Diupah Untuk Membunuh Diri Sendiri

Saya sangat menikmati pembunuhan, dan ia merupakan sifat yang saya warisi sejak zaman kanak-kanak saya lagi.

Saya dibesarkan di kawasan pendalaman dan hidup bersama ayah dan adik saya. Walaupun kami berdua anak perempuannya, ayah membesarkan kami dengan cara yang agak kasar dan sering melatih kami untuk jadi pemburu.

Saya ingat lagi ayah membawa saya pergi memburu seawal umur saya tiga tahun. Arnab dan tupai sering menjadi mangsa buruan saya dan saya tidak pernah anggap ia sebagai haiwan yang comel. 

Ketika umur saya 10 tahun, saya mula memburu rusa dan dari situ saya telah membina otot badan dan stamina yang kuat. Danna, adik saya tidak suka memburu, tapi dia pandai dalam menyembunyikan diri. Ayah agak marah dengan Danna namun dia masih juga mampu memburu haiwan yang kecil di samping pandai memancing. Hasil buruan saya dan ayah cukup untuk menampung hidup kami sekeluarga.

Namun, ketika saya berumur 13 tahun, sewaktu kami sekeluarga pergi memburu, ayah saya telah diserang oleh beruang hutan dan ketika itu dia menjerit dan menyuruh saya menembak beruang itu. 

“Tembak cepat beruang ini bodoh!” jerit ayah saya.

Peluru senapang saya hanya tinggal dua butir sahaja dan kerana saya terlalu resah ketika itu, peluru pertama tidak menepati sasaran. Tembakan kedua pula tidak memadai untuk membunuh beruang itu. Danna mencapai tangan saya dan kami berdua berlari menyelamatkan diri apabila beruang itu mula mengambil perhatian terhadap kami berdua.

Ayah kami dimakan hidup-hidup oleh beruang itu namun kami tidak begitu terasa kehilangannya, mungkin kerana sudah biasa memburu dan membunuh haiwan demi kelangsungan hidup. Beruang itu juga pasti lakukan begitu demi kelangsungan hidupnya.

Selepas kejadian itu, kami dua beradik telah diambil oleh keluarga angkat dan hidup dalam keluarga yang normal. Danna boleh menyesuaikan diri dan dia sangat disayangi oleh keluarga angkat kami. Saya cuba menyesuaikan diri namun sifat memburu saya masih tebal dalam diri. Saya ingin membunuh lagi.

Jadi saya sering pergi memburu keseorangan setiap hari di kawasan berdekatan. Pada mulanya keluarga angkat saya mengkagumi kebolehan saya, namun lama kelamaan mereka agak risau dan tidak mengalakkan saya pergi memburu lagi. Walaupun begitu saya tetap pergi memburu dan menjual hasil buruan saya di pasar yang berdekatan.

Hasil jualan itu saya kumpul dan gunakannya untuk membiayai persekolahan adik saya. Danna seorang murid yang pintar dan dia lebih memerlukan duit itu dari saya. Saya hanyalah perlukan darah yang segar untuk menghiburkan hati saya.

Ketika saya sudah berumur 18 tahun, saya telah mengahwini seorang lelaki yang sangat baik dan bertanggungjawab. Dia memahami jiwa memburu saya dan hasil buruan saya itu sering dijual di kedai runcit yang dijaga oleh suami saya. Kami hidup dengan sangat bahagia sepanjang lima tahun namun malang tidak berbau apabila suami saya telah ditembak mati ketika kedai runcitnya dirompak.

Saya hidup dalam keadaan jiwa yang penuh dengan kekecewaan selepas kehilangan suami tercinta. Keinginan untuk membunuh telah pergi ke aras yang lebih tinggi. Ketika itu saya tidak tahu menguruskan kedai runcit yang ditinggalkan oleh suami lalu saya meminta adik ipar menjaganya. Namun adik ipar saya seorang pemabuk dan tidak terurus. Maka lama kelamaan kedai runcit itu ditutup kerana bangkrap. Yang tinggal hanyalah rumah suami yang dia wasiatkan kepada saya.

Kebolehan memburu saya masih tidak mampu menangung kehidupan saya, namun sejak saya mengenali serba sedikit pasaran gelap, saya ditawarkan untuk melakukan satu pekerjaan yang memerlukan kebolehan saya, iaitu membunuh. Namun kali ini mangsa saya bukanlah rusa atau beruang, tetapi manusia.

Saya melakukan pekerjaan keji itu dan ianya agak mudah dari memburu haiwan kerana berbekalkan wajah yang jelita dan badan yang langsing, mangsa sangat mudah terjerat dengan umpan saya. Nama saya mula dikenali di dalam pasaran gelap dan kebanyakan pelanggan saya dari kalangan ahli-ahli politik dan korporat.

Namun pada suatu hari saya menerima satu permintaan dari seorang lelaki yang mahu saya membunuh kakak iparnya kerana terdapat harta abangnya yang telah meninggal dunia di warisi oleh kakak iparnya. Selalunya pelanggan tidak akan mengenali wajah pembunuh yang ingin diupahnya dan saya juga tidak pernah menunjukkan wajah saya di dalam pasaran.

Jadi setelah dikaji selidik tentang permintaan lelaki ini, ternyata dia merupakan adik ipar saya yang ingin membunuh kakak iparnya, iaitu SAYA!. Dia tidak mengetahui orang yang di upah itu adalah kakak iparnya sendiri. 

Saya ambil tugasan itu.

Keesokan hari saya menjumpai Danna dan meminta tolong dia menyamar menjadi diri saya. Adik ipar saya tidak tahu saya mempunyai adik kerana saya jarang berkongsi tentang keluarga saya. Oh ya saya lupa beritahu wajah adik saya tidak tumpah seperti wajah saya. Saya meminta dia berlakon menjadi mayat dan saya mengambil gambar untuk dijadikan bukti. 

Setelah ‘membunuh’ diri saya, satu pertemuan telah di atur antara saya dan ‘pelanggan’ saya itu. Pertemuan ini dilakukan di sebuah bangunan usang dan jauh dari kelibat penduduk. Dia bersetuju setelah melihat ‘gambar mayat saya’ yang telah kami palsukan.

Semasa hari pertemuan, adik ipar saya telah menunggu di bangunan itu dan saya pergi menemuinya. Ketika dia melihat saya, dia begitu terkejut dan kaku kerana menyangka saya sudah dibunuh.

“D-D-Dora, apa yang awak buat disini? Bukankah awak sudah…” kata adik ipar saya yang tergagap-gagap.

“Sudah apa? Sudah mati ke? Tak sangka awak sanggup membunuh saya demi harta suami saya yang awak sendiri yang menyebabkan kematiannya. Kerana sikap awak yang suka berjudi, awak telah banyak berhutang dengan ceti dan mereka telah merompak kedai abang awak sebagai bayarannya.”

Adik ipar saya menafikannya namun riak wajahnya mengambarkan kebenaran. Dia cuba menyerang saya namun peluru senapang adik saya lebih pantas menuju ke arah jantungnya. Ketika dia sedang nyawa-nyawa ikan, wajahnya sangat terkejut apabila dia melihat ada dua wajah yang serupa sedang melihatnya. Danna terus menembak kepala adik ipar saya berkali-kali sehingga hancur dan sukar untuk membuat pengecaman nanti.

“Tak sangka kemahiran menembak adik masih lagi tajam.” Kataku kepada Danna.

“Haha betullah kata akak, memburu manusia lagi mudah dari memburu haiwan. Dia langsung tidak dapat mengesan adik sembunyi dari belakang tadi.”

“Dan bayarannya juga lumayan. Adik tak mahu sertai kakak ke?”

“Akak tahu adik tidak suka memburu. Ayah dulu sering marah adik suka bersembunyi je.”

“Itulah kemahiran yang sangat diperlukan dalam pekerjaan ini. Akak tahu adik masih suka menembak lagi. Marilah, akak ada beberapa koleksi senapang yang adik belum pernah cuba lagi.”

Danna hanya tersenyum sahaja. Dia memeluk tangan saya dan kami terus berjalan meninggalkan bangunan ini. Dan ketika itu dia cuba bertanya kepada saya satu soalan.

“Masa ayah kena serang dengan beruang itu, tembakan pertama itu sebenarnya akak tujukan pada ayahkan?”

Saya hanya tersenyum sinis. Begitu juga adik saya.

Tamat.

Share It!
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply