Anak Patung

Nabila merupakan seorang anak gadis yang sangat sukakan anak patung, Dia mempunyai pelbagai koleksi anak patung yang dikumpul di biliknya. Pada suatu hari, dia pergi ke sebuah kedai permainan dan menjumpai satu anak patung yang sangat cantik. Dia mahu membelinya namun tidak mempunyai wang yang cukup.

“Berapa harga anak patung ini?” Tanya Nabila kepada pemilik kedai itu.
“Patung ini bukan untuk dijual.” Balasnya kepada Nabila.
“Tapi ianya sangat cantik. Saya sangat mahukannya.”
“Tidak boleh, patung ini memang bukan untuk dijual.”
“Mengapa pula?”
“Sebab patung ini telah disumpah dan sangat bahaya jika tidak pandai menjaganya.”
“Oh tidak mengapa. Saya tidak kisah. Saya mampu menjaganya dengan baik.”

Melihat kesungguhan Nabila yang inginkan anak patung itu, pemilik kedai itu mula berubah fikiran.

“Saya tidak akan jual kepada awak, namun jika awak betul-betul mahukannya, ambil sahaja patung itu. Tetapi jika terjadi apa-apa terhadap awak, saya tidak mahu bertanggungjawab.” Kata pemilik kedai itu kepada Nabila.

Nabila sangat gembira dengan kenyataan dari pemilik kedai itu. Tanpa memikir panjang, Nabila terus membawa balik anak patung itu walaupun telah diberi amaran tentang risiko yang bakal diterimanya. Sebaik sahaja dia sampai di rumah pangsapurinya, dia terus masuk ke lobi untuk menaiki lif. Beberapa minit kemudian, pintu lif terbuka dan Nabila masuk ke dalam lif sambil memeluk anak patung itu dengan eratnya. Hanya Nabila sahaja yang berada di dalam lif itu. Namun lif itu tidak bergerak ke atas pun. Nabila mula merasakan dia terperangkap di dalam lif.

“Alamak kenapa lif ini tidak bergerak? Adakah ini angkara anak patung ini?” Bisik Nabila dalam hati dan bulu romanya mula meremang.

Tiba-tiba dia merasakan anak patung itu mula bergerak dari pelukannya. Nabila sangat terkejut dan perlahan-lahan kepala anak patung itu berpusing ke arah muka Nabila. Mata anak patung itu berubah menjadi merah dan dia memandang Nabila dengan wajah yang menakutkan. Nabila mahu menjerit tetapi suaranya seperti tidak mampu keluar dari anak tekaknya. Mulut anak patung itu mula terbuka dan berkata,

“Kalau kau tak tekan butang nombor lif itu, sampai pagi esok pun lif ni tak naik, bodoh! ”

Wajah Nabila menjadi kemerah-merahan akibat malu disindir oleh patung itu.

Share It!
  • 364
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply