu sampai bila-bila. Hahaha. Sampai bila-bila”. Jenaka yang tak berapa nak lawak ni terus mengingatkan aku kepada lelaki tua yang aku langgar pagi tadi berdekatan kedai Dani. Lelaki tua yang terbeliak besar matanya asyik memandang apa entah.

Entah kenapa hati aku tertanya-tanya siapakah sebenarnya gerangan dia tu, apa yang dia buat di situ, dan paling mustahak sekali mengapa dia berkelakuan sangat aneh. Dengan mata yang tidak berkelip-kelip, langsung tidak bercakap sepatah apa, lepas itu kerap kali aku lihat dia menuding-nuding jari ke hadapan. Sebenarnya dia kenapa?

Oleh kerana rasa ingin tahu yang sangat kuat, aku lalu semula ke jalan pagi tadi. Hanya kerana ingin melihat sama ada dia masih berada di situ ataupun tidak. Perlahan-lahan aku selusuri memandu di jalan tersebut sambil membuka tingkap, sangkaan aku tepat. Lelaki tua tersebut kelihatan masih berada lagi di situ! Tetap terbeliak memandang ke hadapan.

Untuk kepastian, aku toleh pula ke sebelah bertentangan seberang jalan yang menempatkan kedai pajak gadai. Aku lihat tiada sesiapa di situ. Kedai itu pun sudah tutup dan bergelap. Ke arah sini lah yang lelaki tua tersebut tudingkan jarinya pagi tadi, seolah-olah macam ada sesuatu ataupun seseorang yang dia nampak di sini. Tetapi siapa dan apa?

Aku pulang dalam rasa kehairanan. Tak pernah aku rasa securiga begini sebelum ini.

Aku tak dapat tidur dengan tenang, Ini semua gara-gara lelaki tua itu. Aku bagai dapat rasakan ada sesuatu yang terjadi di sebalik kelakuan anehnya. Sesuatu yang semua orang tak tahu, yang cuba dirahsiakan beliau. Pagi tadi aku tahu dia cuba menyampaikan mesej, dengan menuding jari ke hadapan. Lelaki tua tersebut mahu memberitahu ada sesuatu yang dia nampak di hadapan sana. Barangkali sesuatu yang boleh dikatakan paranormal. Tak boleh nampak oleh mata kasar.

Aku harap esok pagi dia masih ada di sana.

…………………………………………….

Pagi ini aku bangun sedikit awal daripada kebiasaan, semuanya oleh kerana desakan hati yang ingin sangat berjumpa dengan lelaki tua tersebut. Ada sesuatu padanya yang aku mesti dan perlu ambil tahu.

Jarak rumah dengan kedai Dani kira-kira dalam 15 minit, tapi aku berjaya jadikannya hanya 6 minit. Pemanduan aku agak pantas pagi ini. Nampaknya tak sia-sia aku keluar awal, orang yang aku cari sememangnya sudah ada di situ. Terduduk bersandar di dinding sambil matanya luas memandang ke hadapan. Agaknya sudah berapa lama dia berkelakuan begitu.

Aku berjalan di hadapan kedai Dani, kelihatan dia berada di kaunter sedang melangut menunggu pelanggan. Bibirnya terkumat-kamit cuba mengikut melodi lagu yang dipasang melalui radio. Aku mengetuk cermin kedai dari luar untuk menarik perhatiannya. Dani kelihatan terkejut kerana lamunannya terganggu. Dari gerak bibirnya aku tahu dia mengatakan ‘kenapa?” kepada aku.

Aku terus menuding jari ke arah lelaki tua yang sedang duduk bersandar pada dinding selang satu dari kedainya. Dani tak faham terhadap apa yang aku cuba tunjukkan kepadanya. Dia lantas turun dari kerusi kaunter dan keluar berjumpa dengan aku.

“Apahal Boy?”

“Tu ha. Kau perasan tak pak cik ni dari semalam lagi duduk dekat situ. Kau tak rasa pelik ke tengok dia?”

“Aku perasan, dah dua tiga hari jugak dia ada dekat situ. Langsung tak pergi ke mana-mana. Alah biasalah, orang tak siuman memang lah macam tu. Yang kau nak hairan kenapa Boy?”

“Dua tiga hari? Maksudnya dah lama jugak dia dekat sini kan?”

“Tak, ni apa masalahnya ni. Dia ada kacau kau ke, dia tu pak cik kau ke, ahli keluarga kau ke?”

Aku dan Dani berbual-bual sebentar tentang lelaki tua tersebut sebelum Dani segera masuk ke dalam kedai kerana ada dua orang pelanggan datang.

Tanpa berfikir panjang, aku segera mendekati si lelaki tua. Mulutnya terkumat-kamit, butir katanya tidak langsung aku fahami. Matanya kelihatan kemerah-merahan dan berair menimbulkan rasa aneh di diri. Mungkin kerana tabiat pak cik ini ni suka menjegil dan membeliakkan mata sebegitu rupa.

“Pak Cik..”

Lelaki tua ini tidak mempedulikan aku selain terus-terusan merenung ke hadapan. Sekali lagi aku toleh ke tempat yang dipandangya seperti semalam. Tempat yang sama. Aku cuba memerhati lebih lama sedikit, namun memang tiada apa-apa di sana.

“Pak Cik pandang apa dekat depan tu? Dari semalam saya tengok pak cik macam ni.”

Seperti biasa, tiada respon ditunjukkan oleh lelaki tua ini. Aku cuba perhatikan dirinya pula atas bawah. Dengan reaksi mukanya yang kadang kala berkerut, kadang kala bagai hendak menangis, menimbulkan keresahan di hati aku. Aku perasan yang dia ada menggengam sesuatu di tangannya.

“Pak cik. Boleh saya tengok apa yang pak cik sorokkan di tangan tu?”

Kali ini pak cik ini respon, dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak mahu berkongsi dengan aku apa yang ada dalam genggamannya itu. Ah, apa pula yang sebenarnya di sorok tu. Melihat keadaan matanya yang sudah terlalu teruk yakni bengkak, berair, dan merah membuatkan aku rasa lebih sangsi.

“Dah berapa lama pak cik macam ni? Kenapa mata pak cik asyik terbuka saja macam tu??”

Dia membetulkan dudukannya sambil menguis-nguis kaki untuk menyeretkan badannya jauh sedikit daripada aku.

“Ti..tiga hari..”

Aku terkejut dengan jawapannya. Aku desak dengan lebih lanjut lagi.

“Dah tiga hari pak cik macam ni? Maknanya dah tiga hari pak cik tak tidur lah?”

“Bu.. Bukann. Dah tig..tiga hari aku tak tutup mata!!”

Kali ini aku berasa lebih terkejut. Mana mungkin manusia normal boleh membuka mata tanpa berkelip selama tiga hari berturut-turut? Tetapi bila melihat keadaan matanya yang memang sudah sangat teruk bengkaknya memang masuk akal juga. Apa tidak penat? Apa tidak sakit matanya dibiarkan terbuka tidak berkelip-kelip selama tiga hari berturut-turut? Pak cik ini mengangguk apabila aku tanya adakah dia langsung tidak mengelipkan matanya selama hari berkenaan. Memang gila.

“Boleh saya tahu sebabnya pak cik??”

Pak cik ini terdiam. Dia seperti berkira-kira mahu memberitahu aku sebabnya atau tidak. Aku menunggu, melihatkan gayanya yang sudah mula melepaskan genggamannya membuatkan aku yakin dia akan memberitahu aku tentang apa sebabnya.

Dalam keadaan menggeletar dia mengangkat tangan kiri sambil menunjukkan sebuah cincin batu yang dipakai di jari manisnya. Aku jadi hairan. Kenapa dengan cincin ini? Adakah ini rupanya yang dia sorokkan daripada aku sebentar tadi?

“Kalau aku beritahu kau mengapa aku jadi macam ni, mungkin kau tak kan percaya. Aku mungkin akan merisikokan diri dan nyawa aku selepas ni, tapi ada baiknya kau cuba pakai cincin ini kalau nak tahu apa sebabnya..”

“Ni cincin apa pak cik? Cincin azimat ke? Boleh jadi kebal ke?”

Aku yang bagaikan terpukau dalam rasa ingin tahu yang sangat tinggi terus ingin mencuba. Tanpa berfikir risiko apa yang akan aku hadapi. Lelaki tua ini terus menanggalkan cincinnya lalu dihulurkan kepada aku. Aku tak fikir panjang kerana aku dahagakan jawapan. Selepas sahaja cincin tersarung di jari, aku lihat pak cik ini mengerang, menggeletar lalu terus terbaring lemah sambil memejamkan matanya. Nafasnya turun naik, dadanya berombak.

“Pak cik kenapa?? Saya tak rasa apa-apa pun, pak cik jangan nak tipu saya, ni sebenarnya cincin apa ni?!”

Aku mengoncang-goncang tubuh pak cik yang masih terbaring di hadapan aku. Tiba-tiba aku berasa satu perasan lain yang maha lain. Seperti ada kelibat-kelibat hitam yang berlari-lari mengelilingi aku. Fokus aku pada pak cik ini terus teralih kepada bayangan-bayangan hitam yang seakan-akan seperti meluru kepada aku.

Pak cik tadi tiba-tiba menggeletar atau perkataan lebih sesuai lagi ialah menggelupur seperti kepanasan. Aku tak tahu apa yang terjadi. Fokus dan fikiran aku bercampur aduk, antara lelaki tua yang tiba-tiba berkelakuan seperti orang nazak dan juga kelibat hitam yang berlegar-legar mengelilingi aku.

Dalam nafas tersekat-sekat di kerongkong pak cik ini cuba sedaya upaya untuk bercakap.

“Aku dah tak sang..ngggup lagi. Seb..sebab cincin jahanam tu.. a..ak..aku terseksaa.. Biarlah ak..aku mati daripada terseksaa… selamat jalann..”

Selepas menghabiskan kata-kata terakhirnya, dia terus kaku terdiam tidak bernyawa. Serentak daripada itu aku perasan ada satu bayangan kelibat yang sangat menakutkan lebih kurang 50 meter di hadapan. Seorang perempuan, wajahnya tua dan sangat berkedut, rambutnya putih semua dengan mulut yang lebar menyeringai. Barisan gigi yang semuanya taring benar-benar menakutkan aku.

Aku pejam mata dengan harapan ini semua hanyalah ilusinasi. Sangkaan aku meleset apabila membuka mata kemudiannya. Hantu perempuan tua itu tetap masih ada tercegat di hadapan, kali ini jaraknya dengan aku semakin dekat berbanding tadi. Setiap kali aku mengelipkan mata, setiap kali itu lah jaraknya semakin lama semakin dekat dengan aku. Hal ini tidak terjadi apabila aku diam tidak mengelipkan mata. Ini bermakna jika aku memejam atau pun mengelipkan mata, perempuan tua ini akan bergerak semakin lama semakin dekat kepada aku.

Dalam ketika aku cuba menghadam apa yang berlaku sebenarnya, si puaka syaitan di hadapan ketawa mengekek menghilai memberi sebarang dua kata amaran kepada aku.

“jangann…. Tutupp… mataaa….. Nanti… aku… akan…. Makannnn… badan kau… satu persatuuuu……hihihihihihihiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii”

Kini barulah aku tahu mengapa pak cik yang memberikan aku cincin bodoh ini tidak menutup mata selama ini. Dan aku tahu cincin ini membawa sumpahan, barangsiapa yang memakainya akan jadi lemah seluruh anggota, si pemakai tidak boleh bergerak, tidak boleh menutup mata, dan jika sesekali cincin ini ditanggalkan maka maut akan menanti sejurus selepas itu. Seperti pak cik ini. Pak cik ini barangkali mungkin ada membuat perjanjian dengan syaitan. Sudah pasrah dan tidak tahan terseksa sebegitu. Baginya, lebih baik mati.

Aku kini ada dua pilihan. Satu, memejamkan atau mengelipkan mata sambil menunggu hantu di hadapan datang semakin dekat untuk makan aku. Dua, menanggalkan cincin ini dah terus mati. Pilihan yang kedua-duanya jika aku ambil akan memendekkan hayat aku.

Aku pilih pilihan yang ketiga. Tidak mengelipkan mata dan hanya melihat hantu perempuan berambut putih berwajah berkedut ini yang jaraknya kini hanya 3 jengkal di depan mata aku. Dia tersenyum menampakkan baris gigi sambil menunggu detik aku mengelipkan mata. Jahanam. Mata aku semakin sakit, semakin berair.

Aku menunggu bila agaknya Dani akan keluar untuk mendapatkan aku. Mana tahu Dani mahu cuba memakai cincin yang ada sumpahan ini?

TAMAT

Oleh: Admin Jambang

penselstudio2018©allrightsreserved

 

#penselstudio #kisahseram #seram #jangankelipmata

Share It!
  • 295
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply