‘Harta Pusaka’ Nenek

Aku mengenali Amir semasa melepak rumah member aku kat Setapak sekitar tahun 2006. Amir ni pengkid dan floor manager McDonalds. Tak seperti pengkid yang aku pernah tengok, Amir, singkatan dari Ameerah ni actually cantik juga lah orangnya. Aku masih ingat muka chinese-look dengan kulit putih bersihnya. Ditambah pula body slim with natural enhancement at the right places. Tapi itulah sayangnya pengkid pulak. Anyway enough walk down the memory lane…

Amir tinggal di kampung sebaik tamat SPM. Di kala orang lain sibuk isi borang UPU, borang UPU pun si Amir ni tak beli. Dia dah malas nak belajar dan tinggal dengan Nenek pun sebab tak tahan dengan leteran mak pasal tak nak sambung belajar dan tak nak kerja.

Kat kampung memang heaven lah. Atuk dah meninggal masa Amir kecil lagi dan dalam ramai-ramai cucu, Amir sorang je yang suka duduk kampung, so macam king dia kena layan dengan Nenek. Apa nak semua Nenek bagi. Nak makan best-best, Nenek sediakan, nak TV dalam bilik siap dengan video player, nak walkman, Nenek bagi duit suruh beli sampai motor kapcai pun Nenek usahakan.

Kampung Amir terletak dalam daerah Banting dan Neneknya dikenali penduduk sebagai bidan/tukang urut/pengamal perubatan tradisional. Business hour Nenek Amir ialah malam Khamis dan Jumaat sahaje. Setiap minggu kedua-dua malam ni memang meriahlah rumah Nenek dengan orang datang berubat. Biasanya Amir ambil kesempatan kesibukan malam itu untuk ronda-ronda dengan girlfriend dia masa tu budak Form 3 naik kapcai Honda 70cc.

Rumah kampung Amir ni jenis rumah kampung tiang tinggi. Bahagian bawah rumah di bina dinding untuk dijadikan stor simpanan menyimpan barangan arwah Atuk yang bisnes sewa peralatan kenduri macam khemah, meja makan, kerusi dan lain-lain lagi. Stor tak pernah dibuka sejak Atuk meninggal. Rumah kampung tu besar, ada 4 bilik asal dengan lagi 2 di tambah masa renovate buat dapur. Bilik Amir kat area dapur dan bilik Nenek kat bahagian atas. Disebabkan rumah tu besar, Amir jarang melepak kat atas dan kalau melepak dengan Nenek pun kat area dapur je. Kalau dah bahagian atas rumah pun dia jarang naik, bilik Nenek apa lagi lah.

Kata Amir, malam-malam setakat dengar bunyi-bunyian kat dinding dapur (dinding sempadan dengan ruang stor bawah rumah) tu perkara biasa. Dia anggap adalah tikus main-main kat dalam tu, tak pun bunyi kayu ke ape sebab rumah lama. Paling tak best time mandi sebab Amir sering rase macam di skodeng. Walaupun bilik air diperbuat dari batu, still dia rasa macam ade orang mengendap dari lubang ventilation kat atas tu. Kadang-kadang dia sampai boleh dengar ada bunyi nafas tapi bila dia tengok takde orang pulak. Since dia rasa pelik-pelik time mandi tu, Amir cuma mandi petang sebelum pukul 6. Kalau time membuang pun same, especially lepas Maghrib. So untuk memudahkan urusan perkumbahan waktu malam, dia pasang walkman time melabur.

Misteri rumah Nenek bukan setakat tu je. Kat bahagian tengah rumah (area yang menghubungkan bahagian depan rumah dan dapur) ada sebatang tiang seri betul-betul sebelah pintu bilik Nenek. Kat tiang tu ada ikat tali sabut macam tangkal dan di atasnya ada ikat kain kuning dan merah berselirat. Tiang tu off-limit dan Nenek memang mengamuk kalau ada bebudak main-main kat situ. Pernah masa Amir kecil, dia dan sepupu-sepupu main polis sentri dalam rumah dan tiang seri tu jadi ‘jail’. Salah seorang dari sepupunya tiba-tiba pengsan dan bila sedar bagitahu ada ‘pakcik telanjang badan berbulu’ senyum kat dia bila dongak atas.

Antara kejadian lain yang Amir takleh lupakan, malam sebelum akad nikah Mak Su, anak perempuan Nenek paling bongsu, semua orang di arahkan keluar rumah. Amir masa tu dalam umur 6 tahun dan dengan sepupu lelaki sorang lagi pakat menyorok kat dalam almari kayu bilik sebelah. Dari dalam almari tu kat dinding belakang ada lubang kecil boleh tengok bilik sebelah. Malam tu Amir dengan sepupu nampak Mak Su bersendirian dalam bilik yang hanya diterangi pelita ayam. Mak Su berkemban kemudian di atas katil Nenek ada tangan berbulu lebat, macam tangan chimpanzee panggil-panggil Mak Su. Tiba-tiba Mak Su lurutkan kain kemban dan dalam keadaan bogel naik atas katil Nenek. Masa tu Amir tak faham lagi soal-soal seks ni so dia ingatkan Mak Su ni demam sebab si Amir ni pun kalau demam suka tido bogel. Just dia pelik siapa pula kat katil Nenek tu sebab setahu Amir mana ada saudara tangan berbulu macam tu. Sepupu dia pula dah nak nangis sebab dia kata itu “pakcik bogel bergayut kat tiang seri”.

Kisah arwah Atuknya meninggal pun boleh tahan misterinya. Sebulan sebelum arwah meninggal, dia bedridden kat tilam tengah rumah. Dari mula sakit arwah Atuk tak bercakap, makan bersuap, itupun bubur je, kencing, berak semua orang uruskan. Satu pagi, semua orang terkejut tengok arwah sapu daun kering kat laman rumah. Orang kampung semua datang melawat dan Atuk borak macam biasa dengan semua orang. Antara peel pelik arwah Atuk masa tu, tiba-tiba nak makan macam-macam. Gulai daging, rendang ayam, pulut kuning, lemang, sambal petai, asam pedas, macam-macam lah dan Atuk makan non-stop. Air favorite Atuk, teh susu Nenek buat dalam periuk kawah besar tu, licin semua. Settle makan, malam tu dekat nak pukul 12, arwah Atuk bersilat sensorang kat area tengah rumah. Dan of course semua tak boleh ada dalam rumah time tu. Boleh dengar dari luar arwah Atuk cakap “haipppp” “yeahrghh!!” “mati kau!” “hepp!” “aku lompat!!” dengan lantai rumah kayu macam nak runtuh sebab Atuk main lompat-lompat. Besok paginya arwah Atuk meninggal.

Dengan kejadian-kejadian mistik yang berlaku kat rumah tu, memang open-secret di kalangan ahli keluarga yang arwah Atuk dan Nenek ni membela. Arwah Atuk dan Nenek ada 7 anak perempuan (termasuk mak Amir) dan 3 anak lelaki. Sejak arwah Atuk meninggal, semua anak perempuan Nenek, termasuk mak Amir tak pernah bermalaman di rumah. Kalau raya cuma pakcik-pakcik aja yang tidur kat rumah, itu pun bini dengan anak tak ikut sama. Dan semenjak dari itulah hubungan Amir dengan sepupu-sepupunya makin renggang.  Last-last kalau raya, cuma beberapa orang je yang balik, ada masa cuma berdua je pagi raya.

Mak Amir memang tak suka Amir tinggal dengan Nenek. Mak dia tak pernah cakap kenapa dan Amir pun tak pernah tanya kenapa since Amir ni jenis malas nak ambil tau soal orang-orang tua.

Satu hari dekat-dekat nak Maghrib Amir nak keluar melepak dengan geng-geng pengkid dia kat pekan Klang dan cari-cari dia punya kunci rumah tak jumpa. Jadi dia ingat nak pinjam kunci Nenek sebab balik confirm tengah malam punya. Panggil-panggil Nenek tak menyahut dan naiklah atas rumah ke bilik Nenek. Amir ketuk pintu, Nenek kata “Kejap, kejap…nanti Nenek keluar, dah nak habis ni”

Amir pun pelik, apa benda yang nak habis? curious punya pasal, dia pun tengoklah dari lubang kunci dan nampak Nenek atas lantai dengan sebelah kaki dalam lubang lantai yang dibuka papannya. Paling terkejut bila Nenek keluarkan kaki ada benda merah berkilat, macam lidah tenggiling lilit-lilit ibu jari kaki Nenek. Amir nampak ibu jari Nenek bengkak hitam dan kemudian sarung stokin. Patutlah selama ni Nenek pakai stokin 24jam. Alasannya sejuk tapi lantai kayu mana ada sejuk.

Masa Nenek buka pintu, Amir tanya kenapa lantai bilik Nenek berlubang?

“Nenek buang sampah kat situ, malas nak turun bawah buang..jauh” jawab Nenek selamba.

Amir juga masih ingat waktu kecil, Nenek sering cakap nanti bila dia dah mati, semua harta pusaka dia turun ke Amir. Biasanya orang-orang tua sayang cucu ni cakap bergurau benda-benda macam tu, ye lah dengan budak kecik kan. Tapi walaupun Nenek cakap dengan nada bergurau, masa tanya nanti Amir nak ke tak pemberian Nenek nanti, di paksa-paksanya Amir yang baru umur 4-5 tahun masa tu cakap iyee Nenek. Kadang-kadang time-time sekarang masa sarapan ke makan malam ke, Nenek bring up lagi soal harta pusaka tu dan setiap kali Amir cakap ye lahhh, Nenek akan cakap kuat-kuat “Haaa ko dengar tu?”

Bila tanya Nenek cakap dengan siapa, Nenek cakap “Dengan arwah Atuk kau”

Beberapa hari sebelum Amir pindah semula ke rumah mak bapak dia kat Keramat, mak dengan Nenek bertengkar. Amir tak tangkap butirnya tapi dapat dengar yang mak dia cakap “Mak jangan nak turunkan antu tu kat anak Suli!”

Then mak dia cakap kat Amir, packing sekarang dan ikut balik Keramat. Amir ni malas lah nak balik dan macam-macam alasan dia bagi. Boleh pulak mak dia pancing, “Apa kau nak aku belikan” dan Amir masa tu tengah kemaruk nak motor kapcai Suzuki RGV, buat deal dengan mak, kalau di belikan dia pindah balik KL. Mak mengalah, Amir menjerit yahoo, packing barang dan masuk kereta abah.

Sebelum Amir keluar dari bilik, Nenek berdiri kat tangga dapur melihatnya sambil berkata;

“Ingat janji kau sama Nenek”

Amir tak ambil pusing pasal janji apa benda tah Nenek ni cakap sebab dalam kepala otak dia cuma terbayang Suzuki RGV je.

Sejak dari hari Amir pindah balek ke rumah mak ayahnya, dia dipaksa kerja dan bermulalah karier di McDonalds. Mula-mula paksa diri sebab mak suruh, lama-lama seronok pulak kerja kat situ. Awek-awek trainee dengan part-timer pun cun-cun so bermula dengan jadi tukang goreng fries, Amir mula naik pangkat sikit-sikit.

Dekat setahun jugak Amir tak balik kampong jenguk Nenek bila dia dapat berita Nenek sakit kuat. Boleh dikatakan semua balik kampung masa tu. Keadaan Nenek sama betul dengan arwah Atuk masa dekat-dekat nak meninggal, terbaring je dan nak cakap pun macam seksa. Mak Amir dan adik beradik lain upah bibik Indon jaga Nenek.

Mak larang Amir pergi jenguk Nenek. Tengok dari jauh je, kalau Nenek panggil-panggil pun jangan pergi dekat. Amir tak tanye kenape tapi masa tu dia ingat mungkin sebab nak Nenek rehat, sebab kalau Amir ada nanti sibuk nak berborak pulak orang tua tu. Satu malam, agaknya kasihan sangat tengok Nenek beria-ria panggil Amir, tengok line clear, Amir pun pergi dekat Nenek.

“Ayun ingat janji sama Nenek tak?” kata Nenek lemah sambil urut-urut tangan Amir. Ayun tu nama manja Nenek ke dia.

Janji ape pulak ni? puas Amir cuba ingat apebende yang dia dah janji sama Nenek. Pasal janji harta pusaka tu memanglah terlintas kat otak tapi Amir tak terpikir pulak yang Nenek serious pasal tu, ingatkan main-main je.

“Janji ape Nek?”

“Harta pusaka aku semua aku nak kasi kat ko”

Pulak dah. Tak sangka pulak Nenek memang betul-betul nak wariskan dia rumah dan tanah pusaka. Apa dia nak buat dengan rumah dan tanah kampung tu? nak jual pun siapa nak beli. Lagipun bukan sepatutnya Mak dan adik-beradik ke yang patut dapat, apasal pula ke dia?

Macam-macam persoalan singgah di minda. Teragak-agak Amir nak menjawab.

Tiba-tiba Mak menyergah.

“KO ADA CAKAP IYE NENEK KE APE TAK?” bentak Mak keras sambil pegang erat pergelangan tangan Amir.

“Tttak..takde cakap ape”

“Bangang betul la ko ni ha! aku cakap jangan dekat dengan Nenek” marah Mak sambil melibas-libas tangan ke kepala Amir.

Dari hari ke minggu, minggu ke bulan, bulan ke berbulan-bulan, Nenek makin parah, boleh kata tinggal kulit dengan tulang je sampai Amir sendiri minta percepatkanlah ajal Nenek ni sebab kesian sangat tengok terseksa macam tu.

Satu malam, kampung gempar apabila Nenek tiba-tiba masak telur mata kerbau. Satu papan telur ayam habis Nenek goreng. Lepas tu minta beli cili 2 kilo, beras, santan, pendek kata macam nak buat kenduri.

Takda sorang pun cakap apa-apa dan menurut aja apa yang Nenek minta. Cuma Mak Su menangis tak henti-henti dari malam tu sampai ke pagi.

Nenek siapkan makanan dengan lauk penuh 3 dulang dan suruh semua orang makan. Semua 10 anak Nenek dan pasangan serta cucu-cucunya makan tanpa banyak soal.

Masa makan Nenek cakap yang rumah dan tanah pusaka semua turun kat Mak Su. Adik-beradik yang lain tak boleh ambil satu sen pun. Kata Amir, masa tu semua diam dan angguk. Amir tak berani tengok Nenek. Suap nasik pun mengigil tangan. Mana taknya, Nenek dengan rambut mengerbang, kurus keding dengan mata terbuntang jalan perlahan belakang semua orang masa makan tu.

Dalam ramai-ramai tu sorang je takde. Mak Su. Dia kat dalam bilik Nenek masa tu dan keluar dengan mata bengkak jalan terjengket-jengket.

Keesokan harinya Nenek meninggal. Menurut kata Amir, semua menantu-menantu Nenek dan cucu-cucunya tak dibenarkan lihat jenazah. Semua balik rumah, termasuk Amir yang balik Keramat malam tu juga sama abah.

Mak hanya pulang 1 minggu lepas pengebumian dan semenjak dari tu dia tak berjumpa langsung dengan saudara sebelah Mak. Kalau raya pun balik kampung sebelah ayah.

Dan tak tau kenapa juga, Amir tak pernah ada desire nak balik kampong samada ziarah kubur atau jenguk rumah kampong tu. Dia macam lupa terus pasal kampung tu. Mak pula lepas Nenek meninggal tak pernah mentioned langsung pasal adik-beradik dia kat keluarga.

Beberapa tahun lepas tu, Amir ada jumpa kawan lama masa kat kampong, terserempak kat Midvalley. Kawan tu bagitahu rumah kampong Nenek takde dah. Kena roboh dan tanah tu sekarang orang buat projek tanaman. Mak Su pula orang cakap dah cerai dengan laki dia then pindah Sarawak. Paling pelik, kawan bagitau Amir yang semua orang tak tahu arwah Nenek kebumi kat mana sebab dia yakin bukan kat tanah perkuburan kampung, sebab takda satu pun orang kampung yang datang pengkebumian Nenek.

Amir sampai sekarang (time recording tahun 2006) masih tak faham kenapa dia takde langsung perasaan sedih masa arwah Nenek meninggal. Dari kecik tinggal dengan Nenek, lepas tu habis sekolah tinggal dengan Nenek lagi tapi bila Nenek meninggal sezarah perasaan sedih pun dia rasa, macam orang lain yang tak kenal pula yang meninggal. Nak kata tak sayang, memang dia sayang dengan Nenek tapi itulah, setiap kali memori Nenek datang, dia tak rasa apa.

Penulis: Anonymous

Share It!
  • 134
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply