Cinta Si Abang Bomba

Perlahan-lahan Lina membuka matanya. Pandangannya kabur. Dipejamnya semula. Buka. Masih lagi kabur. Setelah beberapa kali memejam celik matanya, baru Lina sedar, kekaburan itu adalah kabus asap. Lina panik, tetapi dirasakan dirinya terlalu lemah. Dia cuba menggerakkan tubuhnya, sakit. Seluruh badannya terasa sakit yang amat, seolah dihentam kuat. Dia memandang sekeliling, dan segalanya mula jelas.

Dia masih berada di dalam kereta kancilnya, yang sedang berasap. Rasa paniknya semakin memuncak. Dia memaksa tubuhnya yang sakit untuk bergerak. Lina mengerang, namun masih tidak bergerak. Asap semakin tebal, menyesakkan nafasnya. Dia cuba menggerakkan tangannya, namun tangan kanannya tersepit, dihimpit stereng kereta. Serpihan cermin hadapan bertaburan merata. Lina mula meronta, namun terasa dirinya terikat. Tali pinggang keledar masih lagi terpasang. Dia cuba menyeluk untuk melepaskan tali pinggang keledar itu namun gagal. Lina semakin kuat meronta. Rasa panik membuatkan fikirannya tidak jelas, melalikan rasa sakit. Asap tebal mula memenuhi ruang dalam kereta itu. Lina terus meronta, namun tiada hasil. Dia semakin lemah. Pandangan matanya mula berbalam-balam. Dia mula menyerah. “Mungkin ini akhirnya…” gumam hati Lina.

Dalam pandangan yang semakin kabur, telinganya menangkap bunyi kuat dari pintu kereta. Perkara terakhir yang dilihatnya adalah wajah seorang lelaki. Lina pengsan.

*****

Azam asyik membelek telefon bimbitnya. Sekali sekala dia mengalihkan pandangan, melihat kepada tubuh kecil di atas katil itu. Tiada reaksi. Dia kembali semula menghadap skrin telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian, dia memandang lagi. Hampir terlepas pegangan telefon bimbitnya itu apabila melihat gadis itumemandang tepat ke arahnya, terkejut. Azam cuba mengukirkan senyuman, namun tiada reaksi. Azam buntu.

“Awak siapa?” soal gadis itu.

“Saya Azam,”

Diam.

“Apa tempat ni?”

“Awak sekarang dihospital,” jawab Azam.

“Oh…”. Berkerut dahinya, seolah mengingati sesuatu. Pasti dia keliru, fikir Azam, namun dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk meneruskan perbualan. Gadis itu cuba bangun lalu terjerit kecil. Rasa sakit datang menyerang. Azam segera menghampiri gadis itu, memegang bahunya.

“Lebih baik awak baring sahaja. Awak masih belum sembuh,” ujar Azam. Gadis itu akur.

“Apa yang dah jadi?” soal gadis itu lagi.

“Awak kemalangan. Kebetulan saya lalu di situ. Jadi saya tolong keluarkan awak dari kereta awak. Awak cedera, saya terus bawakkan awak ke sini” jelas Azam. Kali ini gadis itu nampak lebih tenang, seolah faham.

Lina melihat dirinya sendiri. Ada tiub jernih yang masuk ke tangan kirinya, manakala tangan kanannya berbungkus simen putih sehingga ke atas siku. Dia cuba meraba kepalanya yang terasa besar, juga ada balutan di situ.

Azam jadi serba salah. Dia seorang yang amat pemalu dengan perempuan. Dia menunggukan gadis inipun hanya sementara menanti waris gadis ini sampai. Tidak sampai hati rasanya meninggalkan gadis yang cedera ini keseorangan.

“Saya minta maaf, tapi tadi saya buka beg awak. Saya gunakan telefon awak untuk hubungi ibu bapa awak. Sekejap lagi mereka akan sampai,” jelas Azam lagi, cuba memecahkan kesunyian.

Lina memandang wajah Azam, mengangguk tanda faham. Lalu tersenyum. Azam gelisah. Senyuman manis Lina mengusik hati lelakinya. Tiba-tiba pintu bilik di buka. Ibu dan ayah Lina menyerbu masuk. Azam segera berdiri, lalu bersalam dengan ayah Lina.

“Terima kasih banyak-banyak nak sebab membantu anak saya,” ucap ayah Lina sambil menggenggam kuat tangan Azam.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya pakcik,” balas Azam, tersipu. Dia lalu meminta diri. Sebelum keluar, dia sempat berpesan pada Lina.
“Awak jaga diri baik-baik. Saya doakan supaya awak cepat sembuh,”.

Lina hanya mengangguk. Dengan iringan ucapan terima kasih dari kedua ibu dan ayah Lina, Azam keluar dari bilik. Lina tersenyum, hatinya berbunga kecil.

*****

Hampir setahun telah berlalu sejak detik pertemuan itu antara Lina dan Azam. Hubungan mereka bermula apabila ibu Lina menghubungi Azam dan menjemput dia ke rumah selepas Lina keluar dari hospital. Sejak dari itu, hubungan persahabatan mereka berubah menjadi bibit cinta.

Lina merupakan kerani di sebuah syarikat kecil di tengah kota manakala Azam pula merupakan seorang anggota bomba. Hubungan mereka ada pasang surutnya seperti pasangan lain tetapi Lina tetap sabar bersama Azam. Tambahan pula waktu kerja Azam sebagai anggota bomba yang tidak menentu kadang kala menyukarkan mereka untuk bertemu, namun apabila ada kelapangan, mereka pasti akan keluar bersama.

Azam merenung cincin yang dibelinya siang tadi sambil membina angan-angan. Dia merancang untuk bertemu Lina keesokkan hari di rumah keluarga Lina bagi meluahkan hasrat hatinya untuk mengambil Lina sebagai isteri. Sikap Lina yang amat memahami tugasnya membuatkan dia berasa Lina adalah yang terbaik untuknya. Dia yakin, ibu dan ayah Lina pasti akan merestui mereka. Azam senyum sendirian.

“Amboi…senyum sampai ke pipi ye,” tegur Zaki.

Azam tersentak,lalu segera menyembunyikan bekas cincin itu di dalam saku seluarnya. Terasa merah mukanya ditegur begitu.

“Ye la, orang ada buah hati kan,” sampuk Imran. Lalu disambut gelak tawa kawan yang lain.

“Sudah-sudah berangan tu. Mari sini makan skali,” ajak Borhan. Azam bangun lalu menghampiri meja makan, tempat kawan-kawannya sedang duduk. Borhan dan Leman yang baru pulang segera mengagihkan bungkusan makanan yang baru dibeli.

Azam, Zaki, Imran, Borhan dan Leman adalah skuad ketiga yang sedang bertugas pada malam itu. Skuad satu dan dua telah keluar menjawab panggilan kecemasan di dua tempat yang berasingan. Sedang asyik makan, siren balai berbunyi. Dengan pantas, kesemua mereka bingkas bangun, mencapai peralatan mereka dan berlari ke arah trak bomba. Di dalam trak, mereka bersiap sambil mendengar taklimat ringkas tentang panggilan kecemasan yang diterima. Segala maklumat yang diterima membuatkan hati Azam mula berdegup kencang. Zaki segera menoleh ke arah Azam namun dia hanya diam.

Setibanya ditempat itu, mereka segera turun dan menyiapkan peralatan mereka. Namun Azam tergamam. Dia merenung rumah yang sedang marak dengan api yang besar dihadapannya. Ternyata benar maklumat yang diterima, kerisauannya menjadi nyata. Rumah yang sedang terbakar itu adalah rumah yang sama dihuni oleh Lina, kekasih hatinya. Orang ramai mula mengerumuni kawasan sekitar. Di kala kawan-kawannya sibuk, Azam menjadi kaku. Segala latihan asasnya sebagai anggota bomba hilang entah ke mana. Fokusnya bukan lagi untuk memadamkan api, tetapi untuk mencari Lina. Dia mula memandang setiap wajah di dalam orang ramai, mencari wajah Lina tetapi tiada. Azam semakin gusar.

Tiba-tiba seorang perempuan tua merapati Azam. Dia adalah pemilik rumah sewa itu. Dia kenal Azam yang selalu menghantar Lina pulang. Wajahnya kusut dengan air mata.

“Azam, Lina masih di dalam!”. Azam cemas. Dia perlu bertindak sekarang. Emosi menguasai akalnya. Suara riuh rendah di sekelilingnya terasa amat jauh sekali. Tekadnya adalah untuk menyelamatkan Lina.

“Borhan, aku masuk dulu,” jerit Azam kepada rakannya lalu terus berlari masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar itu. Borhan terpinga. Dia menjerit memanggil Azam, cuba menghentikan tindakannya. Azam telah melanggar prosedur keselamatan yang sepatutnya. Namun terlambat. Azam hilang di sebalik marak api yang menyelubungi rumah itu.

“Pantas lagi,”arah Borhan kepada rakannya yang lain. Dia mula bimbangkan keselamatan Azam.

Lina merangkak perlahan-lahan. Dia sudah terlalu lemah sekarang. Ketika tersedar, asap sudah pun memenuhi bilik dan membakar satu sisi dinding biliknya. Bahang panas seolah membakar kulitnya tetapi tidak dipedulikan. Kudratnya hampir habis untuk cuba membuka pintu biliknya. Dia tetap mahu keluar menyelamatkan diri. Hentakan terakhir membuka pintu itu dan Lina rebah. Lina menggagahkan diri, dengan nafas yang semakin sesak, untuk mengheret tubuhnya bergerak. Asap tebal menghalang pandangan. Tekadnya untuk menyelamatkan diri semakin goyah. Bilik Lina terletak di tingkat atas rumah dua tingkat itu, jadi dia perlu turun ke bawah sebelum dapat keluar. Selintas, dia teringatkan Azam. Lina merebahkan badan. Tiada lagi daya dia. Nafasnya semakin pendek.

“Azam…” ucap Lina perlahan.

Tiba-tiba, satu tangan kasar merentap tubuh Lina, mengangkat tubuhnya ke udara. Lina tersenyum lemah apabila melihat ia adalah Azam. Insan yang diseru sedang memeluk dia erat. Azam mencempung Lina dan dengan pantas menuruni tangga. Api ada di mana-mana. Azam cuba bergerak pantas untuk keluar ke pintu masuk tadi apabila tiba-tiba…

Borhan, Zaki dan Leman berpaut kemas pada hos pemancur, menghalakan ke arah rumah itu.

“Pasang!” jerit Borhan. Serentak dengan itu, air memancut keluar, menghujani rumah yang marak itu. Tiba-tiba, bumbung rumah itu runtuh, bersama bunyi yang kuat. Percikan api bersama serpihan yang terbakar berterbangan, mengejutkan semua yang ada. Borhan tergamam. Di fikirannya, Azam masih di dalam. Dia menarik nafas dalam, mendoakan yang terbaik untuk rakannya.

“Azam, keluar cepat!” rayu hati kecilnya.

Titis air yang lebat menampar laju wajah Lina, membuatkan dia tersentak. Bulat matanya memandang Azam yang sedang tersenyum pada dia.

“Tenang sayang…saya ada,” pujuk Azam sambil mengusap ubun-ubun Lina. Lina kembali tenang. Dadanya masih terasa sesak akibat asap tebal yang dihidu.

“Lina…” panggil Azam lembut. Lina memandang wajah Azam.

“Saya nak awak tahu yang saya amat sayangkan awak. Awaklah satu-satunya cinta hati saya. Saya minta maaf…” ada getar dalam nada Azam. Dia menggenggam erat tangan Lina. Ada sesuatu di dalam genggaman mereka. Lina membuka tangannya, memandang kotak kecil berbaldu yang basah. Lina memandang Azam, terkedu.

“Saya cintakan awak Lina…selama-lamanya” ujar Azam sambil mengucup dahi Lina. Pandangan Lina semakin malap…

Apabila dia membuka mata, semuanya putih. Lina memandang sekeliling, menangkap wajah ibu dan ayahnya. Ibunya masih teresak-esak. Lina pelik. Dia cuba bangun. Ayahnya segera merapatinya.

“Perlahan-lahan Lina,” ucap ayahnya sambil membantu Lina bangun.

“Ayah, kenapa ibu menangis?”

Ayahnya tunduk.

“Ehem…”. Lina menoleh, bertentang mata dengan Borhan. Lina semakin keliru.

Terasa hancur dunia Lina bila mendengar kata-kata Borhan. Lina ditemui tidak sedarkan diri dikawasan belakang rumah, diselimuti baju keselamatan Azam. Manakala Azam ditemui rentung dalam kebakaran di rumah sewanya, tersepit dicelah runtuhan berhampiran tangga. Lina tidak percaya. Dia yakin Azam yang membawa dia keluar dari rumah itu. Detik terakhir yang Lina ingat di dalam kebakaran itu adalah bila Azam mendukung dia menuruni tangga dan siling rumah jatuh ke atas mereka. Masakan dia lupa detik Azam menyerahkan kotak kecil berbaldu itu apabila mereka sudah berada di luar. Lina memandang Borhan dengan pelbagai persoalan.

Seolah mengerti, Borhan menyerahkan sebuah bekas kepadanya. Didalamnya ada baju keselamatan dengan nama Azam, basah dan bercalit jelaga. Di atasnya, sebuah kotak kecil berbaldu biru. Air mata Lina mengalir laju. Emosi Borhan terusik. Dia segera meminta diri dan keluar dari bilik Lina. Dia tahu dia tidak akan mampu menjawab setiap persoalan Lina.

Jika mereka masih di dalam rumah itu ketika runtuhan berlaku, bagaimana hanya Lina yang terselamat?
Siapa yang membawa Lina keluar dari rumah itu kalau Azam sudah mati?
Bagaimana baju keselamatan Azam ada pada Lina?
Kalaupun Azam berjaya membawa Lina keluar, mengapa perlu dia masuk semula?

Tiada penjelasan logik yang dapat Borhan fikirkan. Dia perlu kembali ke pejabat, untuk memikirkan apakah yang patut ditulis untuk laporannya nanti.

*****

Lina duduk memencil di penjuru bilik. Darah dari hidungnya dikesat dengan tangan. Dalam samar cahaya bedlamp, cincin pemberian Azam bersinar. Lina mengusap cincin itu. Semakin laju air matanya turun. Tiga tahun selepas kematian Azam, Lina bertemu dengan Zack. Setahun selepas perkenalan, mereka berkahwin. Dan kini sudah 2 tahun, Lina hidup dalam derita. Zack berubah selepas perkahwinan mereka. Segala sopan santun dan lemah lembutnya hilang sebaik mereka bergelar suami isteri. Dia terpaksa bersabar dengan karenah Zack yang kaki perempuan dan kaki judi. Pantang ditegur, tubuh badan Lina menjadi punching bag Zack. Setiap hari, ada saja caci maki yang Zack lemparkan kepada Lina.

Alangkah bagusnya kalau Azam masih hidup. Pasti kini dia akan lebih bahagia dengan insan yang benar-benar menyayangi dia. Betapa dia rindukan Azam. Azam mungkin sudah tiada tetapi bagi Lina, kenangan Azam masih hidup di dalam hatinya.

“Azam…” gumam Lina, dalam linangan air mata yang deras.

Zack menyalakan rokok, menyedut dalam asap putih itu. Geramnya masih bersisa. Walaupun tangannya masih terasa sakit selepas menumbuk Lina tetapi hatinya puas. Pada Zack, Lina hanya menyusahkan dia sahaja. Lina sudah tidak menarik lagi di mata Zack.

“Ahhh, apa susah. Banyak lagi wanita cantik di luar sana,” bebel Zack sendirian. Dia meneruskan pemanduan ke bandar untuk ke rumah urut yang digemarinya.

Sesampainya disana, Zack memilih seorang gadis Thailand yang membawanya masuk ke sebuah bilik. Bilik itu hanya diterangi cahaya lilin yang dipasang di sekeliling bilik dengan sebuah katil bujang di tengah-tengah. Gadis itu menyalakan colok aromaterapi. Asap putih mewangi mula memenuhi bilik itu.

“Nanti I datang balik ye,” bisik gadis itu sebelum keluar dari bilik. Zack tersenyum puas.

Zack menanggalkan bajunya lalu memakai tuala yang disediakan lalu berbaring di katil. Dia memejamkan mata, mula membayangkan keseronokkan yang akan dialaminya sebentar lagi. Asap putih semakin tebal memenuhi segenap bilik. Tanpa dia sedari, api lilin yang menyala di sekeliling bilik menjadi semakin marak. Bau wangi yang dihidu mula bertukar kepada bau yang tidak menyenangkan. Asap semakin tebal. Zack mula terasa sesak.

“Ishhh minah nie, colok apa dia bakar nie,” bebel Zack.

Sebaik membuka mata, Zack amat terkejut melihat sesusuk tubuh manusia berada betul di atas siling. Makhluk yang hitam hangus sedang memandangnya dengan mata yang merah menyala. Tiba-tiba tubuh itu menyala, dengan api yang meliputi keseluruhannya, keluar dan masuk di rongga mata dan mulut makhluk itu. Api dari tubuh itu menjalar ke seluruh siling. Zack terkaku. Panas yang dirasa tidak dapat digambarkan. Perlahan-lahan makhluk itu merapati Zack. Zack tidak mampu bergerak, malah untuk memejamkan mata pun dia kaku.

“Pop! Pop!” bunyi letupan kecil dari bebola mata Zack yang ‘masak’. Setiap inci kulitnya mula mencair seperti lilin. Panas itu juga mendidihkan otaknya, lalu mencair menjadi lendir pekat mengalir keluar dari lubang telinga. Zack mengelupur kesakitan. Makhluk itu semakin hampir dan akhirnya memeluk Zack…

Sebaik pintu dibuka, dulang berisi minuman keras yang ditatang terhempas. Seluruh rumah urut dikejutkan dengan jeritan nyaring gadis itu. Kepada yang melihat, keindahan bilik dengan cahaya lilin lembut itu dicacatkan dengan pemandangan ngeri sesusuk tubuh yang hangus, berasap di tengah bilik di atas katil.

“Saya cintakan awak Lina…selama-lamanya” bisik Azam sambil mengucup dahi Lina.

Lina terjaga, dengan linangan air mata. Rindunya pada Azam membawa kenangan lalu ke dalam mimpi. Lina mengusap dahinya, seolah masih terasa kesan ciuman Azam. Gelap malam mengaburi mata Lina akan kesan palitan hitam yang diusapnya tadi. Dikirimkan Al-Fatihah, lalu cuba memejamkan semula matanya, untuk menyambung lena. Tanpa disedari, di sisi katilnya ada kesan hangus di atas karpet membentuk kesan sepasang tapak kaki manusia…

Penulis: Rosa Oscuro

Share It!
  • 215
  •  
  •  
  •  

One Reply to “Cinta Si Abang Bomba”

  1. Berlinangan air mata sya. mmg kisah ni sedih and seram pada msa yg sma. best

Leave a Reply