Ghost of You

Aku memerhati wajah Alex di skrin laptop. Dia tersenyum seperti selalu. Lesung pipit di pipi kirinya jelas kelihatan. Tangannya kemudian mengangkat kertas yang tertulis ‘I Love You’. Wajah aku segera membahang. Malu dan terharu. Begitulah rutin kami setiap hari, setiap malam sebelum tidur. Berada di negeri yang berlainan menjadikan laptop dan telefon sebagai alat komunikasi kami berdua.

Alex menaip.

<I gotta sleep now.>

Pantas aku menaip.

<Selamat malam, Alex.>

Alex membuat tanda hati menggunakan tangannya dan diletakkan di dadanya. Aku ketawa kecil melihat lingkah laku spontannya itu. Apa yang boleh aku katakan, aku bahagia dengan hubungan kami. Hubungan jarak jauh yang sudah melangkau dua tahun.

Sebaik aku menutup laptop, aku berbaring memandang siling. Bunyi beep telefon bimbit mematikan khayalan aku. Telefon aku angkat tinggi. Ada mesej dari Alex.

<I love you. Sleep tight.>

Aku tersenyum.

Wajah Alex yang berdarah kacukan, segera menjelma. Mengenalinya di laman sosial sejak dua tahun lepas, sedikit sebanyak menceriakan kehidupan aku yang suram. Aku anak tunggal. Ibubapaku terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga mengabaikan aku. Aku keseorangan, sehinggalah aku mengenali Alex. Lelaki yang sebaya dengan aku, yang mempunyai minat yang hampir sama. Kami sama-sama meminati My Chemical Romance. Hubungan kami menjadi rapat dan terus rapat sejak hari pertama kami mengenali.

“Aku dah bosan. Ceraikan aku!”

Suara ibu di tingkat bawah mengejutkan aku.

“Aku tak akan lepaskan kau. Aku nak kau merana sampai mati.”

Suara bapaku pula kedengaran dan selepas itu hanya bunyi pasu dan barang dihempas kedengaran silih berganti.

Airmata segera mengalir tanpa sedar. Itulah rutin setiap malam yang terpaksa aku hadapi. Di waktu pejabat, ibu dan bapa sibuk dengan urusan kerja, di rumah pula sibuk dengan pertengkaran sehingga kewujudan aku langsung tidak dihiraukan mereka.

I wish you were here, Alex. I need you.

Alex memandang wajah aku yang suram, keesokkan malamnya. Dia tidak bertanya langsung khabar aku malam itu. Hanya memerhati wajah aku di sebalik kesuraman bilik aku.

Aku menaip.

<Sha nak lari.>

Alex memandang keyboard laptopnya dan kemudian memandang aku semula. Aku nampak dia menghela nafas panjang. Mungkin buntu dengan nasihat apa yang perlu dia lontarkan. Ini bukan kali pertama aku menyuarakan hasrat itu. Sudah banyak kali. Alex sudah sedia maklum dengan masalah keluarga aku.

<Bertahanlah, Sha. Dua bulan lagi..>

<Sha dah tak tahan. Sha rasa macam nak mati.>

Alex mengetap bibir. Geram dengan apa yang aku taip, mungkin.

Aku menaip lagi apabila Alex terus mendiamkan diri.

<Sha nak jumpa Alex.>

Alex geleng dan menaip.

<Dua bulan lagi, Sha. Bertahanlah.>

Aku segera menutup laptop dengan kasar. Itu adalah pertama kali aku tidak mengucapkan selamat malam pada Alex. Aku marah kerana Alex langsung tidak mahu memahami. Aku sudah bosan hidup di sini. Aku mahu lari atau mungkin, mati.

“Aku dah bosan tinggal dalam rumah ni!” Suara ibu menjerit jelas kedengaran. Aku segera bangun dan berlari keluar dari bilik. “Ceraikan aku,” bentak ibu lagi. Aku tahu ibu tidak bergurau malam itu. Dia benar-benar maksudkannya.

“Hanya mayat kau yang akan keluar dari rumah ni!” Jerit bapaku pula. Aku duduk di tangga, memerhatikan dua susuk tubuh itu yang sedang berdiri mengadap antara satu sama lain.

“Kalau kau nak bunuh aku, bunuh sekarang. Jangan jadi penakut, berani hanya dengan kata-kata,” sinis ibu bersuara. Dia mencebik memandang bapaku.

“Kau jangan cabar aku!”

Satu penampar singgah di pipi ibu, membuatkan dia jatuh terduduk. Aku sudah menggigil ketakutan.

“Kau pengecut!” Ibu menjerit.

“Pengecut kau kata?!” Bapaku terus berlalu ke dapur. Aku hanya memerhati ibu yang masih terduduk di lantai. Tangannya sesekali mengesat bibirnya yang berdarah.

“Ini kau kata pengecut!” Bapaku kembali dari dapur dengan sebilah pisau di tangannya. “Kau akan tahu aku pengecut atau tidak.” Pisau di tangan dihunus bapaku hampir ke muka ibu.

“Jangan!” Aku menjerit. Tangisan yang aku tahan dari tadi terhambur. Aku meluru menuruni anak tangga.

“Jangan apa-apakan ibu.” Aku duduk di sisi ibu, memandang bapaku dengan pandangan merayu. Meminta belas supaya wanita yang mengandung dan melahirkan aku itu tidak diapa-apakan.

“Kau dengan ibu kau sama saja!” Jerit bapaku.

“Tolong jangan apa-apakan ibu. Sha merayu.” Aku merayu lagi. Kaki bapaku aku pegang. Aku mendongak memandang bapaku.

“Arghh!” Bapaku menjerit nyaring. Pisau di tangannya dilepaskan dan dia melangkah keluar dari rumah.

“Sha..”

Aku segera berpaling memandang ibu.

“Ibu minta maaf.”

Aku menggeleng, “Bukan salah ibu.”

“Ibu gagal menjadi ibu yang baik, gagal menjadi isteri yang baik.”

Aku menangis. Tubuh ibu aku peluk erat. Dan malam itu juga aku nekad. Nekad dalam menentukan hidup aku.

**********

Ketika aku berdiri di hadapan rumah Alex, tiada reaksi terkejut di wajahnya. Wajahnya bersahaja. Tiada juga senyuman di bibirnya. Aku tahu dia marah dengan tindakan terburu-buru aku.

Sejak itulah aku menetap di rumahnya walaupun aku tahu dia masih marah. Ibubapanya melayan aku dengan baik walau kebanyakan masa aku habiskan di bilik Alex. Aku dan Alex sudah tidak bercakap seperti dulu. Aku hanya memerhati segala rutin hariannya.

Setiap hari dia akan tidur pada pukul 10 malam. Dia akan ucapkan selamat malam kepada kawan-kawan yang dia kenal di Facebook atau di twitter dan kemudian menutup laptopnya, menukar pakaiannya dan terus tidur. Pada waktu pagi selepas bangun tidur dia akan bersiap dan ke sekolah pada tepat waktunya. Dia akan pulang ke rumah pada pukul 3.30 petang setiap hari dan selepas itu dia akan siapkan kerja sekolah dan bermain dengan laptopnya sehingga waktu tidurnya.

Selain My Chemical Romance, dia sukakan gummy bears dan filem seram. Dia tiada rakan yang rapat kecuali aku.

Malam itu, rutinnya berubah. Dia langsung tidak menyentuh laptopnya, dia hanya berbaring di atas katil dengan wajah ditutupi bantal dan aku dengar dia menangis. Aku tidak tahu mengapa sehinggalah aku memandang ke arah kalendar di dinding biliknya dan barulah aku sedar akan tarikh hari ini. Patutlah dia bersedih, rupanya sudah setahun sejak aku meninggal dunia.

********

“Kau dengan ibu kau sama saja!” Pisau yang dipegang bapa dihunus tepat ke perutku. Rasa nyilu dan sakit silih berganti. Ketika pisau yang terhunus di perut ditarik rakus bapa, aku sudah terkulai tidak bermaya. Mata aku sudah berkaca. Wajah bapa yang ketawa kerasukan menjadi pandangan terakhir aku.

I wish you were here, Alex.

**********

Tangisan Alex semakin jelas kedengaran. Bantal yang menutupi mukanya dipeluk makin kuat.

“Fasha, aku lambat menyelamatkan kau. Aku minta maaf.”

Tamat

Kiriman Pembaca oleh Helena Anne (Ella Affandy)

Share It!
  • 206
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply