Gigi Palsu

Pada suatu malam yang sunyi sepi, terdapat seorang nenek sedang mengemis di satu lorong yang kotor dan dia kelihatan sangat lapar sekali. Dia tidak menerima sebarang sedekah pada malam itu dan untuk mengisi perutnya yang kosong, dia mengeledah sampah sarap yang terkumpul di sudut lorong itu.

Sedang dia mengeledah plastik sampah, dia ternampak satu gigi palsu yang tersadai dan dilumpuri dengan darah. Nenek itu agak gembira dengan penemuan itu kerana giginya sudah tiada dan agak sukar untuk dia mengunyah makanan.

Nenek itu mengambil gigi palsu itu dan memasukkannya ke dalam mulut. Tanpa diduga gigi palsu itu muat dan nenek itu gembira sehingga dia terus mencuba gigi palsu itu dengan mengigit sisa baki makanan yang terbuang di longgokan sampah itu.

Namun selepas dia menghabiskan sisa makanan itu, dia menjadi semakin lapar. Kelihatan seekor anak kucing sedang mencari makanan di tepi longgokan sampah itu dan tiba-tiba nenek tua itu menangkapnya dan memakan anak kucing itu hidup-hidup.

Terdapat seorang anggota polis melihat kejadian itu dan dia cuba untuk menahan nenek itu namun ketika mereka sedang bergelut, nenek itu telah mengigit leher polis itu sehingga polis itu terbujur kaku. Gigitan gigi itu terlalu kuat sehingga ia mampu menyiat-nyiat tubuh anggota polis itu. Nenek itu melapah seluruh tubuh polis itu kerana dia masih lagi kelaparan.

Gigi palsu itu seperti disumpah dan sesiapa yang memakainya, pasti akan sentiasa berasa lapar. Memandangkan tiada mangsa baru yang lalu di lorong itu, nenek itu mula melapah tubuhnya sendiri bagi memenuhi rasa laparnya sehinggalah tiada apa yang tinggal selain gigi palsu itu.

Subuh mula menjelang dan terdapat seorang pakcik sedang mencari tin-tin kosong di sudut sampah lorong itu. Ketika itu dia ternampak satu gigi palsu yang berlumuran darah di atas lantai dan dia cuba memakainya.

Gigi palsu itu muat dipakainya.

Share It!
  • 388
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply