Anak

Zila sedang membasuh pinggan apabila mendengar anaknya tertawa kecil di ruang tamu. Dia hanya tersenyum, lalu menghabiskan basuhan dan pergi mendapatkan anaknya. Sarah, satu-satunya buah hati Zila sedang melukis sambil sekali sekala tersenyum lebar.

“Seronoknya anak ibu nie,” tegur Zila sambil mengelus lembut kepala anaknya.

“Amy dan Lia buat lawak ibu,” balas Sarah sambil menggosok krayon di lembar lukisannya.

“Ye la,” balas Zila sambil terus memerhatikan anaknya melukis.

Sejak anaknya petah bercakap di umur 3 tahun, dia sudah terbiasa mendengar nama Amy dan Lia itu. Namun, dia tidak pernah bertemu mereka. Dia faham perkembangan minda kanak-kanak turut melibatkan ciptaan ‘kawan imaginasi’. Setakat ini, tiada perkara yang membimbangkan pernah berlaku jadi dia tidak pernah menganggap itu perkara yang serius. Walaupun nama Amy dan Lia itu amat mengejutkan dirinya sewaktu mula-mula anaknya Sarah bercerita tentang mereka. Nama itu membawa dia mengimbau kembali kenangan silam yang pahit, 3 tahun sebelum kelahiran Sarah.

*****

Zila mengigit jari. Fikirannya jadi bercelaru. Alat pengesan kehamilan yang dipegangnya direnung lagi. Sudah hampir 10 kali dia membelek sampul alat itu. Sah, 2 garis yang kelihatan mengesahkan ketakutannya.
Dia kembali ke bilik, lalu duduk di birai katil. Faiz yang sedang berbaring, memeluknya dari belakang.

“Kenapa nie sayang,” soal Faiz lembut, melihatkan wajah kelam Zila.

“U…”

“Ye sayang,” balas Faiz.

“I pregnant,” jawapan Zila membuatkan mata Faiz terbeliak. Dia bingkas bangun dan duduk di sebelah Zila.

“U pasti?” soal Faiz. Zila hanya mampu mengangguk.

“Macam mana nie U?” soal Zila lagi. Kali nie, nadanya mendesak, menyesakkan fikiran Faiz yang tiba-tiba kusut.

“I akan sediakan wang. Kita cari tempat yang elok ye,” balas Faiz. Zila hanya mengangguk.

Tiada kata yang perlu diungkapkan untuk menjelaskan tentang keputusan dan persetujuan antara mereka. Mana mungkin mereka akan membiarkan bayi ini lahir sedangkan mereka sendiri belum berkahwin. Aib yang akan menimpa menjadi sebab utama untuk mereka memilih jalan ini. Petang itu, mereka ke sebuah klinik di bandar, yang mengesahkan lagi kandungan Zila.

“Sudah masuk 8 minggu,” hanya itu kata-kata Doktor yang bermain di fikiran Zila sewaktu Faiz memandu mereka pulang ke rumah usai perjumpaan dengan Doktor itu.

2 minggu yang berikutnya, Zila kembali ke klinik yang sama. Petang, setelah kembali dari klinik, Zila ambil cuti seminggu dari tempat kerjanya manakala Faiz setia menjaga Zila.

6 bulan berikutnya, perkara yang sama berlaku dan sekali lagi mereka melakukan ‘itu’. Walaupun ketika itu mereka sedang membuat persiapan untuk melangsungkan pernikahan, mana mungkin mereka teruskan dengan kandungan itu. Apa kata orang bila sudah bersalin sedangkan baru beberapa bulan berkahwin? Kandungan berusia 10minggu itu dihapuskan di klinik yang sama oleh Doktor yang sama.

Faiz dan Zila tidak pernah membincangkan tentang kandungan mereka ini, mereka hanya tahu ini adalah satu-satunya jalan yang mereka ada, tiada yang lain. Namun jauh di sudut hati Zila, disimpan kenangan ini sebaik mungkin. Gambar scan kedua-dua kandungannya disimpan rapi, siap dicatatkan masa dan tarikh, untuk ingatan.

Memang dia telah ‘membunuh’ mereka tetapi dia berjanji kepada dirinya, dia tidak akan melupakan ‘mereka’ sehingga ke akhir hayatnya. Inilah dosanya yang tidak akan tertebus. Dalam fikirannya yang naïf, dia mengharapkan agar ‘mereka’ ini sudah berbahagia sebagai pari-pari kecil di syurga. Hanya untaian doa yang tidak putus kepada pari-pari ini supaya ‘mereka’ memaafkan dia, yang telah merampas hak ‘mereka’ untuk lahirkan ke dunia. Walau apapun alasan, tiada apa yang menghalalkan perbuatan ini dan Zila tahu, inilah dosa yang akan dipikul sehingga ke akhirat kelak. Dan dia namakan mereka, Amy dan Lia.

*****

“Ibu…ibu…” panggilan Sarah membawa awangan Zila ke masa reality.

“Ye sayang,” balas Zila sambil memandang wajah anak kesayangannya itu dengan lembut.

“Sarah lapar,”

“Ok, jom kita makan,” jawab Zila sambil memimpin tangan anaknya ke meja makan.

3 minggu selepas itu, semasa Zila sedang menyiapkan Sarah untuk keluar hujung minggu itu, Zila perasan beberapa lebam kecil di kaki anaknya. Bila dia bertanyakan Sarah tentang hal itu, Sarah hanya menjawab tidak tahu, dia sendiri tidak sedar kerana dia tidak merasa sakit. Zila menyimpan persoalan itu difikirannya, untuk ditanyakan kepada pengurus taska anaknya nanti.

Malam itu, Zila terjaga dari lenanya apabila mendengar anaknya Sarah mengerang di dalam tidur. Sejak perceraiannya dengan Faiz, hanya mereka berdua yang tinggal di rumah itu, telah menjadi kebiasaan sejak Sarah kecil lagi yang mereka akan tidur bersama. Zila merapati Sarah dan mengelus lembut rambut anaknya.

Dia mula membacakan surat Al-Fatihah apabila tiba-tiba anaknya membeliakkan matanya lalu merenung Zila dengan dalam, seolah-olah marah yang teramat sangat dengan dada yang kelihatan berombak dan dengus nafas yang kasar. Lafaz ayat suci itu terhenti.

“Sayang ibu, kenapa nie?” soal Zila.

Tiada jawapan. Sarah terus merenung Zila. Merasa tidak sedap hati, Zila meneruskan bacaan Al-Fatihahnya sambil menyentuh ubun-ubun anaknya. Disambung dengan Ayatul Kursi. Usai bacaan, perlahan-lahan Sarah merapatkan matanya. Tidak lama kemudian, nafas Sarah menjadi perlahan dan teratur, menyambung lenanya.
Zila kembali berbaring di sebelah Sarah. Debar dadanya cuba ditenangkan.

Tidak pernah lagi Sarah berkelakuan begitu. Namun, dia cuba memujuk hati. Mungkin anaknya terlalu penat bermain sewaktu -mereka keluar siang tadi, untuk membeli barangan untuk majlis sambutan hari jadi ke-4 Sarah seminggu lagi.

Keesokkan paginya, sewaktu sarapan, Zila cuba bertanyakan Sarah tentang hal malam tadi.

“Sarah, malam tadi Sarah tidur lena tak?” soal Zila lembut.

Sarah hanya mengangguk sambil mencapai cawan milonya.

“Sarah mimpi apa?” soal Zila lagi, cuba mencari jawapan.

“Sarah lupa Sarah mimpi apa,” balas Sarah bersahaja. Zila kecewa. Dia mengharapkan jawapan untuk tingkah laku pelik Sarah malam tadi tetapi tiada.

Selepas menghantar Sarah ke kelas taskanya, Zila bertemu dengan pengurus taska anaknya untuk bertanyakan tentang kesan lebam pada kaki Sarah. Tetapi pengurus itu menafikan sebarang aduan jatuh atau kemalangan kecil dari Sarah. Zila tidak pernah mempertimbangkan kemungkinan Sarah didera pengasuh taska kerana anaknya sendiri tidak sedar tentang kesan itu.

Malam itu sekali lagi Zila terjaga dari lenanya kerana merasa seperti diperhatikan. Sebaik membuka mata, Zila terkejut mendapati anaknya sedang duduk tegak disisinya, merenung dalam pada Zila dengan mata yang luas dan nafas yang turun naik. Zila cuba untuk bangun.

“Kenapa nie, sa…”

“IBU JAHAT! IBU JAHAT! IBU JAHAT!” pekik Sarah berulang kali, air matanya mengalir laju.

Zila yang amat terkejut cuba untuk menyentuh Sarah tetapi di tepis Sarah. Pekikan Sarah berterusan, menjadi semakin tidak terkawal. Zila menyambar Sarah dan menarik Sarah ke dalam pelukannya. Rontaan Sarah semakin kuat.

Zila segera membaca Ayatul Kursi dan segala ayat suci yang terlintas di fikirannya berterusan. Selepas surah demi surah dibacakan, rontaan Sarah menjadi semakin lemah. Perlahan-lahan, Sarah mengangkat tangannya lalu membalas pelukan ibunya. Zila menghabiskan surah terakhir. Air matanya menitik mengiringi esakan sendu Sarah. Zila balas pelukan anaknya dengan erat, sambil mengusap rambut anaknya. Dia mulakan zikir dengan nada perlahan. Sendu Sarah semakin surut, nafasnya juga semakin menurun. Zila terus mendodoikan anaknya itu dengan zikir. Tiba-tiba…

“Ibu, kenapa Ibu bunuh Amy dengan Lia?” ucap Sarah perlahan.

Terhenti bacaan Zila, air matanya menderu jatuh. Diletakkan anaknya supaya dia boleh melihat wajah Sarah.

“Kenapa Sarah tanya macam tue?” balas Zila selepas seketika. Sarah kembali memeluk Zila, tiada jawapan.

Agak lama mereka berpelukan sehingga Sarah kembali terlena. Zila baringkan Sarah dan dia sendiri berbaring disebelah. Dihadapkan wajahnya ke wajah lena anaknya. Beribu soalan bermain di fikiran Zila. Siapa Amy dan Lia yang Sarah maksudkan sebenarnya? Jika mereka adalah kandungan yang telah Zila gugurkan lama dahulu, bagaimana mungkin Sarah tahu tentangnya? Tidak mungkin Amy dan Lia, ‘kawan imaginasi’ anaknya itu adalah ‘mereka’? Mustahil!

Persoalan demi persoalan yang memenuhi fikiran Zila membuatkan dia berjaga hingga ke pagi. Namun, pagi itu tidak lagi ceria seperti biasa. Sarah nampak muram, bila ditanya dia lebih banyak mendiamkan diri. Zila cuba untuk tidak memaksa. Mungkin kerana lenanya yang terganggu malam tadi, membuatkan mood anaknya kurang baik.

Keesokkan harinya, jam 11 pagi Zila menerima panggilan telefon dari taska anaknya meminta dia datang segera. Tanpa berlengah, Zila memohon cuti separuh hari dan bergegas ke taska anaknya. Dia di bawa berjumpa dengan pengurus taska. Di dalam bilik itu, anaknya Sarah sedang duduk tertunduk di atas sofa. Dia segera mendapatkan Sarah.

“Sayang, kenapa?” soal Zila. Bimbangnya dia membuatkan dia terlupa kehadiran pengurus taska itu. Namun, seolah telah menjadi kebiasaan Sarah, diam.

“Puan,” tegur pengurus taska. Zila mendongak.

“Oh maaf, saya terlupa,” ujar Zila lalu menghulurkan tangan, bersalaman dengan pengurus taska itu. Belum sempat Zila membuka bicara, pengurus taska memintasnya.

“Ada benda yang saya nak Puan lihat,” ujar pengurus taska lalu bangun berjalan ke mejanya. Zila mengikut. Di atas meja, sehelai tisu dapur berlapis di bentangkan, menutupi sesuatu. Bila di angkat, seekor hamster berwarna kelabu terbaring kaku, dengan mulut yang berdarah. Zila jadi keliru. Apa kaitan hamster ini dengan anaknya?

“Saya panggil Puan sebab anak Puan yang sebabkan kematian hamster ini,” ujar pengurus taska, tenang. Tidak sampai hati dia menggunakan perkataan ‘bunuh’ untuk perbuatan Sarah.
Zila terpaku. Rasa seperti terlopong mulutnya lantas dia menutupnya dengan tangan.

“Mustahil…” ujar Zila, perlahan, masih cuba memproses kata-kata pengurus taska itu.

“Perkara ini disaksikan sendiri oleh beberapa orang kanak-kanak dan 2 orang pengasuh yang ada pada waktu itu,” jelas pengurus taska itu. Ujarnya, setelah Sarah mengambil haiwan ini keluar dari sangkarnya, dia menggenggam kuat hamster itu dengan kedua belah tangannya.

Apabila kanak-kanak lain nampak, mereka menjerit dan memanggil pengasuh. 2 pengasuh yang datang cuba memujuk Sarah untuk melepaskan hamster itu tetapi tidak diendahkan. Sarah seolah-olah tidak langsung mendengar kata-kata mereka. Dia hanya melepaskan apabila hamster itu telah berhenti meronta, kaku.
Zila memandang Sarah, lalu merapatinya semula. Zila duduk disebelah Sarah, tidak pasti apa yang perlu dikatakan.

“Kenapa Sarah buat macam tue?” soal Zila, perlahan.

Tanpa mengangkat muka, Sarah menjawab “Sebab hamster tue bunuh anak dia,”. Diam.

Terasa berpusing dunia Zila. Jawapan apakah ini yang keluar dari mulut kanak-kanak berusia 4tahun? Dari mana anaknya belajar semua ini? Dia cuba kekal tenang, lalu berkata lagi.

“Sarah, perbuatan itu tidak baik,” ujar Zila.

Perlahan Sarah mengangkat wajahnya, memandang Zila.

“Tapi, kenapa ibu pun buat?” soal Sarah kembali. Terasa terhenti jantung Zila. Kelu lidahnya untuk menjawab. Menyedari mereka sedang diperhatikan oleh pengurus taska, segera Zila mengalihkan topik.

“Puan, saya akan bawa anak saya pulang sekarang,” ujar Zila dijawab anggukan pengurus taska itu.

Perjalanan pulang mereka sunyi sepi. Tiada lagi celoteh Sarah bercerita tentang harinya. Sarah hanya diam membisu, memandang ke luar tingkap kereta.

Malam itu, selesai solat Isya’, Zila mengeluarkan kotak merah dari dalam almarinya. Lalu dibelek isinya, gambar scan ‘mereka’. Air matanya menitis lagi mengenang waktu itu. Di dalam setiap doanya, tidak pernah putus dia memohon maaf atas dosa itu. Setiap kali teringat, dia tidak pernah berhenti berharap agar dapat dia putarkan semula waktu, untuk dia buat keputusan yang lebih baik lagi.

Kalaulah boleh mereka menjadi sebuah keluarga yang sempurna…
Zila melangkah menghampiri bilik mainan anaknya. Tangannya mencapai tombol pintu yang renggang itu namun terhenti apabila mendengar celoteh Sarah. Dia diam, mengintai sambil cuba mengamati kata-kata Sarah.

Sarah sedang duduk dilantai sambil menghadap susunan anak patungnya. “Kesian Amy dengan Lia kan, ibu buang,” diam, kemudian Sarah mengangguk. Disambung lagi “Takpe, nanti kita akan jadi satu keluarga semula. Ibu, ayah, Amy, Lia dan Sarah,” ujar Sarah sambil tersenyum.

Mendengar kata-kata itu, Zila pejamkan matanya. Dia menarik nafas dalam, dan menolak daun pintu. Sarah mendongak, memandangnya seketika, lalu kembali kepada mainannya.

“Sarah, jom makan,” panggil Zila lembut. Sarah meletakkan anak patungnya lalu berkata, “Nanti kita cakap lagi ye,” ujar Sarah. Lalu Sarah bangun, merapati Zila.

Kata-kata Sarah disambut 2 pasang mata putih di celahan susunan anak patung Sarah, memerhatikan langkah Sarah sehingga Zila menutup pintu.

Sudah 3 hari suasana rumah itu menjadi sepi. Sarah lebih banyak meluangkan masa bermain di dalam bilik mainannya. Zila cuba berinteraksi dengan Sarah seperti biasa tetapi Sarah lebih banyak mendiamkan diri. Sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawabnya.

Malam itu, seolah telah menjadi kebiasaan sejak beberapa hari lepas, Zila membelek lagi gambar ‘mereka’ sebaik usai bacaan surah Yassin selepas solat Maghrib tadi. Setiap kali malam Jumaat, itulah rutin Zila dan Yassin yang dibacakan didoakan sebagai sedekah buat kaum keluarga yang telah tiada dan yang lebih penting lagi, buat ‘mereka’.

Sedang asyik membelek, tiba-tiba Zila terasa bendalir panas, mengalir di bawahnya. Zila menunduk, kehairanan apabila kain telekung yang dipakainya mula dibasahi darah. Semakin lama, semakin banyak darah itu, membanjiri sejadah yang sedang didudukinya. Zila terkedu, limpahan darah itu menjadi semakin besar. Kain telekungnya sudah lenjun dengan darah itu. Bau hanyir menusuk ke hidung. Dia perhatikan aliran darah itu apabila darah itu mula berkumpul disekitar dua pasang kaki kecil. Perlahan-lahan Zila mengangkat pandangannya.

Kaki itu adalah milik dua makhluk kecil yang sedang berdiri dihadapannya. Kecil amat, sebesar bayi baru lahir, namun kurus. Seluruh tubuh mereka bersih seperti bayi, kecuali mata mereka yang putih, tiada langsung anak mata hitam. Zila tenung. Tiada walau sikit rasa takut kerana hatinya kuat mengatakan, dia kenal mereka ini. ‘Mereka’ ini telah dia buang lama dulu. Agak lama mereka bertentang mata.

Naluri seorang ibu, Zila menghulurkan kedua tangannya yang masih bertelekung. Tidak lagi dia pedulikan telekungnya yang sudah basah dengan darah itu. ‘Mereka’ merapati Zila. Hati Zila meronta, mahu menarik ‘mereka’ ke dalam pelukannya. Dua tangan kecil menyambut tangan kanan dan kirinya. Zila cuba menggenggam tangan kecil itu, merasa betapa halusnya jemari itu. Air matanya mula bertakung.

Namun tidak lama, bila perlahan-lahan, di depan matanya, tubuh kedua makhluk itu mulai hancur. Hancur seolah dihiris oleh pisau yang amat tajam. Lengan, bahu, dada, kaki, perut jatuh satu persatu, memercikkan darah, perlahan-lahan menjadi dua timbunan daging di hadapannya. Akhir sekali, kepala kecil itu, dengan lebih banyak ketulan darah yang keluar dari mulut yang menjerit tanpa suara.

Pemandangan itu sungguh ngeri di mata Zila.Warna merah darah dan bau hanyir darah mula meloyakan tekaknya. Dia mengangkat tangannya namun terperasan, dia masih menggenggam dua tangan kecil yang bersalut darah.

Zila terjaga. Panjang istighfarnya. Dia lihat tangannya, memandang sekeliling. Tiada sebarang kesan darah. “Mimpi rupanya,” hela Zila, lega. Dia sudah berpeluh-peluh, kerana masih bertelekung, tapi mungkin juga kerana mimpi ngeri tadi. Dia ingin membuka telekung tapi segera teringatkan Sarah. Dia bingkas bangun mencari Sarah.

Dicari di dalam bilik mainan, kosong. Dia memanggil nama Sarah tetapi tiada sahutan. Dia pergi ke kaki tangga, menjenguk ke bawah. Sudah menjadi kebiasan, bila mereka berdua berada di tingkat atas rumah, dia akan padamkan semua lampu di tingkat bawah. Tidak mungkin Sarah turun ke bawah sendirian. Dia masih berdiri di depan tangga, terus menerus memanggil Sarah sambil menjenguk-jenguk ke bawah. Masih senyap.

“Ibu,”

Pantas Zila menoleh, terkejut. Diurut dadanya yang berombak laju apabila mendengar panggilan itu. Sarah tegak berdiri, memandang dia.

“Sarah buat ibu terkejut la. Sarah pergi mana?”

Diam. Raut wajah Sarah tidak menyenangkan hati Zila. Zila merendahkan badannya, lalu menggamit Sarah untuk menghampirinya. Sarah akur. Zila pegang bahu Sarah.

“Sayang, kenapa nie?”

Tiba-tiba Sarah memeluk Zila. Zila membalas pelukan Sarah.

“Ibu, Sarah sayang sangat ibu,” ujar Sarah tiba-tiba. Zila tersenyum, lalu dilepaskan pelukan itu. Menatap wajah Sarah dalam-dalam. Belum sempat Zila membalas, Sarah menyambung lagi.

“Ibu, Sarah nak keluarga Sarah semula,” ujar Sarah.

Zila jadi keliru. Tiba-tiba, terasa kedua lengannya dipaut. Dia menoleh ke kanan. Makhluk kecil berlumuran darah dan bermata putih sedang memaut lengannya. Dia menoleh ke kiri. Mahkluk yang sama, serupa seperti mimpinya. Bezanya, pautan mereka amat kuat, menarik dia ke belakang.

Zila menoleh ke arah Sarah, raut wajahnya kosong tanpa perasaan. Seperti gerak perlahan, Zila bergerak menjauhi Sarah. Rasa sakit yang melampau mula menyerang apabila seluruh badannya terhempas pada anak tangga. Telekung yang dipakainya mula membelit tubuh dan leher Zila. Setiap hentakan mematahkan tulang temulang Zila. Sehingga ke anak tangga terakhir, leher Zila terhantuk, menjadi luka belahan yang panjang. Zila diam.

Perlahan-lahan, darah merah mula mengalir, membasahi telekung dan lantai di sekeliling Zila. Sarah menuruni tangga, berpimpin tangan dengan dua makhluk kecil itu. Dia melutut di tepi Zila, seluar pijamanya mula dibasahi darah. Dia mengucup kedua belah pipi Zila.

“Sarah sayang sangat ibu. Amy dan Lia pun sama. Nanti Sarah datang dengan ayah, kita boleh jadi satu keluarga semula,” ucap Sarah. Zila hanya kaku.

*****

“Sarah!”

Sarah mendongak, mendapati Faiz sedang menghampirinya dengan pantas.

“Ayah!” Sarah terus memeluk Faiz.

“Ayah, Sarah…”

“Shhh, xpe, ayah ada dengan Sarah,” potong Faiz sebelum Sarah menghabiskan kata.

Faiz mendukung Sarah, lalu di letakkannya di dalam kereta.

“Sarah tunggu sini sekejap ye,” ujar Faiz dibalas dengan anggukan Sarah. Faiz segera mendapatkan inspektor polis yang baru keluar dari rumah itu. Di waktu yang sama, mayat ibunya berbungkus beg hitam diusung keluar. Sarah hanya memerhati dengan pandangan kosong, lalu menggumam sendiri:

“Ibu, tunggu kami ye,” Sarah lalu menoleh ke tempat duduk belakang, tersenyum kepada dua makhluk kecil itu.

Selesai bercakap dengan inspektor, Faiz mengeluh panjang. Sedih benar hatinya dengan berita kematian bekas isterinya. Beribu sesalan mula menyerbu. Walaupun mereka telah berpisah, tetapi Zila masih lagi merupakan ibu kepada satu-satunya puteri kesayangan dia.

Terasa kini, tanggungjawabnya telah bertambah. Lebih memilukan, esok adalah hari jadi Sarah yang ke-4. Pelbagai persediaan telah dibuat. Tiada hadiah yang mampu menggembirakan hati seorang kanak-kanak yang baru kehilangan ibu.

“Mari Sarah, kita balik ke rumah nenek ye,” ujar Faiz. Sarah hanya diam. Dia menghidupkan enjin kereta, memulakan perjalanan. Dia terpaksa membawa Sarah ke rumah ibu Zila sebab sejak bercerai dengan Zila dia tinggal bersama 3 orang rakan bujang, jadi tidak sesuai untuk dia membawa Sarah bersama.

Telah hampir sejam mereka meninggalkan rumah Zila. Sarah yang diam membisu serta jalan utama yang sunyi membuatkan Faiz mula rasa mengantuk tetapi ditahankan matanya. Jam telah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Tiba-tiba, bau hanyir darah menusuk hidung Faiz. Dia diam, teringat pesan orang tua-tua.

“Ayah,” panggil Sarah. Faiz menoleh.

“Jom kita pergi jumpa ibu,” ujar Sarah bersahaja. Faiz kaget. Dia ingin bersuara namun terhenti apabila terasa kedua kakinya ditarik.

Dua makhluk kecil, sebesar bayi baru lahir namun kurus berlumuran darah, sedang berpaut pada kedua belah kakinya. Faiz tergamam. Dia cuba mengangkat kaki, namun berat yang amat. Dalam pada dia berusaha untuk meleraikan pautan makhluk itu pada kakinya, dia tidak sedar meter kelajuan keretanya sedang naik dengan perlahan.

130…140…150…160…

Bila Faiz mengangkat kepalanya, benda terakhir yang dilihatnya adalah lampu hadapan sebuah treler bersama bunyi hon yang panjang…..

*****

JOHOR BAHRU – Sebuah kemalangan maut melibatkan sebuah lori muatan berat dan sebuat kereta Honda Civic dilaporkan berlaku pada jam 12.30 malam tadi. Kemalangan ini mengorbankan seorang lelaki, seorang kanak-kanak perempuan dan dua orang bayi.

Kesemua mereka adalah pemandu dan penumpang kereta Honda Civic itu. Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti akibat kebakaran yang memusnahkan kereta Honda Civic itu…

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: (Surah Al-Israa’: ayat 32 dan 33)

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.

Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

Penulis: Rosa Oscuro

 

Share It!
  • 222
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply