Air Kubur Buat Anak Kesayangku

Dulu, setiap malam ibu sering sediakan segelas air dan letak di atas meja sebelah katil untuk saya minum sebelum masuk tidur. Namun selepas ibu sudah meninggal dunia, segelas air pasti akan terhidang di meja itu pada setiap malam. Tiada siapa di antara keluarga saya mengakui meletakkan gelas itu. 

Saya mula menyangkakan roh ibu saya telah datang dan membawa air itu demi menjaga saya. Ketika saya meminum air itu, tiada apa yang aneh. Namun hari demi hari, rasa air itu makin lama makin tidak enak dan busuk. Jadi saya terus berhenti minum air itu. Saya biarkan segelas air itu di atas meja. 

Sejak itu, ayah saya cuba mendapatkan pertolongan daripada bomoh Wan dan dia mengatakan air itu datang dari air tanah perkuburan ibu saya. Bomoh Wan itu menyuruh saya pergi ke kubur ibu pada waktu malam dan mencari punca air di kawasan kubur itu.

Pada keesokan malam, saya dan ayah pergi ke kubur itu dan mencari punca air yang dikatakan sering dibawa oleh roh ibu saya pada setiap malam. Untuk mencarinya, bomoh Wan memesan kepada kami untuk mencari kawasan tanah yang mendap dan selepas menjumpainya, taburkan garam dan lada hitam dikawasan tersebut untuk mengelakkan roh ibu saya mendekati kawasan punca air itu.

Malang buat kami apabila ketika sedang mencari, hujan lebat mula mencurah ke kawasan kubur itu dan menyebabkan hampir semua tanah perkuburan menjadi mendap. Kami mula berputus asa dan berpatah balik. Sedang kami berjalan ke arah kereta, kami mendapati terdapat sebuah lubang kubur yang baru di gali. Kerana hujan yang lebat, kami terus menuju ke kereta tanpa memeriksa lubang kubur tersebut.

Setelah sampai ke rumah, saya terus mandi dan bersedia untuk masuk tidur. 

Saya mendapati tiada segelas air di atas meja. Adakah ‘ibu’ sudah tidak datang membawa air kepada saya lagi? Berbagai andaian bermain di fikiran saya. Kerana kepenatan, saya terus masuk tidur dan berharap perkara ini dapat di selesaikan dengan cepat.

Pada keesokan pagi, saya terbangun dan mendapati segelas air terhidang di meja itu. Namun alangkah terkejutnya saya apabila memeriksa gelas itu dan mendapati warna air itu merah seperti darah!

Saya terus memanggil ayah dan dia membawa saya dan air ‘darah’ itu untuk berjumpa dengan bomoh Wan. 

Setelah sampai ke rumah bomoh Wan, kelihatan ramai orang-orang kampung berhimpun di luar rumahnya. Ayah saya terus masuk ke dalam dan mendapati bomoh Wan sedang nazak di atas lantai. 

Apabila ditanya apa yang telah berlaku, mereka mengatakan bahawa bomoh Wan telah dijumpai terbaring di dalam lubang kubur pada malam semalam oleh penduduk kampung.

Ayah dan saya terkejut mendengar berita itu. Penduduk kampung masih tidak dapat mengesyaki sesiapa yang melakukan khianat kepada bomoh Wan. Badan bomoh Wan kelihatan pucat dan kurus. 

“Air… air…” bisik bomoh Wan dalam nada mengigil.

Orang kampung mula memberinya air namun kudrat bomoh Wan tidak mampu lagi untuk meminumnya dan sebelum dia menghembuskan nafasnya terakhir, dia sempat membisik sesuatu kepada saya.

“Nak… jangan lu.. lupa.. minum air itu… setiap hari….”

Saya terkedu mendengar kata bomoh Wan itu.

Share It!
  • 279
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply