Bayang Misteri

Saya tinggal di Tokyo dan setiap pagi saya akan menaiki kereta api bawah tanah untuk pergi ke kerja. Saya akan mengambil kereta api di stesen Shin-Koiwa yang juga lebih dikenali sebagai ‘stesen bunuh diri’ kerana sering berlaku kejadian bunuh diri. Rata-rata mereka yang bunuh diri akan terjun ke landasan ketika kereta api tiba.

Bagi mengelakkan kejadian bunuh diri ini meningkat, pihak stesen telah memasang beberapa cermin supaya mereka dapat melihat diri mereka dan mengubah fikiran untuk membunuh diri. Saya tidak pasti sama ada cara ini akan berkesan atau tidak.

Namun pada minggu lepas, telah berlaku satu kejadian bunuh diri di stesen itu dan saya berada di tempat kejadian. Ia berlaku pada waktu pagi semasa saya sedang berdiri untuk menunggu kereta api tiba.

Sebelum kejadian itu berlaku, tidak ramai penumpang berada di stesen tersebut dan terdapat seorang gadis berdiri di hadapan saya. Gadis itu kelihatan muda dan berumur dalam lingkungan 20an. Ketika dia berdiri di hadapan saya, gelagatnya agak ganjil sekali.

Semasa kereta api mahu tiba, gadis itu makin berjalan ke hadapan sehingga ke tepi landasan tersebut. Saya mula merasakan dia mahu terjun ke landasan namun sesuatu yang aneh berlaku apabila dia menoleh wajahnya ke arah saya. Saya dapat lihat reaksi wajahnya yang menunjukkan dia di dalam ketakutan.

Dalam sekelip mata, gadis itu terjun sebaik sahaja kereta api tiba dan dia mati serta merta di landasan itu. Penumpang lain mula panik dan menjerit selepas kejadian itu dan saya tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalangnya daripada terjun.

Oleh kerana kejadian itu, landasan kereta api ditutup buat sementara dan saya terpaksa keluar untuk mengambil bas. Dalam masa menunggu bas tiba, fikiran saya masih terbayang-bayang tentang gadis itu dan akhirnya saya perasan ada sesuatu yang menganggu fikiran saya.

Bayang. Ya bayang!

Sebelum gadis itu terjun, saya perasan yang bayang gadis itu berlainan arah. Ketika saya berdiri di situ, bayang saya terpancar dari kiri ke kanan namun bayang wanita itu terpancar dari kanan ke kiri. Dan bayangnya itu menuju ke landasan itu. Seperti ada cahaya yang memancar dari belakangnya.

Sebaik sahaja saya sampai di pejabat, saya terus membuat pencarian di laman sesawang mengenai sejarah stesen kereta api itu. Terdapat hampir 20 kejadian bunuh diri yang berlaku sejak tahun lepas di stesen itu.

Selepas itu saya terjumpa satu gambar yang menunjukkan saat seorang lelaki yang sedang terjun ke landasan itu. Saya membesarkan gambar itu dan memerhatinya dengan teliti.

Ketika lelaki itu sedang terjun, reaksi wajahnya menunjukkan dia di dalam ketakutan dan apabila saya melihat kakinya, saya mendapati terdapat satu bayang yang seperti tangan datang dari bawah landasan itu.

Bayang itu pula seperti memegang kaki lelaki itu. Akhirnya persoalan saya mula terjawab tentang bayang aneh yang saya lihat pada gadis itu.

Bayang itu bukanlah bayangnya, tetapi gadis itu sebenarnya telah ditarik ke landasan oleh bayang misteri itu. Dia bukanlah mahu membunuh diri! Adakah kejadian-kejadian bunuh diri yang berlaku sebelum ini juga berpunca dari penarikan bayang misteri tersebut? Wallahu A’lam.

Eh ni citer jepun, kenapa nak Wallahu A’lam pule. hehe

Share It!
  • 178
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply