Episod 2: Potret Untuk Leya

Hipokrit

Puan Zuraida sedang tekun menulis nota tentang sejarah Malaysia di papan hitam sambil disalin oleh palajar-pelajar kelas 5 Suria. Namun Leya kelihatan tidak menumpukan perhatiannya dan hanya termenung melihat permandangan di luar tingkap. Sejak pertengkaran dia dengan Sam semalam, hatinya tidak senang memikiran pertuduhan dia terhadap Sam.

“Aku ingat kau ni cantik mestilah bijak, tapi rupanya bodoh juga! Senang kena hasut dengan si gemuk ni.”

Kata-kata Sam itu masih tergiang-giang di fikiran Leya. Dia mula sangsi tentang persahabatannya dengan Nurul. Boleh dikatakan apa yang dikatakan oleh Sam ada benarnya kerana sejak kebelakangan ini perangai Nurul agak aneh.

Pernah berlaku beberapa peristiwa di mana Nurul menghalang dia daripada bergaul dengan rakan-rakan kelas corot kerana Nurul tidak mahu dia terpengaruh dengan budaya yang konon baginya adalah tidak sihat.

Namun Nurul juga pernah cuba menghalang dia bergaul dengan rakan-rakan dari kelas-kelas ‘pandai’ atas alasan ‘friends with benefits.’

Nurul seperti mahu mengawal peribadi hidupnya.

“Leya”

“Leya..”

“Leya!”

Jerit Puan Zuraida kepada Leya yang masih sedang termenung. Terkejut Leya dibuatnya.

“Amboi termenung panjang tu ingat kat siapa tu Leya?” tanya Puan Zuraida.

“Eh tak ada lah cikgu. Tak ada apa-apa.” Balas Leya sambil membelek-belek buku notanya.

“Ingat kat kekasih hati ke?”

“Ish mana ada cikgu! Ada-ada je cikgu ni.”

“Dia ingat kat Sam tu cikgu.” Kata salah seorang rakan sekelas Leya. 

“Sam? Sam mana ni?” tanya Puan Zuraida.

“Sam dari kelas 5 Pluto tu. Semalam seronok diorang bermesraan.”

“Hah yeke?.” Riak muka Puan Zuraida mula berubah.

Leya malu tersipu-sipu dan tidak tahu ingin kata apa. Seperti dia tidak mahu menafikan tuduhan itu.

“Ish mana adalah. Pandai-pandai je korang ni. Leya ni single lagilah. Semalam Sam kena reject dengan Leya tau.” Kata Nurul yang cuba untuk menafikan khabar angin itu.

“Amboi Nurul, kau jeles ke Sam cuba nak pikat Leya?” kata salah seorang rakan kelasnya.

“Jeles? Tak kuasa aku nak jeles. Aku cuba nak elakkan Leya dari berkawan dengan orang yang perangai tidak elok macam Sam itu. Bahaya kalau Leya rapat dengan mereka.”

“Hah bagus Nurul. Aku sokong. Kau tolong jaga si Leya ni. Dia ini ibarat permata dalam kelas kita. Jangan bagi mereka rosakkan reputasi Leya sebagai pelajar contoh di sekolah ini.” Balas salah seorang rakan Nurul.

“Mestilah. Aku akan jaga Leya dan juga reputasi kelas 5 Suria ini.” 

Satu kelas bertepuk tangan atas kata Nurul. Namun Leya seperti tidak senang hati mendengarnya. Dia hanya mampu memberi senyuman sinis terhadap Nurul. Senyuman itu tidak dapat dibaca oleh Nurul namun Puan Zuraida mampu mengesannya. 

“Sudah! Jangan kamu semua cakap benda tak elok terhadap Sam!” Jerit Puan Zuraida hingga membuatkan kelas menjadi terpinga-pinga. Riak wajah Puan Zuraida menjadi begitu marah sekali. 

Satu kelas terus terdiam.

Ketika waktu rehat, Leya tidak turun di kantin dan hanya berehat di dalam kelas. Dia cuba untuk menjauhikan dirinya daripada Nurul dan juga sebahagian rakan-rakan kelasnya. Leya merasakan ada satu sifat sombong dan hipokrit di dalam kalangan mereka ini. 

Leya mengambil buku teks di dalam begnya dan letak di atas meja. Dia membuka buku itu dan mengambil satu kertas yang tersimpan di antara muka surat buku itu. Ia merupakan potret wajahnya yang dilukis oleh Sam. Leya masih menyimpan potret itu tanpa pengetahuan sesiapa termasuk Sam sendiri.

Terpesona Leya melihat kehalusan lukisan potret itu. Dia mula kagum dengan kebolehan Sam. Wajah potret itu nampak hidup dan hampir serupa dengan wajahnya. Namun malangnya hubungannya dengan Sam menjadi keruh akibat peristiwa semalam.

Tindak tanduk Leya itu telah lama diperhati oleh Nurul yang sedang mengintainya dari luar pintu kelas. Nurul berasa tidak senang hati melihat Leya mula bersifat dingin terhadapnya. Dia mula merasakan Leya mula menaruh hati terhadap Sam akibat daripada potret itu.

“Aku mesti buang potret itu. Kau ingat kau boleh abaikan aku macam ni. Aku yang jaga kau selama ni, tak akan ada orang lain boleh ambil kau dari aku Leya!” Kata Nurul dalam hati sambil merenung Leya dari belakang.

Waktu persekolahan telah tamat dan semua pelajar mula beredar dari kelas masing-masing. Kelihatan Leya terus keluar dari kelas tanpa menghiraukan Nurul. Jarang Leya tidak berjalan sama dengan Nurul ketika mahu pulang. Hal ini membuatkan Nurul berpanas hati.

Leya berjalan menuju ke kelas 5 Pluto dan dia cuba mengintai seperti mencari seseorang. Leya mula berasa aneh bila melihat pelajar-pelajar kelas 5 Pluto bermuram ketika mereka beredar dari kelas. Adakah mereka baru lepas kena marah dengan cikgu? Kegiatan Leya mengintai itu disedari oleh Puan Zuraida yang masih berada di kelas 5 Pluto itu. 

“Hei Leya, cari siapa tu? Tanya Puan Zuraida.

“Eh cikgu, tak perasan pula. Tak adalah. Tak cari sesiapa pun.” Balas Leya.

“Mari masuk kejab cikgu nak cakap kat awak sikit.”

Leya masuk ke dalam kelas dan ketika itu, ada sebahagian pelajar 5 Pluto memandang Leya dengan wajah yang agak marah. Mereka seperti ada sesuatu yang mereka tidak puas hati terhadapnya. Mungkin sebab pertengkaran dia dengan Sam semalam menyebabkan mereka cuba memusuhi Leya. 

Leya cuba menghiraukannya. Dia ambil kerusi dan duduk di depan Puan Zuraida.

“Awak okey ke Leya? Saya tengok awak macam ada masalah je.”

“Eh kenapa cikgu tanya macam tu? Saya okey je.”

“Leya, saya ni cikgu awak. Saya boleh tahu kalau pelajar saya ada masalah.”

“Em… Entahlah cikgu.” Balas Leya dan dia terdiam seketika.

“Cuba awak bagitahu apa masalah awak. Saya tengok awak ni mula tak beri perhatian di dalam kelas. Kalau dibiarkan nanti ia akan jejaskan pelajaran awak. Peperiksaan SPM dah nak dekat, kalau awak dapat markah rendah, habislah reputasi awak nanti. Awak pelajar contoh di sekolah ini.”

Leya mula mengeluh di depan Puan Zuraida. Berat baginya mahu meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.

“Siapa yang berikan gelaran pelajar contoh ini kepada saya cikgu?” Balas Leya.

“Kenapa awak tanya begitu?”

“Saya tidak suka. Ia adalah beban terhadap saya.”

No pain no gain Leya. Nak berjaya bukan mudah.”

“Kalau saya berjaya tapi tak bahagia apa gunanya.”

“Tak bahagia? Nurul kawal awak lagi ke?”

Leya terkejut dengar kata cikgunya.

“Hah? Cikgu faham ke masalah saya?” tanya Leya.

“Mestilah. Saya dah lama perhatikan kawan-kawan kelas awak. Semuanya hipokrit terutamanya si Nurul tu.”

“Hah betul tu! Saya bencilah dengan diorang. Kebanyakan diorang ni berlagak gila!”

“Biasalah tu. Cikgu dah biasa dengan perangai pelajar-pelajar dari kelas ‘pandai’ ni. Tapi sepanjang cikgu mengajar di sekolah ni, kelas kamu yang paling berlagak pernah cikgu ajar.”

“Tapi saya tak berlagak cikgu. Saya pun tak suka berkawan dengan diorang.”

“Cikgu tahu. Sebab tu kamu selalu diam je dalam kelas.”

Leya mengeluh sambil membaringkan kepalanya di atas meja cikgu itu. Puan Zuraida senyum kecil sambil membelai rambut Leya.

“Saya nak tukar kelas boleh tak cikgu?” 

“Awak nak masuk dalam kelas Sam kan?” 

“Cikgu ni tau tau je kan. Boleh ke?”

“Mestilah tak. Tinggal beberapa bulan je awak nak SPM.”

“Alaaah…” Leya merajuk di depan cikgunya.

Puan Zuraida hanya tersenyum sahaja. Berat matanya memandang Leya yang kelihatan kusut di depannya.

“Sam tu sebenarnya comel jugakan cikgu. Walaupun semalam saya gaduh dengan dia, tapi… entahlah. Dia nampak macam ada aura.”

Puan Zuraida masih diam dan mendengar sahaja luahan Leya.

“Sebenarnya saya suka bila tengok Sam maki Nurul semalam. Bila tengok Nurul menangis, rasa puas sangat. Orang berlagak memang patut kena maki macam tu.”

“Tapi itulah, saya pula pergi maki Sam sebab Nurul. Bodohnya. Lepas tu dia ada lukiskan potret wajah saya untuk bagi saya sebagai hadiah harijadi saya. Cantik sangat. Rasa bersalah betul saya dibuatnya.”

“Agak-agak ada peluang tak saya nak berbaik dengan Sam? Saya nak jernihkan keadaan dan mahu perbaiki balik hubungan kami. Cikgu ada idea tak?”

Puan Zuraida terdiam dan termenung seperti ada sesuatu bermain di fikirannya.

“Kenapa cikgu diam ni. Tadi kata nak tolong kalau saya ada masalah.”

Puan Zuraida mengeluh dan berat untuk menjawabnya.

“Leya, cikgu ada benda nak bagitahu awak. Berat hati cikgu nak bagitahu tapi awak kena bersedia hadapi perkara ini ya.” Kata Puan Zuraida dalam nada sedih.

“Hah apa ni cikgu? Macam sedih je. Risau saya.”

“Sebenarnya Sam….” 

“Sebenarnya apa? Kenapa dengan Sam?”

Puan Zuraida terdiam seketika.

“Kenapa cikgu? Kenapa dengan Sam? Dia dah ada girlfriend ke?” Bagitahu jelah, Leya tak kisah pun. Janji Leya dapat berkawan dengan dia pun jadilah.”

Berat mulut Puan Zuraida mahu memberitahu sesuatu kepada Leya namun dia tidak dapat menyimpannya lagi.

“Leya. Sam baru sahaja dikebumikan pagi tadi. Dia sudah meninggal dunia…” Kata Puan Zuraida sambil mengesat air matanya yang mula mengalir di matanya.

Leya terdiam. Mulutnya terkunci dan masih tidak memahami apa yang sedang berlaku.

Owh… Yeke?

Tamat Episod 2 Potret Untuk Leya

Penulis: Syahir

Share It!
  • 225
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply